Lima minit kemudian, kunci pintu diselak dari dalam. Sofie lekas menerjah ke dalam bilik tersebut, lalu memerhatikan Johanna. Dia terpaku. Diperhatinya Johanna dari atas ke bawah, dan sebaliknya. Gaun berwarna biru muda itu sangat padan dengan struktur badan Johanna.
Ukuran bahu, dada, pinggang, labuh, cukup sempurna! Renda-renda berwarna putih di hujung lengan, pangkal dada, pinggang, dan hujung kaki menambahkan lagi kesempurnaan gaun tersebut bersama si pemakainya. Padanan warna gaun itu menyerlahkan lagi warna kulit Johanna yang sememangnya sedia cerah.
“Weh, janganlah pandang macam tu! Malu doh!” Muka Johanna kemerahan, menahan rasa malu yang bertandang. Dia sangat tidak suka apabila ada orang yang memerhatinya sampai tak berkelip mata. Bukan apa, malu lah!
“Kejap! Ada yang tak kena lagi! Jom, pergi kedai lain.” Sofie terus berlalu dari situ dan melangkah ke kaunter pembayaran.
“Weh, tunggu lah!”
“Jo, jangan berani nak salin balik!” laung Anna. Dia lantas mengeluarkan kad kredit dari dompetnya. Setelah membayar harga Euro €35 untuk gaun tersebut, Sofie menarik tangan Johanna sekali lagi. Kali ini, dia menuju ke kedai kasut yang tidak jauh dari butik tadi. Setelah hampir satu jam masa dihabiskan, setelah puas berbalah dan bertengkar bagai anjing dan kucing, akhirnya sepasang kasut tumit-tinggi-dua-inci berwarna hitam berjaya dibelinya untuk Johanna.
Sofie masih belum cukup berpuas hati lagi. Baginya, ada sesuatu yang tidak kena pada Johanna. Bagaikan masih belum cukup lengkap lagi. Puas otaknya mencari jawapan. Puas matanya ligat mencari sasaran. Di manakah silapnya? ‘Hurm.. Hah! Tahu dah kat mana kurangnya!’
Kali ini, misinya pasti sempurna. Pasti dia berjaya! Sofie yakin! Dia membawa Johanna ke salon yang terletak di tingkat bawah kompleks tersebut. Setibanya di sana, Sofie menyuruh tukang gunting rambut yang ada untuk memotong rambut Johanna mengikut gaya yang sesuai.
Setengah jam berlalu sudah. Kini, misi Sofie sudah berjaya. Melihatkan Johanna Dato’ Razman versi baru, dia gembira tak terkata. Johanna yang kini berdiri di hadapannya cukup berbeza dengan Johanna yang ditariknya sejak mula-mula ke kompleks membeli-belah ini tengahari tadi. 360 darjah berbeza!
Bagaikan dua orang yang serupa, tapi sangat-sangat berbeza! Macam langit dan bumi! Kalau white people yang membandingkan, mesti diorang akan kata, macam ‘angel and devil’. Sampai macam tu sekali perbezaannya! Err, sekurang-kurangnya penampilannya sahaja yang ketara berbeza. Sifat dalamannya, masih sama lagi kot!
“Weh, kau! Apa benda yang kau dah buat kat aku, hah?” Johanna meninggikan suaranya. Dia sudah tidak mampu mengawal rasa geram yang dipendam sejak dari awal tadi.
Kan dah kata dah. Sofie mengurut dadanya. Dia betul-betul terkejut dengan tengkingan Johanna kali ini.
“Jo, kau sangat lawa! Comel gile! Aku tahu, kau ada potensi untuk jadi lawa macam ni. Selama ni, kau sentiasa biarkan ego kau kontrol diri kau sendiri. Aku tahu yang kau sentiasa teringin nak pakai baju-baju macam ni, kan? Aku tahu kau selalu perhatikan orang yang pakai gaun macam ni dari jauh, kan? Hati kau selalu tersenyum riang setiap kali pandang baju-baju macam ni. Hati kau melonjak-melonjak nak cuba baju ni, nak pakai baju ni, nak tenggelam dalam kecantikan warna baju-baju ni, bukan? Tapi ego kau selalu menghalang kehendak kau. Ego kau kebal, Jo! Ego kau tinggi! Sedarlah Jo.”
“Eh, apa kau peduli aku apa aku nak? Apa aku nak pakai ke, apa aku nak buat ke? Ego aku tinggi ke, rendah ke, apa kau kisah? Kau tak ada hak untuk buat aku macam ni! Kau dah melanggar privasi hidup aku, tau tak?”
“Jo, sedarlah! Bukak mata kau! Buka mata hati kau! Rendahkan ego kau tu, Jo! Betul, aku tak ada hak pun ke atas diri kau. Aku hanya menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan pada aku. Jo, kau punya segala-galanya. Kau hidup senang..”
“Ahh, shut up! Aku tak mahu dengar semua tu!” Belum sempat Sofie menghabiskan kata-katanya, Johanna telah memotongnya dahulu. Telinga Johanna panas. Hatinya panas. Dia sudah tidak mahu mendengar apa-apa lagi. Dia berlalu dari situ, dan meninggalkan Sofie keseorangan. Semua mata yang berada disekeliling hanya memandang mereka dengan pandangan yang sukar untuk ditafsirkan. Almaklumlah, tiada yang faham akan bahasa yang sedang mereka berdua tuturkan.
“Jo, tunggu!!” Sofie cuba berlari mendapatkan Johanna, namun langkahnya terhenti. Dia rebah ke lantai. Nafasnya tercungap-cungap. Hatinya berdebar terlampau kencang. Dia cuba ingin mencapai ‘inhaler’ dari dalam beg tangannya, namun kudratnya sangat lemah. Semakin lama, dia semakin sukar untuk bernafas.
“Jo..” Suaranya yang semakin perlahan cuba memanggil Johanna yang semakin jauh, namun dia tahu, Johanna tidak akan berpatah balik.
Johanna memberhentikan langkahnya. Dia berpusing menghadap ke arah Sofie yang terbaring di atas lantai. Dia ingin berlari mendapatkan Sofie, namun kakinya bagai digam sekali lagi. ‘Dia mesti berlakon lagi. Kali ni aku tak akan jadi mangsa lakonannya lagi.’ Desis hati Johanna.
“Kalau kau ingat kau berjaya nak pujuk aku dengan lakonan kau lagi, kau dah salah! Aku tak akan tertipu lagi kali ni!” Jerit Johanna.
Setelah beberapa ketika, tiada respon yang diterima dari Sofie. Johanna melihat seorang lelaki tempatan menghampiri tubuh Sofie. Johanna semakin risau. Sofie masih tidak bangun. Lantas dia berlari mendapatkan Sofie. Tubuh Sofie yang longlai itu dipangku di atas ribanya.
“Dia okey ke?” Soal lelaki tempatan itu dalam Bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa dalam medium komunikasi antara bangsa-bangsa yang berbeza.
“Saya tak tahu.” Johanna membalas dalam bahasa yang sama.
“Sofie.. Sofie! Sofie, kau okey tak?” Johanna menepuk pipi Sofie perlahan.
“Encik, tolong telefon ambulans! Tolong, encik!” Johanna merayu kepada lelaki tersebut. Lelaki itu hanya mengangguk sambil mencapai telefon bimbitnya.
“Sofie, Sofie.. Aku mintak maaf. Kau janganlah buat aku cemas. Sofiee!! Bangun, Sofie!”
“Jo..” Lemah Sofie bersuara. Dia semakin tidak berdaya.
Inhaler. Inhaler. Mana inhaler? Laju jari-jemari Johanna menyelongkar beg tangan milik Sofie. Inhaler yang dicari berjaya dicapai lalu disumbat ke dalam mulut Sofie. Dia perlu membuat sesuatu untuk menyelamatkan Sofie sementara menanti ambulans yang bakal tiba. Namun hanya itu sahaja yang termampu dilakukannya. Johanna merasakan dirinya terlalu tak berguna.
Sepasang matanya tertancap pada helaian kertas yang dilipat rapi. Kertas tersebut pasti terkeluar dari beg tangan Sofie tadi. Dicapainya kertas tersebut lalu dibelek-belek. Dia terlihat akan namanya yang terpampang di kertas tersebut. ‘Kepada : Johanna.’ Hati Johanna tertanya-tanya. Baru dia ingin membuka lipatan tersebut, telinganya menangkap bunyi siren ambulans. Kertas tersebut diselit ke dalam begnya.
Share this novel