BAB 4

Romance Completed 16602

Farisha menghenyakkan badannya sekuat hati di kerusi. Dadanya berombak kencang, nafasnya turun naik dengan laju sekali. Geram betul dia dengan arahan papanya. Ada ke patut dia disuruh berkahwin dengan Hazry. Papa dia ingat ini macam zaman dulu-dulu ke, nak kena kahwin paksa. Sudahlah dengan Hazry pula tu. Apa kelas mamat itu hendak dijadikan suami. Tidak termasuk dalam senarai citarasanya langsung. Siap ugut pula tu dengan jawatan Pengarah di AH Holding. Ini yang membuatkan Farisha bertambah-tambah geram. Jawatan Pengarah itu memang diidam-idamkannya, tidak sangka papanya memasang umpan sedemikian rupa.

Yang menyakitkan hatinya lagi, Hazry boleh bersetuju pula tu dengan permintaan papanya. Hujung minggu ini juga dia hendak hantar orang masuk meminang.

“Okey… Nak sangat aku kahwin dengan si Hazry tu ye. Aku akan kahwin, tapi lepas dah dapat jawatan tu nanti aku akan suruh Hazry ceraikan aku,” bebel Farisha.

Gagang telefon diangkat. Extension Hazry didail. Perhitungan terakhir perlu dibuat bersama-sama dengan Hazry.

“Hello Hazry!!! Masuk bilik saya sekejap.”

Gagang telefon dihempas kuat. Matanya terarah ke pintu, menunggu kedatangan Hazry. Tidak lama kemudian kedengaran ketukan di pintu. Mesti Hazry sudah sampai.

“Masuk!!!” jerit Farisha kuat.

Hazry yang muncul di muka pintu berjalan perlahan menuju ke arah Farisha. Wajah Farisha yang mencuka itu dipandang dalam-dalam. Seakan-akan dapat mengagak perkara yang ingin dibincangkan oleh gadis manis tersebut. Hazry tidak menyangka bagaimana Encik Hamid boleh menawarkan dirinya untuk berkahwin dengan Farisha. Sudahlah begitu, jawatan Pengurus di AM Holding juga turut ditawarkan. Memang sudah lama Hazry menginginkan jawatan tersebut. Umpama pucuk dicita ulam mendatang. Syaratnya mudah sahaja, dia perlu membentuk dan mengubah Farisha menjadi seorang perempuan yang bersopan-santun dan menghormati orang lain. Bagi Hazry syarat tersebut amat mudah, apabila sudah bergelar suami Farisha nanti, dia akan menggunakan kuasa vetonya. Tengok sahajalah nanti.

“Ada apa Cik Farisha?” soal Hazry sambil merenung wajah Farisha yang kelat.

“Apa yang papa saya bagi dekat awak sampai awak sanggup berkahwin dengan saya?” soalnya kasar.

Hazry cuma tersenyum sinis. Ini membuatkan Farisha semakin naik angin.

“Dah, awak tak payah nak senyum-senyum. Saya tanya awak jawablah,” bentak Farisha lagi sambil berpeluk tubuh.

“Betul Cik Farisha nak tahu?” soal Hazry lagi.

“Awak jangan nak main-mainkan saya. Mesti papa saya ada offer something dekat awak kan. Kalau tidak masakan awak hendak berkahwin dengan orang seperti saya.”

Hazry tersenyum sinis lagi. Suka dia mendengar ayat yang diluahkan Farisha. Sedar juga dirinya tidak ada sesiapa pun yang ingin berkahwin dengannya.

“Jawatan sebagai Pengurus di AH Holding,” Hazry menjawab dengan selamba.

“What!!!,” Farisha terkejut sambil membulatkan biji matanya. Kemudian dia turut tersenyum sinis.

“So sekarang fairlah. Awak kahwin dengan saya sebab jawatan sebagai Pengurus dan saya juga akan berkahwin dengan awak disebabkan jawatan sebagai Pengarah di AH Holding. Cuma satu sahaja saya nak minta dari awak, selepas setahun kita berkahwin saya nak awak ceraikan saya. Dan perkahwinan yang akan berlangsung ini hanya atas nama sahaja. Hakikatnya kita bukan suami isteri. And one more thing, no touching. Setuju?” cadang Farisha.

Hazry mengerutkan dahinya sedikit. Lain macam betul permintaan Farisha. Tetapi rasanya dalam tempoh setahun itu dia pasti akan berjaya mengubah Farisha. Kalau hendak bercerai pun dia tidak kisah. Lagipun Hazry berkahwin denga Farisha disebabkan jawatan sebagai Pengurus. Bukannya disebabkan perasaan cinta atau sebagainya.

“Setuju,” balas Hazry dengan laju.

Farisha tersenyum mendengarkan jawapan Hazry. Tempoh masa setahun bukanlah lama untuk dia hidup bersama-sama dengan Hazry.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience