BAB 9

Family Completed 13475

Kepada : Johanna

Hai, Jo! Mana kau jumpa surat ni ha? Hehe. Aku sendiri tak berapa nak pasti, sama ada aku masih hidup lagi atau tak masa kau baca surat ni. Kalau aku hidup lagi, aku bagi amaran awal-awal kat kau, aku mesti akan marah kau sebab baca surat aku tanpa izin. Kalau aku dah tak hidup lagi, takpe lah. Aku halalkan. Nak marah pun, dah tak boleh kan? Hehe.

Jo, ingat lagi tak masa mula-mula aku menyibuk dalam hidup kau. Alah, yang aku buat ikrar kuat-kuat bagi satu kampus dengar tu. Kalau kau tak ingat, tak apa lah. Kau buat-buat je lah macam aku tak pernah wujud. Tapi, aku pasti kau mesti ingat peristiwa tu kan? Aku yakin, sebab aku kenal kau. Semua episod kartun Doraemon dan Shinchan tu kau boleh ingat. Ni benda kecik macam ni mestilah kau lagi ingat, kan?

Johanna tergelak kecil. ‘Benda kecil kata kau? Kau tak tahu, benda kecil ni lah yang dah ubah hidup aku, tahu tak? Sofie, Sofie.’ Johanna menyambung bacaannya.

Jo, aku tak tahu sama ada kau tahu atau tak pasal ni, tapi kau buat-buat tak tahu je lah eh? Aku sebenarnya diamanahkan oleh abah kau untuk jaga kau, untuk sentiasa berada disisi kau, dan bonus, untuk ubah penampilan kau. Pada awalnya, aku sendiri tak tahu sama ada aku boleh lakukan semua ni atau tak. Ye lah, siapa nak dekat dengan kau?

Kau kan macam hantu. Degil. Keras kepala. Hati batu. Dah, tak nak kutuk kau lebih-lebih. Nanti kau koyak pulak surat ni. Tapi, dah terbukti yang aku ni lebih berhati batu dan lebih keras kepala berbanding kau, sebab aku mampu bertahan dengan perangai kau. Kalau orang lain, entah-entah lagi pendek jangka hayat diorang kot. Huhu.

‘Hantu kau, Sofie! Sempat lagi kau kutuk aku, kan?’

Tapi kan, hurm.. Mula-mula je lah aku rasa terpaksa dan tak selesa. Makin lama aku kenal kau, makin banyak pasal diri kau yang aku nak tahu. Semakin banyak misteri dan rahsia yang aku nak korek. Makin aku bersemangat nak tahu diri kau yang sebenarnya, apa yang kau nak jadi, macam-macam lah. Tak larat aku nak list kan. Aku semakin seronok dengan kau.

Walaupun kau marah aku, kau tengking aku, kau herdik aku, tapi ada side kau yang aku seorang je boleh nampak. Kau manja, kau baik, kau pemurah, kau pandai, kau rajin, bla, bla, dan bla. Aku tahu kelemahan kau, dan aku boleh kawal kau. Cuma satu benda je yang aku tak dapat nak kawal sampai sekarang. Ego kau. Aku tak tahu siapa yang bertuah yang dapat kawal ego kau tu.

Jo, kau tahu tak yang kau ni beruntung sangat-sangat? Kau hidup senang, punya segala-galanya. Kau ada mak dan abah yang sayang kat kau, yang ambil berat tentang kau. Kau nak apa sahaja, semua kau boleh dapat.

Kau tak macam aku, Jo. Aku hidup tak mewah. Aku tak ada mak ayah. Adik-beradik aku pun dah tak pedulikan aku. Aku hanya mampu menumpang belas kasihan mak dan abah kau je, Jo. Tanpa diorang, aku rasa dah lama dah aku tak ada kat dunia ni.

Jo, aku tak mengharapkan apa-apa dari kau. Cuma satu benda je. Aku doakan, semoga pintu hati kau terbuka, semoga mata hati kau celik, semoga hati kau kuat untuk merempuh tembok ego yang kau bina sendiri, Jo. Aku dah cuba sedaya-upaya aku untuk buat apa yang aku mampu.

Walaupun kudrat aku lemah, tapi aku kuat sebab aku ada kau serta mak dan abah kau. Aku harap kau pun kuat demi insan-insan yang sayangkan kau. Sayangilah mereka dan hargailah mereka selagi kau masih bernafas, Jo. Jangan biarkan pisang berbuah dua kali. Aku tahu kau tak suka pisang.

Oh ye, jangan risau tau Jo! Aku dah lama dah maafkan kau! Hidup baru bermula dengan langkah baru yang diiringi azam baru. Ingat tau!

Salam sayang,

XOXO – Anna Safiyah a.k.a. Sofie.

P/s : Jangan panggil aku ‘weh’ lagi tau!

P/ss : Aku percaya kau mesti sangat cantik, comel dan menawan bila kau pakai baju-baju yang feminin, Johanna!

Johanna sudah menangis teresak-esak di bahu ibunya. Dia sendiri tidak sedar bila masa ibunya tiba di sisinya. Datin Rahmah hanya mengusap rambut dan bahu anak bongsunya perlahan. Dia sendiri membaca surat yang ditulis oleh anak saudara kesayangannya. Siapa tahu, bila ajalnya tiba. Daripada Allah kami datang, dan kepada Allah jua lah kami kembali.

“Sabar, sayang. Redha dengan pemergiannya. Allah lebih sayangkan dia.” Datin Rahmah menenangkan anaknya. Dia sendiri terkejut dengan berita yang diterimanya dari pihak hospital sebentar tadi. Namun dia dan suaminya, Dato’ Razman menerima pemergian arwah Sofie dengan hati yang terbuka. Mereka tahu, cepat atau lambat, bersedia atau tidak, dia pasti akan ‘pergi’ jua.

“Ibu, Jo nak jumpa Sofie kejap.” Datin Rahmah hanya mengangguk. Dia tersenyum memandang Dato’ Razman yang sedang sibuk menguruskan sesuatu di kaunter hospital. Telefon bimbitnya dicapai.

Johanna melangkah menghampiri jasad Anna yang terbujur layu. Tiada lagi hembusan nafas yang dapat didengarinya. Wajah Anna diperhatinya lama-lama. Tangan Anna yang kaku digenggam. Dahi Anna dikucup.

“Sofie, maafkan aku. Terima kasih. Aku sayang kau. Semoga roh kau tenang dan dicucuri rahmat Nya.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience