BAB 4

Other Completed 297

Malam itu, emak menelefon dari Johor Bahru. Katanya akan berangkat ke
Pulau Pinang menghadiri seminar. Biarlah. Bagi aku, dunia aku, hidup
aku, kini aku yang akan menentukannya. Sakit hati, tidak puas hati sudah
lama aku lupakan. Biarlah mereka. Nenek pula aku perhatikan khusyuk
betul dengan Buletin Utama. Hanya apabila ada suara orang memberi salam,
barulah nenek terkejut dan pantas berdiri. Pintu dibuka dan seseorang
menapak masuk setelah dipelawa.

“Ada kat dalam tu ha. Masuklah. Baru habis lipat kain.”, aku pelik,
mencuri dengar.

“Siapa?”, perlahan persoalan itu bermain di bibir.

Apabila orang itu sudah di hadapan mata, aku rasa tidak keruan.

“Eh..lupa nak bagitau Ji. Tudung...”, belum sempat ayat nenek habis, aku
sudah memecut ke dalam bilik mencari tudung.

Orang itu tersentak sedikit tetapi selepas itu dihela dengan kekehan
halus. Sewaktu merapikan tudung, aku teringat kata-kata Usu lagi. Usu
nak tengok Jiji pakai tudung. Memang selepas kejadian itu, aku mula
menutup kepala. Ketika itu, aku tidak terlalu faham akan batas aurat
antara aku dan Abon. Tetapi kini, perasaan malu, maruah dan perbezaan
jantina antara kami membuat aku lebih menjaga aurat dengan hati yang
ikhlas. Dahulu Abon hanya budak lelaki, kini dia memang seorang lelaki.
Kata-kata Usu terimbau lagi. Aku faham kini maksud kata-kata Usu. Dan
diorang tetap lelaki. Tetap le-la-ki.

Tempat duduk di hadapan televisyen sudah berisi dengan tetamu yang
seorang itu. Nenek pula duduk di hadapannya. Sebaik melangkah keluar
dari bilik, nenek mengarah.

“Ji jerang air panas.”, aku turutkan sahaja.

Menjerang air sebenarnya tidak memakan masa yang lama, tapi aku sengaja
melambat-lambat. Apabila tiba di hadapan mereka, nenek sekali lagi
meningkah lembut.

“Lamanya anak dara ni buat air.”, aku sengih tidak ikhlas.

Orang itu masih mematung, cuma duduknya sekejap-sekejap berubah. Selepas
itu aku duduk di sebelah nenek. Buletin Utama sudah tamat. Nenek bersuara.

“Bon, habis belajarnya bila?”, nenek menyisip teh.

“Lagi empat lima tahun nek. Kenapa?”, mata aku sekejap kearah Abon,
sekejap menoleh nenek.

“Tak ada apa, dah besar dah korang semua ni. Tu budak bertuah lagi dua
tu belajar apa pula?”, Abon menyisip teh tanpa dipelawa.

“Jamil jadi cikgu. Azad belajar undang-undang. Nak jadi loyar nek.”,
ramah Abon melayan nenek bercakap.

“Loyar tu apekebendenya?”, nenek berkerut dahi, aku tergelak kecil.

“Peguam. Alah yang kerja dekat mahkamah tu ha...”, nenek angguk-angguk.

Mata Abon tiba-tiba mengena tepat pada pandangan aku. Aku jadi malu.
Abon kini bukan Abon yang dahulu. Aku lebih rasakan di hadapan aku itu
ialah Badiuzzaman, bukanlah Abon. Nenek terbatuk-batuk. Rancangan
televisyen telah bertukar kepada drama Lestary. Aku bukannya penonton
televisyen tegar. Batuk nenek kedengaran lagi. Abon menuang lagi teh
dalam cawan kosong nenek. Cawan dihulur kepada nenek. Nenek menurut dan
meneguk beberapa kali. Tetap, batuknya makin teruk. Aku kerut dahi. Abon
bingkas berdiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience