DI waktu tengah hari memang sentiasa penuh dengan pelajar di dewan makan. Bingit dengan suara-suara bersembang. Ada yang ketawa, ada yang makan. Izu, Q dan Ain yang baru sahaja selesai kuliah menapak ke dalam dewan makan.
“Ramainya orang.” Keluh Izu.
Izu memang tak berapa gemar kalau ramai-ramai macam ni. Lagi-lagi ada segelintir pelajar, kalau gelak memang tak ingat dunia. Tak pandang kiri kanan dah. Orang pandang serong pun buat tak tahu. Macam dunia ni dia yang punya.
“Makan tempat lain nak? Usul Izu.
“Kat mana? Sini sajalah. Malaslah nak jalan. Perut aku dah lapar ni.” Rugut Ain.
“Yelah. Makan sini saja. Lantaklah bunyi bising pun. Bukan selalu. Aku pun dah lapar ni.” Q menyampuk. Dia pun malas nak ke tempat lain juga.
Izu mengeluh. Nak tak nak terpaksalah dia setuju. Izu gagahkan juga diri makan tengah hari di situ. Bukan tak suka, tapi ada kelibat beberapa orang yang dia tak berkenan nak tengok. Mereka ni pun antara kumpulan manusia yang bila gelak memang tak fikir orang lain dah.
“Eh Q, you pun makan kat sini ke?” soal Maria. Entah dari mana datangnya, tiba-tiba sudah ada di sebelah. Tiada pula kelibat Nurul yang sentiasa di sisinya kelihatan.
Q hanya senyum dan mengangguk. Q mengajak Izu dan Ain untuk mengambil hidangan yang disediakan. Maria mengekor. Masing-masing sibuk memilih makanan mengikut selera sendiri. Usai membayar, mereka mencari meja yang kosong. Mujur ada meja kosong yang baru ditinggalkan. Pelajar di sini ada yang tertib. Usai makan, mereka akan membawa pinggan kotor ke tempat yang sepatutnya.
Izu dan Ain duduk bersebelahan. Manakala Q duduk berhadapan Izu. Maria menyibuk di sebelah Q. Izu dan Ain berpandangan. Q hanya mengeluh.
“Sorry guys. I join you all, ye. Today, Nurul tak sihat, dia tengah berehat dalam bilik dia. So I tak ada teman lain selain you all. Boleh ye, Q?” Maria membuat muka mengharap.
Punyalah ramai kawan-kawan dia. Termasuklah kawan lelaki. Di sini juga dia nk tayang muka tak malu tu. Getus hati Izu. Q hanya menjungkit bahu. Ain sudah mula menyuap makanan ke dalam mulut. Perut dah bernyanyi pedih minta di isi.
“Q, kenapa you tak jawab I tanya ni?” rengek Maria.
“What?” Q tersentak. Tak sangka pula dia kena jawab.
“Dah duduk tu, duduk sajalah. Kalau dah muka tak malu tu.” Izu bersuara perlahan. Namun jelas di telinga Maria.
“You mengata I, ye? Q, tengoklah dia ni!” rengek Maria, manja sambil menyelak rambutnya yang panjang lurus itu.
“Sekarang aku lapar. Lapar sangat. Apa kata kita duduk makan dengan tenang, ye. Tengok Ain. Dah nak habis licin pinggan dia.” Q menenangkan. Sempat dia mengeluh.
Ain tidak peduli. Yang dia tahu, dia mesti habiskan makanan. Sangat lapar. Lain-lain hal, malas nak peduli. Apa-apa makan dulu. Izu memandang Maria. Apabila Maria memandangnya, Izu menyelak hujung selendang yang dipakai. Meniru gaya Maria tadi. Maria mencebik. Tanpa bersuara, mereka menjamah makanan.
Sedang berselera menikmati makanan, jantung Izu tiba-tiba berdegup laju. Di pintu masuk dewan makan, dia terlihat jejaka kacak yang membuatkan jantungnya berdebar. Q pandang Izu, kemudian mengalih pandang ke belakang. Q mencebik.
Jejaka kacak terpandang ke arah Izu. Dia tersenyum. Perlahan tangannya melambai. Dia berkata sesuatu kepada kawan-kawannya. Kemudian, menuju ke arah Izu. Kawan-kawannya terus beredar untuk mengambil makanan.
Semakin dekat, semakin laju jantung Izu berdetak. Senyumnya yang tadi cemberut, kini berubah manis. Tangan kirinya memegang erat bahagian jantung yang macam nak terkeluar tu. Kini, Fahmi berdiri di sebelahnya.
“Hai, Izu. Hai you all.” Tegur Fahmi.
Terkebil-kebil Izu memandang Fahmi. Mulutnya ingin bersuara tapi macam tersekat. Dia gugup. Izu hanya mengangkat tangan membalas sapaan Fahmi.
“Izu sihat.” Tanya Fahmi. Izu hanya mengangguk. Senyuman manisnya langsung tak lekang.
“Mulalah tu.” Bisik Ain. Izu yang tersedar, menyiku lengan Ain.
“Eh, sedar dah? Ingat nak terus mengelamun.” Bisik Ain lagi.
Izu menjengil memandang Ain. Kemudian, dia kembali tersenyum manis memandang Fahmi.
“Awak dah habis kelas ke?” soal Izu, separuh manja.
Terlopong mulut Maria mendengar suara Izu.
“What? OMG! I tak sangka you ni…!”
Tak habis Maria bersuara, Ain menendang kaki Maria. Maria mengaduh dan terjegil memandang Ain. Ain membuat isyarat senyap. Q malas nak menyampuk. Dia lebih selesa menjamah makanan. Namun, seleranya mati.
“Ye, saya baru habis kelas. Oklah, saya pergi makan dulu ye. Kawan-kawan dah tunggu.”
Sebaik Fahmi berlalu pergi, Izu mengambil hujung selendang dengan tangan kirinya dan menutup mukanya. Pipinya terasa hangat. Matanya memandang siling. Dia mengelamun. Ya Allah, jejaka kacak tegur aku.
“Sudah! Mengelamun pula dia. Ni nasi kau tak nak makan dah ke?” sergah Ain.
"Rupa-rupanya dalam sopan santun you ni, gedik juga you, kan. Lagi teruk dari I. kan, Q. I baik. Tak gedik macam tu. Euwww.”
“Eh perempuan. Diamlah! Kau tu yang teruk. Orang tak layan pun tergedik.” Balas Izu.
Ain mengangkat tangan tanda surrender. Tak masuk campur. Q mengeluh. Kalau dua orang ni berjumpa, tak habis-habis nak bertekak saja.
“You…”
Tak sempat Maria bercakap, Q bangun. “Aku balik dulu. Dah kenyang.”
Q menggalas begnya dan menuju ke sinki untuk basuh tangan. Maria mencebik ke arah Izu. Dan mengekor Q.
“Menyampah betul aku dengan perempuan tu.” Izu geram.
“Biarlah. Bukan kau tak tahu perangai dia. Dia perangai saja gedik. Tapi dia baik. Suka tolong orang.”
Ain bukan nak back up Maria. Tapi dia cakap berdasarkan kenyataan. Pernah juga Ain minta tolong pada Maria. Terus saja Maria sudi tolong. Izu diam. Entah kenapa perangai gedik Maria itu memang dia rasa sangat-sangat tak berkenan. Menyampah. Walaupun, Izu banyak layan buruk tak buruklah dengan perangai Maria tu, tapi Maria tidak berdendam.
Izu memandang nasi yang masih bersisa tak dihabiskan. Putus sudah seleranya. Kemudian, dia terpandang pinggan Q. Masih ada sisa nasi dan lauk. Izu mengeluh. Tiap kali ada Fahmi, mesti Q akan jadi mood swing. Entah apahal mamat tu. Bukan sekali dua. Setiap kali. Mujurlah mereka tak sekelas.
©KaryaSitiNadiahShahron (2020)
Share this novel