“Kenapa kau suka ikut aku?” Pertanyaan Johanna mematikan lamunan Sofie.
“Sebab kau ‘cool’!” Sofie tersenyum lebar sampai ke telinga.
‘Cool? Bukan itu yang aku nak dengar. Aku nak dengar orang kata aku comel. Cute. Kawaii. Tapi, kalau dah rupa aku macam ni, ada ke orang nak puji aku comel?’ Johanna mengeluh lagi.
Mereka berdua sedang menghabiskan masa mengulangkaji pelajaran di rumah Johanna. Johanna tinggal keseorangan di apartment ‘studio’ yang disewanya. Siap ada bilik air dan dapur, hanya digunakan oleh dia dan sesiapa yang datang melawat atau menumpang bermalam. Kebiasaannya, hanya Sofie seorang sahaja peneman setia Johanna di rumahnya. Tiada siapa pun yang pernah datang melainkan dia.
“Kenapa kau kata aku cool? Sedangkan orang lain semua gelar aku hantu lah, syaitan lah, ‘devil’ lah, ‘evil spirit’ lah, sombong lah, anti-sosial, dan macam-macam lagi. Tak ada orang pun yang kata aku cool.”
‘Comel apatah lagi. Manis? Menawan? Jangan harap.’ Kata-kata tersebut hanya terluah dalam hatinya sahaja.
“Jo, kau tahu tak, kau ni ego tinggi? Satu-satunya orang yang paling tinggi egonya kat muka bumi ni yang aku pernah jumpa.” Soal Sofie. Dia menantikan reaksi dari Johanna.
“Tahu. Kau dah ulang banyak kali. Yang ni kali ke seratus-tiga-puluh-tujuh kau ulang.” Johanna membuat muka tanpa perasaan dan sambung mengulangkaji.
Johanna memang seorang yang anti-sosial. Dia jenis yang tak bergaul dengan orang lain, melainkan atas sebab-sebab akademik. Itupun, kebanyakan masanya dihabiskan dengan belajar berseorangan. Susah untuk nampak dia berjalan, berbual, bergelak-tawa, bermain, makan, belajar, pendek kata apa-apa lah yang manusia biasa lakukan, dengan sesiapa pun. Sejak kecil lagi, dia memang bersikap sedemikian. Baginya, dia boleh hidup keseorangan dan tak perlu bergantung atas orang lain.
Senyuman memang jarang terukir di bibirnya. Mahu mendengar dia ketawa? Sekali dalam setahun pun payah. Kalaupun dia tersenyum, memang orang akan kata seperti syaitan sedang tersenyum. Orang kata, siapa nak tengok syaitan, tengoklah Johanna.
Pakaiannya dah lah sentiasa ‘gothic-style’. Hitam dari atas sampai bawah. Berseluar sepanjang masa. Celak hitam kat mata tak payah nak cakap, memang ‘gothic’ habis lah! Nak tengok dia jadi ‘feminin’, ‘ladies-style’, mati hidup balik pun tak akan dapat lihat.
Sofie teringat akan soalan yang pernah ditanyakan pada Johanna tentang penampilannya itu.
“Jo, kenapa kau suka pakai serba hitam macam kelawar ni? Kau nak jadi batman ke? Kau minat batman eh? Nak kata kau berkabung, lama sangat pun tempohnya.”
“Sibuk lah! Suka hati aku lah nak pakai apa ke, suka siapa ke, kau apa kisah??!” Johanna melenting.
Walau seberapa banyak kali Johanna melenting kepadanya, Sofie tetap tak kisah. Dia sudah lali. Telinganya sudah biasa menerima herdikan dari Johanna. Dimarahi, diherdik, dicemuh, dia lali dengan semua itu. Sejak dia mengatakan janji pada Dato’ Razman, sejak itu dia cuba untuk membiasakan diri dengan perangai Johanna yang berhati batu itu. Dia tidak boleh menghampakan Dato’ Razman. Dia tahu dia kuat untuk menghadapi situasi-situasi seperti itu.
Pada mulanya, susah untuk Johanna menerima kehadiran seseorang dalam hidupnya. Almaklumlah, tiada sesiapa yang ingin berkawan dengannya, apatah lagi ingin menjadi sahabat karib. Tiada istilah ‘kawan’ pun dalam dirinya. Dia pelik apabila munculnya seseorang bernama Anna Safiyah, yang berani menggelar dirinya ‘bestfriend forever’. Johanna teringat ketika Sofie mula-mula hadir dalam hidupnya.
“Jo! Hari ini, setiap orang kat kampus ini akan menjadi saksi apa yang akan aku katakan. Mulai hari ini, dengan rasminya, aku, Anna Safiyah binti Rahmat, akan menjadi ‘bestfriend’ kepada Johanna binti Dato’ Razman untuk selama-lamanya!! Selagi aku masih bernafas, selagi itu kau kena ingat!”
Walaupun Johanna terkejut akan pengakuan tersebut, rasa gembira tetap wujud dalam hatinya. Walaupun dia malu kerana menjadi perhatian umum, namun hatinya tetap berbunga-bunga riang. Tanpa dia sedar, dia tersenyum, namun cepat-cepat dia mematikan senyuman tersebut. Wajahnya merah padam, darah menyerbu ke kepalanya. Dia menuding jari dekat ke muka Sofie.
“Weh kau! Kau ingat kau siapa hah? Sesedap rasa kau je nak ‘declare’ macam-macam! Bestfriend? Huh! Aku tak perlu lah semua tu!”
“Kau suka ke, kau tak suka ke, aku tetap akan jadi ‘bestfriend’ kau!” Cabar Anna.
“Ughh!! Suka hati kau lah!”
Share this novel