(1) Biji Jagung

Horror & Thriller Series 3290

Malam itu, suami Asiah tidak pulang kerumah atas urusan kerja yang tidak dapat dielakkan, sudah kebiasaannya suaminya hanya akan pulang kerumah selang dua minggu sekali. Itu pun hanya untuk dua malam sahaja.

Jam sudah menunjukkan detik 12 malam, terasa lesu tubuh Asiah setelah seharian menguruskan hal rumahtangga yang sememangnya tidak akan ada kesudahannya. Untung anak-anaknya sudah awal-awal lagi tidur, jika tidak belum tentu masa-masa begini Asiah dapat berehat.

Berat terasa mata Asiah saat ini, terus sahaja kain-kain yang sudah siap dilipat disimpan didalam almari yang sudah dibeli Asiah sejak dari awal perkahwinannya,sudah banyak almari itu berjasa , sesudah semuanya selesai, Asiah mula merebahkan diri untuk tidur. Baru beberapa saat melelapkan mata, Asiah terus sahaja tertidur.

.......................

Terasa baru sahaja Asiah melelapkan mata, tidurnya terganggu,seperti ada sesuatu yang bergayut dihujung kakinya, Asiah melirikkan mata pada jam disudut dinding biliknya itu, jam menunjukkan detik 4.30 pagi, tidak mungkin anak-anaknya bangun.

Rasa itu semakin menjalar sehingga bahagian betis Asiah, dia mencuba untuk bangun, tetapi badannya saat ini seperti batu, kaku, berat. Mulutnya lansung tidak boleh berbicara.

"Ya Allah....kenapa dengan aku ni..." bisik Asiah.

Tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan Asiah saat ini, dia hanya mampu membaca segala doa dan surah yang diingatinya, terbayang-bayang wajah anak-anaknya pada ruang minda Asiah. Asiah meronta sekuat hati. Dia hanya ingin bebas dari cengkaman itu.

Terasa masa sudah begitu lama berlalu, rasa yang menjalar semakin menaiki tubuh Asiah, badannya sudah dibasahi peluh, disaat Asiah menoleh untuk melihat makhluk apakah yang sedang mengganggunya, alangkah terkejutnya Asiah apabila dihadapannya terlihat 5 atau 6 susuk makhluk yang mempunyai saiz yang lebih besar biji jangung sedang meloncat-loncat diatas perutnya.

Matanya memancarkan cahaya merah yang begitu terang, gigi taringnya menyeringai keluar dari bahagian mulut, badannya berbulu, mukanya begitu hodoh, makhkuk itu seperti sedang berpesta melihat Asiah meronta untuk melepaskan diri.

Sedang Asiah meronta, dia seakan mendengar derap tapak kaki menuju kearah biliknya, semakin mendekat dan mendekat, terdengar sayup suara kecil dipendengarannya dari arah luar bilik.

"Mama! Mama!" Jerit suara kecil itu.

Suara itu singgah dipendengaran Asiah. Itu anaknya.

"Allahu akhbar" tempik Asiah

Hanya itu perkara terakhir yang mampu dilakukannya. Dia mahu menyelamatkan anaknya dari makhluk itu. Dengan sekuat hati Asiah menendang kakinya diawangan. Makhluk-makhluk yang berada dibahagian kaki dan perut Asiah jatuh bergelimpangan dan melarikan diri.

Dengan sepantas kilat Asiah bangun setelah merasakan dirinya sudah bebas, terus sahaja dia berlari kearah pintu bilik, kelihatan 3 anaknya sedang menangis. Asiah memeluk anak-anaknya seerat mungkin. Tidak mampu Asiah bayangkan apa yang akan terjadi jika perkara itu terjadi pada anak-anaknya. Untung sahaja dia mampu bebas diri. Sejak itu, Asiah sudah tidak melihat lagi makhluk tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience