BAB 05 : NAK KENAL

Drama Series 3073

Hari sudah hampir pagi namun mata Safina masih segar. Dia menyelak langsir pintu gelangsar biliknya. Suasana di depan mata begitu indah. Menarik hatinya untuk berada di luar. Terus tangannya menarik tudung segera lalu disarungkan ke kepala. Perlahan-lahan melangkah keluar lalu berdiri di beranda dengan satu perasaan yang sukar untuk digambarkan.

Melihat villa yang tersergam indah jauh di belakang rumah tuan rumah hatinya dipagut pilu. Villa yang jelas nampak di mata kerana terpacak di atas tanah tinggi itu buat hatinya semakin terbeban. Rindu yang terlalu sarat pada pemilik villa itu buat dadanya berkobar-kobar. Mahu sangat bertemu muka dengan pemilik villa namun, sehingga ke saat ini doanya belum termakbul.

Teringat akan pertemuan tak sengajanya dengan Yusrizal pada akhir tahun lepas di Kota Bharu. Telah membawanya ke sini. Kalau bukan sebab pertolongan lelaki itu, mungkin saat ini dia masih di kampung. Dia tidak akan bisa menjadi sebahagian daripada kakitangan HS2 Holdings. Dia tentunya tidak akan dapat meneruskan rancangannya.

“Kau ni dah kenapa kemaruk sangat nak kerja dekat tempat kerja aku. Takkan lepas habis belajar hari tu kau tak dapat-dapat lagi kerja. Memilih lah ni kan.”

Mulut Yusrizal memang tiada insuran. Menyakitkan hati betul.

“Alang-alang terjumpa kau… kau tolonglah aku. Lagipun kau cakap dekat aku kau tu orang hebat kat syarikat. Takkan kau tak boleh tolong aku. Kau kawan baik aku kut.” Safina memujuk. Terus Yusrizal mendengus tak puas hati. Tak puas hati sebab macam kena paksa.
“Pandailah kau nak ayat aku kan. Nasib baik muka kau tu bukan stok yang aku minat.”

Buntang mata Safina mendengar ayat Yusrizal.

“Mulut kau tu jaga-jaga eh. Tak pasal satu hari nanti kau yang tergila-gilakan aku,” pesan Safina namun dicebik Yusrizal.

“Hek eleh. Impossible.” Lelaki itu buat muka namun hanya seketika. Pandang Safina mencari sesuatu dalam anak mata itu.

“Kenapa kau nak minta kerja biasa je. Nak guna sijil SPM pula tu? Tak faham aku?”

Safina tak menjawab pertanyaan itu tetapi berkata,
“Aku tak akan duduk lama kat situ. Nanti aku akan resign sendiri.”

Yusrizal makin hairan.
“Baik kau terus terang. Kita bukannya tak pernah kongsi rahsia.”

Lantas liurnya ditelan bimbang. Tidak ada seorang pun kawan-kawan sekeliling yang tahu siapa dia sebenarnya. Walaupun Yusrizal akrab dengannya tetapi rahsia yang satu ity tetap dia sembunyikan sebaiknya.

“Kalau aku cakap aku kena setel sesuatu kat situ.”

Terus mata Yusrizal naik ke atas.
“Aku dah agak dah. Kau ni kan….” Lelaki itu buat-buat nak cubit bibir Safina dan Safina pantas melarikan mukanya. “Aku kena tengok dulu jabatan mana yang ada kekosongan. Lepas tu aku kena menghadap bos besar pula. Kalau jalan aku akan call kau.”

Safina tersenyum lega.
“Terima kasih Yus,” ucap Safina tetapi bibirnya diketap menahan rasa. “Tapi….” Mulut berhenti seketika. Takut untuk berterus-terang.

“Tapi apa?” soal Yusrizal dalam pandangan hairan.

“Erk, kalau kau berjaya dapatkan aku kerja dalam tu aku nak minta satu benda dekat kau.”

“Apa dia?” tak sabar Yusrizal nak tahu.

“Aku tak akan guna data peribadi aku.”

Buntang mata Yusrizal tak percaya.
“Habis, nak bayar gaji, nak naik pangkat macam mana?” soal Yusrizal tak faham.
Tak faham dengan permintaan Safina.

Dan... wajah kaget itu hilang dibawa deruan enjin kereta yang melintasi rumahnya. Mata Safina mengekori sehingga Land Cruiser Warna Silver itu berhenti betul-betul di depan banglo Puan Raziah. Pintu pagar terbuka secara automatik. Tak lama kereta itu hilang dari matanya.

Safina alihkan pandangan. Sebelum masuk ke dalam dia menoleh sekali lagi melihat Villa yang tersergam indah di atas tanah tinggi. Dalam hati turut berdoa agar Tuhan yang Maha Kuasa memudahkan segala urusannya sepanjang masa.

***

Akhyar perasan sesuatu ketika dia berhentikan keretanya di bawah garaj. Dari cermin sisi dia melihat bayangan seorang gadis sedang melayan perasaan di balkoni rumah yang telah disewakannya. Terdetik dalam hati.

Sudah pukul satu pagi. Tak tidur lagi penyewa rumahnya? Gadis itu tak bekerja ke? Hati tiba-tiba rajin menyoal pula. Dia segera keluar. Mahu memastikan si gadis masih ada. Namun, kelibat itu sudah tiada.

Kunci kereta ditekan. Bunyi beep sekali dan itu tandanya kereta sudah terkunci. Dengan langkah perlahan-lahan dia menapak ke muka pintu. Angin malam yang berhembus mencengkam tubuhnya. Terasa begitu dingin. Sementelah maghrib tadi hujan agak lebat. Tentulah kesejukannya bertambah pada waktu begini.

“Lambat Ya balik.” Tegur Puan Raziah saat anak bujangnya itu menolak daun pintu.

Akhyar beri sengih.
“Kenapa ibu tak tidur lagi?” soalan dibalas soalan.

“Ibu mana boleh tidur kalau ayah kamu baru saja keluar.”

“Ayah on call lagi?” tanya Akhyar seraya memandang ke luar. Patutlah garaj kereta kosong.

“Haah, itu yang ibu tak dapat nak tidur ni. Alang-alang kan, ibu tunggu je Ya. Yang Ya baru balik ni kenapa. Banyak sangat ke kerja kat ofis. Tak boleh tunggu esok ke?”

Akhyar tidak menjawab sebaliknya dia melangkah ke dapur. Puan Raziah pula mengekori anaknya. Kelihatan Akhyar menadah air dari mesin penapis air. Segelas air sejuk di bawa ke meja kemudian diteguk rakus. Nampak benar anaknya itu kehausan.

“Ya setelkan kerja yang dah seminggu tak terusik. Esok pula Ya ada meeting dengan pihak pengurusan. Mungkin ambil masa yang lama. Jadi elok Ya setelkan kerja yang penting-penting dulu.”

Puan Raziah tarik kerusi lantas duduk di hadapan anak bujangnya yang nampak keletihan.

“Kalaulah Ya terima offer jadi pensyarah dulu, tak adalah Ya balik lewat macam ni. Ibu ni risau dengan Ya. Sejak kerja macam ni Ya tak ada masa untuk diri sendiri. Sepatutnya Ya dah ada isteri. Ada Anak. Ada keluarga sendiri. Ya tahu tak yang Ya dah nak masuk 32 tahun.”

Terhambur gelak tawa Akhyar setelah kata-kata itu kedengaran. Pantas ditariknya tangan si ibu. Berikan senyuman manis pada wanita itu.

“Ibu... Ya ni dah serasi sangat dengan kerja sekarang. Ya tak rasa pun nak tukar kerja. Ibu jangan risau. Insya Allah, suatu hari nanti Ya akan kahwin juga dan… Ya akan bagi cucu pada ibu seramai mungkin.” Janji Akhyar pada ibunya dan
Puan Raziah menarik nafas lega.

“Jangan janji tinggal janji, sudah. Akhirnya memakan diri,” perli ibunya dan
Akhyar pantas ketawa.

“Ya normal ibu. Rasa nak kahwin tu ada. Cuma sekarang, Ya tak jumpa pun lagi bunga yang cantik kat mata Ya.”

Akhirnya Puan Raziah hembus nafas panjang. Akhyar pula pandang jam tangannya.

“Dah lewat sangat ni, bu. Esok nak kerja lagi. Ibu tak apalah, suri rumah bernafkah,” usik Akhyar lantas berlalu ke biliknya.

Puan Raziah ukir senyum. Kalau bercakap dengan Akhyar memang mulutnya akan sentiasa senyum. Anak lelakinya itu memang pandai berbahasa. Cuma yang kurangnya tak ada masa. Macam ayahnya juga.

Akhirnya Puan Raziah menggeleng saja. Sementara di dalam bilik Akhyar mengintai melalui tingkap. Memandang ke arah rumahnya. Terdetik dalam hati mahu kelibat itu muncul semula.
Dia hendak kenal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience