Episod 8

Short Story Series 390

Perlahan-lahan Izu membuka mata. Terkebil-kebil matanya menahan cahaya lampu yang terang. Izu melihat kiri dan kanan, kanan dan kiri memerhati ruang dalam bilik. Seperti di hospital. Ye, di hospital. Izu terbaring di atas katil dan tangannya dicucuk tiub air. Tapi kenapa? Ligat otaknya berputar mengimbau ingatan sewaktu Q tumbuk Fahmi.

Tiba-tiba pintu dibuka dari luar. Hana masuk sambil tersenyum dan menggeleng. Kemudian, terus duduk di kerusi yang disediakan sambil melayan telefon pintarnya tanpa menghiraukan Izu yang asyik memandangnya.

“Q ada datang tadi. Dia bagi bunga. Ada atas meja tepi katil tu.” Hana memberitahu tanpa memandang Izu.

Izu melihat ke sisi kirinya. Sekuntum mawar merah hidup diletakkan secara berbaring. Bunga yang sama macam Q beli masa dekat Giant. Tiba-tiba Izu teringat semula dialog yang pernah Izu ucapkan pada Q.

“Tak pun, apa kata one day, kalau kau dah sedia nak bagitahu siapa budak tu, or ready nak terus luahkan perasaan kau pada dia. Apa kata kau sediakan bunga ros merah terus bagi kat dia. Sebatang pun dah cukup. Sekurang-kurangnya kau dah bagitahu budak tu.”

“Bunga untuk orang yang Q suka? Budak tu aku ke? Eh, mengarutlah. Entah-entah bunga ni hadiah sebab aku masuk hospital je kot. Lagipun, dia dah bagi bunga tu dekat budak perempuan tu.” Bisik hati Izu.

Izu terimbas lagi perbualan dia apabila Q frust kekasih hatinya sudah berpunya.

“Ala, baru jadi boyfriend saja pun. Kau kena kuat semangat. Andaikata dia dah clash dengan boyfriend dia tu. Kau masuklah line, apa susah.”

Izu menggeleng keras. “No way! Tak mungkin Q suka aku. Tak mungkin. Dia pernah cakap aku bukan taste dia. Ish… aku ni perasanlah. Q tak cakap apa pun.” Bisik Izu namun bunyi suaranya jelas di telinga Hana.

“Kau kenapa? Tergeleng-geleng?” soal Hana tiba-tiba.

“Akak, kenapa Izu masuk hospital?” bukan jawapan, sebaliknya soalan yang Izu ajukan buat Hana.

“Izu pengsan siang tadi. Sebab kurang rehat. Itulah suka sangat tidur lambat.”

“Bila Izu boleh keluar?” Tanpa menghiraukan bebelan Hana, Izu segera menyampuk. Dia menjeling tajam.

“Kata doktor kalau tak ada apa, esok boleh discharge. Biar Akak confirmkan balik dengan nurse.”

“Ibu dengan Ayah tak datang ke?”

“Akak tak bagi datang. Kesian pula Ayah penat balik kerja. Ibu pun tak berapa sihat hari ni.”

“Betul tu. Bagus! Buat sementara ni, boleh elak dari kena bebel. Izu nak tidur. Mengantuk lagi.”

Hana menjeling sambil menggelengkan kepala. “Hah, tidurlah. Rasanya kejap lagi Abang Ahmad datang melawat. Jadi, coverlah apa yang patut.”

Izu mengangguk dan berbaring sambil menyelimuti dirinya hingga ke dada. Terus Hana keluar dari bilik. Tatkala Izu mengiringkan badan ke kiri untuk tidur, Izu terdengar pintu dibuka. Mungkin abang Ahmad. Izu membiarkan. Malas mahu melayan. Nasib baik kepalanya sudah sedia tertutup dengan tudung. So, tak adalah Izu risau sangat tentang auratnya.

“Izu, tidur ke?” soal Ahmad.

Izu membiarkan. Tak mahu layan.

“Hm... Dah tidur rupanya. Patut tadi nampak Hana keluar dari bilik. Abang ingat nak luahkan perasaan abang pada Izu. Baguslah Izu dah tidur. Abang tak tahu nak luahkan pada siapa lagi.” Ahmad berhenti. Dia mengambil nafas kecil dan melepaskannya.

Izu ternganga. Perlahan Izu membuka sedikit matanya. Ahmad kini di belakang Izu. Izu menyatukan keningnya, tanda tidak faham apa yang dikatakan Ahmad. Izu hanya diam membatu.

“Abang sebenarnya tak pasti dengan perasaan abang sekarang. Abang tak pasti sejak bila abang mula tertarik dengan Izu. Setiap kali abang cakap dengan Izu bila abang ada masalah, Izu buat abang rindu pada Hana yang dulu. Abang tak pasti perasaan abang sekarang pada siapa,” Ahmad meluahkan. Ada sebak dalam nadanya.

Izu masih diam. Langsung tidak bergerak. Izu mahu menghadap Ahmad namun Izu segan. Hm... Biarlah dia habis cakap dulu. Mungkin cuma nak luahkan perasaan yang tak dapat nak diluahkan pada Hana.

“Abang sayang dan cintakan Hana tapi entahlah. Abang kalau boleh nak cepat nikah dengan dia. Abang tak nak perasaan abang jadi lebih mengarut macam sekarang ni tapi itulah, nak kahwin pun Hana asyik tangguh saja. Perasaan abang berbelah bagi. Perasaan abang bukan macam sayang abang kepada adik tapi lebih dari itu. Abang tak tahu kenapa abang jadi macam ni.” Ahmad berdehem.

Izu dengar bunyi kerusi bergesel dengan lantai. Bunyi derap langkah kaki pula kedengaran. Kemudian, berhenti seketika.

“Hana?” Suara Ahmad memanggil kedengaran.

Izu terkejut. Namun masih diam di tempatnya.

“Nak pergi mana?” Soal Hana, tersenyum.

“Nak ke toilet kejap.” Balas Ahmad.

Senyap. Yang kedangaran bunyi pintu dibuka dan ditutup. Izu masih diam, tidur membelakangkan Hana. Izu takut tapi keadaan sunyi macam ni lebih menakutkan.

Akak, maafkan Izu sebab terngorat Abang Ahmad. Tak sengaja. Kalau akak dengar apa yang Abang Ahmad cakap tadi, mesti akak sedih, kan? Tak patutlah Abang Ahmad ni. Tapi memang bukan salah dia kalau dia suka pada wanita lain. Itulah lelaki.

Izu bermonolog sendiri. Sekali lagi Izu mengeluh. Abang Ahmad.. Abang Ahmad. Tak patut. Tak patut.

“Mengeluh ni kenapa?” tegur Hana yang tiba-tiba sudah berada di hadapan Izu. Perlahan Izu berubah ke posisi duduk.

“Esok dah boleh discharge.” Hana memberitahu. Izu tersenyum. Bosan duduk dalam hospital walhal tak sampai sejam pun Izu sedar dari tidur.

“Abang Ahmad belum datang lagi ke?” soal Hana. Izu menggeleng.

“Habis yang keluar dari bilik tadi tu siapa?”

Terbeliak biji mata Izu. Hana dah nampak. Apa Izu nak jawab ni?

“Mana Izu tahu. Kan Izu baru bangun ni.”

“Tak payah nak tipu. Akak tahu Izu dengar apa yang Ahmad cakap tadi.”

“Akak?” perlahan Izu memanggil. Dia jadi serba salah.

“Tak apa. Akak faham. Memang salah akak pun sebab asyik tangguh kahwin. Lagipun bersebab kan? Tapi akak jamin kali ni tak tangguh lagi.” Janji Hana.

“Akak ok?”

“Akak ok. Akak kenal Ahmad tu dengan adik busuk Akak ni macam mana orangnya. Lagipun, Izu kan dah ada Q dengan Fahmi.” Hana tersenyum sambil mencuit hidung Izu.

“Tak ada maknanya,” serentak Izu dan Hana ketawa.

“Amboi, sakannya gelak,” tegur Ahmad yang berjalan masuk ke bilik. Q mengekor dari belakangnya.

Izu memandang Hana. Hana hanya tersenyum. Tak tahu nak kata apa perasaan Izu kala ini. Serba salah rasanya. Malu sungguh Izu dengan luahan Ahmad tadi.

“Hana, abang minta maaf sebab cakap macam tu tadi pada Izu. Abang tahu Hana ada dengar tadi. Abang cuma nak luahkan perasaan saja dan abang betul-betul cintakan Hana.” luah Ahmad.

Q yang mendengar membuat muka hairan. Izu pula rasa macam terharu. Tiba-tiba rasa macam nak kahwin pulak. Eh, gatallah Izu ni.

“Kita cakap dekat luar ye?” Hana mengajak kemudian tersenyum memandang Izu sambil mengenyit mata.

Nampak macam tak ada apa-apa je perempuan ni. Getus hati Izu.

Hana dan Ahmad terus keluar. Tiba-tiba Izu terasa segan pula tinggal berdua dengan Q. Ya Allah, kuatkanlah imanku. Amin.

“Hm... Kau ok tak?” soal Q, berbasa-basi.

“Ok. Cuma ngantuklah.”

“Suka bunga tu?”

Q menyorotkan matanya melihat ke arah bunga di atas meja. Dia perasan bunga itu belum lagi disentuh kerana posisi yang sama seperti sewaktu Q meletakkannya. Izu mengambil bunga tersebut dan hanya memegangnya.

“Terima kasih,” ucap Izu dengan senyuman.

“Sama-sama. Erm.. Aku dengar kau dengan Fahmi dah clash.” teragak-agak Q bercakap.

Fuh. Tak selesa betul situasi ni. Be cool, Izu. Rilek. Chill.

“A’ah. Lepas kau tumbuk dia.”

“Dia dah minta maaf dekat aku. Dia harap kau maafkan dia.”

“Aku ada cakap pada dia kalau kau maafkan dia, aku pun akan maafkan dia.”

Q senyap. Wajahnya memandang ke arah lain.

“Kau tolong sampaikan pada dia tahu.” Izu menyambung.

“Izu, dia ada datang. Apa kata kau bagitahu dia sendiri. Kejap, aku pergi panggil dia,” Q terus berlalu keluar dari bilik.

Izu terkedu. Duduknya jadi tidak keruan. Apa yang patut dibuat bila berdepan dengan Fahmi.

Fahmi masuk tanpa Q. Semakin dia datang dekat, semakin kuat jantung Izu berdetak-detak. Sabarlah jantung.

“Assalamualaikum.” Dia memberi salam. Gugup.

“Wa’alaikumsalam. Q mana?”

“Dia cakap nak pergi café.”

Izu mengangguk. Q ni pun satu. Ada pula ditinggalnya Izu dengan Fahmi berdua je. Tak reti nak temankan ke? Tak selesalah.

“Izu, aku minta maaf. Apa yang Q dengar memang bukan dari hati aku. Aku tak sangka Q ada sekali masa tu. Aku...”

Izu mengangkat tangan menyuruhnya berhenti. Izu mengeluh.

“Fahmi, aku rasa cukuplah kalau Q dah maafkan kau. Kalau dia terasa, aku pun terasa. Kalau dia dah maafkan kau, aku pun akan maafkan kau. Itu saja.” Izu bersuara. Izu tersenyum tapi hambar.

Izu sedih. Orang yang Izu cuba sayangi dah sakitkan hati Izu. Walaupun Izu tak tahu hujung pangkalnya, tapi bagi Izu kalau Q rasa sakit hati sampai bertumbuk, apatah lagi kalau Izu yang mendengar isi bualan Fahmi dengan kawan-kawan dia.

“Izu, bukan niat aku nak hina kau. Aku dicabar, Izu. Aku tak boleh, aku pantang dicabar. Tapi aku serius tak tipu kau, ikhlas dari hati aku sendiri, aku memang sukakan kau.”

“Dan kerana dicabar, kau sanggup hina aku, Fahmi?” Izu menggeleng. Tidak percaya dengan alasan lapuk ni. Dia ingat ni filem ‘Syurga Cinta’ ke apa? Ikut suka hati dia je.

“Izu, aku betul-betul minta maaf.”

“Dahlah. Lupakan je semua tu.”

“Kau maafkan aku?”

Izu hanya mengangguk.

“Boleh kita jadi kawan semula?”

Izu mengangguk lagi. Izu memeluk erat lutut dan menunduk. Memandang ke arah kaki Izu yang berselimut. Nak menangis ni. Orang yang Izu pernah minat dan belajar untuk sayangkan dia, macam mana boleh jadi kawan pula? Q, tolonglah datang. Aku perlukan kau. Tolonglah suruh Fahmi balik. Tolonglah.

“Izu. Fahmi.”

Panggil satu suara. Izu menoleh ke arah suara itu. Qushairi. Izu tersenyum. Kelat sekali. Perlahan air matanya jatuh.

***

Sebaik Fahmi beredar. Q duduk di sisi Izu. Senyum dihulurkan. Izu membalas. Entah kenapa tiba-tiba perasaan sedih Izu menjadi lega sebaik tengok senyuman Q. mungkin sebab Izu memang betul-betul perlukan sahabat saat ini.

“Kau ok ke? Kenapa tengok aku macam tu?” tegur Q.

Ah, mengelamun pula Izu ni. Izu menggeleng. Betul. Tiba-tiba Izu rasa ceria saja.

“Aku ingat kau dah jatuh cinta kat aku pula.” Gurau Q.

“Eh, ke situ pula kau. perasannya,” Izu ketawa senang.

“Apa salahnya,” Q ketawa. Namun, ketawa Izu terus mati.

“Izu.. Erm…” Q tiba-tiba jadi gagap. Menggaru-garu kepala yang entah gatal entahkan tidak.

“Apa? Kau ni kenapa? Lain macam saja.” Izu mengerutkan dahi. Berpura-pura garang walhal hatinya sudah dilanda gelisah. Nervous.

“Fahmi cakap apa?”

“Tak ada apa. Dia minta maaf, aku maafkan. Itu saja.”

“Jadi, kau dengan dia macam mana?”

“Just friend. Aku dah tak boleh terima dia lagi.”

“Oh… Izu.. Erm..”

“Apa kau ni?” Izu geram. Dari tadi mamat ni asyik gagap saja.

“Haha.. Tak.. Bu.. Bunga tu.. Bunga tu..”

“Bunga tu, bunga tu, bunga tu apa?” Izu mengherdik.

“Aku cintakan kau!” Terluah akhirnya.

Izu tergamam. Liurnya ditelan. Q pula lepas meluah tu terus memandang lantai. Malu, mungkin.

“Tapi dulu kau beria-ia kata aku bukan taste kau.” Izu cuba mengujinya.

Terkejut ni. Makin laju pula degupan jantung Izu.

“Dulu aku memang ego tak nak mengaku, aku malu. Padahal aku dah lama suka kau.”

Izu terdiam. Tak tahu nak kata apa dah. Fikiran Izu kosong. Langsung tak menyangka benda-benda macam ni. Selalu Izu baca di novel. Tak sangka Izu pun ada kisah yang sama macam novel. Izu pegang erat-erat bunga yang Q bagi.

“Izu?” Q memanggil. Mematikan lamunan Izu.

“Ye?”

“Kenapa kau tengok bunga tu macam nak telan je? Kau selalu macam ni kan, suka termenung. Bila kau termenung, muka kau comel sangat. Kau…”

“Eh, cukup-cukuplah puji aku,” Izu memintas cakapnya. Lebih-lebih karang, kembang pulak hidung ni nanti.

“Jadi macam mana?” soal Q. Ada nada berharap di situ.

“Macam mana apa?” soal Izu semula.

“Bunga tu,” dia memuncung menunjuk ke arah bunga.

“Kau mesti faham maksud aku bagi bunga tu kan sebab dulu kau pernah cadangkan,” sambungnya lagi.

“Oh, ini. Hm…”

“Kalau kau tak suka aku pun tak apa sebab sekurang-kurangnya aku dah luahkan perasaan aku macam yang kau suruh,” Q tersenyum. Terpancar keikhlasan di wajahnya.

Izu mengangguk perlahan. “Q, bunga ni aku simpan ye? Tak baik kau ambil balik. Buruk siku.” Sempat Izu bergurau.

“Bila pulak aku nak ambil? Bunga tu dah memang kau punya.”

“Terima kasih.”

“Aku akan tunggu jawapan kau.” Q berharap. Izu hanya mengangguk perlahan.

©KaryaSitiNadiahShahron (2020)

Share this novel

Nor Ainaliza Jamaludin
2020-10-28 16:35:12 

i like


NovelPlus Premium

The best ads free experience