BAB 3

Other Completed 297

SPM berakhir. Keputusan sudah ditangan. Surat tawaran universiti juga
sudah ditangan. Baru sekejap tadi Nur Aminah, teman sepermainan sewaktu
kecil menelefon dari kampung. Dia akan ke matrikulasi. Aku pula
ditawarkan untuk PASUM( Program Asasi Sains Universiti Malaya). Jalan
untuk sampai ke tahap ini bukanlah mudah. Seperti yang aku selalu dengar
senior-senior terdahulu berkata : apa yang kau buat itulah apa yang kau
dapat.

Suatu pagi di rumah nenek, aku ke pejabat pos. Setelah itu, singgah
sebentar di 7 Eleven. Tekak ini tiba-tiba mengidamkan Slurpee. Sewaktu
mencari-cari coklat Vochelle sambil membongkok, aku terlanggar
seseorang. Secepat kilat aku tegak berdiri. Niat di hati ingin meminta
maaf, tetapi tiba-tiba badan aku kaku. Spontan, ayat yang ingin
terkeluar tidak terluah. Hanya bunyi liur ditelan menyapa telinga.

Dia pun kaku. Botol 100 Plus di tangan kiri hampir jatuh melorot namun
cepat dia menyambutnya. Kesibukan dan bunyi lagu dari stereo premis
tidak masuk ke pendengaran. Ruang antara kami bungkam dan sunyi. Bunyi
syiling jatuh, mesin daftar tunai keluar masuk, dan mesin pengisar
Slurpee di keliling aku terasa tidak wujud. Semuanya terasa lain dan
asing. Sebelum orang itu membuka mulutnya.

“Hai.”, itulah nada yang aku pernah dengar hampir enam tahun dulu.

“Hai.”, suasana mula kembali ke alam nyata.

“Jiji?”, nama itu seakan klasik. Aku angguk.

“Akulah...err...Badiuzzaman.”, aku kelipkan mata sekali, cuba mengingat
nama itu.

“Abon..Abon.”, dia menegaskan semula.

Lagu Sheila On 7, Berhenti Berharap berkumandang pada corong stereo.
Menambah sedikit unsur kekeliruan dalam situasi ini. Coklat Vochelle aku
capai sekali gerakan dan kembali mematung di hadapan Badiuzzaman, atau
Abon. Aku hampir tidak mengecamnya. Apa yang aku ingat ialah bentuk
badan belakangnya yang berlanggar dengan aku tadi. Aku senyum sekali.

“Oh...lama tak dengar cerita.”, Abon sengih.

“Aku balik cuti.”, suaranya semakin besar dan berubah daripada yang aku
selalu dengar dahulu.

“Kau cuti sem. Kat mana?”, kaki aku menghentak lantai mengikut irama lagu.

“USM. Arkeologi.”, aku meledak tawa.

“Kenapa kau tak jadi vet ke, penternak ikan ke? Baru kena dengan jiwa kau.”

“Entahlah...”

Dalam perjalanan pulang, aku duduk di tepi tingkap. Bas berjalan dengan
lambat kerana kesesakan. Pekan Parit Raja ini kadangkala sama sibuknya
dengan di Johor Bahru. Cuma di pekan ini ada sesuatu yang cantik. Ketika
melalui jalan sekitar Parit Daun, dan balai polis, pokok-pokok besar di
tepi jalan akan menggugurkan bunga. Penduduk di sini tidak perlu terbang
jauh ke Jepun melihat bunga sakura. Di sini pun panoramanya sudah
seperti itu. Lorong untuk pejalan kaki di tepi jalan bertaburan dengan
bunga berwarna Putih dan Merah Jambu. Di sesetengah kawasan pula
bunga-bunga itu bertaburan sampai ke atas jalan besar. Cantik, memang
cantik.

Baru hari ini aku tahu, nama sebenar Abon ialah Badiuzzaman. Slurpee
yang tinggal separuh aku kacau perlahan. Terasa dunia ini kecil. Masa
pula berlalu begitu pantas. Macam baru semalam aku berjumpa Abon. Macam
baru semalam bermain dengan Abon, Azad dan Jamil. Macam baru semalam Usu
meninggal dunia. Macam baru semalam menerima keputusan SPM. Abon pun
semakin berubah. Dia nampak lebih matang. Abon yang dahulu seakan sudah
hilang ke mana. Cuma perangai malu-malunya yang masih belum hilang.
Tiba-tiba aku menjadi begitu tertarik dengan bunga berguguran yang
selalu aku lihat ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience