Bab 7

Romance Series 6190

RAID terbaring lesu di atas sofa. Penat! Dia baru saja sampai dari KL petang tadi. Ikutkan perancangannya tadi, malam ini dia mahu menyambung semula menyiapkan assignmentnya yang sudah terbengkalai sejak beberapa hari yang lalu. Tetapi, selepas makan malam tadi dia tiada mood langsung mahu menyambung menyiapkan assingment yang terbengkalai tu. Fikirannya asyik terbayangkan wajah masam Dhya tempoh hari.

Telefon bimbitnya yang terletak di atas meja dipandang sepi. Keluhan halus meletus lagi di bibirnya. Kenapa tak pick up phone ni Dhya. Raid geram apabila berpuluh-puluh panggilannya dibiarkan tak berjawab oleh Dhya.

Berkali-kali dia cuba menelefon Dhya namun satu pun tak berhasil. Berkali-kali juga keluhan dilepaskan kerana geram. Marah sekalipun tolonglah angkat telefon tu!

“Edd, aku dengar cerita, dah kecoh satu kampus pasal Dhya pengsan di gelanggang tenis minggu lepas. Bukan ke kau pun ada dekat sana masa tu?” soal Syafiq yang muncul dari arah dapur. Dia sudah lama nak bertanya perkara ini pada Raid. Tapi Raid pula tiba-tiba saja menghilang selama seminggu selepas kes Dhya pengsan tempoh hari. Pening juga Syafiq dengan sikap Raid sekarang ni.

Raid memandang wajah Syafiq yang sedang berjalan ke arahnya. Kemudian matanya memandang skrin televisyen kembali. Cerita apa yang dia tengok pun, dia tak tahu. Layankan saja apa yang terlayar di depan mata.

“Edd, aku tengah bercakap dengan kau ni,” tegur Syafiq lagi. Dia sudah duduk di sofa bertentangan Raid.

“Edd...”

“Aku tak tahu,” jawab Raid ringkas. Malas dia bercakap pasal Dhya waktu ni. Bukan dia tidak bersimpati dengan Dhya. Tetapi di dalam situasi yang dia sedang hadapi sekarang ini, menyebabkan dia terpaksa menguatkan hatinya. Kalau nak diikutkan rasa sakit, dia juga merasa sakit. Dia bukan saja-saja mahu mengecewakan hati Dhya kerana dia buat semua ini bersebab.

“Kau kenapa Edd? Dulu kalau bercakap tentang Dhya, punyalah kau excited. Sekarang ni kau asyik mengelak pulak. Jangan cakap kau dah mula tawar hati dengan Dhya tu. Lagipun sejak akhir-akhir ni, aku tengok kau lebih banyak meluangkan masa dengan budak perempuan junior tu.”

“Nama budak tu Yana.”

Syafiq menggeleng.

“Apa-apalah Edd, aku cuma nak tahu di mana cinta mati kau pada Dhya dulu? Dhya yang kau angau siang dan malam. Dhya yang kau cuba pikat di hari pertama kita berlajar di sini,” soal Syafiq bertubi-tubi.

“Aku okey aje la dengan Dhya. Kau aje yang fikir bukan-bukan,” jawab Raid. Cuba mengelak seboleh mungkin.

“Banyak dah desas-desus orang berkata tentang hubungan kau dengan Dhya sudah semakin renggang,” tukas Syafiq.

Raid diam. Dia tiada jawapan untuk menjawab soalan Syafiq.

Syafiq mendegus. Susah dia mahu memahami sikap Raid sejak kebelakangan ini. Raid sekarang, lebih banyak berahsia sejak beberapa bulan ni. Dia ingat lagi bagaimana Raid yang kayu dan kaku tu cuba mengurat Dhya semasa mereka di dalam minggu suaikenal lagi. Dialah yang jadi posmen. Jenuh dia merisik nombor telefon Dhya dari kawan-kawan perempuan. Nasib baiklah dia pandai mengayat Eliza. Dapatlah juga Raid berhubung dengan Dhya dan berjumpa dengan Dhya.

Sekarang, entah apa yang merasuk Raid, dia nampak Raid bukan seperti Raid yang dia kenal dulu. Raid sekarang lebih banyak menyendiri. Kadangkala Raid hilang berminggu-minggu. Kelas pun kadang kala dia tidak hadir. Syafiq sendiri tidak tahu apa masalah yang sedang dihadapi oleh Raid sebenarnya.

“Fiq...” panggil Raid bila Syafiq nampak jauh termenung.

“Sorry Edd, kau nak apa?”

“Tak ada apa-apalah” Raid tidak jadi untuk bercerita. Rasanya belum masa yang sesuai untuk dia membuka rahsia hidupnya pada sesiapa.

“Kalau kau ada masalah kau cerita saja dengan aku, mana tahu aku boleh tolong kau.”
Raid menggeleng.

“Tak apalah Fiq, aku okey je. Aku nak masuk bilik dulu. Nanti kau tolong matikan suis televisyen tu.”

Pula!

Raid capai telefon bimbitnya yang berada di atas meja dan terus melangkah masuk ke dalam biliknya. Biarlah, nanti Syafiq akan tahu juga.

Buat masa sekarang dia masih belum bersedia.
Di dalam bilik Raid cuba menghubungi Dhya sekali lagi. Banyak kali dia mendail nombor telefon Dhya, namun tiada satu pun panggilannya berjawab. Dan di situ dia sudah pun tahu, Dhya memang sudah membencinya.

Padan muka kau Raid Amzar... nak sangat bermain dengan api. Getus hatinya.

Kerana geram telefon bimbitnya dicampak di atas katil. Raid meraup mukanya berkali-kali. Lemas. Lemas dengan masalah yang diciptanya sendiri. Namun Raid tetap tak akan mengalah. Dia tetap juga mahu bertemu dengan Dhya. Dia yakin suatu hari nanti Dhya mampu menerima dan memaafkan dirinya.

Telefon bimbitnya yang tadi diambil kembali. Laju jarinya menaip sesuatu. Satu pesanan mesej dihantar buat Dhya dengan harapan gadis itu sudi membaca dan membalas kembali. Selepas mesej itu berjaya dihantar Raid tersenyum puas. Dia memang sudah nekad. Biarlah dia memendam rasa sakit melepaskan Dhya sekarang. Andai ada jodoh di antara dia dan Dhya, pasti mereka akan bersatu nanti.

Raid mengemas sedikit katilnya yang berselerak. Buku-buku yang berterabur di atas tilamnya dikutip satu persatu lalu diletkakkan kembali di atas rak buku. Jam di dinding dikerling, hampir ke pukul 11.30 malam. Sekejap betul masa berlalu.

Selesai mengemas, seperti biasa sebelum tidur dia perlu menelan pil-pil yang tersimpan rapi di dalam laci di tepi katilnya. Itulah penemannya sejak enam bulan lalu sementara menghitung masa untuk temujanjinya dengan doktor sebulan lagi.

Raid merebahkan badanya di atas katil. Kemudian dia mengeliat kasar membetulkan urat-urat badannya yang lenguh. Terasa lega seketika. Telefon bimbit yang diletakkan di atas meja sisi ditepi katilnya diambil. Bibirnya terus mengeluh saat terpandang mesejnya pada Dhya masih lagi belum dibaca oleh gadis itu. Telefon bimbitnya diletakkan kembali di atas meja. Raid mengiring ke kanan mengadap ke dinding biliknya. Matanya dipejam rapat. Tak mahu lagi dia memikirnya tentang Dhya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience