Tok Ayah memang pantang kalau melihat anak cucu menonton rancangan barat di kaca tv. Pasti dia akan membebel berjam-jam jika ada yang ingkar.
Jadi setiap kali Tok Ayah datang bertandang ke rumah kami, kami pasti tidak dapat menonton rancangan kegemaran di kaca tv.
Kata Tok Ayah, orang barat memang sentiasa berusaha untuk menjahanamkan kita. Kalau dulu tanahair kita dijajah, kini mereka cuba menjajah pemikiran kita pula.
Macam budaya barat yang menjadi ikutan anak-anak muda disini, menjadikan mereka rosak akidah dan akhlak. Biarpun aku tidak bersetuju seratus peratus dengan pendapat Tok Ayah, tapi aku rasa ada benarnya juga dan aku amat memahami jiwa seorang pejuang yang pernah merasai pahit getir berjuang untuk memerdekakan negara dari cengkaman penjajah dulu masih menebal dijiwa Tok Ayah.
Menurut abah pula, Tok Ayah punya sebab kenapa dia bersikap demikian. Bukan setakat bencikan kerana tanah airnya dijajah tapi luka dihati Tok Ayah bagai tiada ubatnya bila anak bungsu kesayangannya yang Berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara mengambil keputusan mengahwini gadis barat dan membuat keputusan untuk terus menetap di London.
Dan lebih menyakitkan lagi bila keluarga diberitahu yang adik bungsu abah telah meninggal dalam kemalangan jalan raya dan dikebumikan mengikut adat istiadat isterinya, rupa-rupanya dia telah mengambil keputusan menukar agama.
Lebih parah lagi bila arwah Nenek yang mengetahui berita it terus diserang sakit jantung yang akhirnya menghembuskan nafas terakhir, meninggalkan Tok Ayah sendirian menghabiskan sisa-sisa hidupnya.
Kini tanpa kuduga, aku pula yang akan melukai hati Tok Ayah. Aku, cucu kesayangannya. Jodoh pertemuan, ajal maut ditentukan Allah.
Sesungguhnya cinta tidak mengenal siapa. Tidak terlintas langsung dihati ini yang aku akan jatuh cinta pada jejaka bermata biru itu.
Share this novel