TING!
Telefon pintar Izu berbunyi menandakan masuknya mesej pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp web. Izu yang sedang santai di atas katil dengan laptop di riba sambil melayan movie melihat skrin notifikasi di sisi kanan laptop itu. Mesej dari Fahmi. Tiba-tiba jantung Izu mula berdebar-debar. Izu membuka mesej itu.
Fahmi: Assalamualaikum. Macam mana?
Eh mamat ni. Whatsapp orang dahlah tak ada mukadimah ke apa. Terus-terus saja tanya macam mana. Apa bendalah! Izu menjungkit bahu dan membalas mesej tersebut.
Izu: Wa’alaikumsalam. Macam mana apa?
Fahmi: Pasal lamaran aku pagi tadi.
Izu: Lamaran apa? Bila pula kau melamar?
Fahmi: Pagi tadi sebelum kau kata nak pergi Giant. Tak ingat ke?
Izu: Oh itu… kau serius ke?
Fahmi: Mestilah. Aku rasa tak naklah setakat berkawan je. Aku nak jadi kawan yang special untuk kau. Lebih dari Q tu.
Izu: Q tu kawan sajalah. Mana ada special pun.
“Dah kenapa dengan si Q tu? Salah ke aku berkawan dengan Q?” gumam Izu. Namun, dia masih melayan mesej Fahmi.
Hana membuka pintu dan melangkah masuk ke bilik. Rambutnya yang basah dilap dengan tuala kecil. Hana dan Izu sememangnya tidur sebilik sejak kecil. Walaupun ada bilik tidur lain yang dijadikan bilik solat, namun Izu yang mahu tidur dengan Hana. Izu penakut sedikit, lagi pula dia sudah terbiasa tidur berteman. Macam manalah bila Hana kahwin nanti?
“Bebel apa sorang-sorang?” tegur Hana.
“Tak ada apa. Ada orang ni dia persoalkan pasal hubungan Izu dengan Q.”
“Aik. Kenapa?”
Izu tidak membalas. Sebaliknya dia hanya menjungkit bahu.
Ting! Mesej ringkas masuk lagi. Hana terus berlalu ke meja solek yang berada di hadapan katil.
Fahmi: Iye, aku tahulah kawan saja. Maksud aku, lebih dari sekadar kawan. Jadi pasangan kekasih aku!
Izu ternganga. Dia memandang Hana. Hana sibuk mempersiapkan diri dengan produk penjagaan muka dan badan. Izu membetulkan duduknya kemudian menaip.
Izu: Weh, satu malam pun tak lepas lagi, mana aku nak kena fikir baik dan buruknya lagi. Kau ni pun agak-agaklah.
Fahmi: Entahlah. Aku rasa macam dah jatuh cinta kat kau, Izu.
Izu terasa air liur yang ditelan ni macam makan pasir. Ish… Mamat ni direct sangatlah. Tapi kan, Izu pun tak pernah bercinta. Ain pun dah berpunya, Q pula tak lama lagi nak meluahkan perasaan dekat budak yang dia suka. Minta pendapat Kakaklah.
“Kakak?”
“Ye?” sahut Hana yang hanya memandang Izu dari imbasan cermin.
Izu meletakkan laptopnya ke tepi. Dan selesakan dirinya.
“Akak rasa jadi pasangan kekasih orang ni macam mana?”
“Kenapa tanya macam tu?”
Hana bangun dan duduk di sebelah Izu. Izu beranjak sedikit untuk memberi ruang pada Hana.
Ting! Mesej masuk lagi. Namun, Izu hanya membiarkan.
“Akak dengar bunyi mesej masuk tu? Dia ajak couple. Tu tengah tunggu jawapanlah tu.”
“Wow! Adik akak ada peminatlah! Siapa orang tu?” Hana teruja. Sengaja dikelip-kelipkan matanya.
“Senior.” Ringkas saja jawapan Izu. Matanya dijulingkan ke atas.
Hana tersenyum. “Izu, nak berkawan ke bercinta ke tak salah. Yang salahnya, bila kita berkawan tapi adab tak ada. Pergaulan tak jaga. Terpulang pada Izu sebab Izu dah besar. Dah boleh fikir mana betul mana salah. Mana halal mana haram, kan? Akak harap Izu boleh jaga diri. Kat luar tu terlampau banyak cabaran yang Izu akan hadap.” Hana mencuit hidung Izu.
“Jadi, tak salah kalau Izu nak cuba?” soal Izu.
“Akak tak cakap salah ke tak salah ke dengan senior Izu tu tapi ingat, pastikan dia tu ikhlas. Jangan sampai dia tu semata-mata sebab nak permainkan Izu saja. Dan pastikan dia tu bukan lelaki hidung belang!” pesan Hana.
“Taklah, Kak. Dia tu baik.”
“Oklah kalau Izu dah cakap macam tu. Eh, Akak laparlah. Nak pergi makan. Nak ikut?”
Segera Hana bangun dari katil. Izu hanya menggeleng. Hana terus keluar membiarkan Izu. Izu meriba semula laptopnya. Dia membaca.
Fahmi: Hello.. Izu, kau ada ke tak ni?
Izu: Ye.. Ye, aku ada ni. Sorry, aku sembang dengan Kakak aku tadi.
Fahmi: Macam mana? Sudi tak?
Izu: Tak salah mencuba, kan? Lagipun sebenarnya aku memang dah lama sukakan kau.
Ops, terlepas luahkan perasaanlah. Alamak.. Malunya. Wajah Izu sedang merah sekarang ni. Kalau Fahmi ada depan mata, sah-sah Izu dah lari lintang-pukang. Malu punya pasal.
Fahmi: So, kau sudilah ni. ??
Izu: Begitulah. Aku cuba. Pengalaman untuk aku juga. Apa salahnya?
Fahmi: Bahagianya rasa. Terima kasih sayang. ??????
“Eh, belum apa-apa dah panggil aku sayang. Ish, geli geleman rasanya aku dengar ni.” Gumam Izu.
Izu: iya. Sama-sama. Oklah, Fahmi. Aku mengantuk. Nanti kita whatsapp lagi ye.
Fahmi: ok, good night sayang. Sweet dream.
Izu menjulingkan matanya namun bibirnya tersengih-sengih. Izu mengambil telefon pintarnya dan menghubungi Ain. Apabila panggilannya berjawab, terus Izu terjah.
“Ain, guess what?” soal Izu, teruja.
“What?” Ain yang terkejut menyoalnya semula.
“Fahmi whatsapp aku tadi dan aku dah terima dia. Aku cakap tak salah kalau aku mencuba. Ya Allah, Berdebarnya aku.,” Izu gelak dalam teruja. Ain diam saja.
“Kau dah bagitahu Q?” soalnya sebaik ketawa Izu reda.
“Belum. Nantilah aku bagitahu. Aku nak tengok dekat perempuan mana yang dia nak luahkan perasaan tu. Lepas tu baru aku bagitahu dia. Oklah, aku nak bagitahu tu je. Bye!” segera Izu mematikan perbualan.
Izu mengangkat laptop dan menapak menuju ke meja study. Semangatnya kini mulai membara untuk membuat assignment yang tertangguh. Oh, sedang ada bunga dalam hati, sang pujaan datang menyerah diri. Alahai..
Kring! Kring!
Telefon Izu berbunyi. Panggilan dari Q. Apa yang dia nak malam-malam buta ni? Jawab sajalah.
“Hello…” belum sempat Izu memberi salam, Q menerjah.
“Izu, betul ke apa yang aku dengar? Kau dah couple dengan si Fahmi? Kau pasti kau nak bercinta dengan dia?” soalnya. Seperti ada nada kecewa di situ.
“Ain bagitahu ye? Ish, tak pandai simpan rahsialah dia tu. A’ah, aku sajalah terima dia. Biar ada sedikit pengalaman.”
“Sampai hati kau tak nak bagitahu aku. Oklah kalau macam tu. Assalamualaikum.”
Tut… Belum sempat Izu memberi alasan dan menjawab salamnya, Q telah mematikan perbualannya. Aish.. Q nie memanglah. Ah, lantaklah. Apa nak kisah? Dia nak bahagia dengan bakal kekasih dia, takkan aku tak boleh. Gumam Izu sambil menjungkit bahu.
“La la la.. Apa yang penting? Kerjasama.. Apa yang penting? Kerjasama..” Izu menyanyi hentam saja lagu dari rancangan kartun wonderpet. Suka benar Izu malam ini.
Tiba-tiba Izu teringat sesuatu... Perbualan Izu dengan Hana, beberapa hari yang lalu.
“By the way, Izu dengan Q ada apa-apa hubungan ke?” soal Hana.
“Apalah akak ni, Izu dengan dia kawan je lah. Kawan rapat! Lagipun, dia dah ada perempuan yang dia minat. Cuma Izu tak tahu siapa.”
“Tapi akak tengok Q macam suka Izu je.”
Izu mencari riak-riak gurauan di muka kakak. Serius. Tak sengih-sengih. Kemudian, Izu sendiri yang gelak.
“Akak, Q tu ramai peminat tahu. Tak naklah Izu dengan orang yang ramai peminat macam tu. Ee.. Tak kuasa nyah.” Dengan tangan ke bahu dan mata ke atas, Izu cuba berjenaka.
“Tak payahlah kau nak dalih. Tengok muka kau dah merah dengan jawapan kau pun akak dah tahu. Kau suka Q ye?” dia menebak. Parah ni.
“Apa pulak?”
“Akak cakap dia macam suka kau, bukan tanya kau suka dia ke tak. Yang kau pergi jawab tak nak dengan orang yang ramai peminat tu buat apa?”
Q suka Izu? Ish.. Akak ni memang suka sangat merepek. Izu suka Q? Bukankah Izu rasa lebih gementar bila dengan Fahmi. Ah.. Malas nak fikir. Bukan benda penting pun.
Trut.. Trut.. Sekali lagi gajet Izu berbunyi. Aish.. Banyaknya panggilan yang aku dapat malam ni. Dan kali ini datangnya daripada.. Abang Ahmad? Apa yang dia nak? Mesti ada problem ni.
“Assalamualaikum.” Izu memberi salam dengan nada yang cukup ceria. Macam gedik pula rasanya.
“Wa’alaikumsalam, Izu dah tidur ke?” soalnya.
“Belum. Kenapa?”
"Happy aje suara Izu ni. Ada apa-apa ke?"
"Tak ada apa. Saja nak happy," Izu ketawa. Ahmad turut ketawa.
“Maaflah, abang mengganggu Izu. Abang sebenarnya tengah stress.” luahnya.
“Abang tak dapat contact akak ke? Nak Izu sampaikan?” soal Izu.
“Tak, Abang memang nak cakap dengan Izu. Sekarang ni, kakak Izu tu tengah merajuk dengan Abang. Abang call dia tadi tapi dia tak nak jawab so abang nak biar dia tenang dulu. sebab tu, abang call Izu. Izu tengah buat apa?”
Aik, tadi elok saja bagi nasihat cintan cintun, adat bagai. Tak ada pula dia tunjuk ciri-ciri orang merajuk. Hmmmm.
“Izu tak ada buat apa. Nak bercakap dengan Izu? Boleh saja.”
Kakak ni pun satu, merajuk je tahunya. Aish.. getus hati Izu. Izu ternanti juga kalau-kalau Hana akan masuk ke bilik. Bolehlah dia pujuk sedaya sedikit dan bagi Hana bercakap dengan Ahmad. Namun Hana tidak muncul jua. Lamanya makan. Pergi makan ke pergi buat makanan ni?
©KaryaSitiNadiahShahron (2020)
Share this novel