BAB 13

Romance Completed 16602

Menitis air mata Farisha sebaik terpandangkan Hazry yang sedang nyenyak tidur di atas katil. Hatinya semakin pilu melihatkan kaki kiri Hazry yang bersimen. Muka Hazry yang kacak masih lagi ada kesan lebam. Di sebelah tangan kirinya tersambung wayar untuk memasukkan air. Disebabkan terlalu mengantuk Hazry terbabas dan melanggar penghadang jalan. Ikutkan hati hendak sahaja dia memeluk erat dan mencium Hazry, namun kehadiran papanya membantutkan rancangannya.

“Papa baliklah dulu. Biar Risha yang jaga abang. Lagipun Risha dah bagitahu dekat nurse tadi yang Risha nak bermalam di sini. Abang pun masih tidur lagi ni,” cadang Farisha. Kasihan pula dia melihat Encik Hamid yang agak keletihan.

“Tak apa ke Risha seorang dekat sini. Risha pun belum sihat sepenuhnya lagi kan?” Encik Hamid bimbang untuk membiarkan Farisha bermalam di hospital. Tambahan pula Farisha adalah perempuan, kalau lelaki itu lainlah cerita.

“Janganlah risau pa. InsyaAllah Risha tak ada apa-apa. Yang penting Risha kena jaga abang. Papa baliklah dulu, pagi esok papa datanglah.”

Encik Hamid mengangguk perlahan, bersetuju dengan cadangan Farisha. Dia turut berasa gembira dengan perubahan Farisha. Sudah mula memanggil Hazry abang. Mungkin ada sinar baru untuk rumahtangga mereka. Encik Hamid terus melangkah perlahan dan keluar.

Farisha mengambil tempat di kerusi yang terdapat di tepi katil. Wajah Hazry dipandangnya dengan perasaan sayu. Adakah dia akan kehilangan lelaki yang telah mula mendapat tempat di hatinya? Tangan Hazry digenggam kemas, dibawa ke bibir dan diciumnya dengan perasaan yang cukup aneh. Air matanya mengalir lagi. Terlalu sayu sungguh perasaannya di kala ini.

“Abang, maafkan Risha. Risha dah banyak buat salah dekat abang. Risha dah banyak sakitkan hati abang. Jangan tinggalkan Risha lagi. Risha tak sanggup hidup tanpa abang,” esak Farisha.

Dia lantas bangun dan mendekatkan mukanya ke arah Hazry. Pipi dan dahi Hazry diciumnya bertalu-talu. Seolah-olah tidak ada lagi hari esok untuknya bersama-sama dengan Hazry. Dia lantas duduk di atas katil. Mukanya terus disembamkan ke dada bidang Hazry. Dia menangis semahunya.

Hazry yang terkejut tiba-tiba membuka mata. Tidak menyangka bahawa Farisha berada bersama-samanya sekarang. Dan apa yang paling mengejutkannya ialah Farisha menangis kerananya. Hazry tersenyum bahagia. Akhirnya kesabarannya selama ini nyata tidak sia-sia. Farisha telah mula menerima dirinya. Kemalangan yang terjadi nyata memberikan satu hikmah yang tidak dapat dijangkakan. Hazry lantas mengelus lembut rambut isteri kesayangannya. Memang kasih dan sayangnya telah tumpah kepada gadis bernama Farisha.

Farisha tersentak. Mukanya didongakkan menghadap Hazry. Hazry sedang tersenyum manis ke arahnya. Farisha terasa malu dengan perbuatannya tadi, dia ingin bangun dan duduk di atas kerusi namun ditahan oleh Hazry. Pinggang Farisha didakapnya perlahan.

“Kenapa menangis ni sayang. Abang belum mati lagilah,” ujar Hazry sambil menyeka air mata Farisha.

“Tolong jangan sebut pasal mati depan Risha. Risha tak sanggup kehilangan abang,” balas Farisha sambil meletakkan jari telunjuknya di bibir Hazry. Kalau boleh dia tidak ingin berjauhan lagi dengan suami tercinta.

Hazry lantas mencium jari Farisha yang melekat dibibirnya. Inilah kebahagiaan yang diharap-harapkan. Panggilan abang yang didengarinya ternyata membuatkan dirinya teramat-amat bahagia. Terasa hilang sakit yang ditanggungnya sekarang ini.

“Kenapa pula tak sanggup. Kan sayang bencikan abang. Jadi lebih baiklah abang mati sahaja,” Hazry ingin menduga hati Farisha.

“Risha tahu, Risha dah buat silap. Abang janganlah cakap macam tu. Risha minta maaf banyak-banyak. Selama ini Risha dah banyak sakitkan hati abang. Maafkan Risha bang… Maafkan Risha,” tangis Risha kedengaran lagi.

Tangan Hazry digenggam dan diciumnya. Dia sudah tidak peduli, biarlah apa yang Hazry ingin katakan tentang dirinya.

“Shhhh… jangan menangis lagi sayang. Dah lama abang maafkan sayang. Dan saat inilah sekian lama abang nantikan. Sayang dah mula terima abang kan?” soal Hazry. Wajah Farisha ditatapnya dengan penuh debaran.

Farisha mengangguk perlahan membuatkan Hazry tersenyum bangga. Nampaknya kejayaan telah berpihak kepadanya.

“Risha sayangkan abang. Sayang sangat-sangat.”

“Abang pun sayangkan sayang. Sepenuh jiwa raga abang. Hari ini abang rasa teramat bahagia.”

“Risha pun bahagia sangat hari ini abang,” jawab Farisha sambil tersenyum. Memang teramat bahagia dirasakan bila diri disayangi.

“Alah… nampaknya abang terpaksa berpuasalah. Hubungan kita dah baik macam ni, abang kena puasa pula. Rugilah abang,” rungut Hazry tiba-tiba.

Farisha yang tidak faham dengan kata-kata Hazry mengerutkan kening.

“Kenapa pula kena puasa. Orang sakit tak payah puasalah. Nanti tak ada tenaga, macam mana nak cepat sembuh.”

“Bukan puasa makanlah sayang…” ujar Hazry sambil tersegih penuh makna.

“Habis tu puasa apa pula?” soal Farisha dengan nada yang hairan. Memang dia tidak faham. Selalunya kalau bab puasa ni, mestilah berkaitan dengan makan.

“Maksud abang puasa dari buat anaklah. Yelah, dah sakit-sakit ni. Macam mana nak buat anak kan…” Hazry buat muka selamba.

“Abang!!!” jerit Farisha sambil mencubit perlahan lengan Hazry. Tidak sangka persoalan itu pula yang ditimbulkan. Tidak padan dengan sakit. Tiba-tiba wajahnya merona merah menahan malu.

“Yelah, betullah apa yang abang cakapkan tu kan… Dah sakit, mana nak larat. Kalau tak sakit, sekarang juga abang nak…” ujar Hazry lagi sambil tersengih-sengih. Suka dia melihat wajah isterinya yang kemerah-merahan.

“Abang!!! Dahlah. Janganlah cakap macam tu lagi. Nanti Risha balik baru tahu,” ugut Farisha. Tidak tahan dia menahan malu saat ni.

“Kenapa sayang… Malu ye. Tak payahlah nak malu-malu dengan abang. Kita kan suami isteri. Bukannya orang lain pun. Dahlah tu. Temankan abang tidur ye. Badan abang letih sangat, mengantuk…” Hazry menguap perlahan sambil menutup mulut.

Farisha cuma mengangguk dan tersenyum. Selimut ditarik untuk menutupi tubuh Hazry. Farisha lantas duduk di kerusi. Tangan Hazry digenggam erat. Dia juga ingin melelapkan mata dan merehatkan badannya.

Hazry tersenyum memerhatikan tingkah-laku Farisha. Terasa bahagia bila tangannya bersatu dengan tangan Farisha.

“Sayang… abang nak kiss goodnite dulu. Kalau tidak abang tak lena tidur,” ujar Hazry tiba-tiba.

Farisha tersenyum mendengarkan kata-kata Hazry. Manja betul suaminya ini. Lantas dia menghalakan pipinya ke arah Hazry, tetapi tidak pula dicium oleh Hazry. Dia lantas menoleh ke arah Hazry.

“Abang punya kiss goodnite yang lain,” ujar Hazry sambil memainkan jari telunjuknya di bibir Farisha.

Dada Farisha berdebar-debar. Namun kali ini dia tidak membantah. Farisha memejamkan mata dan merelakan segala perbuatan Hazry kerana dia teramat-amat menyayangi dan mencintai lelaki itu. Semoga perhubungan mereka berkekalan sehingga ke akhir hayat dan disulami dengan kasih sayang yang berpanjangan.

Ini adalah lembaran baru untuknya sebagai seorang isteri dan dia mahu selalu menjadi isteri yang taat. Apa yang berlaku dulu adalah dirinya yang lama dan segala kesilapannya yang lalu adalah khilafnya. Kini dia bukan lagi seperti yang dulu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience