BAB 1

Family Completed 4644

MUSIM LURUH mulai menutup tirai, untuk mempersilakan kehadiran musim salji. Di tepi jendela, aku sekadar menongkat dagu sambil menyaksikan Kota London yang sudahpun bertukar rupa, dari warna kekuningan daun-daun yang luruh ke warna putih.

Seluruh bandar sudahpun diselaputi dengan salji. Warnanya yang memutih begitu memukau pandanganku. Pohon-pohon hijau turut diselaputi salji, bagaikan berdaun putih.

Sejak akhir-akhir ini aku sering termenung, mengenangkan pujukan mama agar aku pulang ke tanahair dengan segera. Bukan aku tak mahu pulang, bukan aku tak rindukan keluargaku di sana. Tetapi hatiku masih terasa berbelah bahagi, kerana hajatku yang satu itu masih belum lagi tertunai. Pencarianku selama aku berada di bumi asing ini masih belum kutemui.

Serta-merta peristiwa seminggu yang lalu menerjah ke mindaku. Sewaktu aku serta rakan-rakanku yang lain menghadiri ke masquerade party yang telah dianjurkan oleh salah seorang kenalan kami.

Ketika itu, semua tetamu yang hadir dikehendaki memakai topeng. Dalam suasana sesak dan hiruk-pikuk itu, tiba-tiba aku terlanggar seorang gadis.

“Hei, kau buta ke?” marah gadis itu. Aku yang terkejut dengan sergahan itu lalu menghampirinya.

“Aku dah minta maaf! Apa lagi yang kau tak puas hati?” marahku pula. Kulihat dadanya juga berombak menahan amarah.

Seketika kemudian, kami membuka topeng yang menutupi wajah kami serentak. Terserlah raut wajah masing-masing. Namun, alangkah terkejutnya aku sebaik melihat rupa paras gadis yang berada di hadapanku itu.

Dia juga tersentak. Mulutnya sedikit terbuka. Lidah masing-masing kelu. Ketika itu, aku terasa seperti sedang memerhatikan diriku sendiri di cermin. Para hadirin yang menyaksikan pertengkaran kecil kami sebentar tadi turut terkejut.

“Ya Tuhan! Wajah mereka serupa!” ucap salah seorang dari mereka. Tiba-tiba, muncul pula seorang jejaka Inggeris berambut perang dan tinggi lampai di situ.

“Hei, sayang,” ucapnya, menerpa ke arahku. Dan aku tergamam apabila jejaka itu tiba-tiba memeluk dan mencium pipiku! Aku cuba melarikan wajahku dan terus menolak tubuhnya. Biadap sungguh lelaki ini! Sesuka hati dia melakukan adegan kurang sopan itu terhadapku!

“Hei, kenapa ni?” soal jejaka itu kepadaku.

“Jesse!” jerit gadis yang telah kulanggar sebentar tadi. Jejaka itu terkejut. Wajahku dan gadis tersebut dipandangnya bersilih ganti.

“Lyssa?” ucapnya kepada gadis tersebut.

“Dan siapa pula kau?” soalnya pula kepadaku. Dia kelihatan bingung. Tanpa kuduga, dia rebah. Gadis yang bernama Lyssa itu meluru mendapatkan jejaka tersebut yang telah terbaring di atas lantai. Aku yang ketika itu sedang kusut dan kebingungan terus meninggalkan majlis tersebut.

“Siapa perempuan yang berwajah serupa macam kau tu?” soal Zetty sebaik tiba di apartment sewa kami. Aku mengetapkan bibirku kuat. Ya, sehingga ke hari ini, tiada seorang pun yang tahu tujuan sebenar aku menjejakkan kaki ke bumi England ini, termasuklah kedua orang tuaku. Mereka hanya tahu yang aku ke sini bertujuan untuk melanjutkan pengajianku sahaja.

“Sebenarnya, Zett… tujuan aku ke sini bukan untuk sambung belajar semata-mata, tetapi untuk mencari ahli keluarga yang telah terpisah lama,” aku bermukadimah.

“Ahli keluarga yang terpisah?” soal Zetty. Aku mengangguk. Sepanjang berada di sini, belum pernah aku menceritakan perihal keluargaku kepada sesiapapun, termasuklah Zetty yang begitu akrab denganku semenjak aku menjejakkan kakiku ke sini.

Lalu aku menyingkap satu-persatu kisah keluargaku kepadanya. Selama ini, aku sering tertanya-tanya, kenapa wajah aku tampak lain, tak seperti wajah orang Melayu tulen sedangkan kedua orang tuaku adalah orang Melayu asli.

Sehinggalah pada suatu hari, mama menceritakan kepadaku segala kisah yang telah menjadi rahsia dalam keluargaku selama ini. Ketika itu, usiaku sudah menjangkau enam belas tahun.

Rupa-rupanya, sebelum mama berkahwin dengan ayah, dia pernah berkahwin dengan seorang lelaki berbangsa Inggeris dan dikurniakan sepasang kembar perempuan. Dan akulah salah seorang dari pasangan kembar itu. Tapi sayang, mahligai mereka tak bertahan lama.

Akibat tidak sehaluan, mereka mengambil keputusan untuk berpisah. Saudara kembarku diambil dan dijaga oleh ayah kandungku manakala aku pula di bawah jagaan mama. Mama telah membawaku pulang ke tanahair sementara ayah kandungku pula terus tinggal di England ini bersama-sama dengan adik kembarku itu.

Setelah pulang ke tanahair, mama telah berkahwin lagi dengan seorang lelaki Melayu yang juga merupakan rakan seuniversitinya sewaktu di England. Dialah lelaki yang kupanggil ‘ayah’ selama ini.

Aku sama sekali tidak menyangka, lelaki yang kusangkakan ayah kandung yang sangat kusayangi selama ini rupa-rupanya hanyalah ayah tiriku. Kebetulan pula, namanya sama dengan nama Islam ayah kandungku.

Namun aku bersyukur, kerana lelaki yang kupanggil ayah itu telah memberikan kasih sayangnya yang tak berbelah-bahagi kepadaku. Sejak dari kecil lagi aku ditatangnya bagaikan minyak yang penuh, seperti anak kandungnya sendiri.

Setelah mengetahui duduk perkara sebenar, tiba-tiba aku merasa terpanggil untuk menyelesaikan masalah keluargaku ini. Aku cuba berusaha keras, belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengikut jejak-langkah kedua orang tuaku melanjutkan pengajian ke England seterusnya bertekad untuk mencari ayah kandung dan saudara kembarku itu.

Dalam hati aku berdoa agar ayah kandungku tidak kembali semula ke agama asalnya dan saudara kembarku itu tidak dididiknya dengan ajaran agama Kristian!

“Hmm… patutlah rupa kau tu nampak lain. Wajah Pan Asian! Rupa-rupanya ada darah campuran Inggeris,” ujar Zetty. Aku tersenyum.

“Itulah, aku pun tak sangka darah yang mengalir dalam tubuhku sekarang ni ada darah orang putih,” ujarku diiringi ketawa kecil.

“Jadi sekarang, apa tindakan kau yang seterusnya untuk mencari ayah kandung kau?” soal Zetty lagi bertubi-tubi.

“Pertama sekali, aku nak siasat dulu tentang Lyssa. Kalau boleh aku nak tahu di mana dia tinggal.”

“Kau benar-benar pasti ke yang Lyssa tu adik kembar yang kau cari selama ni?” Aku menjungkitkan bahu.

“Aku tak pasti, tetapi naluri aku kuat mengatakan yang Lyssa itulah adik kembar yang kucari selama ni! Lyssa, Shania Alyssa Binti Yusuf, itulah nama penuh adik kembarku…”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience