BAB 8

Family Completed 4644

DI LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KUALA LUMPUR. Selesai menjalani pemeriksaan imegresen dan kastam, kami menolak troli yang sarat dengan bagasi menuju ke terminal ketibaan.

Aku memandang Lyssa. Gadis itu tampak ayu dengan baju kurung yang tersarung di tubuhnya. Dia hanya mendiam semenjak di dalam kapal terbang tadi.

Aku tahu akan gelodak perasaan yang sedang melanda dirinya itu. Lantas aku meraih tangannya, cuba memberi kekuatan serta menghilangkan rasa gemuruh dalam jiwanya.

Namun hatiku juga tidak dapat lari dari merasa gentar, kerana aku tidak memaklumkan tentang Lyssa kepada mama. Malah aku juga tidak memberitahunya yang aku pulang membawa saudara kembarku ini.

Agaknya, bagaimanalah penerimaan mama nanti bila melihat pasangan kembarnya berada di depan mata?

Mama dan ayah berada betul-betul di pintu keluar terminal ketibaan. Dari jauh dapat kulihat mereka tersenyum sambil melambaikan tangan. Namun seketika, jelas tergambar riak terkejut di wajah mereka.

Lyssa pula masih dengan kebisuannya. Mereka tercengang sebaik kami berada betul-betul di hadapan mereka. Tangan mama kucapai lalu kucium lama. Tubuh mama turut kupeluk erat. Mama membalas pelukanku.

“Shara…” ucap mama sepatah. Dia bagaikan sukar untuk meluahkan kata-katanya.

“Mama, Shara dah balik. Shara bawakan hadiah istimewa buat mama,” ucapku. Pelukan terlerai. Wajah mama tampak bingung. Hanya ayah yang mampu tersenyum. Aku turut tersenyum, lalu meraih lengan Lyssa.

“Mama, ini Lyssa. Shania Alyssa Binti Yusuf, puteri mama yang mama rindukan selama ni,” ucapku lirih. Mama masih terdiam. Kelu.

“Lyssa, inilah mama kita,” aku perkenalkan mama kepada Lyssa. Dengan teragak-agak, Lyssa menghulurkan tangannya kepada mama untuk bersalaman.

“Mama,” panggil Lyssa perlahan. Dalam sekelip mata, tubuh Lyssa sudahpun berada di dalam dakapan mama.

“Ya ALLAH, Lyssa anak aku. Syukur alhamdulillah, Tuhan telah makbulkan doa mama. Mama rindukan Lyssa…” ucap mama dalam esakan. Bibirnnya tak putus-putus mengucap syukur ke hadrat Ilahi.

“Lyssa pun rindukan mama. Tolong jangan tinggalkan Lyssa lagi, mama.”

“Tak, sayang. Maafkan mama. Mama janji takkan tinggalkan Lyssa lagi.” Mereka menangis semahu-mahunya sambil berpelukan.

Aku yang berada dalam pautan ayah hanya mampu memandang mereka dengan linangan air mata. Sayu hatiku menyaksikan pertemuan antara ibu dan anak itu.

Di dalam kamar beraduku, Lyssa duduk termenung di birai katil. Lantas aku mengambil tempat di sisinya.

“Lyssa, kenapa ni?” soalku lembut.

“Shara, aku sama sekali tak menyangka semua ni boleh berlaku. Segala-galanya bagaikan mimpi, Shara. Aku bersyukur kerana diketemukan dengan keluargaku di sini. Dan yang paling aku terharu, mama dan ayah menerima kehadiranku di sini,” luahnya. Aku tersenyum lalu mengusap ubun-ubunnya.

“Mulai hari ni, kita akan tinggal di sini sebagai sebuah keluarga. Di sini tempat kau sekarang, Lyssa. Lupakan kesemua kisah hitam kau semasa di England dulu. Kita mulakan kehidupan baru kita di sini.”

“Ya, tempat aku sekarang di sini bersama kau, mama dan ayah.”

“Kita ni adik-beradik kembar, Lyssa. Kita diibaratkan sebagai sepasang sepatu. Kalau hilang sebelah, tak mungkin seseorang itu boleh melangkah dengan hanya memakai sebelah sepatu sahaja. Begitu jugalah dengan mama. Dia memerlukan kita berdua supaya dia dapat menjalani kehidupannya dengan sempurna. Kita berdua adalah permata hati mama,” terangku.

Lyssa hanya mendiam. Seketika kemudian, dia mengangguk tanda faham. Dan buat kesekian kalinya, kami saling berpelukan. Dalam hati aku memanjatkan rasa syukur yang tak terkata kerana telah menyatukan semula dua hati kami yang telah lama terpisah ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience