BAB 1

Romance Completed 23401

Hakim memerhatikan ladang kelapa sawit Syed Ariff yang saujana mata memandang. Berdiri di atas kawasan tanah yang agak tinggi, dia memutarkan pandangannya 360 darjah untuk melihat kawasan sekeliling. Masya Allah, Subhanallah, memang luas dan subur. Dia tahu, selama ini ladang Syed Ariff merupakan ladang yang termaju di daerah itu.

Tiada yang dapat menandinginya dan kekayaan Syed Ariff yang semakin hari semakin bertambah berkat ketulusan dan sikap pemurah Syed Ariff dengan semua insan tanpa mengenal pangkat dan kedudukan. Benarlah janji Tuhan dalam firmanNya yang bermaksud, “Sekiranya engkau bersyukur, maka kami akan menambahkan lagi rezekimu, namun sekiranya kamu kufur ketahuilah sesungguhnya azab Kami amat pedih”.

5 tahun di luar Negara membuatkan dia rindu dengan ladang luas ini. Kepulangannya kali ini adalah untuk selama-lamanya. Di sebelah kanan ladang ini, Syed Ariff telah memperuntukkan kawasan seluas beberapa ekar untuk dibuat kebun bunga dan Hakim belum pernah menjejakkan kaki ke situ. Dia berhajat untuk melawat kawasan itu juga.

Hakim menapak ke arah kebun bunga yang diwar-warkan oleh kebanyakan pekerja sebagai kebun tercantik yang pernah mereka lihat. Hakim perlu menilai sendiri semua itu. Dan anehnya, kata mereka, mereka tidak tahu siapa yang menjaga kebun itu sebaik dan secantik itu kerana penjaga kebun itu tidak pernah keluar di khalayak. Dan Hakim merasa bertambah aneh apabila tiada sesiapa dibenarkan berada berdekatan dengan kawasan kebun itu di waktu malam.

Hakim teruja untuk menyelidik sendiri hal itu. Benarkah begitu? Kenapa mesti bersembunyi?

Hakim semakin menghampiri kawasan itu, dan dia terserempak dengan seorang lelaki separuh umur yang sedang membawa cangkul di bahunya.

“Assalamualaikum syeikh.”

Tegur lelaki tua itu dengan wajah yang berseri-seri. Hakim terpegun melihat keceriaan di wajah itu seolah-olah dia tidak pernah bersusah.

“Waalaikumussalam. Pakcik siapa?”

Tanya Hakim ramah.

Lelaki tua itu tersenyum, keikhlasan terpancar di segenap wajahnya.

“Saya pekerja di sini. Syeikh siapa?”

“Saya Syed Hakim, anak Syed Ariff.”

Jawab Hakim, perlahan. Tidak mahu riak terselit dalam bicaranya.

“Oh, yang baru pulang dari luar Negara tu?”

Ujar lelaki tua itu sendiri dan perlahan. Hakim Cuma tersenyum. Tiada apa yang patut dibanggakan baginya.

“Alhamdulillah pakcik. Ada rezeki saya.”

Ujar Hakim.

“Betul, rezeki manusia ada di mana-mana, terpulang bagaimana kita mencarinya.”

Ulas pakcik itu.

“Siapa nama pakcik?”

“Saya Habibullah. Panggil Pak Habib saja.”

Jawabnya beserta senyuman di wajahnya. Hakim mengangguk sendiri. Dia ini “Kekasih Allah”. Dia menyimpulkan.

“Pak Habib baru di sini?”

“Ya, saya bekerja di kawasan ini, di sekeliling kebun ini.”

“Oh begitu. Boleh saya Tanya? Siapa yang menjaga kebun ini? Dengarnya dia tidak keluar dikhalayak. Kebun ni juga ditutup di waktu malam. Pak Habib tau mengenai hal ini?”

Tanya Hakim.

Pak Habib diam, seakan-akan memikirkan sesuatu dalam. Dia merenung dalam mata Hakim sehingga membuatkan Hakim tertanya-tanya salahkah bicaranya sebentar tadi? Adakah dia telah mengguris hati Pak Habib tanpa disedari?

“Penjaga kebun ini tidak keluar bertemu orang kerana dia buta, pekak, dan bisu.”

Jawab Pak Habib, lambat-lambat namun mendalam.

Hakim terdiam mendengarnya. Dia merenung wajah tua itu, mencari-cari sesuatu yang akan memberitahunya bahawa dia sedang dipermainkan namun wajah itu tetap serius, tenang dan ceria seperti tadi.

“Betul pakcik? Mana pakcik tahu?”

Tanyanya lagi, meminta kepastian.

“Syed Hakim, Pak Habib ada kerja. Minta diri dulu. Assalamualaikum.”

Belum sempat Hakim memberi keizinan, Pak Habib telah berlalu meninggalkan Hakim termangu-mangu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience