BAB 7

Romance Completed 19882

“Alhamdulillah, mereka terima Mubarak.”

Wajah ceria ummi kupandang dengan penuh kelegaan. Dadaku terasa dipenuhi oksigen semula. Dari tadi aku berdebar menunggu keputusan diluar perkarangan rumah teres dua tingkat itu.

“Tapi, si dia nak bertemu dengan Mubarak sebentar.”

Ummi menunjukkan ke arah gadis yang sedang berdiri ditepi buaian didalam kawasan rumah. Aku hanya mengangguk lalu berjalan menuju ke arah gadis yang sudah menjadi tunanganku kini.

“Assalamualaikum.”

Salam kuberi sebaik sahaja gadis itu berada didalam ‘radius’ selamat. Jarak diantara aku dan dia tidak terlalu jauh dan tidak terlalu dekat. Masing-masing ingin menjaga ikhtilat.

“Waalaikumusalam.”

Jawab si gadis lantas menundukkan pandangan.

“Kenapa pilih saya?”

Soalan yang terus dilontarkan oleh si gadis membuatkan aku tersenyum.

“Sebab saya rasa awak pilihan yang tepat untuk saya insyaAllah.”

“Awak sendiri tahu niat asal saya untuk berubah kan? Jadi kenapa masih mahu meminang saya?”

Soalnya lagi.

“Itu dulu dan kini saya dapat lihat yang awak ikhlas berubah kerana Allah dan bukan kerana Inche Gabbana lagi. Betul kan Cik Nur Najla Marissa?”

Najla terus tersenyum lalu mengangguk perlahan.

“Alhamdulillah. Ummi nasihatkan saya supaya berubah kerana Allah bukan kerana manusia lain. Awak tak nak tanya ke apa niat saya nak pergi meminang Inche Gabbana tu?”

Aku menggeleng kepala.

“Saya rasa awak akan beritahu juga bila awak dah sedia.”

“Baik saya beritahu sekarang supaya awak boleh balik dan fikir sama ada awak mahu teruskan pertunangan ini atau tidak okey?”

Aku berfikir sejenak sebelum mengangguk. Najla memalingkan pandangan ke arah pokok-pokok bunga dihalaman rumahnya.

“Dahulu saya seorang yang hanya Islam pada kad pengenalan dan tak pernah pun menjalankan tanggungjawab saya kepada Allah. Mungkin kerana wajah saya tak seperti orang Melayu maka orang tak kisah pun bila saya makan secara terang-terangan di bulan Ramadan atau masuk ke kelab-kelab hiburan. Ye, ayah saya Canadian dan ibu saya pula berketurunan Cina kerana nenek saya dulu masuk Islam sebab kahwin dengan lelaki Melayu. Sejak dari kecil saya tidak diberi didikan agama dari keluarga. Tambahan pula, saya dimasukkan ke sekolah antarabangsa dimana subjek agama Islam boleh diambil jika saya mahu dan terus terang saya katakan yang saya tak berminat langsung untuk belajar tentang agama Islam.”

Mengucap panjang aku mendengar cerita Najla. Kulihat ada air mata yang mengalir dari sudut sisi wajah Najla. Apakan daya, dia bukan mahramku untuk aku kesat air matanya dengan jariku sekarang.

Dengan mengambil nafas panjang, Najla meneruskan penceritaannya.

“Entah macam mana, satu malam tu semasa saya sedang online mencari baju baru untuk ke parti hari jadi kawan saya, saya termasuk website Inche Gabbana tu. Entah apa kejadahnya blog yang diberi nama Angel Pakai Gucci itu. Sangka saya blog perempuan yang suka shopping.”

Najla ketawa sebelum menyambung kembali ceritanya.

“Entri yang saya baca ialah “Pada Firaun Ada Harapan”, seluruh tubuh saya menggigil dan air mata tu tak usah ceritalah memang turun laju kalah Niagara Falls. Esoknya saya bertanya kepada kawan-kawan saya macam mana saya nak mendalami Islam. Semua pakat gelakkan saya dan terus mengatakan yang saya dah buang tabiat nak mati. Saya tinggalkan mereka dan terus berjalan-jalan seorang diri dekat kawasan perumahan awak tu. Tengah jalan-jalan tu saya terdengar suara seorang perempuan yang tengah macam menyanyi tapi lain macam pula lagu tu. Saya terus mencari-cari suara itu and guess what? Itu suara ummi awak yang sedang mengaji. Bila saya cakap saya nak belajar agama dengan ummi awak, dia terus senyum dan mengajak saya untuk menyertai usrah malam tu. Balik je rumah syaitan mula menghasut saya. Saya macam terfikir betul ke apa yang saya buat ni? Saya endahkan dan malam itu saya pergi juga ke rumah awak.”

“Balik sahaja dari usrah saya macam hilang keyakinan sebab semasa mereka bertilawah, saya hanya membaca tafsir sebab saya memang tak reti mengaji. Pernah juga saya terfikir nak berhenti menyertai usrah sebab saya rasa macam saya tengah memperbodohkan diri saya sendiri tapi bila saya fikir secara mendalam dan berbincang dengan ummi awak, saya rasa saya akan jadi lebih bodoh dan jahil tahap gaban jika saya berhenti sekarang dan kembali kepada kehidupan lama yang memang gelap tu. Alhamdulillah setelah belajar dan ummi yang tak putus asa dalam mendidik saya dari sekecil-kecil perkara sehinggalah saya faham apa itu Islam serta tujuan hidup, saya tahu yang saya dah buat keputusan yang tepat dan yakin Allah sayangkan saya. Sekarang saya sedang cuba mentarbiyahkan kedua ibubapa saya. Alhamdulillah mereka yang pada mulanya memandang pelik akan perubahan saya kini sudah mula menunjukkan minat.”

“Jadi apa kaitannya dengan meminang Inche Gabbana?”

Tanyaku dengan penuh minat.

“Oh lupa pula nak cerita tang tu hahaha. Okey sebelum jumpa ummi awak, saya ingat saya kena cari seorang lelaki yang boleh membimbing serta mentarbiyahkan saya dan ahli keluarga saya. Inche Gabbana pada ketika itu saya rasakan sebagai manusia yang paling tepat untuk saya pilih.”

“Walaupun awak tak tahu rupa dia macam mana?”

“Yup! Nekad sungguh ketika itu. Bila difikirkan balik, kenapa harus saya harapkan orang lain untuk berubah dan bukan saya sendiri yang memulakan usaha untuk berubah?”

Aku mengangguk tanda setuju. Aku mengambil nafas sebelum menyuarakan pandanganku.

“Najla, bersyukurlah yang awak diberi hidayah dari Allah dan dibukakan jalan untuk kembali kepadaNya. Saya tak kisah jika awak ada masa lampau yang gelap kerana apa yang didepan mata saya sekarang yang saya pandang dan insyaAllah saya akan cuba menjadi seorang yang boleh membimbing awak untuk kita sama-sama berlari ke syurga Allah.”

Kulihat matanya mula bergenang dan mengucap syukur.

“Baiklah Najla, jumpa pada hari akad nikah kita nanti. Assalamualaikum.”

Najla menjawab salamku sebelum masuk semula ke dalam rumahnya. Ummi yang dari tadi memerhatikan kami dari dalam rumah kulihat meminta diri untuk pulang. Tenang hatiku setelah berbicara dengan Najla.

Siapa aku untuk menilai Najla dari masa lampaunya? Dia diantara manusia yang beruntung kerana diberikan hidayah dari Allah dan aku sendiri telah melihat usahanya untuk menjadi seorang muslimah. Sesungguhnya aku dapat rasakan yang aku sebenarnya yang bertuah kerana dipilih oleh Najla.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience