Bab 8

Romance Series 6190

SAYUP-SAYUP terdengar azan subuh berkumandang. Jam loceng yang berdering di meja sisi di tepi katil dicapai. Dengan mata yang separuh terbuka Dhya melihat jam di tangan. Deringan jam dimatikan. Lalu jam itu diletakkan kembali di atas meja.

Wajahnya diusap-usap, matanya digosok-gosok perlahan. Setelah mengeliat beberapa kali Dhya bingkas bangun dari katil menuju ke arah tuala yang bersidai di sudut kiri biliknya. Eliza di katil sebelah masih lagi berbungkus rapi. Mentang-mentanglah gadis itu diberi cuti umum oleh Allah. Lena sungguh dia menghabiskan mimpi malam tadi. Sempat lagi Dhya tersengih memandang tubuh Eliza yang berselubung sampai ke kepala.

Dengan langkah longlai dia membawa dirinya ke bilik air. Lama dia menatap matanya yang sembab di biasan cermin. Mahu tak sembab jika dia asyik menangis saja. Pagi ini cuaca agak sejuk menyebabkan Dhya mengigil selepas mandi.

Setelah lengkap berpakaian Dhya terus mengambil kain telekungnya di dalam almari. Khusyuk dia menunaikan solat subuh pagi itu. Hati yang bergolak berasa tenang seketika. Selesai berdoa dan menyimpan kembali telekungnya ke dalam almari. Dia berlalu ke dapur menyediakan secawan Milo panas. Perutnya mula berasa lapar kerana tidak menjamah makanan sepanjang malam tadi. Bungkusan makanan yang dibeli oleh Eliza semalam sudah menjadi makanan tong sampah lagi.

Selepas selesai makan beberapa keping biskut dan Milo panas. Dhya kembali ke biliknya. Hari ini hari sabtu, dia tiada kelas. Selepas mandi pagi matanya menjadi segar bugar pulak. Eliza pun masih lagi berbungkus. Ain dan Mira pula dia tak tahu tmereka berdua sedang buat apa kerana mereka berdua berada di dalam bilik masing-masing. Dhya duduk di birai katil sambil membelek telefon bimbitnya. Satu persatu mesej yang masuk ke aplikasi WhatsApp dibuka dan dibaca.

+Dhya, boleh kita jumpa hari isnin ni. Tolonglah angkat phone dan balas mesej ni.

Membulat matanya membaca mesej yang dihantar oleh Raid malam tadi. Dan terus bibirnya dicebik manakala telefon bimbitnya dicampak di atas katilnya. Hatinya yang tenang kembali berkocak semula.

Ikutkan hatinya yang sakit, dia malas sangat nak bertemu muka dengan lelaki itu lagi. Cukuplah apa yang telah dia lihat tempoh hari. Dia sudah faham dan dia sudah tahu kedudukannya ketika ini di dalam hati lelaki itu.

Dhya melepaskan keluhan kasar. Kemudian dia meraup mukanya. Sudah beberapa kali mesej yang dihantar oleh Raid dibacanya. Setelah berfikir semasak-masaknya, Dhya ambil kata putus akhirnya, apatah lagi setelah mendengar bebelan panjang dari Eliza sejak dari malam semalam lagi. Terngiang-ngiang nasihat Eliza kepadanya malam tadi.

“Dhya, kau ajaklah Edd bersemuka. Aku risaulah tengok kau asyik menangis je. Kalau macam ni, sampai bilalah masalah kau nak selesai.”

“Tak ada apa yang perlu aku bincangkan lagi dengan dia Ell. Semuanya dah musnah. Kau sendiri lihat betapa rapatnya dia dengan gadis tu.”

“Kau tak boleh main serkap jarang Dhya. Mana tahu mungkin mereka sekadar berkawan.”

“Berkawan? Tapi, aku tengok tak seperti berkawan pun? Kalaulah mereka sekadar berkawan tak adanya nak bertepuk tampar macam tu,” rengus Dhya geram.

“Sebab itulah aku suruh kau jumpa Edd. Suruh dia berterus terang.” Suara Eliza sudah mula meninggi dan tatkala itu juga Dhya sudah tidak lagi mampu memberi pelbagai alasan.
Dhya menarik nafas panjang. Ya, dia sudah nekad. Laju anak matanya mencari kelibat Eliza di atas katil. Tiada. Entah bila Eliza bangun pun dia tidak sedar. Matanya beralih pula ke meja belajar Eliza. Elok aje gadis itu duduk berteleku di situ. Eliza yang sedang menongkat dagu di meja belajar dipanggil berkali-kali.

“Ell...” panggil Dhya. Namun panggilan Dhya tiada respon langsung dari Eliza.

“Ell! Eliza Hani…” panggil Dhya lantang. Siap panggil nama penuh lagi. Namun Eliza masih lagi berteleku di meja belajarnya. Tegak memandang ke luar tingkap. Pelik pula Dhya bila melihat Eliza yang ceria tanpa sebarang masalah tiba-tiba duduk termenung panjang.

“Ell... “ panggil Dhya lagi lalu dicapai bantal peluknya yang terletak di atas katil dan dibaling laju ke arah Eliza yang sedang khusuk berangan.

Eliza yang sedang termenung panjang terperanjat besar bila bantal yang dibaling oleh Dhya terkena tepat ke badannya. Nasib baik Eliza tidak jatuh ke belakang kerana dia sempat berpaut pada meja. Eliza terus berpaling memandang ke wajah Dhya dengan riak muka tidak puas hati. Dhya pula tersengih menampakkan giginya sambil buat gaya tangan berdamai.

“Wei! Dhya, kau nak bagi aku mati ke?” sergah Eliza sambil menjegilkan mata bulatnya. Laju sungguh jantungnya berdegup penangan dari terkejut tadi.

“Yang kau berangan jauh apa hal? Aku panggil sampai nak terkeluar anak tekak, kau tak menyahut langsung. Kau berangan apa? Ceritalah dekat aku. Hurm… kau dah ada teman lelaki ye? Sampai hati tak beritahu aku.” Dhya tersenyum lebar. Timbul perasaan ingin tahu tentang Eliza pula. Jarang dia melihat Eliza termenung jauh. Sekejap senyum. Sekejap berkerut. Haish… pelik!

“Siapalah yang mahukan aku ni. Rupa sudahlah kureng. Lainlah kau… berderet menunggu,” balas Eliza merendah diri. Eliza ketawa kecil sebelum memberikan tumpuan pada apa yang ingin diberitahu oleh Dhya.

Dhya berdehem beberapa kali. Bibirnya dicebik. Tak percaya langsung semua kata-kata yang terbit dari mulut Eliza.

“Ye ke tak ada boyfriend? Yang kau termenung sambil tersengih tadi kau teringatkan siapa?” soal Dhya sambil senyum senget.

“Sebenarnya, tadi aku teringat semula kenangan kita semasa minggu suai kenal dulu. Seronok sangat. Aku terbayang masa kita mula-mula kenal. Best!” terang Eliza ceria.
Dhya ketawa.

“Oh! Aku ingatkan kau tengah teringatkan buah hati.”

Eliza geram. Pen yang sedang dipegang di tangan dibaling ke arah Dhya yang sedang ketawakan dirinya. Laju Dhya mengelak dirinya dan Dhya terus ketawa dan ketawa.
Eliza ketap bibir. Geram. Muncung aje mulutnya ke depan. Merajuk dengan Dhya.

“Ell...”

Diam.

“Sorry...” ucap Dhya bila Eliza tidak mahu bercakap sepatah kata pun dengannya. Dhya beralih tempat duduk, dia duduk di sebelah Eliza pula. Lengan Eliza dipaut mesra.

“Ell... aku minta maaf,” pujuk Dhya.

“Ell... kalaulah kenangan itu boleh berulang, aku Cuma nak mengelak dari berkenalan dengan lelaki bernama Raid Amzar. Mungkin aku tak akan kecewa sampai begini.” Suara Dhya mulai sebak. Dhya memejam rapat matanya. Cuba memadam rasa sakit yang hadir di hatinya. Biar gelap. Sebagaimana gelap hatinya saat ini.
Gulppp! Eliza telan liur apabila dia melihat Dhya kembali bersedih. Malah Dhya yang selama ini banyak mulut berubah menjadi seorang gadis yang pendiam.

“Dhya, aku minta maaf. Aku pula yang rasa bersalah. Kalau tak kerana aku yang beria pujuk dan paksa kau menghubungi Edd dulu, pasti kau tak akan dikecewakan oleh lelaki itu.”

“Aku okey…sudahlah, jangan dikenang benda yang sudah lepas. Now! aku nak move on. Aku dah baca mesej yang Edd hantar malam tadi. Dia nak jumpa aku hari isnin ni. Jadi, apa pendapat kau?” Mata Dhya bercahaya memandang tepat ke wajah Eliza. Dia ingin dengar juga pendapat dari Eliza.

“Kau pergilah jumpa dia. Selesaikan semua masalah korang secara baik. Sekurang-kurangnya hati kau akan tenang nanti. Sudahlah tak lama lagi nak final exam,” balas Eliza.

“Ell, kau temankan aku, boleh?”

“Ishhh… tak naklah aku terlibat dengan masalah korang berdua.”

“Kau teman la, aku tak ada kekuatan ni.”

“Kau pergi je Dhya. Selesaikan semuanya segera. Lagipun petang isnin aku ada hal. Kau pergi tau.”
Dhya terpaksa akur. Memang dia sudah boleh agak jawapan dari Eliza. Terus jemarinya menaip sesuatu di skrin telefon.

-Baiklah, kita jumpa di tempat biasa pukul 5.30 petang.

Dhya tarik nafas panjang, lantas butang send ditekan. Eliza di sebelahnya dipandang tak berkelip. Eliza membalas pandangan Dhya dan tersenyum.

Dhya hanya tersenyum tawar. Pura-pura dia dia kuat!

“HAI...” sapa Raykal dengan senyuman ketika berselisih jalan dengan dua orang gadis itu. Matanya asyik memandang wajah ayu gadis yang memakai baju kurung sutera berwarna biru muda.
Dhya menjeling.

“Siapa ni Ell? Kau kenal ke?”

“Tak!” Eliza menggeleng. Pura-pura tak tahu. Raykal awal-awal lagi memberi amaran padanya supaya berlakon tidak kenal.

“Sombonglah...” usik Raykal lagi.

“Tepilah, menyibuk je,” bentak Dhya terus menarik lengan Eliza berlalu dari situ.

“Pian, kau tengok tu. Cantikkan?” luah Raykal.

“Cantik... tapi dah jadi hak orang la Qarl.” Pian turut sama memandang gadis yang dimaksudkan oleh Raykal. Memang dia akui gadis kecil molek itu sangat cantik dan lemah lembut orangnya.
Raykal tergelak kecil.

“Baru kekasih, bukan tunang ataupun isteri orang. Yang dah berkahwin pun boleh bercerai kau tau tak?” Matanya masih lagi memandang gadis yang sedang berjalan laju menuju ke arah kafe. Menyesal pula dia mengajak Pian beredar dari kafe tadi. Kalau tidak boleh juga dia menjamu matanya menatap wajah manis gadis itu.

Pian senyum sinis. ‘Punyalah ramai perempuan, awek orang jugak yang kau suka. Tak faham betul aku.’

“Kenapa nak ganggu hak orang Qarl. Tu awek yang di sebelah dia tu nak sangat dekat kau, hari-hari mesej kau ajak keluar. Tapi, kau pulak jual mahal. Apa salahnya kau terima je dia.”
Raykal menggeleng.

“Yang itu, aku dah anggap dia macam adik aku je. Yang berbaju kurung biru tu je yang selalu buat hati aku ni berdebar kencang. Buat aku tak tidur lena setiap malam. Mandi pulak tak basah, makan pun tak kenyang. Kau apa tahu?”
Pian ketawa kecil. Wajah Raykal dipandang.

“Kau gelak apa hal?”

“Macam-macalah kau ni. Qarl, kau jangan lupa apa yang kau dah buat dulu. Kalau dia tahu, agak-agaknya dia suka dekat kau ke tidak?”

“Mana aku boleh lupa. Sikit lagi je Pian. Sikit lagi aku pasti dapat menawan hati gadis itu.” Wajah Raykal begitu teruja. Masakan tidak, dua tahun lebih dia memendam rasa. Pelbagai cara sudah dicuba, namun gadis itu tetap juga setia. Tidak untuk kali ini. Dia perlu berani munculkan dirinya. Tinggal dua bulan lagi je mereka akan tamatkan pengajian di situ. Jadi Raykal mahu segera bertindak. Dia tak mahu kehilangan gadis itu.

“Qarl, kau janganlah berharap sangat. Aku takut, kau pulak yang makan hati nanti,” sindir Pian.
Pian memang tak berapa berkenan dengan cara Raykal. Tak sepatutnya Raykal mengganggu hubungan gadis itu, apatah lagi dengan cara kotor. Tapi oleh kerana dia terlalu banyak sangat bergantung dengan Raykal. Jadi siapa dia mahu menegur Raykal. Cakap sikit pasti akan diungkit semula segala pemberiannya. Pian malas. Malas nak bertekak.

“Ini Raykal Haziq bin Dato’ Hamzah. Tidak ada yang mustahil untuk dia dapat apa yang dia mahukan. Kau ingat ni Pian, aku tetap akan pastikan, aku dan dia pasti bersama nanti.”

“Berlagak betul kau.” Pian tersenyum sinis.
Raykal senyum bersahaja. Wajah gadis yang sedang berjalan laju itu dipandang lagi tanpa jemu.

“Aku yakin sangat Pian. Kali ini gadis itu pasti jadi milik aku pula.”
Pian mencebik.

“Ikut suka hati kaulah. Jomlah, kita dah lambat nak masuk kelas ni.” Pian terus berlalu meninggalkan Raykal yang masih khusyuk memandang gadis itu. Hari ini mereka berdua terpaksa menghadiri kelas ganti. Sepatutnya hari minggu begini mereka berdua masih bergolek lagi di atas katil.

Tanpa sedar Raykal yang masih lagi tercegat di situ mengukir senyum senget. Sudah terbayang-bayang gadis itu sedang tersenyum manis ketika bersamanya. Menemani ke mana sahaja dia pergi. Malah senyum manis itu boleh ditatap setiap hari. Oh! indahnya...

“Hoi Qarl, cepatlah! Kau berangan apa lagi?” jerit Pian yang sudah jauh berjalan ke hadapan. Raykal tersentak dan terus mengatur langkah mendapatkan Pian yang sudah pun semakin menghampiri dewan kuliah mereka.

“Abang, esok abang nak Yana temankan abang ke?” soal Liana.

“Tak apalah Yana, abang boleh selesaikan sendiri. Rasanya tak sesuai kot kalau Yana ada sekali. Takut Kak Dhya tak selesa,” jawab Raid sambil menguyah sisa makanan di dalam mulutnya.

“Betul ni abang tak nak Yana temankan?” soal Liana lagi. Teringin juga dia melihat Raid dan Dhya esok. Bukan dia nak menyibuk ke apa. Dia berasa teruja bila Raid kembali solo. Mana tahu dia mampu bertahta di hati lelaki itu pula. Walaupun Raid tak romantik, tapi Raid baik hati. Tak pernah tolak kalau dia minta tolong.

Raid menggeleng.

“Betul ni abang tak mahu Yana teman?” soal Liana sekali lagi. Mana tahu tiba-tiba Raid berubah fikiran. Boleh juga dia melihat drama swasta antara Raid dan Dhya nanti.

“Yana tak usahlah risau sangat. Abang tahulah selesaikan masalah abang.”
Liana tersenyum manja.

“Mestilah Yana risaukan abang. Abang pun bukannya orang luar. Sepupu Yana juga.”

“Yana, ni risau macam abang nak pergi berperang pulak. Abang nak jumpa Kak Dhya je pun.”
Liana tersengih lebar. Kelakar mendengar bicara Raid padanya.

“Abang, selepas kita makan ni. Boleh tak abang temankan Yana ke Bandar Jitra sekejap. Yana nak beli barang mandian. Semuanya dah habis la.”

“Boleh, cepatlah makan. Selepas Zohor nanti abang ada group discusion. Kalau Yana nak pergi, kita pergi terus selepas habis makan ni. Sekarang ni pun dah pukul 10.30 pagi.”
Liana ketawa manja. Raid senyum bersahaja.

“Dhya, kau tengoklah tu.” Eliza tunjuk ke arah Raid dan kekasihnya yang sedang enak menjamu selera. Dhya cuma menjeling sekilas.
Menyesal pula dia mengikut Eliza makan di situ. Kalaulah dia tahu, dia pasti mengajak Eliza makan di tempat lain. Sebab inilah yang dia malas sangat mahu keluar rumah. Tak mahu terserempak dengan benda-benda macam inilah.

“Biarlah Ell, dah itu pilihan dia. Aku nak buat macam mana. Aku dah dapat agak apa yang bakal Edd cakap dekat aku nanti.” Mulut Dhya laju menutur kata.

“Sabarlah Dhya, kumbang bukannya seekor. Muka cantik macam kau ni berjuta-juta lemon tau kumbang nak melekat.”

“Merepek la kau ni Ell. Aku dah tutup pintu hati aku dengan tembok besi. Siap letak mangga dan dipateri dengan aloi lagi biar tak terbuka lagi.”
Eliza ketawa besar.

“Kau kuncilah sekukuh mana pun. Aku yakin pasti ada juga lelaki yang mampu cairkan hati kau tu semula. Aku berani jaminlah.”

“Kali ini tak mungkin berlaku la Ell, aku dah serik. Biarlah aku tamatkan semester akhir kita ni dengan tenang.”

“Aku suka tengok kau dah mula tersenyum macam ni. Dan aku harap selepas kau bertemu dengan Raid nanti, kau tak kembali ke mood ke laut kau tu lagi.”

Dhya tersenyum. Dalam asyik berborak dengan Eliza, Dhya nampak Raid sedang memandangnya bersama senyuman manis lagi. Terus Dhya bagi jelingan maut. Padan muka.

“Jomlah Ell, dekat sini banyak langau. Geli aku,” ujar Dhya sambil buat badan geli-geleman.

“Dhya, kau ni agak-agaklah nak bercakap. Kalau tokey kafe ni dengar, dia ingat kedai dia tak bersih pulak,” tegur Eliza dengan muka tak puas hati.

“Jomlah cepat, mata aku ni dah sakit sangat. Tekak aku ni pula tiba-tiba berasa loya. Sebelum aku muntah dekat sini. Baik kita blah sekarang.”

Raid terkedu. Sempat lagi Dhya memerlinya ketika gadis itu lalu di sebelahnya. Rasa sedih itu disimpan jauh di dalam hati. Dia redha. Liana pula sudah menunduk memandang meja. Hilang terus senyum di bibirnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience