Bab 4

Romance Series 6190

“ELL, kenapa dengan kawan awak ni?” suara yang memanggil dari arah belakang itu membuatkan Eliza segera menoleh. ‘Raykal’ Hatinya menjerit sendiri saat melihat jejaka itu kian menghampirinya. ‘Ada je dia ni!’

Eliza tak suka. Bukan kerana dia membenci lelaki itu. Dia tak suka kerana lelaki itu memilih Dhya bukan dirinya. Tapi cepat-cepat dibuang jauh rasa cemburunya itu. Situasi Dhya lebih penting sekarang ini.

“Qarl, nasib baik awak ada di sini. Dhya pengsan ni. Saya tak tahu nak buat apa ni,” ujar Eliza saat terpandang wajah lelaki yang cukup dikenalinya. Hatinya yang berdebar kencang sedikit lega kerana ada juga kawan yang dia kenal yang boleh membantunya. Tak adalah dia terkial-kial seorang diri.

“Saya tahu... Saya nampak apa yang berlaku tadi.”

Eliza gigit bibir menahan rasa. Cuba menyembunyikan rasa cemburunya. Nampak bersungguh betul Raykal mengambil berat tentang Dhya.

“Ell, saya rasa baik kita bawa dia ke hospital. Muka Dhya pucat sangat ni,” usul Raykal.

“Nanti dulu, kita ikhtiar dulu. Dhya pengsan aje ni.”

“Dhya...” Eliza goyangkan tubuh kecil Dhya. Berharap agar Dhya cepat sedar. Namun mata Dhya masih terpejam rapat. Tetap tak sedarkan diri.

Raykal semakin risau. Bimbang berlaku sesuatu pada Dhya.

“Ell, kita bawa je dia ke hospital, lama sangat dia pengsan ni,” usul Raykal lagi. Dia risau sangat tadi bila terpandang Dhya tiba-tiba rebah di tengah-tengah gelanggang. Dalam berkira-kira nak bantu atau tidak, akhirnya dia putuskan juga untuk membantu.

Eliza pandang wajah Dhya yang pucat. Kemudian dia kembali memandang ke arah Raykal yang sedang duduk bertinggung di hadapannya.

“Baiklah Qarl, kita bawa dia ke hospital sekarang. Biar saya call ambulans.”
“Tak payah call ambulans, awak tunggu saya di sini, saya pergi ambil kereta saya sekejap. Tunggu ambulans mesti lambat. Sementara tu awak kipaskan Dhya dulu.” Eliza mengangguk setuju.

Raykal terus berlari laju mendapatkan keretanya yang dipakir tidak berapa jauh dari situ. Laju sungguh dia berlari ketika itu. Dalam fikirannya hanya risaukan Dhya Arissa sahaja. Tercungap-cungap jugalah dia ketika sampai di keretanya. Betapa lajunya dia berlari ketika itu.

Sementara menunggu Raykal, Eliza pula sibuk mencari nombor telefon Ain dan Mira di dalam senarai simpanan telefonnya. Kedua-dua teman serumah mereka perlu diberitahu. Dia amat memerlukan sokongan mereka berdua. Dengan terketar-ketar Eliza mendail nombor telefon Ain terlebih dahulu ingin meminta bantuan.

Kemudian dia menyuruh Ain sampaikan berita itu kepada Mira pula. Matanya pula melilau. Takut-takut tak perasan Raykal sampai.
“Awak, kawan awak dah sedar la.” Tiba-tiba salah seorang siswi di situ bersuara. Laju mata Eliza memandang kembali ke arah Dhya.

Dhya mengedipkan matanya. Eliza melepaskan nafas lega. Akhirnya Dhya tersedar juga dari pengsan. Terus panggilan dimatikan. Eliza nampak Dhya mengedipkan matanya beberapa kali. Eliza bertambah lega. Dhya buat dia rasa cuak. Buat dia tak senang hati.

“Dhya... bukalah mata kau. Aku takut ni. Jangan buat aku gabra Dhya.” Eliza menampar perlahan pipi Dhya agar Dhya sedar sepenuhnya.

Dhya mengedip-ngedipkan matanya beberapa kali apabila terasa pipinya seperti ditampar oleh seseorang. Perlahan-lahan matanya dibuka. Kemudian matanya dipejamkan semula kerana silau.

“Dhya... kau okey ke? Kalau kau tak okey, aku bawa kau pergi hospital...” soal Eliza apabila Dhya mula membuka mata.
Dhya senyum tawar.

“Ya Allah, nasib baik kau dah sedar. Kalau kau tak sedar lagi tadi, memang aku bawa kau ke hospital. Muktamad!” ujar Eliza lagi.

Dhya tersenyum lemah kepada Eliza. Walaupun hatinya remuk. Dia cuba juga tersenyum. Digagahkan juga wajahnya agar nampak gembira.

“Ell, kau jangan risau... aku okey.” Lemah ae suara Dhya ketika itu.

“Betul ke kau dah okey ni?”

Dhya mengangguk lemah.

“Tapi muka kau pucat. Jomlah kita pergi hospital.”

“Tak apa Ell, aku okey je. Kau jangan risau la.”

“Betul ke ni? Kau jangan main-main Dhya.”

“Betullah. Kau jangalah risau.” Bersungguh Dhya cuba meyakinkan Eliza. Walaupun hakikatnya di saat itu Dhya berasa tubuhnya sangat lemah. Masih lagi terasa melayang. Hilang terus tenaga yang dia ada. Dhya cuba bangun, tapi tak berdaya.

Eliza membantu Dhya untuk bangun dari ribanya. Perlahan-lahan dia memapah Dhya ke tepi gelanggang. Pelajar-pelajar yang berkumpul melihat Dhya sebentar tadi terus bersurai apabila mereka lihat Dhya sudah mula sedarkan diri. Masing-masing menarik nafas lega.

Raykal yang baru aje turun dari keretanya tersenyum lega apabila melihat Dhya yang sudah pun sedarkan diri. Dia terus batalkan hasratnya mahu melangkah mahu menuju ke arah Eliza dan Dhya. Rasanya tak perlu lagi dia berada di situ. Belum masanya untuk dia munculkan diri di hadapan Dhya, gadis yang diminatinya dalam diam. Terus dia membawa diri ke dalam kereta dan berlalu pergi dari situ.

DHYA nampak sangat lemah. Masih tersandar di tepi pagar. Walaupun dalam keadaan begitu, matanya masih lagi curi-curi melihat gelagat Raid dan teman wanita barunya. Dhya mengeluh lemah buat kesekian kalinya.

“Dhya... kalau kau nak balik, kita balik je sekarang. Aku pun dah tak ada mood nak teruskan permainan ni.” Eliza pandang muka Dhya. Dhya koyak senyum paksa.

“Tak apa Ell... Aku okey, kau jangan la risau,” jawab Dhya. Peluh yang meleleh di dahi dilap dengan tuala muka yang dibawanya tadi.

“Dhya... nah minum air ni. Bagi segar sikit badan kau tu.” Eliza hulur sebotol air. Dhya menyambut botol air dengan senyum tawar. Botol air dibuka dan diteguk seteguk dua. Kemudian botol air itu diserahkan semula kepada Eliza. Dia masih tersandar lemah. Matanya dipejam rapat. Berat sungguh dugaannya kali ini.

“Sikitnya kau minum. Minumlah sikit lagi. Bagi ada tenaga balik. Aku tengok kau macam tak bermaya aje. Dhya, kalau macam inilah keadaan kau, aku rasa jomlah kita balik,” pujuk Eliza tidak berputus asa. Risau sangat dia melihat kedaan Dhya yang tiba-tiba saja lemah.

Akur arahan Eliza, Dhya teguk sedikit lagi air mineral itu. Eliza di sebelahnya dipandang dengan wajah sedih. Eliza nampak air mata Dhya mengalir, dia meraih tangan Dhya dan jemari Dhya digengam kemas.

“Sorry beb! Disebabkan aku paksa juga kau temankan aku, kau jadi begini. Aku minta maaf ye.”

“It’s okay Ell. Kau tak payahlah risau yang bukan-bukan. Aku okey je ni. Bukan salah kau pun. Jomlah kita mulakan permainan. Lagipun kita baru je bermain.”

“Eh, Dhya... mahu aku tak risau. Kau sampai pengsan kot. Orang tak ada akal je yang tak mengelabah,” tempelak Eliza geram.

“Aku minta maaf kalau aku buat kau risau. Tapi sekarang aku dah okey.” Eliza senyum dalam terpaksa. Dhya terus bangun berdiri dan berjalan mengambil raket tenisnya yang terjatuh di tengah gelanggang. Raket itu dibelek-belek sekali lagi.

“Tunggu apa lagi Ell, jomlah main.” Eliza tepuk dahi, tanda dia tak faham dengan perangai Dhya.

“Amboi! Berlagak selamba pulak kau selepas kau buat aku mengelabah biawak!”

Dhya balas dengan sengihan. Tak tahu nak cakap apa lagi. Dia kena kuat. Tak mahu nampak lemah lagi.

“Ell bangunlah... Jom kita sambung main..” Dhya terus menarik lengan Eliza agar bergerak ke tengah gelanggang.

Dia sebenarnya tak mahu balik lagi. Dia mahu siasat apa hubungan sebenar Raid dengan gadis itu. Dia sudah penat nak berteka-teki lagi. Dia juga sudah penat dengan aduan kawan-kawan. Jadi, biarlah kali ini matanya sendiri menjadi saksi kecurangan Raid. Dhya tengok bukan main mesra Raid dengan gadis itu.

Raid dan Liana tetap teruskan aksi mesra mereka. Walaupun jauh di sudut hati, Raid punyalah risau melihat Dhya pengsan tadi. Raid sengaja pura-pura tak pandang ke arah Dhya. Dia buat tak tahu aje. Dia perlu buat Dhya bencikan dia. Itu niatnya.

Huh! Dhya begang. Makin lama, makin mesra dia nampak. Raid buat dia macam tak wujud je di situ. ‘Siap kau Raid Amzar! Dhya kau kena kuat, jangan lemah sangat,’ bisik Dhya kepada diri sendirinya.

“Dhya! kalau nak main... mainlah betul-betul. Stress betul aku bila bola yang kau pukul asyik ke laut je.” Eliza mendegus geram. Penat tau dia berlari mengutip bola Dhya yang tersasar jauh.

“Sorry Ell...” jerit Dhya lantang. Dhya tahu Eliza marah. Salah dia pun. Tangan pukul bola, tetapi matanya memandang ke arah lain. Eliza hanya mengangkat tangan membuat isyarat ibu jari tegak ke atas kepada Dhya. Maksudnya dia okey dan tak marah.

Permainan diteruskan. Sedar tak sedar jam sudah menunjukkan pukul 6.50 petang. Hari pun sudah beransur gelap. Kawasan itu juga sudah semakin sunyi. Mereka berdua terus berkemas-kemas untuk pulang.

Ketika berjalan menuju ke kereta boleh pulak mereka terserempak dengan Raid yang sedang jalan beriringin dengan gadis itu. Langkah Raid terhenti. Wajah Raid yang sedang asyik berbual dan ceria terus berubah riak. Begitu juga dengan Dhya dan Eliza. Dhya memandang Raid dengan jelingan yang cukup tajam, lebih tajam dari mata pisau yang baru lepas diasah.

“Dhya...” sapa Raid. Dia senyum.

Dhya menjeling.

“Kenalkan, ini Liana.”

Dhya nampak gadis di sebelah Raid senyum. Semakin terbakar hatinya ketika itu. Dhya mencebik sinis dan pandangannya tetap tajam menikam wajah Raid. Biar Raid sedar yang dia sedang marah. Biar Raid tahu dia sangat cemburu.

Raut wajah Dhya seratus peratus masam seperti cuka. Tiada langsung senyuman di bibirnya. Benci! Dia benci! Terus dia melangkah laju meninggalkan Raid yang masih kaku berdiri memandangnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience