BAB 5

Romance Completed 23401

Hakim menyusuri lorong di ladangnya sehingga dia menghampiri tepi jalan yang akan membawanya ke kebun itu.

Dia memberhentikan motornya lalu ditongkatkan. Langkah kaki diatur pantas namun berhati-hati bagi mengelakkan kakinya tersadung apa-apa di atas tanah.

Dari kejauhan, kebun itu yang disimbahi cahaya dari lampu di luar dan dalam kelihatan bercahaya. Dan ketenangan itu meresap kembali.

Hakim semakin menghampiri. Dan tiba-tiba langkah kakinya terhenti apabila dia cuma beberapa langkah sahaja lagi dari pintu.

Telinganya menangkap alunan sesuatu dan jantungnya berdegup kencang. Hakim terkedu.

Alunan itu sungguh indah dan lagunya begitu meresap ke dalam jiwa.

Bukan alunan lagu terbaru dari radio-radio, tetapi alunan ayat suci al-Quran yang begitu indah dan menusuk sekali. Suara yang mengalunkannya juga kedengaran begitu tenang dan mendamaikan. Seperti tiada gundah dan hidup ini begitu indah. Siapakah dia?

Hakim mengatur langkah perlahan, dia mahu bersemuka dengan empunya suara itu, dan dia tidak mahu mengejutkannya. Hakim melangkah masuk ke taman itu sambil matanya cuba mencari arah datangnya suara itu.

Dia menapak perlahan sehingga matanya tertangkap kelibat seseorang yang berdiri di sebalik bunga-bunga anggerik dan orked yang tergantung dalam jarak 5 meter darinya. Matanya cuma dapat melihat separuh sahaja susuk itu kerana ianya terlindung dek pokok-pokok hiasan.

Seorang perempuan seperti yang dia jangkakan. Alunan itu masih kedengaran dari arahnya. Memang dia yang mengalunkannya. Kali ini alunan itu lebih jelas. Alunan surah an-Nisa’.

Hakim mengunci bibir, menghayati bacaan itu. Mengamati susuk itu yang berkelubung dari atas sampai ke bawah. Kelihatannya dia sedang menyiram bunga dengan paip. Hakim tidak berani mendekat lagi. Dia memeluk tubuhnya. Dan tiba-tiba, gadis itu berpusing menghadap ke arah Hakim.

Hakim tergamam melihat seraut wajah itu yang bertutup sehingga cuma menampakkan matanya. Mata yang memancar cahayanya, menyilaukan ketenangan.Gadis itu tidak menyedari kehadirannya. Masih leka menyiram bunga-bunga dan tumbuhan di situ. Suara itu masih kedengaran biar bibir yang mengalunkan tidak kelihatan. Hakim terkedu. Siapa dia?

“Hakim!”

Hakim tersentak mendengar suara itu. Gadis itu yang turut mendengar suara itu mengangkat matanya. Jelas dia terkejut dengan melihat Hakim. Alunan itu terhenti. Hakim memandang ke sebelah kanannya sebelum mengalihkan pandang ke arah itu kembali namun dia sudah tiada.

Ke mana dia?

“Hakim, kamu buat apa di sini?”

Tanya Pak Habib.

Hakim termangu-mangu. Mencari-cari kelibat itu namun sudah tidak kelihatan. Dia tahu dia tidak bermimpi.

“Kamu cari siapa?”

Tanya Pak Habib lagi setelah soalan pertamanya terbiar sepi.

“Perempuan tu. Pak Habib kenal dia?”

Tanya Hakim. Matanya masih melilau ke segenap sudut yang kelihatan di mata kasarnya namun dia sudah menghilang.

“Perempuan mana?”

Hakim terkedu.

“Pak Habib, perempuan yang siram pokok tadi kat sana tu. Dia pakai purdah. Dia baca surah an-Nisa’. Takkan Pak Habib tak dengar tadi?”

Tanya Hakim tidak percaya. Pak Habib memandang ke arah yang ditunjukkannya.

“Tak pun, biar betul kamu ni. Kamu salah dengar kot.”

Tingkah Pak Habib.

Hakim mengetap bibir, tidak puas hati. Tak mungkin. Memang dia ada.

“Dah lewat ni, pergi balik.”

Arah Pak Habib. Hakim diam, tidak tahu apa yang perlu dibalas. Masih keliru.

Namun diaturkan juga langkah keluar dari taman itu dengan diikuti Pak Habib yang setia di belakangnya.

“Pak Habib, takkan Pak Habib tak nampak dan dengar dia tadi?”

Tanya Hakim lagi, tidak puas hati.

Pak Habib mengerut-ngerutkan dahinya.

“Apa yang kamu merepek ni? Dah lewat ni, pergi balik.”

Arah Pak Habib lagi sambil menggesa Hakim ke arah dari mana dia datang tadi.

Hakim menggaru kepala yang tidak gatal. Dia pulang juga bersama tekad baru. Malam esok aku akan datang lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience