Bab 5

Romance Series 6190

“ABANG... abang okey ke tak ni?” Liana yang berdiri di sebelah Raid bersuara. Bahu Raid disentuh lembut.

Tersentak Raid sebaik sahaja mendengar panggilan dan sentuhan daripada Liana di sebelahnya. Dia yang asyik memandang langkah Dhya berpaling memandang semula wajah gadis yang berdiri di sebelahnya. Hampir terlupa pula dia masih lagi bersama Liana ketika itu. Dalam terpaksa, senyum diukir juga buat Liana. Takut pula gadis itu berkecil hati. Kesudian Liana menolongnya petang itu sudah cukup bermakna buat dia.

“Yana... jom abang hantar Yana balik, Lagipun dah nak maghrib ni.”

Raid melangkah pantas menuju ke kereta yang dipakir tidak jauh dari situ. Liana dibiarkan sahaja berjalan mengekorinya dari belakang.

“Abang okey tak ni?” soal Liana ketika mahu membuka pintu kereta. Wajah keruh Raid dipandang. Nampak sangat wajah lelaki yang berada di depan matanya itu sedang menahan rasa.

“Kalau abang rasa tak mampu tak payahlah kita teruskan,” ujar Liana lagi. Perlu ke Raid siksa hatinya sendiri? Liana pun tak faham.

“Abang okey, nak tak nak abang kena terima juga kemarahan Kak Dhya,” jawab Raid tenang. Ya, bila dia sudah nekad. Maka dia perlu teruskan. Semuanya demi kebahagiaan Dhya.

Liana mencebik. Tahu sangat Raid sedang menipu perasaannya sendiri ketika itu. Bila ditanya, bukan main lagi lelaki ini mengelak. Tetapi air muka Raid tak mampu menipu. Liana tahu Raid sedang bersedih. Namun wajah seriusnya itu mampu menutup kesedihannya itu.

“Yana tahu abang tak okey. Lihat raut wajah abang pun Yana dah tahu.”

Raid diam. Dia terus mengayun langkah menuju ke arah pintu kereta di bahagian pemandu. Namun tingkah terhenti seketika. Pintu kereta ditutup kembali.

“Kesian pula Yana tengok Kak Dhya. Abang tahu tak tadi kecoh orang bercerita pasal Kak Dhya pengsan dekat tengah-tengah gelanggang tadi.”

“Abang tahu...” jawab Raid bersahaja.

“Abang tak risau? Pasti Kak Dhya kecewa sangat dengan abang,” soal Liana lagi. Liana tak mengerti, mengapa Raid menyeksa perasaannya sendiri jika dia tak mampu melepaskan Dhya. Kalau dah sayang kenapa perlu buat Dhya membenci diri dia. Liana pening kepala.

“Yana! Yana kan dah janji nak tolong abang. Jadi, abang harap Yana janganlah banyak tanya. Kita lupakan pasal Kak Dhya. Nanti abang tahulah nak terangkan pada dia.”

Liana geleng kepala. Bukan Liana tak nampak tadi. Dhya siap bagi jelingan maut pada dia sekali. Terasa takut juga dia. Mana tahu dia kena penampar sulung gadis itu pula. Nasib baik dia cuma terima jelingan maut aje. Kalau sampai bertumbuk bagai, huh! Liana mengurut dada. Takut.

“Tunggu apa lagi... masuklah dalam kereta cepat,” arah Raid tegas apabila dia lihat Liana masih lagi mengelamun di depan pintu kereta yang sudah terbuka. Tersentak Liana dibuatnya. Laju dia melangkah masuk ke dalam kereta apabila Raid sudah merenung tajam ke arahnya.

Raid tarik nafas panjang. Perlahan-lahan nafas dilepaskan. Dari jauh Raid perasan ada sepasang mata tajam yang memandangnya dengan sinis. Siapa lagi kalau bukan Dhya Arissa. Dia nampak gadis itu menghempas pintu kereta agak kuat. Raid tahu Dhya memberontak dan marah.

“Abang pulak tengok apa lagi? Tadi suruh Yana masuk cepat. Sekarang abang pulak yang tercegat di depan pintu tu,” tempelak Liana yang sedang mengipas-ngipas badannya di dalam kereta.

Raid pantas menggeleng. Pintu kereta dibuka dan dia masuk ke dalam keretanya. Enjin kereta dihidupkan dan tali pinggang keselamatan dipakai. Sebaris senyuman dihadiahkan buat Liana yang duduk di sebelahnya. Cantik. Tetapi Liana tak secantik dan secomel Dhya. Dhya lagi! Keluhan halus dilepaskan.

“Kalau abang rasa tindakan abang ni salah, jangan teruskan niat abang tu. Yana pun tak sampai hati tengok Kak Dhya tadi.” Liana bersuara apabila kereta sudah mula bergerak keluar dari perkarangan kompleks sukan tersebut.

“Please Yana, you know me better.”

Liana cuma tersenyum. Ya, dia kenal Raid, kenal sangat dengan Raid. Disebabkan kenal la dia sanggup menerima tawaran Raid. Sekurang-kurangnya dia mampu mendampingi Raid. Mana tahu suatu hari nanti hati Raid benar-benar suka padanya.

Sejak dari sekolah lagi dia memang ada hati dengan Raid. Namun sikap Raid yang sukar dijangka dan tidak mudah jatuh cinta buat dia sukar menawan hati jejaka itu. Dan peluang ini tak mungkin akan dia sia-siakan. Liana tersenyum bila teringat kembali perbualan mesra mereka tadi. Tak pernah lagi Raid melayan dia dengan mesra. Walaupun mereka sepupu tapi mereka tidaklah serapat mana.

Pernah juga dulu dia hantar surat cinta pada Raid, tapi surat tu semua masuk ke dalam tong sampah. Begang la juga dia dengan Raid. Bila dia dapat tahu Raid bercinta dengan Dhya sejak dari semester pertama lagi, lagilah dia frust. Terasa macam impiannya memiliki hati abang sepupunya itu hanya tinggal harapan sahaja.

Namun beberapa bulan lepas bila Raid sendiri datang kepadanya. Ingin dia menyamar jadi kekasih kepada lelaki itu, tanpa fikir panjang terus dia anggukkan kepala bersetuju. Gila tak nak terima. Raid adalah salah seorang jejaka terhangat di universiti mereka. Cuma yang berbeza, dia baru tahun ke dua belajar di situ. Manakala Raid sudah di tahun akhir.

“Berangan sampai ke mana dah? Tak reti ke nak keluar dari kereta ni?” sergah Raid bila Liana di sebelah sedang tersenyum tersengih seorang diri.

Liana tersentak dan terus terpinga-pinga. Tak sedar rupanya mereka sudah sampai di hadapan hostel.

“Kita dah sampai ke?” soalnya blur.

Raid mengangguk. Tersengih dia melihat aksi kelam kabut Liana. Berangan apa ajelah minah ni.

“Abang, terima kasih hantar Yana sampai depan hostel, Yana masuk dulu.”

“Lain kali jangan berangan lama-lama. Ingatkan siapa tadi?”

“Adalah...” Liana terus melangkah keluar dari kereta. Tanpa berpaling memandang Raid dia terus berlalu masuk ke dalam bagunan asrama yang di dudukinya.

Raid hanya tersenyum. Ada-ada saja kerenah adik sepupunya itu. Nasib baiklah ada Liana. Kalau tak dia tak tahu nak minta tolong dengan siapa.

“Rissa, maaf kan Edd...” tutur Raid perlahan. Pedal minyak ditekan, keretanya meluncur laju meninggalkan perkarangan asrama Liana.

RAYKAL duduk di satu penjuru kafe. Pinggan makanan yang sudah kosong dan air jus epal yang masih lagi berbaki separuh gelas juga ditolak ke tengah meja. Kemudian dia menyelok poket seluarnya mengeluarkan telefon bimbitnya. Berkira-kira mahu menelefon Eliza atau tidak. Perasaannya membuak-buak ingin mengetahui keadaan Dhya. Sejak balik dari kompleks sukan tadi, dia rasa tak senang duduk.

Raykal mengeluh lemah. Rasa menyesal pula tak membantu Dhya petang tadi. Kerana perasaan yang kurang yakin mahu berdepan dengan Dhya, dia tak berani munculkan diri di hadapan gadis itu ketika gadis itu sudah sedarkan diri. Akhirnya dia sekadar memandang dari jauh sahaja.

Masih terbayang-bayang wajah pucat Dhya yang terbaring kaku di matanya. Ingin sahaja diusap pipi putih gadis itu. Agar terhapus segala duka di hati gadis itu. Ingin sahaja dirangkul tubuh lemah itu. Simpati sungguh dia dengan gadis itu. Namun semua itu terpaksa dipendamkan kerana dia sekadar menyintai gadis itu dalam diam.

“Hei, Qarl... kau okey ke?” Eliza yang sedari tadi memerhati tingkah Raykal, segera menghampiri Raykal. Pelik juga Eliza, bila Raykal tak muncul-muncul selepas lelaki itu pergi mengambil keretanya untuk membawa Dhya ke hospital petang tadi. Puas dia menanti, tapi bayang Raykal pun dia tak nampak.

“Ell...” Raykal tersedar dari lamunannya. Duduknya diperbetulkan agar memberi ruang kepada Eliza untuk duduk.

“Kenapa kau pergi macam tu je tadi? Sampai hati kau biar aku terkial-kial handle Dhya sendirian.”
Raykal diam seketika. Matanya pula asyik melihat telefon bimbit di tangan. Sekali lagi dia mengeluh kasar.

“Kenapa Qarl? Kau pergi ke mana?”

“Aku balik la.”

“Kenapa tak tolong aku. Kenapa kau blah macam tu je?”

“Aku nampak dia dah sedar, aku rasa kau boleh handle sendiri kan,” jawab Raykal bersahaja. Eliza ketawa.

“Kata suka dekat Dhya, masa inilah kau nak tunjuk kau ambil berat pasal dia. Kenapa pulak kau nak mengelak dari bertemu dengan dia?” soal Eliza tak faham. Berkobar-kobar lelaki itu menyuarakan hasratnya mahu berkawan dengan Dhya. Bila diberi peluang, Raykal melarikan diri pula.

Raykal tarik nafas dalam-dalam. Perlahan-lahan nafasnya dilepaskan. Eliza tak akan faham apa yang dia rasa.

“Belum masanya Ell. Sampai masa nanti aku sendiri akan beritahu pada dia,” luah Raykal perlahan. Dia sudah ada rancangannya sendiri. Walau apa cara sekali pun dia akan cuba memikat hati Dhya Arissa binti Mazlan.

“Itulah kau, aku yang nak dekat kau, yang cintakan kau, kau jual mahal. Nak juga dekat awek orang,” perli Eliza. Dalam masa yang sama, dia berasa jauh hati bila Raykal tak pandang dia. Pada hal mereka berdua lebih lama mengenali antara satu sama lain. Sejak dari zaman sekolah lagi.

Raykal tergelak sinis. Ke situ pulak Eliza berbicara. Ya, dia akui Eliza tak pernah jemu meluahkan rasa hatinya pada dia. Tapi dia tak boleh. Tak boleh menerima cinta gadis itu.

“Kau tak payah nak macam-macamlah Ell. Dari dulu lagi aku dah cakap. Aku sayang kau macam adik aku je.”

Eliza menjuihkan bibirnya. Panjang ke depan aje. Dia memang dah boleh agak jawapan yang akan diberikan oleh Raykal. Sama.

“Iyalah, aku tahu. Kau sengaja tak mahu mengaku kan.”

“Cukuplah Ell. Kau jangan nak panjangkan cerita. Jangan kerana keluarga kita rapat, kau nak paksa aku cintakan kau. Kau pun tahu aku dah lama simpan hati dekat Dhya. Sepatutnya kau tolong aku pikat Dhya. Bukan lobi diri kau pada aku sampai aku terpikat.”

Eliza mencebik. Geram, bila Raykal mentah-mentah menolaknya. Nasib baiklah Dhya tu kawan baik dia. Kalau tak mesti jadi musuh nombor satu dia. Dalam ramai-ramai perempuan di dunia ini, kawan baik dia juga Raykal ni jatuh hati. Nak tak nak dia terpaksa terima juga. Manalah tahu satu hari nanti Raykal mengalah tak dapat memikat hati Dhya, masa itulah dia berpeluang memikat hati Raykal pula.

“Kau bungkus makanan untuk Dhya ke?” soalan Raykal mematikan angan-angan Eliza ketika itu. Eliza mengangguk

“Biar aku bayarkan. Kau punya, kau bayar sendirilah.”

“Amboi kau... dengan aku punyalah berkira,” perli Eliza sinis.

Raykal tergelak. Sengaja mengusik Eliza.

“Iyalah, aku bayarkan sekali la untuk kau. Usik sikit pun nak sentap.”

Laju Eliza tersengih lebar.

“Ingat tau, jangan beritahu apa-apa pasal aku pada Dhya. Aku ada strategi aku sendiri,” pesan Raykal sebelum berlalu pergi.

Eliza mengeluh lemah. Balik-balik Dhya. Itu sahaja yang Raykal tahu. Bertuahnya kau Dhya. Semua orang suka kau. Raid aje yang bodoh. Haish! Jerit hati Eliza.

“DHYA, ini hah aku ada belikan nasi kau dan aku. Jomlah kita makan. Nanti kau pengsan balik aku juga yang mengelabah.”

“Ell, kau letak aje di meja makan tu. Sekejap lagi aku makan la,” balas Dhya malas. Suaranya sedikit serak kesan daripada tangisannya yang panjang. Dia masih lagi terbaring lesu di sofa. Sejak balik dari kompleks sukan tadi di situlah tempat dia berteleku.

“Kau jangan ayik nak menangis je Dhya. Dari dalam kereta lagi kau menangis. Ni, aku tengok sejak dari kau balik tadi sampailah sekarang, masih juga tak berhenti-henti menangis. Mata kau tu dah nak jadi mata panda je aku tengok. Bengkak dan lebam. Marilah makan sekali.”
Dhya segera mengalihkan pandangannya ke arah Eliza yang sedang khusyuk menikmati nasi goreng paprik kegemarannya itu. Dia tak ada mood. Dia tak ada selera nak makan. Bagaimana nak berselera bila di matanya hanya muncul kemesraan Raid dan gadis itu saja. Mati terus selera dia. Hilang terus mood dia. Yang ada hanya sakit hati sahaja.

“Aku tak ada seleralah,” luah Dhya perlahan. Dia kembali bersandar di sofa. Eliza mengeluh lemah.

“Ini mesti kau masih fikirkan pasal lelaki tak guna tu kan.” Eliza meneka dengan mulut yang masih penuh dengan makanan.

“Iyalah, kau pun tahu aku sayang sangat dengan Edd tu. Sampai hati dia buat aku macam ni. Apa salah aku ni pun, aku tak tahu?”

“Sabarlah beb. Kalau kau tak nak makan, kau tak mahu pergi mandi ke? Takkanlah nak berlengas badan tu sampai ke malam pulak.”

“Nantilah aku mandi. Sekarang ni aku memang tak ada mood.” Sisa air mata di pipi dikesat dengan tapak tangannya.

“Kau ni kan Dhya, semuanya nanti... nanti... nanti...” tempelak Eliza sudah hilang sabar.

“Ell, kau jangan kacau aku boleh. Aku tak ada mood nak bergurau senda malam ni. Aku nak bersendirian. Aku tak nak sesiapa pun kacau aku.”

Eliza mengangkat bahu, tanda dia dia sendiri mati akal hendak membantu. Dalam masa yang sama, dia jauh hati mendengar kata-kata Dhya.

“Iyalah, aku tak kacau kau. Aku masuk bilik dulu.
Buat la apa kau nak buat,” jawab Eliza yang baru selesai membasuh tangannya. Dhya yang sedang marah ditinggalkan seorang diri di ruang tamu itu. Nasib baiklah Ain dan Mira belum balik dari keluar makan. Kalau tak malu juga dia dimarahi oleh Dhya di hadapan mereka berdua.

Hampir lima belas minit dia terbaring di ruang tamu. Perlahan-lahan Dhya mengikut jejak Eliza melangkah masuk ke dalam bilik. Bilik yang tidak berkunci itu segera dimasukinya dengan derap perlahan.

“Sorry la Ell, aku tertengking kau pulak.”

“Tak apalah Dhya, aku faham. Aku pun salah juga.”

Eliza yang sedang duduk mengulangkaji pelajaran hanya tersenyum memandang Dhya yang sedang duduk di birai katil. Memandangkan Eliza dah tak jauh hati dengannya, lantas Dhya terus berlalu masuk ke bilik air untuk mandi.

Usai mandi, Dhya cuba melelapkan matanya di atas katil. Lebih baik dia tidur dari memikirkan Raid yang tak guna tu. Walaupun matanya tertutup, namun Dhya belum mampu terlelap. Balik-balik kisah petang tadi berlayar-layar di fikirannya. Dhya stress.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience