BAB 4

Family Completed 4644

PADA keesokan harinya, Lyssa telah membawaku berjumpa dengan Mama Rose, iaitu ibu tiri yang telah membela dan membesarkan adik kembarku selama ini.

“Mama, ini Shara Elliya,” Lyssa memperkenalkan aku kepada Mama Rose.

Melihat keadaan wanita separuh abad itu, aku menjadi hiba. Pilu hatiku melihat dirinya yang hanya berkerusi roda. Tubuhnya terlalu kurus, wajahnya cengkung. Matanya terpelosok ke dalam.

Dengan penuh hormat, aku menyalami Mama Rose. Kedua belah pipinya kucium dengan penuh rasa kasih. Ya, ibarat kasih seorang anak terhadap ibunya biarpun Mama Rose hanyalah ibu tiriku. Mama Rose meraih tubuhku dalam dakapannya. Kami menangis sambil berpelukan.

“Lyssa tunggu di luar, ya. Mama ada sesuatu nak cakap dengan Shara,” ujar Mama Rose lemah.

Tinggallah aku dan Mama Rose berdua di kamar yang suram itu. Aku tersenyum sambil duduk melutut di sisi kerusi rodanya. Kuurut perlahan kakinya yang kurus itu. Dia tersenyum. Kepalaku diusapnya mesra. Seketika, rasa rindu terhadap mama yang berada di tanahair terubat dengan belaian ibu tiriku itu.

“Semasa hayatnya dulu, papa pun teringin sangat hendak berjumpa dengan Shara dan mama Shara. Dia nak minta maaf di atas segala perbuatannya dulu. Tetapi sayang, hayatnya tak panjang. Hajatnya itu tak kesampaian,” cerita Mama Rose

“Mama, Shara dah lama maafkan papa. Shara jugak yakin yang mama Shara juga telah memaafkan dia,” ucapku lalu melirikkan mataku ke arah bingkai gambar yang menempatkan potret seorang lelaki yang umurnya pertengahan lima puluhan. Potret papa yang tampak segak dengan pakaian formalnya.

“Shara, bila mama dah tak ada nanti, Shara tolong jagakan Lyssa. Bawalah dia pulang ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan ibu kandungnya. Mama tak mahu hidupnya sunyi setelah ketiadaan mama nanti. Apa yang paling mama takutkan, dia akan mengikuti Jesse. Mama tak mahu dia tinggalkan Islam, Shara,” pesan Mama Rose dalam keadaan menggeletar. Aku menggeleng perlahan.

“Ya, mama. Shara akan pastikan yang itu takkan berlaku, insyaAllah. Sememangnya, tempat Lyssa adalah di sisi ibu kandungnya. Shara takkan biarkan Lyssa hilang tempat bergantung, walhal dia masih ada keluarga di Malaysia.” Mama Rose tersenyum lega mendengar kata-kataku itu.

“Shara janji akan jaga Lyssa, mama…”

Di ruang tamu, kelihatan Lyssa sedang berdiri di tepi tingkap sambil memerhatikan suasana di luar.

“Lyssa,” sapaku. Dia menoleh.

“Aku dah dengar semuanya, Shara,” ucapnya. Aku mengangguk lemah.

“Shara, kau rasa mama kita tu masih sudi menerima aku?” soalnya. Aku memandangnya kehairanan.

“Sudah tentu, Lyssa. Kalau kau nak tahu, mama amat rindukan kau selama ni. Aku selalu nampak dia termenung sambil merenung gambar kau semasa bayi,” ujarku.

“Mana kau tahu, bayi di dalam gambar itu adalah aku?”

“Mama sendiri yang beritahu aku. Dia telah ceritakan segala-galanya kepadaku. Maka sebab itulah aku kini berada di sini.”

“Kau pasti mama boleh terima aku dalam keadaanku yang macam ni?” soalnya lagi. Aku mengerutkan dahi, kurang mengerti.

“Apa maksud kau?” soalku pula. Dia terdiam seketika sebelum menjawab.

“Shara, aku ni kotor. Kau tahukan, kehidupan aku di sini tak sama dengan kehidupan di tempat kau. Kami di sini terlalu bebas bergaul tanpa batas, tanpa memikirkan dosa. Aku selalu ke kelab-kelab malam. Aku selalu minum. Malah sudah beberapa kali juga aku terlanjur, dengan bekas kekasih aku, dengan Jesse. Aku dah tak suci lagi, Shara,” ucapnya lirih.

Aku tercengang. Rasa nak pitam mendengar pengakuan kembarku itu. Seketika aku mengeluh berat lalu beristighfar panjang.

“Lyssa, sesungguhnya pintu taubat itu sentiasa terbuka. Masih ada waktu lagi untuk kau minta ampun dari ALLAH dan perbetulkan keadaan. Yang berlalu tu biarlah berlalu. Jadikan ia sebagai iktibar. Tentang penerimaan mama, kau janganlah risau. Tak ada ibu yang sanggup buang anaknya. Aku yakin, mama tetap akan terima kau walau dalam apa jua keadaan sekalipun,” pujukku, meyakinkannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience