BAB 11

Romance Completed 16602

Farisha semakin buntu. Berita yang didengarinya benar-benar membuatkan dirinya tidak tentu arah. Senyuman Hazry yang penuh makna itu lagi menambahkan sesak di dadanya. Saat ini Farisha sedang berbaring-baring di atas katil. Suara doktor muda semasa di klinik tadi masih terngiang-ngiang di kepala otaknya.

“Tahniah Encik Hazry, Puan Farisha mengandung.”

Farisha melopong mendengarkan berita tersebut, tetapi Hazry melonjak kegembiraan.

“Betul ke doktor. Alhamdulillah, tak sangka lepas ni saya akan jadi ayah. Terima kasih sayang. I love you so much,” luah Hazry sambil mencium pipi Farisha.

“Aarrrgghhh,” jerit Farisha tiba-tiba. Kejadian di klinik tadi benar-benar membuatkan dirinya menjadi resah.

Perutnya diraba perlahan dengan tangan. Seperti tidak percaya yang dia sedang mengandungkan anak Hazry. Dia tidak pernah bermimpi akan memiliki anak bersama-sama dengan Hazry. Matanya dipejam perlahan, berharap semua yang berlaku ini adalah mimpi semata-mata. Matanya terbuka semula apabila kedengaran pintu bilik dibuka seseorang. Kelihatan kelibat lelaki yang teramat-amat dibenci sedang menghampirinya sambil membawa sedulang hidangan.

Hazry berjalan perlahan menuju ke arah Farisha. Senyuman manis dihulurkan kepada isteri tersayang walaupun wajah Farisha masam mencuka. Dulang tersebut diletakkan di meja kecil di sebelah katil. Punggungnya dilabuhkan di atas katil di sebelah Farisha.

“Sayang, makan sikit. Mesti sayang lapar kan. Tadi abang suruh bibik Midah buatkan sup ayam,” ujar Hazry sambil cuba menyuap sup ayam ke mulut Farisha.

“Awak boleh tolong jangan ganggu saya tak. Rasa nak muntahlah saya tengok muka awak ni.”

“Jangan macam tu sayang. Sayang kena makan sikit. Tak baik biarkan perut tu kosong. Nanti baby dekat dalam perut ni lapar,” nasihat Hazry sambil tangan kirinya menepuk perlahan perut Farisha.

“Tepilah!!!” bentak Farisha marah sambil menepis tangan Hazry. Apabila teringatkan tentang anak yang dikandungkannya, hatinya tiba-tiba menjadi berapi.

“Sayang… orang mengandung ni tak baik marah-marah tau. Tak elok. Nanti anak dekat dalam perut tu ikut perangai sayang pula, suka marah-marah. Cuba senyum sikit,” Hazry memicit perlahan hidung Farisha namun ditepis kasar oleh Farisha.

“Saya peduli apa tentang anak ni. Lagi satu, awak jangan mimpilah saya akan mengandungkan anak awak ni.”

“Apa yang sayang merepekkan ni?” soal Hazry sedikit cemas. Bimbang pula kalau Farisha sanggup melakukan perkara yang tidak elok kerana tidak menginginkan kehadiran anak di dalam kandungannya.

“Saya akan gugurkan anak ni,” ugut Farisha. Matanya dibulatkan sambil memandang ke arah Hazry.

“Please sayang. Tolong jangan buat macam tu. Anak tu anak kita… tanda kasih sayang abang pada sayang. Please sayang, jangan buat macam tu. Anak tu tak berdosa.”

“Memang anak ni tak berdosa, tapi yang berdosanya awak kan. Tapi disebabkan dosa awak, anak ini yang akan menanggung akibatnya,” bentak Farisha lagi. Nafasnya turun naik menandakan perasaan marahnya yang teramat sangat kepada Hazry.

“Memang abang berdosa pada sayang. And I’am really sorry atas apa yang telah terjadi. Tapi abang merayu pada sayang, atas nama kasih sayang abang, tolong jangan gugurkan anak tersebut,” ujar Hazry sambil memegang lembut tangan Farisha. Tangan Farisha dibawa ke bibir dan diciumnya dengan penuh kasih sayang. Mungkin Farisha berada dalam keadaan yang tertekan sekarang sehingga sanggup mengambil tindakan yang membuta-tuli.

Farisha dengan pantas menarik tangannya yang dicium oleh Hazry. Tekaknya tiba-tiba terasa loya, seolah-olah ingin mengeluarkan segala isi yang berada di perutnya. Farisha tidak tunggu lama, dia terus berlari laju menuju ke bilik air. Segala isi yang berada di dalam perutnya dimuntahkan ke dalam sinki. Tekaknya terasa perit, kepalanya terasa pening.

Hazry yang risau dengan keadaan isterinya cuma mengekori dari belakang. Bahagian belakang Farisha ditepuk perlahan. Kasihan pula dia melihatkan keadaan isterinya yang lemah.

“Sabar sayang… Sakit ye?” ujar Hazry sambil mengusap perlahan belakang Farisha.

“Awak boleh tolong keluar tak. Ini semua awak yang punya pasal. Disebabkan awak saya jadi macam ini. Lebih baik awak keluar cepat. Keluar!!!” jerit Farisha sambil menolak tubuh Hazry.

“Okey sayang abang keluar. Tapi… sayang tolong jangan buat benda-benda yang tak elok ye. Abang sayangkan sayang, dan abang risaukan diri sayang. Kalau boleh abang…”

“Keluar!!!” jerit Farisha lagi. Kepalanya semakin berserabut mendengarkan kata-kata Hazry.

Hazry terpaksa mengalah. Dia terus keluar dari bilik dengan keadaan yang berat hati. Tidak tahu bagaimana caranya untuk melembutkan hati Farisha.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience