Bab 3

Romance Series 6190

USAI memakirkan keretanya, Eliza terus mengambil raket tenisnya di dalam bonet kereta. Dhya pula mengambil beg sandangnya di tempat duduk belakang. Selepas memastikan keretanya berkunci dan selamat. Eliza terus berjalan menuju ke arah gelanggang tenis. Dhya pula masih lagi terkial-kial di belakang.

“Dhya...”

“Sekejap la Ell, aku nak ikat tali kasut ni.”

“Cepatlah Dhya! Nanti kalau kita lambat, aku takut kita tak dapat gelanggang pulak. Tak pasal-pasal kita kena menunggu sampai gelanggang tu kosong pulak nanti,” gesa Eliza sambil menarik lengan Dhya yang agak ketinggalan langkahnya di belakang.

“Ell...”

“Ya...”

“Jalan perlahan sikit, penatlah! Kenapa kau parking kereta jauh sangat?” bebel Dhya dengan nafas tercungap-cungap.

“Tak ada parking kosong dekat-dekat kawasan ni. Cepatlah sikit jalan tu.”

“Aku tengah berjalanlah ni. Kau ingat aku tengah menari zapin ke?” balas Dhya dengan nafas tercungap-cungap. Tak payah lagi dia buat senaman ringan. Ini aje sudah semput dibuat oleh Eliza.

Eliza ketawa mengekek mendengar jawapan spontan Dhya.

Dhya pula mencebik.

Nasib mereka agak baik. Ada sebuah lagi gelanggang yang kosong. Tersengih Eliza saat kakinya melangkah masuk ke dalam gelanngang tersebut.

“Huh, nasib baik masih ada lagi gelanggang yang kosong.” Eliza terus keluarkan raket tenis dari sarungnya. Lega hatinya apabila masih ada satu lagi gelanggang yang belum digunakan.

“Kau tu yang tak reti bersabar,” perli Dhya.
“Kau memang suka jalan lambat kan? Bila kau lapar je kau jalan laju melulu ke depan."

“Amboi, bukan main kau kutuk aku. Cepatlah pergilah sebelah sana. Tadi tak sabar sangat nak main. Kau tak takut aku kalahkan kau lagi ke?”

“Nasib kau je Dhya tiap kali main kau menang. Aku sengaja tak mahu tunjuk power skill aku ni. Bukan apa, aku takut kau menangis di bucu katil kau, bila tiba-tiba kau kalah dengan aku.”

“Ceh,” Dhya juih bibir meluat. Ada sahaja alasan Eliza nak cover kekalahan dia. Dhya sengih dalam hati.

Dhya mengeluarkan raket tenis dari sarungnya. Kemudian raket itu dibelek-belek seketika bagi memastikan talinya masih lagi tegang dan kemas. Lagipun raket tu dah lama dia tak usik. Risau juga takut keadaan raket itu tak memuaskan. Pasti lantunan bolanya nanti tak sehebat selalu.

“Cepatlah Ell, berdiri tegak kenapa pulak?”

“Iyalah.” Eliza terus membawa langkahnya ke gelanggang sebelah. Muka Dhya yang pada mulanya nampak malas nak bermain terus menjadi teruja bermain apabila dia sudah mendapat mata pertama. Eliza mendegus geram.

“Kan aku dah cakap, kau mesti kalah la Ell.”

‘Tadi punyalah beralasan bagai tak nak main. Sekarang dia pula teruja lebih bermain.’

“Jangan berlagak la Dhya. Kita baru je bermain ni. Banyak masa lagi aku boleh kalahkan kau. Aku belum panas badan lagi ni.”

Dhya ketawa mengekek. Tak takut langsung dengan kata-kata Eliza. Dia tahu, di akhirnya nanti dia pasti akan memenangi permainan ini. Eliza tu cakap je berkobar-kobar. Tapi skillnya ke laut aje.

“Ell, cepatlah pukul bola tu,” jerit Dhya di gelanggang sebelah.

Eliza tetap juga berdiri tegak. Wajah Eliza yang elok tersenyum tiba-tiba berubak riak. Sambil mengosok-gosok kelopak matanya dia terus memandang ke arah yang sedang dilihat ketika itu.

“Dhya, cuba kau tengok tu?” Jari telunjuk Eliza lurus tegak menunjuk ke arah sepasang pasangan yang sedang berbual mesra di gelanggang tenis di sebelah hujung sekali.

“Tengok apa?”

“Itulah, pasangan yang sedang duduk di kerusi batu bersebelahan gelanggang tenis sebelah sana?”

“Mana Ell? Pasangan apa?” soal Dhya lagi. Ramai juga orang di situ. Dia tak tahu pasangan yang mana satu yang Ell maksudkan.

“Dhya, tengok tu? Itu bukan ke Raid Amzar? Dia dengan siapa ye? Amboi! Bukan main mesra lagi. Siap bertepuk tampar pulak tu. Haish, geram pulak aku tengok budak perempuan tu. Gediknya Ya Allah!” bebel Eliza yang sedang berdiri di sebelah Dhya.

Dhya sudah tergamam, terpempan saat matanya menyambar wajah yang cukup dia kenali dan pasangannya. Tubuhnya terasa kaku. Kakinya terasa dipaku. Pandangan matanya bagaikan dikunci ke arah pasangan yang sedang asyik bermadu kasih itu. Lemah lututnya saat itu. Mengeletar seluruh tubuhnya.

Tanpa disedari, dalam masa yang sama sepasang mata milik seorang lelaki turut sama melihat adegan tersebut dengan senyuman meleret di bibirnya. Akhirnya! Meletus tawa kecil di bibirnya. Asyik dia memerhati situasi yang bakal membuatkan dia mampu tidur malam dengan nyenyak sekali malam nanti.

“Dhya, kau okey ke tak ni?” soal Eliza risau apabila Dhya masih lagi terpaku. Tegak macam tiang bendera lagaknya.

Dup dap dup dap...

Jantung Dhya berdegup dengan laju. Berkerja keras tanpa disuruh. Matanya masih lagi terpaku memandang pasangan tersebut. Di kala itu juga, hatinya begitu yakin, memang gadis itu adalah gadis yang sama. Gadis yang pernah dilihat bersama kekasih hatinya seminggu yang lepas di perpustakaan.

“Dhya...” panggil Eliza lagi.

Sepi.
“Dhya, kau okey ke tak ni?” soal Eliza sekali lagi. Bahu Dhya digoyangkan sedikit.

Dhya tetap juga diam terpaku. Sementara otaknya ligat berkerja. Bermacam-macam peristiwa di antara dia dan Raid berlegar-legar di fikirannya. Antara punca-punca sikap Raid yang mula berubah ketika bersama dengannya sejak beberapa bulan yang lalu.

Barulah dia tahu punca mengapa sejak akhir-akhir ini Raid selalu sangat mengelak setiap kali dia mengajak lelaki itu keluar berdua. Ada sahaja alasan diberikan oleh lelaki itu. Rupa-rupanya, Raid sibuk berkepit dengan perempuan lain. Sakitnya hati Dhya.

‘Cantik sungguh gadis itu, tinggi lampai macam model. Kulit pula putih melepak. Rambut ikal mayang. Kalau nak dibandingkan dengan aku, jauh panggang dari api rasanya. Memang patutlah Raid berpaling tadah.’

Dhya mengetap bibirnya kuat-kuat. Itu tandanya marahnya sudah sampai ke tahap maksima, Raid yang sedang asyik bergurau senda di hujung sana dipandang kecik besar kecik besar sahaja. Lelaki itu memang melampau! bisik hatinya.

Air mata yang cuba ditahan daripada meleleh di pipi, akhirnya mengalir hangat di pipinya. Laju, selaju dengupan jantungnya berdegup saat ini. Sederas perasaan marah yang meluap-luap di hatinya. Malah tubuhnya terasa hangat, sehangat aliran darah yang menjalar di seluruh tubuhnya. Tajam sungguh pandangannya memandang ke arah pasangan tersebut.
Eliza kaget melihat Dhya yang sudah mula menangis teresak-esak. Bahu Dhya digosok-gosok perlahan supaya bertenang. Namun air mata Dhya tetap terus mengalir.

Dhya cuba mengawal rasa marah yang mula menular di hatinya. Dia tak akan sesekali pergi menyerang Raid. Ya! Tidak sesekali dia pergi menyerang pasangan itu. Itu tindakan bodoh. Dia bukanlah perempuan yang tak ada maruah, perempuan yang suka melalak sesuka hati. Biarpun bertapa hancur dan kecewa hatinya ketika itu. Dia akan cuba bersabar. Dia perlu menjaga maruah dirinya!

Nafas ditarik dalam-dalam. Kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Bertenang! Ya dia perlu bertenang. ‘Bertahan Dhya Arissa! Kau kena kuat Dhya!’ bisiknya pada dirinya sendiri. Eliza pula sekadar memerhati tingkah Dhya.

Semakin ditahan semakin lama perasaan itu semakin sukar dikawal. Dan, Dhya tewas juga melawan perasaannya. Dhya ingat dia kuat. Namun, dia tak mampu menyorok lagi setiap rasa yang hadir di dalam hatinya ketika itu. Dia kalah dengan perasaan yang menguasai hatinya. Air mata Dhya semakin mengalir laju membasahi pipi putihnya.

Dan akhirnya, Dhya tidak mampu mengimbangi dirinya lagi. Penglihatannya menjadi kelam dan gelap. Tubuh Dhya rebah dan tidak sedar apa yang berlaku seterusnya.

Eliza terpempan tatkala melihat tubuh Dhya yang rebah secara tiba-tiba. Dengan pantas dia mendapatkan tubuh Dhya yang sudah terbaring di tengah-tengah gelanggang tenis itu.

“Dhya!!!” jerit Eliza nyaring.

Suasana di gelanggang tenis menjadi kecoh tiba-tiba. Beberapa orang yang sedang bersukan berhampiran situ semua berlari mendapatkan Eliza dan Dhya yang sudah tidak sedarkan diri. Ada yang membantu Eliza mengipas tubuh Dhya. Ada juga berlari memanggil beberapa orang untuk mengangkat tubuh Dhya ke tepi gelanggang tenis.

Mengeletar lutut dan jemari Eliza ketika itu. Tak pernah-pernah Dhya pengsan sepanjang dia mengenali gadis itu. Berjurai air matanya melihat Dhya yang tak sedarkan diri. Kalut dia merenjis-renjis muka Dhya dengan air mineral yang dibawanya supaya Dhya cepat-cepat sedar.
“Dhya... bangunlah! Dhya...” Eliza memanggil-manggil nama Dhya. Kepala Dhya diangkat perlahan-lahan dan diletakkan di atas pehanya. Pipi Dhya ditampar pula perlahan-lahan bagi menyedarkan gadis itu dari pengsan. Tidak pernah dia melihat Dhya selemah ini. Sakit hati pula Eliza melihat Raid yang sedang asyik ketawa nun jauh di hujung sana.

“Dhya! Janganlah takutkan aku. Bangunlah Dhya...” Dhya masih tidak sedarkan diri. Eliza semakin mengelabah.

Malah pemilik sepasang mata yang asyik memerhati sedari tadi juga berubah riak wajah. Cemas dan terkejut. Ingin sahaja dia berlari mendapatkan gadis yang sudah terkulai layu di tengah gelanggang itu. Namun langkah kakinya berat mahu ke sana. Akhirnya dia hanya mampu berdiri kaku memandang sayu ke arah gadis itu.

‘Haish Tak boleh jadi aku kena ke sana juga.’ Desis hatinya seraya mengatur langkah laju menuju ke arah orang yang sedang berkumpul ramai-ramai melihat gadis itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience