BAB 6

Family Completed 4644

“Jom kita menari,” ajaknya setelah kami menyepi buat seketika.

“Maaflah, aku tak pandai menari,” helahku.

“Itu tak jadi masalah. Aku boleh ajar. Jom,” ajaknya lagi. Kali ini, dia lebih berani memegang tanganku. Dengan perlahan aku melepaskan pegangan tangannya.

“Tak apa, terima kasih. Aku bukan sahaja tak pandai, tetapi aku jugak tak suka menari.” Dia ketawa sinis, mendengar kata-kataku itu.

“Kau seorang yang membosankan. Kau tak macam Lyssa,” ucapnya, menyakiti hatiku.

“Ya, memang aku seorang yang membosankan. Jadi, apa masalahnya?” soalku sedikit angkuh. Air coke yang masih tinggal separuh gelas kuteguk sedikit demi sedikit hinggalah hampir habis.

Beberapa minit kemudian, tiba-tiba aku terasa kepalaku berat. Pandanganku turut berpinar-pinar. Argh! Kenapa dengan aku ni? Dalam keadaan tidak bermaya, tubuhku rebah di atas sofa empuk itu.

Dan di saat itu, terasa tubuhku disambut seseorang. Dahiku juga terasa seperti diusap lembut. Dalam pandanganku yang berbalam-balam, aku dapat menangkap wajah Jesse sedang tersenyum ke arahku. Senyuman yang menjengkelkan.

“Jesse, apa yang kau cuba buat ni?” Dalam keadaan mamai, aku masih dapat menangkap dengan jelas suara Lyssa memarahi Jesse.

“Apa?” soal Jesse kembali tanpa menjawab pertanyaan Lyssa.

“Apa yang kau cuba buat pada kakak aku?” herdik Lyssa lagi.

“Tak ada apa-apa.”

“Bohong! Kau jangan tipu. Kau tengok keadaan dia! Dia lemah! Apa yang dah kau berikan kepadanya?”

“Macam biasa, seperti yang pernah aku buat kepada kau dulu.”

“Berani kau cuba nak sentuh kakak aku!” Jesse ketawa.

“Lyssa sayang, aku tahu kau cemburu, bukan?”

“Bukan sekadar cemburu, tetapi aku marah sebab kau cuba ambil kesempatan ke atas Shara! Jesse, tolonglah! Tolong jangan apa-apakan dia. Dia masih suci. Tolong jangan libatkan kakak aku dengan dunia kotor kita ni. Aku tak mahu perkara yang sama berlaku ke atasnya. Kau dah janji takkan sentuh dia, kan?” rayu Lyssa.

Kepalaku semakin berat sehingga aku tidak berupaya untuk mengangkatnya. Ya ALLAH, selamatkanlah aku dari neraka dunia ini. Dalam keadaan tak bermaya, aku hanya mampu berdoa agar aku dilindungiNya.

“Shara…” Terasa ada tangan lembut mengusap kepalaku. Kucuba buka mataku yang memberat. Kepalaku turut masih terasa berdenyut-denyut.

“Shara, bangun. Aku ni, Lyssa,” kedengaran suara Lyssa mengejutkanku. Akhirnya aku berjaya membuka mataku. Terserlah wajah sunggul Lyssa.

“Kat mana ni?” soalku lemah.

“Apartment kau,” ucap Lyssa. Aku cuba bangun dari sofa. Lyssa turut memapah tubuhku. Terasa denyutan di kepalaku kian menyucuk-nyucuk.

“Aduh! Kepala aku… arrgh!”

“Maafkan Lyssa, kak. Lyssa tak sepatutnya bawa kakak ke tempat tu,” ucapnya berbaur kesal. Seketika kelihatan Zetty menghampiri kami dengan membawa segelas air putih. Diserahkannya gelas itu kepada Lyssa lalu disuakannya gelas itu kepadaku. Dengan teragak-agak aku menyisip perlahan air putih itu. Lyssa tersenyum.

“Jesse telah meletakkan pil khayal ke dalam minuman kau. Dia nak ambil kesempatan ke atas kau. Tak cukup dengan apa yang pernah dia buat kepadaku dulu, sekarang ni dia nak lakukan benda yang sama ke atas kau pula. Tapi kau jangan risau, dia tak sempat berbuat apa-apa. Aku telah berjaya bawa kau keluar dari tempat tu tadi,” ucap Lyssa lagi.

Ah, aku sudah menjangkakannya. Jesse bukanlah seorang lelaki yang baik. Memang patut Mama Rose dan arwah papa menentang hubungannya dengan Lyssa. Lelaki jahat seperti Jesse memang patut dijauhi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience