BAB 1

Other Completed 297

Aku terjaga apabila jam loceng di atas meja belajar berbunyi nyaring.
5.58 pagi. Aku merenung siling. Siling yang berbeza daripada yang pernah
aku lihat bertahun-tahun dahulu. Ayam kokok tidak akan berbunyi berganti
dengan jam loceng. Jalan berturap lengang telah berganti dengan jalan
raya dengan kenderaan bertali arus. Aku kini di Johor Bahru. Bandar
besar, dan gayanya metropolitan. Liur aku telan.

Air wuduk terasa basah pada hujung rambut dan wajah pada pagi ini. Aku
pandang cermin di hadapan. Ada jerawat baru tumbuh di bawah dagu sebelah
kiri. Rambut aku kini separas bahu dan bercekak. Wajah kanak-kanak itu
telah lama hilang dan luput berganti dengan wajah yang memanjang. Untuk
melihat cermin kini aku tidak perlu lagi menggunakan kerusi kecil kerana
aku sudah cukup tinggi. Kini semuanya turut berubah. Usu, inilah Jiji
yang Usu mahukan.

Selepas solat, set stereo di tepi katil akan berfungsi. Irama L’Inverno
mengisi seluruh ruang bilik. Bilik yang berwarna Hijau lumpur. Tingkap
yang bertabir kain langsir krim. Baju sekolah tergantung aku capai dan
sarungkan pada tubuh. Kemudian berdiri di hadapan cermin panjang
setinggi aku. Kini, semuanya memang telah berubah. Pinggang ini sudah
ada bentuknya. Dada ini telah menonjol. Kulit ini menghalus dan berbulu.
Pinggul membentuk mengundang rasa malu apabila berjalan dibontoti
lelaki. Benarlah kata Usu. Aku bukan lagi aku yang dahulu. Ini Nur
Azima, bukannya Jiji yang menunggang basikal ke sekolah itu dahulu.

Surat berwarna merah jambu itu masih ada. Masih tersimpan. Tempatnya di
dalam laci meja belajar. Aku lipat kemas dan letakkan dalam kotak
bersama-sama pelekat magnet yang aku ambil dari peti sejuk. Bibir
tersenyum sedikit. Abon. Hanya inilah barang yang pernah Abon beri
kepada aku. Surat ketika di hospital dan pelekat magnet ketika.....

~Imbas kembali~

Pengebumian telah sempurna. Usu. Usu telah pergi. Emak di sebelah aku
matanya masih merah, tapi tidak semerah pagi tadi. Usu pergi setelah
beberapa jam terlantar koma dihospital. Kak Huda cedera parah begitu
juga dengan ramai lagi anak muda yang akan ke universiti dalam bas itu.

Keempat-empat sahabat aku ada turut sama hadir. Nur Aminah masih
menangis dan mengongoi pada bahu ibunya. Abah berdiri di hujung kubur
Usu. Wajahnya sayu. Abon, Azad, dan Jamil bertiga berada beberapa tapak
daripada aku. Abon memandang aku.

Mereka bertiga masing-masing meminta kebenaran keluar dengan alasan
kecemasan keluarga dari warden asrama. Azad dan Jamil diterima masuk ke
MRSM Muar. Abon tercampak jauh ke Ipoh, Sekolah Tuanku Abdul Rahman.
Enam bulan sudah masing-masing bergelar murid sekolah menengah dan
belajar di tingkatan satu.

Di rumah, aku duduk di bilik Usu. Gambar Ferdinand Marcos di depan meja
belajar Usu aku pandang. Cita-cita Usu berkubur.

“Siapa ni Su?”, aku menunjuk gambar pada dinding.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience