BAB 2

Family Completed 4644

DUA HARI kemudian, aku cuba menjejaki gadis tersebut. Aku ingin mengetahui latar-belakangnya. Demi untuk mengetahui identitinya, aku sanggup masuk ke kelab malam dan pub, di mana tempat yang sering dikunjungi oleh gadis tersebut.

Namun, sebaik mengetahui dirinya diekori, terus dia memberi amaran dan mengugut aku agar aku berhenti dari terus mengekorinya. Semenjak dari itu, aku seakan putus harapan untuk mengenali gadis yang bernama Lyssa itu.

Namun, bagaikan pucuk dicita, ulam yang mendatang. Tiba-tiba hari ini dia muncul di Lite & Easy Café, di mana tempat aku bekerja.

“Shara!” Zetty yang muncul entah dari mana, menyapaku sekaligus membuatkan lamunanku mati.

“Berangan lagi!” tegurnya.

“Ada pelanggan yang tak diduga datang, di meja sepuluh,” ucap Zetty. Aku mengerutkan dahi bersama kening yang sedikit terangkat. Lantas aku menjengukkan kepala di ruang kafe. Dadaku berdegup kencang sebaik terlihat seorang gadis sedang duduk di salah sebuah meja di ruang kafe tersebut.

“Dia memesan hot coffee latte dengan double choc muffin. Aku rasa, pasti ada tujuan dia ke sini. Nanti kau tolong hantarkan pesanannya, ya!” ujar Zetty dan terus berlalu dari situ. Aku menghelakan nafas berat. Apa tujuannya ke sini?

Aku ke meja di mana gadis itu sedang duduk, sambil membawa kopi dan muffin coklat yang dipesannya.

“Pesanan awak, hot coffee latte dengan double choc muffin,” ucapku. Tanpa memandang ke arahnya, aku menghidang menu yang dipesan itu tadi di atas meja dan lantas mengatur langkah untuk meninggalkannya.

“Boleh kita cakap sebentar?” soalnya, mematikan langkahku. Lalu aku memaling semula memandangnya. Di kala itu, aku teringat akan kata-katanya yang berbaur amaran dan ugutan tempoh hari, supaya aku tidak mengganggunya lagi.

Ditambah dengan campur tangan rakan-rakannya membuatkan hatiku tersayat pilu biarpun perasaanku kini bagaikan melonjak gembira kerana dia sudi datang untuk bertemu denganku.

“Maaf, Lyssa. Aku sedang bekerja sekarang ni,” ucapku bersahaja. Sengaja aku mahu berjual mahal dengannya. Merajuklah konon!

“Atau mungkin lepas waktu kerja? Pukul berapa kau habis bekerja?” soalnya. Aku mengeluh berat.

“Mungkin lewat malam. Itu pun kalau kau sanggup tunggu,” ujarku lagi dan terus berlalu dari situ.

“Apa dia cakap kat kau?” soal Zetty yang asyik terjenguk-jengukkan kami di sebalik meja bar.

“Tak ada apalah,” ucapku. Dengan lincah tanganku mengelap cawan-cawan porselin di satu sudut sambil mataku memerhatikan gadis itu yang sedang enak menikmati muffin coklatnya. Dia gemarkan kopi dan coklat rupanya. Samalah sepertiku.

“Kenapa kau tak nak jumpa dengannya? Bukan ke selepas peristiwa malam tu, kau yang beria-ia sangat nak tahu identiti budak tu?” soal Zetty. Aku mengeluh lagi.

“Entahlah, Zett. Aku masih sakit hati dengan perbuatannya hari tu. Dia ugut aku tu satu hal, siap bawa gang lagi. Yang paling aku tak boleh terima, sanggup dia tengking aku depan orang ramai. Terjerit-jerit sampai semua orang pandang.”

“Cara kau nak dekati dia tu yang salah. Yang kau ikut dia macam penculik tu, fasal apa? Buatnya nanti dia buat laporan polis, mengatakan kau selalu ekori dia, macam mana?” bebel Zetty. Aku terdiam sementara tanganku begitu kusyuk dengan kerja membersihkan cawan-cawan di rak tersebut.

“Shara!” panggil Puan Carol, pengurus kafe tersebut. Ketika itu aku sedang menyudahkan kerja di bar.

“Ada orang nak jumpa,” ucapnya.

“Tapi sekarang ni bukankah waktu kerja, puan?” soalku. Puan Carol tersenyum.

“Tak apa, Shara. Tinggalkan dulu kerja awak tu. Pergilah jumpa dengannya sekejap. Tak baik buat orang kecewa. Lagipun, dia jugak salah seorang pelanggan kita. Jangan hampakan dia,” ujar Puan Carol lagi. Aku mengeluh berat. Nak tak nak, terpaksalah aku bersemuka dengan Lyssa, memandangkan itu juga merupakan satu arahan dari majikanku.

“Shara!” panggil Puan Carol lagi.

“Wajah awak betul-betul serupa dengan wajahnya! Adik-beradik ke?” soalnya sambil tersengih-sengih. Aku tersenyum kecil bersama jungkitan bahu lalu terus melangkah menghampiri gadis itu.

“Ada apa kau nak jumpa dengan aku ni?” soalku mendatar. Dia mendongak, memandangku. Seketika mata kami bertentangan.

“Ada perkara yang aku nak cakap dengan kau. Silakan duduk,” pintanya. Tanpa membuang masa, aku melabuhkan punggungku di kerusi bertentangan dengannya. Seketika kemudian, Zetty datang bersama secawan hot coffee latte yang juga merupakan minuman kegemaranku di kafe ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience