BAB 8 - RAMLI

Drama Series 91045

Peluh mengalir di dahi Ramli, dia baru sahaja selesai menebang pokok manggis yang mati dibelakang rumah. Tanpa berbaju, peluh yang mengalir pada dahi dan dada bidangnya di lap dengan tuala kecil. Walaupun sudah berusia 55 tahun, Ramli masih lagi kelihatan tegap dengan ketulan otot kekar pada tubuhnya. Dia adalah seorang bekas komando Tentera Darat Malaysia, keadaan kesihatannya juga baik kerana dia begitu menjaga pemakanan yang telah di amalkan semenjak dari zaman komando lagi.

Ramli hanya tinggal berseorangan di kampung sejak kematian isterinya 7 tahun lalu. Hidupnya lebih tenang dan mudah bersendirian kerana Ramli mahu berehat sejak dia bersara dari perkhidmatan tentera 10 tahun yang lalu. Rumah yang di diami ini dibina atas tanah yang dibeli sebelum bersara dengan impian ingin menghabiskan hari tuanya bersama isteri, Kamariah namun apakan daya Kamariah telah pergi terlebih dahulu sebelumnya akibat penyakit buah pinggang dan kencing manis.

Anak-anaknya ada mempelawa Ramli untuk tinggal bersama mereka tetapi Ramli lebih selesa duduk berseorangan di kampung kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa. Ramli mempunyai 2 orang anak dan keduanya sudah berkahwin. Darus merupakan anak sulungnya, seorang jurutera kilang dan Dania, anak perempuan kedua pula telah berkahwin dengan seorang doktor dan mengikut suaminya yang bekerja dan menetap di Dubai.

Ramli sangat disenangi oleh penduduk kampung itu. Sikapnya yang peramah dan baik budi pekerti serta ringan tulang membantu sama ada pada waktu kenduri, gotong royong dan kecemasan menjadikan nama beliau sering menjadi bualan mulut penduduk kampung. Ramli juga sering menjadi perhatian wanita-wanita berstatus janda mahupun ibu tunggal di kampung itu kerana rupa parasnya yang masih kacak biar pun rambut sudah di litupi uban. Acapkali dia di goda oleh kaum hawa ini tetapi tidak di endahkan kerana Ramli masih lagi menyintai arwah isterinya Kamariah yang kekal utuh dalam hatinya.

Usai mandi, Ramli berehat di atas kerusi malas di depan rumahnya, dinyalakan sebatang rokok sambil membaca surat khabar. Ramli membaca berita mengenai pelaksanaan PKP yang bakal diumumkan nanti. Disebabkan liputan internet yang tidak bagus, surat khabar dan saluran TV menjadi sumber maklumat buat dirinya dan juga penduduk kampung berkenaan.

Pin! Pin!

Bunyi hon motosikal berbunyi. Kelibat Manap, seorang penduduk tempatan yang bekerja sebagai posmen muncul di halaman rumah Ramli. Ramli turun dari beranda rumah menuju ke arah Manap untuk mengambil surat.

"Eh..surat sapa pulak ni? Aku tak ada hutang sapa-sapa pun. " Ujar Ramli sambil membelek-belek surat yang di terima dari Manap.
"Tu..nama Darus, anak Pak Li.." Balas Manap.

Berkerut dahi Ramli melihat surat itu.

Pada sampul surat itu tertera perkataan Urusan Seri Paduka Yang Dipertuan Agong. Entah surat apa pula yang diterima Darus, lagipun anaknya sudah lama berpindah ke bandar. Sepatutnya segala alamat surat menyurat pastilah ke alamat rumahnya disana.

Ramli membawa surat itu dan naik ke atas rumahnya. Dikoyak dengan cermat supaya tidak terjejas kandungan isi surat di dalamnya. Rupanya ianya ialah notis bankrap. Berkerut dahi Ramli membaca surat itu. Pelik!

Ramli berpendapat mungkin Darus terlupa beberapa urusan pinjamannya dahulu dia telah menggunakan alamat rumah di kampung. Disebabkan itu, segala dokumen undang-undang mungkin telah dihantar ke alamat lama sehingga Darus sendiri tidak mengetahui bahawa dia perlu hadir ke mahkamah sewaktu kes kebankrapan di sebut, atau mungkin juga Darus sengaja enggan menerima atau membuka apa-apa dokumen undang-undang yang telah dihantar ke alamatnya.

"Ni mesti Darus tak baca surat khabar jika penyerahan telah dibuat secara penyampaian ganti. Sebab itulah notis ni sampai ke sini." Andaian Ramli.

Dia mencapai telefon lalu cuba menghubungi Darus tetapi panggilannya masuk voicemail. Dicubanya berkali-kali namun tetap tidak berjawab.

"Mana pula pergi si Darus ni, langsung tak dapat call." Rungut Ramli.

Dia teringat akan menantunya, Ilyana. Segera dicari nama itu namun tiada dalam senarai nama di dalam telefonnya.
"Allah, patutlah tak jumpa. Selama hari ni mana pernah aku bercakap dengan Yana dalam telefon pun, selalunya dengan Darus saja."Ramli menepuk dahi kerana cuai tidak menyimpan nombor telefon menantunya itu.

"Surat ini penting dan wajib sampai ke pengetahuan Darus." Ramli mengumam.

Ramli risau dengan pengumuman PKP yang diumumkan semalam. Hanya berbaki esok untuk semua orang menyelesaikan segala urusan sebelum sekatan perjalanan dikenakan.

"Tak ada cara lain lagi dah ni, baik aku pergi ke rumah Darus hari ini juga." Nekad Ramli.

Surat mahkamah ini perlu diberikan kepada Darus segera. Hal penangguhan, rayuan atau sebagainya biarlah anaknya sendiri yang uruskan. Nasib baik Ramli masih lagi ingat jalan ke rumah Darus kerana dia telah beberapa kali pergi mengunjungi anaknya dengan memandu sendiri.

Ramli segera mandi dan menukar pakaian. Tiada baju tambahan yang di bawa kerana dia bercadang untuk pulang semula ke rumah setelah menyerahkan surat itu pada Darus. Selesai bersiap, Ramli masuk ke dalam kereta dan dipulas kunci pada starter cuba menghidupkan Toyota KE70 miliknya.

Tik..Tik..

Entah kenapa enjin tidak mahu hidup, dicubanya berkali-kali namun tetap tidak berjaya.

"Ish, ada saja masalah kereta ni. Masa ini jugalah kereta nak buat hal!" Ramli mula panas hati.

Minyak rasanya baru diisi minggu lepas, lagipun dia tidak ke mana pun. Mungkin bateri sudah 'kong', atau pun kegagalan palam pencucuh pada sistem penghidup enjin. Sudahlah kedai repair kereta jauh, duit lagi, masa lagi akan terbuang.
Ramli mengeluh panjang memikirkan pada siapa pula dia ingin meminta bantuan. Terlintas di fikiran rakan baiknya bernama Sarip, lantas di hubungi dan meminta menghantarnya ke stesen bas.

"Kau nak buat apa pergi ke bandar tu Ramli?" Tanya Sarip.

"Aku nak ke rumah Darus kejap, nak hantar surat pada dia." Jawab Ramli.

"Surat apa tu macam penting sangat. Kenapa tak telefon saja dan beritahu Darus, ini sampai nak ke rumah dia pula." Sarip pelik.

"Surat mahkamah ni, risau pula aku kalau dibiarkan. Aku telefon tak dapat-dapat asyik masuk voicemail saja. Ada baiknya aku pergi hantar sendiri, boleh juga aku jenguk cucu-cucu aku tu sekali. Lagi pun esok dah mula PKP, entah berapa lama lagi baru aku boleh jumpa mereka kalau tak pergi hari ni." Ujar Ramli.

Sarip hanya mendengar dan mengangguk tanda faham.

Perjalanan hanya mengambil masa selama sejam setengah saja untuk sampai ke bandar. Sampai saja di stesyen bas, Ramli mengambil teksi untuk pergi ke rumah Darus yang terletak kira-kira 20 kilometer jauhnya. Di kerling pada jam tangan jenama Seiko berwarna kuning emas hadiah pemberian Darus pada hari lahirnya tahun lepas yang menunjukkan pukul 2 petang. Teksi berhenti di depan rumah anaknya, sesudah membayar tambang, Ramli keluar dan berdiri di depan pintu pagar.

"Assalamualaikum..." Ramli memberi salam. Namun tiada sahutan mahu pun kelibat cucu-cucunya.

"Eh sunyi saja rumah ni. Kereta pun tak ada, dorang keluar ke?" Bisik hati Ramli.

Dalam Ramli mengomel tiba-tiba sebuah kereta berhenti di hadapan rumah anak menantunya. Bila sahaja pintu kereta dibuka rupanya Ilyana menantunya keluar dari tempat duduk penumpang.

"Assalamualaikum abah, kenapa abah tak bagitahu nak datang?" Sapa Ilyana terkejut melihat bapa mertua berdiri di depan pagar rumahnya.

Di letak ke bawah beg-beg plastik yang di pegang, lantas tangan mertuanya di salam.

"Jom lah kita masuk dulu ke dalam. Panas dekat luar ni Abah." Pelawa Ilyana sambil membuka pintu pagar.

"Abah ada hal penting nak sampaikan pada Darus ni. Abah telefon berpuluh kali langsung tak dapat. Mana dia?" Soal Ramli sambil memerhati sekeliling.

"Oh abang Darus dah pergi ke Terengganu malam kelmarin, dia dapat kerja di pelantar minyak dekat Kemaman, abah." Jawab Ilyana sambil menjijit beg-beg plastik masuk ke dalam rumah.

"Kenapa Darus tak bekerja dengan tempat lama tu? Kan dah elok jadi jurutera dekat kilang, sibuk pula dia nak kerja atas laut. Patutlah call dia tak dapat-dapat. Abah pula tak simpan nombor kau, itu yang abah datang ke mari." Terang Ramli.

"Abang Darus dapat tawaran gaji tinggi dari syarikat baru, lagipun anak-anak semakin membesar dengan hutang-hutang bank lagi nak di bayar, sedikt sebanyak dapatlah membantu." Bohong Ilyana demi menjaga air muka suaminya yang tidak bekerja selama ini.

"Eh mana cucu-cucu abah semua?" Soal Ramli setelah melihat rumah anak menantunya sunyi sepi.

"Budak-budak tu balik rumah ibu ayah Yana, mereka dah lama tak jumpa dengan cucu-cucu, itu yang di bawa semuanya kesana." Ujar Ilyana.

"Abah duduklah dulu, berehat. Yana buatkan air, nanti kejap lagi Yana masak boleh makan bersama." Ilyana ke dapur membawa beg-beg plastik sekali.

Ramli duduk membuka televisyen, ucapan Perdana Menteri mengenai PKP yang akan bermula esok di ulang tayang semula. Ramli yang ralit menonton sedikit terganggu bila menantunya menatang dulang berisi air teh o berserta kek lapis sarawak yang telah di potong cantik tersusun dalam pinggan berdiri di sebelahnya.

"Jemput minum abah, maaflah hanya air bujang saja." Pelawa Ilyana sambil melabuhkan punggung di kerusi sebelah Ramli.

"Siapa yang hantar kau balik tadi?" Soal Ramli sambil menghirup perlahan air panas itu.

"Errr kawan sekerja, tadi Yana pergi beli barang dekat pasaraya, masa nak balik tadi kereta pula tak boleh start. Kebetulan terserempak dengan kawan Yana, dia tolong uruskan hal kereta hantar ke bengkel dan tumpangkan Yana pulang." Dua kali Ilyana terpaksa berbohong pada mertuanya ini.

"Abah pula datang ke sini naik apa? Tak nampak pun kereta?" Ilyana mengalih topik supaya mertuanya tidak bertanya banyak soalan lagi tentang Cikgu Mansor.

"Kereta buat hal tak boleh start, Abah naik bas untuk ke sini. Lagipun ada surat penting yang abah nak sampaikan pada Darus, itu yang bergegas Abah datang. Takut esok dah mula PKP tak boleh nak rentas daerah pula." Terang Ramli.

"Surat penting? Untuk Abang Darus? Mana surat tu Abah, boleh Yana tengok?" Berkerut dahi Ilyana.

Ramli mengeluarkan surat dari beg sandangnya.

"Ini suratnya." Ramli menyerahkan pada Ilyana.

Surat dibuka. Semuanya di baca dan di fahamkan isi kandungan surat berkenaan yang dihantar oleh pihak mahkamah. Tiada satu perkataan pun di dalam surat itu terlepas dari pandangan Ilyana. Surat di lipat setelah selesai dibaca.

Ilyana termangu.

Sudah lah dia terpaksa mengharungi PKP seorang diri tanpa suami disisi. Dan kini di tambah pula dengan status Darus yang bakal di istihar muflis.

Ilyana memicit kepalanya yang di rasakan berpusing. Pandangannya mulai kelam.

"Yana!"

Hanya suara Abah yang di dengari sebelum pandangannya bertukar gelap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience