BAB 5

Family Completed 4644

SUASANA di Lite & Easy Café hari itu cukup lengang, tidak ramai pelanggan yang berkunjung di situ. Di ruang bar, aku dan Zetty begitu ceria sambil mulut kami becok bercerita.

“Menarik cerita kau ni. Boleh dibuat filem!” ucapnya, mengulas tentang kisah aku dan Lyssa.

“Hmm… panjang pun umur. Baru sebut, dia dah muncul,” ucap Zetty, memuncungkan bibirnya ke pintu masuk kafe. Kualihkan pandangan mataku. Kelihatan Lyssa sedang melangkah menghampiriku di bar.

“Hai, Shara,” sapanya. Aku tersenyum, membalas sapaannya itu.

“Sibuk ke?” soalnya. Aku menggeleng.

“Tak, tapi tetap kena kerja jugak,” ujarku.

“Malam ni, kau ada apa-apa hal?” soalnya. Aku memandangnya bersama kerutan di dahi, sebelum menggeleng.

“Tak ada. Kenapa?” soalku.

“Aku nak ajak kau keluar,” jawabnya.

“Nak ke mana?”

“Alah, ikut ajalah. Jangan lupa, malam ni, okey?” ucapnya dan terus berlalu.

Aku sekadar memerhatikannya yang sedang melangkah meninggalkan kafe dengan perasaan hairan. Ke manalah dia mahu bawa aku? Hatiku bertanya sendiri.

Malam itu, seperti yang dijanjikan Lyssa menjemputku di apartment kediamanku. Aku hanya mengikut ke mana saja dia hendak membawaku malam itu. Beberapa minit kemudian, kereta yang dipandu Lyssa berhenti, betul-betul di hadapan sebuah pub. Aku sedikit kaget.

“Lyssa, aku tak biasalah datang ke tempat-tempat macam ni,” ujarku, kurang selesa. Lyssa tersenyum.

“Alah, sekali ni aja. Aku nak kenalkan kau dengan kawan-kawan aku. Takkan tak biasa? Hari tu yang kau ikut aku tu, boleh? Kalau kau segan dengan kawan-kawan aku, kau cuma duduk diam saja, okey? Kalau ada lelaki-lelaki yang cuba nak kacau kau, buat tak tahu aja.” Aku hanya terdiam bersama keuhan kecil.

“Jangan takut. Aku akan lindungi kau,” ucapnya lagi sambil menggenggam kuat tanganku.

Dari jauh, aku memerhatikan Lyssa menari terhenjut-henjut mengikut rentak muzik yang berkumandang. Aksi lincahnya itu menjadi tumpuan para pengunjung pub.

Aku menghelakan nafas berat. Beginikah kehidupannya selama ini? Tidakkah arwah papa dan Mama Rose memantau setiap tindak-tanduk Lyssa? Aku hanya beristighfar dalam hati.

“Hai, Shara,” sapa seorang lelaki Inggeris. Aku menoleh. Ya, aku masih ingat lelaki ini. Lelaki yang aku jumpa sewaktu pertama kali aku bersua muka dengan Lyssa kira-kira tiga minggu yang lalu.

“Apa kau buat kat sini? Bukan ke sepatutnya kau pergi menari dengan Lyssa di sana?” soalku sedikit dingin. Dia tersenyum. Ah, senyumannya cukup manis dan menggoda. Mungkin kerana senyuman itulah, Lyssa jatuh hati terhadapnya.

“Tak apalah. Biar dia menari dengan orang lain. Err… aku nak berkenalan dengan kau,” ucapnya. Aku memandang lelaki itu dengan pandangan yang jelek.

“Perlu ke?”

“Salah ke aku nak mengenali bakal kakak ipar aku?” soalnya selamba. Ah, tolonglah! Perkara itu takkan berlaku. Aku akan pastikan bukan kau yang menjadi adik iparku! Getusku dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience