Episod 2

Short Story Series 390

DI suatu petang yang aman, Izu sedang menanti Ahmad dan Hana menjemput pulang. Seperti biasa, Izu akan ditemani Q lepak di bus stand yang disediakan di hadapan kampus. Walaupun Izu menolak, Q tetap berkeras nak teman. Risau katanya. Ain yang sememangnya diberi asrama, mungkin sedang berdengkur di atas katil. Maklumlah kuat tidur, pantang ada peluang. Kadang-kala Izu yang sememangnya tidak mahu duduk di asrama akan menumpang di situ jika ada urusan.

Ketika memandang ke arah jalan, mata Izu semakin lama semakin layu. Sesekali Izu terkebil dan membuntangkan matanya menahan mengantuk.

“Izu!” Q memanggil.

Izu hampir terlentuk. Hampir-hampir kepalanya sandar di bahu Q. Izu memandangnya dengan pandangan kosong.

“Ish, budak ni, cubalah ubah sikit perangai tu. Kat mana-mana pun kau bantai tidur je, kan? Nasib baik kau tak jatuh cium lantai tu. Ee.. Yerk!” Q bersarkastik. Berlelucon dengan mimik muka pun ada sekali.

“Suka akulah. Aku mengantuk malam-malam tidur lewat buat assignment. Kau apa tahu?” Izu menjeling.

Q bagaikan terpana melihat jelingan Izu. Izu memandang apabila Q diam tidak membalas. Biasanya ada saja benda nak menjawab.

“Kau kenapa?” soalku.

“Tak ada apa. aku bukan apa. Aku tak nak kau cium lantai tu karang. Siapa yang malu? Aku juga.”

“Eleh.. Tak ada maknanyalah, bro.”

Q hanya menjeling sambil menggeleng. Dia dah kehabisan idea nak membalas akibat dari jelingan Izu tadi. Cantik walaupun comot. Puji Q dalam hati. Selama ni, dia tak perasan sangat kecantikan tu. Baginya, Izu hanya biasa-biasa saja.

“Eh, kau tak nak balik ke?”

“Tak, aku nak teman sampai kau balik. Bahaya tinggal kau sorang-sorang.”

“Bahaya apanya. Pak guard kan ada. Tu, kat atas tu, boleh nampak budak-budak lelaki dalam bilik diorang.” Izu berlelucon sambil menunjuk asrama lelaki di belakangnya.

“Tapi, kalau kau nak teman juga pun tak apa. Tak adalah aku bosan sorang-sorang,” Izu menyambung. Sempat dia menyengih.

“Aku serius, ok? Lagipun, kalau kau tertidur, terjatuh kat lantai tu. Siapa susah? Kau sendiri yang malu.”

“Ops, lelaki ni bad mood semacam je. Datang bulan ke? Haha lelaki mana ada datang bulan. Datang angin saja. Macam-macamlah mamat ni.” Getus Izu, dalam hati. Sempat dia tertawa kecil.

Q mencuka apabila terdengar Izu tertawa. Izu malas nak layan. Lebih baik diam saja. Dia menongkat dagu. Dan sekali lagi dia terlentuk kembali.

Izu terjaga apabila Q menyiku Izu. Oh, malu bukan kepalang. Rupanya kepala Izu tersandar di bahu Q. Cepat-cepat Izu alihkan kepalanya. Dan menadah tangan.

“Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah dosa-dosaku. Ya Allah. Aku tak sengaja, Ya Allah. Ish, ini kalaulah JAIS datang, mahu free-free aku kena khawin dengan dia. Minta simpang malaikat 44 lah. Ish, tak kuasa tapi kalau dah jodoh… eh.” Izu melalut.

“Woi, sudah-sudahlah tu. Tak adanya aku nak kahwin dengan kau.”

“Kenapa kau biar aku tidur kat bahu kau. Kenapa kau tak kejut aku? Kenapa? Kenapa? Kenapa?” bertalu-talu Izu menyerang. dia menggigit bibir bawahnya. Nafasnya jadi naik turun.

“Banyak kali aku kejut, kau tu yang tidur mati! Tu, kakak kesayangan kau dah sampai. Kau tak nak balik ke?” sergah Q.

Perlahan Izu mengalihkan kepalanya ke arah yang ditunjuk Q. Izu lihat Hana yang sedang tersengih-sengih dari dalam kereta.

“Habislah aku malam ni. Sah-sah tak tidur malam. Jangan-jangan dia nampak aku sandar bahu Q tadi.” Getus hati Izu. Merah mukanya. Izu bangun dan memandang Q sambil tersengih.

“Q, aku balik dulu. Aku minta maaf sebab tidur mati. Kalau ada air liur aku jatuh atas baju kau tadi, kau maafkan aku tahu. Kau kena tahu aku tak sengaja.” Ucap Izu perlahan. Dia malu.

Q tersenyum sinis. Perlilah tu.

“Tulah kau. Tidur tak kenal tempat. Pergilah balik!”

Izu angguk. Sambil menapak ke arah kereta, Izu memikirkan beribu alasan yang boleh Izu berikan dengan logik atas sebab insiden tadi. Ish, teruknya aku ni. Kalau Ibu tahu? Kalau Ayah tahu? Oh, kakak kesayanganku. Janganlah sampai ke telinga mereka. Malu!

“Assalamualaikum kak, abang Ahmad,” ucap Izu sambil meloloskan diri ke dalam kereta.

“Wa’alaikumsalam.” jawab mereka serentak.

Izu lihat Hana dan Ahmad saling berpandangan sambil tersengih. Izu faham maksud mereka. Masaklah Izu nanti. Aish, Q ni pun satu. Apasallah dibiarnya Izu tidur atas bahu dia. Kejutlah sampai bangun lain kali. Atau alih tempat duduk ke? Izu masih menyalahkan Q sedangkan terang-terang salah sendiri.

Izu memandang ke arah Q yang masih duduk di tempat tadi. Dia tersengih memandang Izu. Perlahan kereta pun berlalu pergi meninggalkan perkarangan kampus dan Q. Izu pasti muka Izu masih hangat memerah. Ish…

Malu bukan kepalang. Mata ni pun satu. Kenapalah tak nak tunggu sampai rumah baru nak lelap? Aish. Izu menepuk dahi berkali-kali. Hana yang duduk di seat sebelah pemandu tergelak-gelak. Ahmad hanya tersengih. Tapi mereka tak sebut-sebut pula tentang tadi.

***

IZU baru saja selesai menunaikan solat Isya’ di bilik apabila terdengar bunyi bising di ruang depan yang memang menarik perhatian Izu. Apa benda yang seronok sangat tu? Izu menanggalkan telekung dan keluar dari bilik. Ibu dan Ayah sedang berborak dengan Hana rupanya. Gosip, eh? Nak joinlah. Izu tersengih.

“Hai semua! Apa yang seronok sangat ni?” Izu melabuhkan punggung di sebelah Hana yang berhadapan dengan Ibu dan Ayah. Senyap.

Mereka memandang Izu dengan sengihan semacam. Hm… Ni mesti pasal…

“KAKAK!” Izu menjengil memandang Hana.

“Apa?” Hana menahan tawanya.

Namun, tawa Hana terletus jua. Ibu dan Ayah juga ketawa. Izu mencebik. Merajuk kononnya. Ish.. Tak patutlah kakak ni tahu.

“Ibu, Ayah. Janganlah ketawakan Izu. Tak sukalah. Izu bukan sengaja pun nak buat macam tu,” Izu membentak. Sengaja Izu hentakkan kaki tanda protes. Akibatnya, kaki Izu yang sakit. Aish..

“Buat apa ni, Izu?” Tanya Hana. Kemudian dia gelak lagi. Ibu dan Ayah pun sama.

“Ibu!” Izu merengek. Lantas, Izu mengalih ke sisi Ibu dan memeluknya manja.

“Itulah Ibu dah pesan jangan tidur lambat, nak jugak jadi burung hantu. Tengoklah apa dah jadi.” bebel Ibu. Izu terus leraikan pelukan di lengan Ibu. Sekali lagi Izu menghentak lantai tanda protes.

“Ayah,” Izu beralih pula ke sebelah Ayah.

“Izu selalulah macam ni. Suka sangat tidur tak tengok tempat. Kan tak bagus tu.” bidas Ayah.

Izu memuncung. Hm.. Semua pun nak salahkan Izu juga. Tak apalah. Kalau Izu dah merajuk, tahulah kalian. Pantas Izu bangkit dan memandang mereka satu persatu.

“Tak apa, gelaklah lagi. Memang salah Izu pun sebab tak boleh tidur awal. Izu nak pergi tidurlah ni.” Rajuk Izu.

Ibu dan Ayah tergeleng-geleng sambil tersenyum. Memang itulah perangai anak bongsu. Hana pula tak habis-habis ketawa.

Izu berpaling meninggalkan mereka di ruang tamu dan menapak keras menuju ke bilik. Pintu bilik sengaja Izu hempas kuat. Biarlah! Puas hati! Kemudian dia duduk di atas meja belajar.

“Menghadap laptop buat assignment lagi bagus. Laptop je yang tak akan gelakkan aku.” Izu bermonolog. Saja menghiburkan hati yang panas.

Tok! Tok!

Bunyi pintu kedengaran. Kalau bukan Ibu, mesti Hana. Biarlah. Bukan pintu berkunci pun. Pandailah mereka nak masuk sendiri. Seperti yang dijangka, Izu terdengar bunyi pintu dibuka.

“Izu?” suara Hana memanggil. Izu tak segera berpaling. Masih tekun menghadap laptop. Berpura-pura.

“Akak minta maaf ye? Ala… Akak saja tadi. Akak tahu adik akak ni bukannya sengaja nak letak kepala atas bahu lelaki sebarangan. Adik akak kan baik. Janganlah merajuk lagi.” pujuknya. Sedikit sebanyak Izu berasa terhibur. Tapi biar dulu, nak dengar kakak pujuk lagi.

“Izu? Izu tak sayang akak ke sampai nak merajuk macam tu? Layan akak pun tak nak.” ujarnya. Hm.. Merajuk ye kakak? Alahai.. Kesianlah pulak. Izu memalingkan muka.

“Izu tak merajuklah. Izu saje je tadi. Tak ada apalah.”

“Betul ni?”

“Betul.”

“Sayang adik akak. Muah!” kakak memeluk bahu Izu dan mencium pipi Izu.

“Ee.. Apa cium-cium ni? Gelilah.” Gurau Izu, Kakak melepaskan pelukannya.

“Geli konon. Sekeh mahu?”

“Ala.. Akak tak berani nak sekeh Izulah. Izu tahu akak sayang Izu kan?”

“Pandai kau ye, Izu.”

Izu mengangkat kening. Riak sekejap.

“By the way, Izu dengan Q ada apa-apa hubungan ke?” soalnya. Sentap Izu sekejap. Ke situ pulak soalan dia datang. Aish..

“Apalah akak ni, Izu dengan dia kawan sajalah. Kawan rapat! Lagipun, dia dah ada perempuan yang dia minat. Cuma Izu tak tahu siapa.”

“Tapi akak tengok Q macam suka Izu je.”

Izu mencari riak-riak gurauan di muka kakak. Serius. Tak sengih-sengih. Kemudian, Izu sendiri yang gelak.

“Akak, Q tu ramai peminat tahu. Tak naklah Izu dengan orang yang ramai peminat macam tu. Ee.. Tak kuasa nyah.” Dengan tangan ke bahu dan mata ke atas, Izu cuba berjenaka.

“Tak payahlah kau nak dalih. Tengok muka kau dah merah dengan jawapan kau pun akak dah tahu. Kau suka Q ye?” Hana menebak. Parah ni.

“Apa pulak?”

“Akak cakap dia macam suka kau, bukan tanya kau suka dia ke tak. Yang kau pergi jawab tak nak dengan orang yang ramai peminat tu buat apa?”

Bam.. Fuh, cukup terasa macam petir panah Izu sekarang ni walaupun tak ada petir, guruh dan sebagainya. Izu minat Q? Ish.. Serius tidaklah. Tapi kalau betul Q minat Izu kenapa dia tak nak cakap? Aish.. Kakak ni memandai je lah.

“Tak mahu. Tak mahu,” Izu menggeleng keras.

“Kau jangan Izu. Hari ni kau tak mahu. Esok kau kahwin dengan dia.”

“KAKAK!” Izu berpura-pura marah, nada manja saja.

“Tak nak kat Q tu. Aish.. Dahlah, Izu nak tidur. Sila tutup lampu nanti. Terima kasih,” ujar Izu sambil menutup laptop kemudian menapak ke katil.

“Eleh.. Tak nak ngaku. Kita tengoklah nanti,” Hana ketawa dan terus keluar sambil menutup lampu dan pintu.

“Aish..” keluh Izu. Pantas Izu menarik selimut dan berbaring. Wahai mata dan anggota badan Izu, selamat malam.

©KaryaSitiNadiahShahron (2020)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience