BAB 6

Romance Completed 23401

Keesokan harinya, Hakim keluar lagi pada waktu yang sama dengan harapan dia dapat melihat kembali dan sekiranya berpeluang, dapat berbicara dengan gadis itu. Namun Hakim hampa apabila setelah lebih sejam dia menanti, suara itu tiada lagi kedengaran. Hakim tetap setia menanti sehingga lima malam berturut-turut.

Hakim tahu dia sudah jatuh cinta. Di fikirannya terbayang-bayang sepasang mata itu. Di manakah kau? Adakah benar kau bidadari dan aku hanya mampu melihat kau di dalam bayangan sahaja?

Malam keenam, Hakim sudah mengalah. Dia pasti kini gadis itu hanya bayangannya biar akal warasnya menidakkan. Jika dia ada ke mana dia?

Syed Ariff yang memerhatikan gelagat Hakim selama 5 malam itu menghampiri Hakim yang sedang mengelamun di atas sofa.

“Hakim, abi tengok Hakim resah saja sekarang. Ada masalah dengan pekerja?”

Syed Ariff melabuhkan punggung di sisi Hakim.

Hakim melepaskan keluhan berat.

“Abi, Hakim pun tak tau nak cakap macam mana.”

“Cakaplah, insya Allah, abi akan cuba fahamkan.”

Hakim berdehem kecil. Bimbang dengan penerimaan ayahnya.

“Hakim, ternampak seorang perempuan di taman bunga tu 6 malam yang lalu.”

Ujar Hakim, memulakan bicara yang teragak-agak.

“Perempuan? Di taman bunga kita?”

“Ya abi. Tapi, sekejap saja. Dia siram pokok kita, sambil mengalunkan surah an-Nisa’”.

Kalau abi tengok dan dengar suara dia, Hakim percaya abi pun akan terkedu. Alunan dia sangat indah dan tenang, menusuk ke dalam jiwa. Seumur hidup Hakim, Hakim tak pernah dengar alunan seindah tu yang tidak ditujukan kepada pendengaran manusia. Maksud Hakim, alunan dia kedengaran ikhlas dan penuh penghayatan. Dan lagi satu abi, dia tutup seluruh badan dia kecuali mata dia.”

Ujar Hakim bersungguh-sungguh.

“Ok, jadi, apa yang Hakim runsingkan sekarang ni?”

Hakim diam lalu menunduk.

“Hakim dah tak jumpa dia dah.”

“Kenapa Hakim cari dia?”

Tanya Syed Ariff lagi, cuba mencungkil rahsia hati anak bujangnya.

“Hakim rasa Hakim dah jatuh hati pada dia abi.”

Luah Hakim terus tanpa segan silu. Syed Ariff mengangguk-angguk.

“Tapi, Hakim dah tak jumpa dia. Hakim pasti memang dia wujud?”

Tanya Syed Ariff lagi.

Hakim menggelengkan kepala.

“Entahlah abi.”

Syed Ariff tersenyum lagi. Dia menepuk lembut bahu Hakim.

“Hakim, kadang-kadang, mata kita nampak benda yang kita nak lihat, telinga kita dengar apa yang kita nak dengar dan mulut kita berbicara apa yang kita mahu bicarakan tanpa memikirkan natijahnya. Hakikat cinta itu sebenarnya cinta itu buta, pekak dan bisu. Cinta itu buta kerana kita tidak akan pernah tahu siapa dia yang akan memperoleh cinta kita. Cinta itu pekak kerana cinta yang suci tidak mendengar bicara manusia yang rapu. Cinta itu bisu kerana cinta itu tidak akan pernah terluah oleh kata-kata yang sia-sia. Hanya orang yang bercinta merasakannya dan hanya orang yang benar bercinta dan ikhlas bercinta akan merasakannya. Ayat-ayat cinta yang selalu terluah di bibir manusia hakikatnya kebanyakannya adalah bertunjangkan nafsu semata kerana cinta sebenar adalah buta, pekak dan bisu. Pada abi, cinta sebegitu memang sukar ditemui. Hakim, jangan biarkan perkara sebegitu merunsingkan pemikiran Hakim. Dunia ini masih banyak tawarannya.”

“Maksud abi?”

“Abi mahu meminang anak perempuan Pak Habib untuk Hakim. Syafiyya namanya. Hakim setuju?”

Ujar Syed Ariff terus tanpa berlengah.

Hakim menunduk. Mungkin itu yang terbaik dari hidup dalam bayangan.

“Hakim ikut sahaja abi. Baik pada abi, baiklah pada Hakim.”

Ujarnya tulus. Syed Ariff mengangguk-angguk.

“Kalau begitu, abi tidak mahu berlengah lagi. Dalam 3 bulan lagi, Hakim akan dinikahkan dengan Syafiyya. Hakim mahu berjumpa dia sebelum bernikah?”

Hakim tersenyum. Menggeleng.

“Hakim percaya pada abi.”

“Tapi dia buta, pekak dan bisu. Betul Hakim mahu?”

Hakim terdiam. Cinta itu buta, pekak dan bisu. Mungkin Syafiyya itulah cintanya. Jodohkan di tangan Tuhan?

“Hakim terima dia bukan kerana fizikalnya tapi kerana dia Syafiyya. InsyaAllah, jika semuanya kerana Allah, Hakim tidak akan menyesal. Hakim terima dia bagaimanapun keadaannya abi. Abi uruskanlah.”

Ujar Hakim tenang.

Syed Ariff mengangguk. Hakim mengukir senyum nipis. Harapannya cuma perkahwinan itu kelak dirahmati dan diberkati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience