Episod 1

Short Story Series 390

KELIP-KELIP cahaya lampu yang sedang menyala memanah mata yang sedang enak dibuai mimpi. Terkebil-kebil. Terpisat-pisat. Itulah keadaan Izu setiap kali di waktu pagi, dikejutkan oleh seorang perempuan yang suka mengganggu ketenangan di alam mimpi. Sengaja dibiarkan lampu yang asalnya ditutup.

Siapa lagi? Hanalah, tak perlukan suara bila nak kejutkan orang. Tak macam Ibu, lemah lembut je kejut. Barulah orang nak bangun pagi pun segar. Hah, malasnya nak bangun. Sambung tidur kejaplah! Izu menarik selimut menutup muka agar silau lampu tak mengganggu tidurnya.

“Huh? Tidur balik? Subuh dah nak habis ni. Izu, kau nak Akak kejut pakai tangan ke pakai kaki?”

Huh, Perempuan ni lagi? Kasar betul dia punya ayat. Siapalah malang dapat perempuan ni. Pagi-pagi dah memekak. Rileklah, pagi masih muda. Tenangkan mata dulu, nanti barulah dia segar sentiasa. Izu masih diam di atas katilnya namun dia tersengih-sengih dengan monolog tadi. Tak peduli langsung dengan ugutan Hana.

“Izu, Akak kira sampai tiga je! Kalau tak bangun jugak Akak kejut macam biasa.” Ugutnya lagi.

Kejut macam biasa? Mata Izu mencerlang. Tiba-tiba Izu teringat pada satu peristiwa di mana katilnya dan badannya basah bila ada orang simbah air ketika dia masih tidur. Tengah sedap bermimpi pula tu. Simbah air sejuk?

“Ye.. Ye.. Izu dah bangun!”

Tergesa-gesa Izu bangkit dari katil. Izu pandang Hana dari atas ke bawah. Betul ke ni satu-satunya kakak kesayangan aku ni? Gila kasar.

Oh ye. Hana dah bertunang dengan Ahmad, dialah manusia malang yang dapat kakak kasar Izu. Jahatkan Izu? Izu tersengih-sengih.

“Ya Allah. Berangan pula dia. Pergilah mandi lepas tu solat subuh. Nanti lambat pula nak pergi kolej..” bebelnya.

Apa lagi bebelan seterusnya pun Izu tak dengar dah. Izu pekakkan telinga. Malas nak dengar sebab saban hari dia cakap pasal benda yang sama je. Dah boleh dihafal macam skrip drama teater. Bezanya skrip tu kena ada naskah, tapi Izu kena hafal setakat dengar saja. Boleh bernanah telinga.

“Akak, Izu dah bangunlah. Sudah-sudahlah jadi mak nenek tu. Izu tahulah. Selama ni mana pernah lambat. Terlebih awal adalah.” Izu protes.

Digagah juga kaki melangkah. Dengan mata yang hampir terpejam, Izu menapak ke bilik air bersama tuala yang dihulurkan Hana. Hana mengekor.

Oh ye, sebenarnya nama Izu, Izara. Nama comel, Izu. Comelkan? Hana yang bagi nama ni, katanya sesuai dengan Izu yang degil dan manja. Bongsu katakan. Mana mungkin tak manja. Beza Izu dengan Hana lima tahun je.

Sejak kejadian mimpi ngeri tu, semakin hari Hana semakin matang. Banyak juga dia pesan pada Izu. Suruh jangan itu. Jangan ini. Semua kerana dari pengalaman sendiri. Mujurlah Izu tak mengikut perangai Hana yang dulu. Dengar cerita mimpi itu pun dia dah takut.

“Izu, kau nak mandi ke atau kau nak tidur depan bilik air tu?” Sergah Hana.

Izu terkebil-kebil. Rupa-rupanya dia tertidur. Betul-betul kepala Izu sandar di pintu bilik air. Mengantuk sungguh. Tanpa mengangkat kepala, Izu menoleh pandang Hana di belakang. Die tersengih macam kerang busuk. Rasanya kerang pun tak busuk lagi dari Izu yang belum gosok gigi ni. Hana menggelengkan kepalanya. Izu mengangkat kepalanya.

“Izu mandi dulu ye, kak. Akak pun cepatlah siap. Nanti abang Ahmad tinggalkan Akak, tak ke ofis Akak nanti.” Izu masih tersengih. Malunya.

“Kalau dia tinggalkan Akak, kau pun kena sekali. Sebab kau tu pun sama tumpang dia juga.”

“Lagi bagus? Hari ni sangat malas. Mengantuk lagi. Semalam tidur lambat” Izu buat muka comel sambil tersengih.

“Banyaklah kau!”

Izu dan Hana ketawa kuat. Hana membuat isyarat tangan cepat. Izu masuk toilet dengan kaki kiri beserta lafaz bismillah. Sebaik Izu pusing untuk kunci pintu, tiba-tiba Hana tercongok depan pintu. Izu terkejut.

“Jangan tidur dalam ni macam selalu pula.” selorohnya. Izu tersengih.

Izu teringat peristiwa dia tidur dalam bilik air sambil duduk bersandar di dinding selama setengah jam. Nasib baik Hana ketuk pintu bilik air tu. kalau tak, memang berjam-jamlah Izu lena dalam bilik air ni.

“Hoi! Mandilah. Berangan je tahunya.” Sergah Hana.

Sebelum pergi, sempat dia mencuit hidung Izu. Izu cepat-cepat tutup pintu dan mandi.

***

USAI bersarapan, Izu dan Hana terus masuk ke dalam kereta Ahmad yang baru tiba menuju ke destinasi. Ahmad sendiri yang nak tumpangkan mereka, memandangkan perjalanan pun memang dalam hala yang sama. Tempat kerja Hana dan Ahmad juga di dalam bangunan yang sama. Lebih jimat jika pergi dengan satu kereta. Itulah apa yang dikatakan Ahmad.

Di dalam kereta, Hana dan Ahmad berborak pasal persiapan perkhawinan mereka yang lambat lagi nak berlangsung. Dan Izu, lebih suka diam dan termenung. Malas menyibuk hal orang tengah darah manis tu.

“Izu, diam je? Mesti kena nanah bunyi lagi kan?” seloroh Ahmad mematikan lamunan Izu. Izu memandangnya terkebil-kebil. Cuba memahami maksud Ahmad. Pandai-pandai saja buat ayat sendiri.

“Nanah bunyi?”

“Ala… bebelan Kak Hanalah.”

Mendengarkan itu, laju Hana mencubit lengan Ahmad yang berlapik. Ahmad mengaduh sambil tergelak. Hana memuncungkan bibirnya tanda merajuk.

“Tak lah. Penat saja. Malam tadi tidur lambat sebab kena teman Akak.” Dalam tawa, Izu membalas.

“Bila masa pula Izu teman Akak? Akak yang kena teman Izu adalah.” sampuk Hana.

“Akak, diam-diam sudah.” Izu berdehem.

Sebenarnya memang Hana setia melayan karenah Izu yang suka belajar sampai lewat malam. Sebab Izu susah tidur malam. Kira kambing biri-biri pun tak berkesan, tengah malam buta barulah mata rasa mengantuk.

Izu menyalami Hana tatkala sampai ke perkarangan kolej. Kereta Ahmad meluncur laju meninggalkan Izu di situ. Dengan lafaz bismillah dan semangat yang baru muncul dalam hati, Izu menapak menuju ke dewan makan.

Izu kini dalam Diploma tahun akhir. Izu ambil Penulisan Artistik sebab Izu suka berangan dan ada minat bercerita atas kertas putih. Hana pula sudah bekerja, maklumlah umur memang kena kerja pun. Bagaikan berjodoh pula apabila Hana dan Ahmad bekerja di bangunan yang sama tapi berlainan jabatan. Izu tiada kekasih tapi Izu ada suka dengan seorang kawan lelaki tu. Suka macam tu saja sebab orangnya hensem. Tak tahulah kalau lelaki itupun suka pada Izu. Perasan sekejap ye.

Izu tiba di depan dewan makan dan terus menapak ke arah seseorang yang sedang duduk seorang diri di meja berbentuk empat segi. Jauh termenung sambil tangan kanannya menongkat dagu.

“Hoi!” Izu menyergah.

Hampir melatah lelaki itu dibuatnya. Dia mengurut dadanya. Kus semangat.

“Assalamualaikum,” Izu beri salam dan duduk berhadapan dengan lelaki itu.

“Wa’alaikumsalam. Nasib baik aku ni dah biasa terkejut. Eh, kau ni, tolonglah jangan sergah macam tu. Kalau ditakdirkan aku ni ada sakit jantung macam mana?” soalnya sambil menjeling Izu.

Dia membebel boleh tahan juga. Macam Hana.

“Aku sentiasa doakan kau dalam setiap solat aku supaya kau jauh dari sebarang penyakit. InsyaAllah.” mudah Izu menjawab. Dia tersengih saja sedangkan lelaki itu mencebik.

Nama dia adalah Qushairi tapi dipanggil Q sahaja. Dia ni lah kawan rapat Izu dengan Ain, yang masih belum tiba lagi. Lewat macam selalu. Muka Q tiba-tiba berubah kelat. Memikirkan seuatu. Namun, Izu hanya diam. Dia tahu Q pasti akan cerita walaupun tak ditanya.

“Izu?” Q memanggil.

“Yes?”

“Kau tahukan, aku ada minat dengan seorang minah ni?”

Yes. Seperti yang dijangka. Izu tersengih.

“Yes, I know. So?”

“Aku tak tahulah macam mana nak cakap dengan dia yang aku suka dia.” luahnya.

Izu hanya diam mendengar. Tak baik menyampuk bila orang tengah bercakap, kan? Kan? Kan?

“Memang selalu dia ada dekat depan mata aku tapi aku still rindukan dia. Bila tak tengok dia macam tak lengkap dunia aku.”

“Aduh, jiwang lah kau ni mamat. Apa susah, cakap je lah dekat dia yang kau suka dia,” sampuk Ain yang baru tiba. Serentak Izu dan Q menoleh.

Izu dan Ain bersalaman. Kemudian, Ain duduk di sebelah Izu.
Q diam. Dia memandang Izu lama seperti berfikir sesuatu. Kemudian, dia memandang ke arah lain. Izu dan Ain pula berpandangan. Ain menjungkit bahu.

“Q, macam nilah. Apa kata kau bagitahu siapa budak tu, biar aku tengok dia tu jenis yang macam mana. Then, aku dengan Ain bolehlah cari cara macam mana nak tackle budak tu.” Izu mencadangkan. Ain mengangguk.

Q menggeleng. Izu menggosok kepalanya yang bertudung itu. Ain menepuk dahi. Masih nak berahsia tentang budak perempuan yang dia dah tersuka tu. Walaupun mereka rapat, tapi yang satu ni Q suka diamkan. Diam seribu bahasa, tertutup susah nak buka. Tertanya dibuatnya. Misteri sungguh perempuan ni. Aish… keluh Izu.

“Tak pun, apa kata one day, kalau kau dah sedia nak bagitahu siapa budak tu, or ready nak terus luahkan perasaan kau pada dia. Apa kata kau sediakan bunga ros merah terus bagi kat dia. Sebatang pun dah cukup. Sekurang-kurangnya kau dah bagitahu budak tu.” cadang Izu lagi.

Cukup bijak tak? Walaupun Izu sebenarnya main bedal je semata-mata nak tahu siapa budak perempuan tu. Misteri sungguh!

“Aku setuju.” sokong Ain.

Izu dan Ain memandang Q. Q masih menggelengkan kepalanya. Masih nak berahsia.

“Aku tahu, dia tak ada pakwe tapi ada minat kat seorang kawan dia.” Ujar Q. cemberut jelas di wajahnya.

“Belum cuba belum tahu. Minat saja pun. Belum kahwin lagi, kan?” sampuk Ain. Izu mengangguk setuju.

“Hah, dahlah, jom masuk kelas. Dah pukul berapa ni.” Ain mengajak.

Serentak mereka bangun dan menapak ke kelas. Selang beberapa langkah dari pagar bangunan kelas, tiba-tiba…

“Hai, Q.” tegur Maria, perempuan gedik dalam kampus ni. Di sebelahnya Nurul, gadis pendiam. nurul memang agak malu-malu dan suka tunduk muka sedikit tak macam Maria yang tergedik-gedik depan Q. Sudah terang lagi bersuluh yang Q nak tak nak layan Maria. Sepatah ditanya sepatah dijawab.

Q memang ramai peminat. Kadang-kadang naik mual Izu dengan Ain bila Q asyik dihimpit perempuan. Maklumlah jejaka hensem tapi bukanlah dia yang paling hensem. Mungkin sebab Q berkulit cerah dan berbadan sasa sikit. Q memang tak berapa gemar nak melayan sangat. Mungkin takut gadis pujaannya salah faham dan anggap dia macam playboy, tapi macam tak sopan pula kalau dia buat tak tahu dengan gadis-gadis ni. So dia layan jelah.

Nasib baik Izu tak minat Q, tak tahulah kalau Ain ada minat tapi senyap-senyap tak bagitahu. Izu tertawa dalam monolog sendiri.

Izu dan Ain sudah pun menapak jauh meninggalkan Q yang masih layan Maria. Q yang perasan ditinggalkan, terus meninggalkan Maria sambil berlari-lari anak. Bila Izu toleh ke belakang, Maria sudah sedepa muncungnya. Hodoh beno!

©KaryaSitiNadiahShahron (2020)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience