BAB 3

Romance Completed 16602

“Apa benda yang kecoh-kecoh tu?” tanya Encik Hisyam kepada Encik Hamid.

Kebetulan mereka berdua berada di ruang tamu sedang berehat-rehat.

“Siapa lagi kalau bukan si Risha tu,” jawab Encik Hamid.

“Entahlah, angah pun tak taulah dengan perangai dia tu long. Tak bersopan-santun. Suka-suka saja nak marah orang. Dah banyak kali angah dapat komplen dari staf di pejabat tu. Yang nak resign pun ada sebab tak tahan asyik kena marah dengan Risha.”

“Sampai macam tu sekali. Hmmm, biasalah tu. Budak-budak zaman sekarang. Tambah pula Risha tu kematian ibu dari kecil. Tak dapat kasih sayang dan didikan dari seorang ibu. Sebab tulah perangai dia lain macam saja,” ujar Encik Hisyam lagi yang merupakan bapa saudara Farisha.

Di waktu hujung minggu Encik Hisyam gemar bertandang ke rumah adiknya. Berbual-bual kosong.

“Entahlah, bila dia nak berubah pun tak tahu. Tapi yang angah suka tu dia serius pasal kerja. Memang boleh diharapkan. Dia pernah cakap yang dia akan mengambil tempat angah sebagai Pengarah di AH Holding.”

“Serius pasal kerja tu bagus dah. Tapi dia kena ubah sikap juga. Mana boleh berkasar dengan orang macam tu. Along ada satu cadangan. Apa kata kita kahwinkan saja dia tu. Habis cerita, selalunya kalau orang yang dah berkahwin ni akan berfikiran matang,” usul Encik Hisyam.

“Kahwinkan dia. Ishh, boleh ke long. Dia tu dahlah jenis yang suka memberontak. Belum tentu dia setuju dengan cadangan kita,” Encik Hamid faham dengan perangai Farisha. Tambahan pula Farisha sampai sekarang masih belum mempunyai teman lelaki.

“Apa susah. Kita ugut dia. Dia kan nak jadi Pengarah AH Holding. Kalau dia tak nak kahwin, kita lucutkan jawatannya dalam syarikat. Sekaligus dia takkan dapat berangan-angan nak jadi Pengarah AH Holding.”

“Betul juga tu long, tapi boleh jalan ke idea ni. Kalau dia tak nak macam mana,” Encik Hamid masih kelihatan was-was.

“Dia mesti terpaksa terima juga. Orang yang mementingkan kerjaya macam dia tu, mesti akan ikut cadangan kita. Angah jangan bimbanglah.”

“Okey, yang tu dah selesai. Tapi kat mana pula nak dicari pengantin lelakinya. Kalau Risha setuju, tapi ada ke lelaki yang nak kahwin dengan dia. Ramai orang yang tak suka dengan perangai dia tu.”

“Betul juga ye,” Encik Hisyam menggaru-garu kepalanya. Siapalah pula yang hendak disuruhnya berkahwin dengan Farisha ni. Lelaki zaman sekarang ini pun pandai memilih calon isteri. Kalau hendak fikir fasal cantik, Farisha tu memang sudah cantik, cuma sikapnya saja yang tidak cantik. Tetapi ada juga lelaki yang sanggup berkahwin kerana harta. Jangan ingat perempuan sahaja yang materialistik, lelaki pun ada.

“Haaa!!! angah,” sergah Encik Hisyam dengan kuat.

Encik Hamid cuma mengurut dada perlahan, terkejut dengan sergahan Encik Hisyam tadi.

“Kau ni long, janganlah macam ni, terkejut angah tau. Kenapa? Dah dapat calon ke.”

“Tu siapa nama budak lelaki yang kerja di AM Holding tu. Feri, Ry, apa entah nama dia,” Encik Hisyam meneka-neka. Tiba-tiba dia teringatkan lelaki tersebut yang pernah dijumpainya semasa dia datang ke AM Holding dahulu. Tengok pada gaya lelaki tersebut, dia merupakan seorang yang mementingkan jenama. Berprofile tinggi, sesuai jika digandingkan dengan Farisha.

“Ohh, Hazry. Ha’aa. Angah tak terfikir pun tadi. Dia tu memang seorang yang bercita-cita besar. Kalau boleh semua yang besar-besar dia nak. Kereta besar, rumah besar. Hutang keliling pinggang tu. Bak kata orang biar papa asal bergaya.”

“Kalau macam tu memang sesuai sangatlah dengan Risha. Along rasa lebih baik angah slow talk dengan dia. Cuba pujuk dia supaya berkahwin dengan Risya. Kita umpanlah dia juga. Tu jawatan pengurus dekat AM Holding tu kan masih kosong lagi. Bagi je dekat dia kalau dia setuju berkahwin dengan Risha.”

“Betul juga tu. Tak terfikir pula angah tadi. Lagipun Hazry tu dah lama bekerja di AH Holding. Memang layak pun dia memegang jawatan tersebut. Nantilah esok angah akan berbincang dengan Risha dan juga Hazry,” jelas Encik Hamid.

Berharap sangat agar Farisha akan mengikut cadangannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience