BAB 3

Family Completed 4644

“Terima kasih,” ucapnya kepada Zetty. Semakin hairan aku. Zetty tersenyum manis lalu mengenyitkan matanya ke arahku.

“Minumlah. Aku yang pesankan minuman tu untuk kau. Aku pasti, kau jugak sukakan kopi, kan?” ucapnya lagi.

“Okey Lyssa, apa yang kau nak cakapkan?” soalku. Dia tersenyum nipis.

“Aku pasti yang kau tahu tujuan aku ke sini untuk bertemu dengan kau, sama jugak dengan tujuan kau mengekori aku tempoh hari, bukan?” Aku mengerutkan dahi, berpura-pura tidak mengerti.

“Aku tak tahu apa tujuan kau hendak berjumpa denganku, tetapi macam mana kau boleh tahu tujuan aku mengikuti kau hari tu?” Dia tersenyum. Lantas dikeluarkannya sesuatu dari tas tangannya.

Seketika, dia menyerahkan sekeping gambar kepadaku. Mataku terbeliak sebaik melihat gambar tersebut. Gambar mamaku sedang memangku seorang bayi. Di sebelahnya terdapat seorang lelaki Inggeris yang juga sedang meriba seorang bayi yang wajahnya serupa dengan bayi yang dipangku oleh mama.

“Mama?” sahutku. Lama aku menatap gambar itu sebelum mengalihkan pandanganku ke arah Lyssa.

“Dari mana kau dapat gambar ni?” soalku. Dia menghelakan nafas perlahan.

“Dari mama aku. Err… maksud aku Mama Rose, isteri kedua papa aku. Cuba kau teka, siapa yang berada di pangkuan papa aku dan siapa pula yang berada di pangkuan wanita di sebelahnya itu?” soalnya.

Sekali lagi kurenung potret keluarga tersebut bersama kerutan di dahi. Seketika aku menggeleng. Sukar untuk kubezakan antara kedua-dua bayi di dalam gambar tersebut.

“Yang bersama wanita itu adalah aku, manakala yang bersama papaku itu adalah kakak kembarku,” ucapnya.

“Wanita yang berada di dalam gambar ini adalah mama aku, Lyssa,” ujarku pula. Dia mengangguk.

“Ya, mama aku jugak,” ucapnya perlahan. Lama kami mendiam, sambil memandang antara satu sama yang lain. Senyuman terukir di bibir masing-masing. Kucapai tangan Lyssa lalu kugenggamnya erat.

“Kita adik-beradik, Lyssa,” ucapku.

“Ya, kakak…” ucapnya pula. Sayu hatiku apabila dia memanggilku dengan panggilan kakak. Kami bangun lalu saling berpelukan. Lama kami berkeadaan begitu

sambil menangis, melepaskan rindu yang sarat di dada. Berkali-kali Lyssa memohon maaf dariku di atas kekasarannya sebelum ini.

“Papa apa khabar? Aku nak sangat berjumpa dengan papa,” kataku setelah pelukan kami terlerai dan kembali duduk ke kerusi untuk menghabiskan minuman kami. Seketika dia menundukkan wajah. Kulihat airmatanya berlinangan. Lantas kuraih semula tangannya.

“Kenapa, Lyssa?” soalku. Wajahnya tampak sendu.

“Shara, papa dah tak ada. Dia dah meninggal dua tahun yang lalu,” ucap Lyssa. Aku mengetap bibirku kuat, menahan sedih. Spontan, mutiara-mutiara jernih menitis keluar dari tubir mataku. Aku benar-benar kesal dan kecewa kerana tak berkesempatan untuk mengenali ayah kandungku.

“Sekarang ni, aku hanya ada Mama Rose. Mama Rose pula sedang menderita kanser. Menurut doktor, Mama Rose tak boleh hidup lama lagi. Sejak mengetahui hal itu, aku rasakan yang hidup aku ni dah tak ada makna lagi, Shara. Orang-orang yang aku sayang semua akan tinggalkan aku. Bila Mama Rose dah tak ada nanti, aku akan keseorangan. Aku akan hilang tempat untuk bergantung hidup. Sebab itulah aku setuju untuk berkahwin dengan Jesse setelah Mama Rose pergi nanti. Tetapi, Jesse pula enggan memeluk Islam, dan sebaliknya menyuruh aku mengikuti agamanya,” Lyssa bercerita panjang. Dalam rasa simpati, ada sesuatu yang menarik perhatianku dengan kisah yang diceritakannya itu.

“Lyssa, papa masih Islam? Lyssa dan Mama Rose jugak Islam?” soalku. Lyssa mengangguk. Alhamdulillah. Aku menarik nafas syukur.

“Lyssa, siapa kata kau akan keseorangan? Kau masih ada aku. Dan apa yang paling penting, kau masih ada mama. Mama kandung yang telah mengandung dan melahirkan kita,” pujukku. Dia mengangguk perlahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience