BAB 12

Romance Completed 16602

Hazry bergegas memandu menuju ke Pusat Perubatan Universiti Malaya. Mesyuarat yang sedang dipengerusikannya tadi terpaksa ditangguhkan ke hari yang lain. Berita yang didengarinya dari Encik Hisyam tadi benar-benar mengejutkannya.

“Ry, cepat datang sini. Risha keguguran. Sekarang ni dekat wad di PPUM,” itulah kata-kata terakhir yang didengarinya melalui panggilan telefon yang dibuat oleh bapa mertuanya tadi.

Sebaik memarkirkan kereta Hazry berlari-lari anak menuju ke kaunter pertanyaan di lobi hospital. Dia terus bergegas menuju ke bilik Farisha setelah mendapatkan nombor bilik tersebut. Sebaik sampai di bilik Farisha kelihatan Encik Hisyam dan Encik Hamid berada di dalam.

“A’aaa eloklah kau dah sampai Ry. Kebetulan pula papa dengan ayah Long kau ni pun dah nak balik. Tolong tengok-tengokkan Risha ni ye,” ujar Encik Hamid sambil menepuk-nepuk bahu Hazry.

“Jangan risau pa. Ry akan jaga Risha sepenuh hati,” balas Hazry sambil merenung Farisha yang sedang berbaring. Jelas tergambar riak kebimbangan di wajahnya.

Encik Hamid dan Encik Hisyam berlalu pergi meninggalkan Farisha dan Hazry.

Hazry menatap wajah isteri kesayangannya. Wajah itu kelihatan cukup pucat. Dia lantas melabuhkan punggung di kerusi di sisi katil. Terlalu banyak persoalan yang ingin diajukan kepada Farisha.

“Cuba cakap dengan abang. Macam mana sayang boleh gugur?” soal Hazry dengan agak tegas. Fikirnya mesti Farisha melakukan sesuatu untuk menggugurkan kandungan tersebut kerana perkara itu yang pernah dinyatakannya dahulu.

Farisha cuma membisu. Tidak kuasa dia hendak menjawab pertanyaan Hazry. Wajahnya dipalingkan ke arah tingkap. Kalau boleh dia ingin merehatkan badan dan mindanya.

“Abang tanya ni. Cakap dengan abang macam mana sayang boleh gugur?” soal Hazry untuk kali kedua. Tidak ada senyuman yang tergaris di bibirnya saat ini.

“Saya terjatuh tangga,” Farisha berterus-terang.

“Jangan nak tipu dengan abang. Cuba cakap perkara yang sebenarnya,” Hazry tidak berpuas hati dengan penjelasan Farisha. Wajah Farisha ditenung tajam.

“Betullah saya jatuh tangga. Habis tu awak ingat saya sengaja nak gugurkan kandungan ni,” bentak Farisha pula. Memang sewaktu dia menuruni tangga tengahari tadi kepalanya tiba-tiba pening. Tidak semena-mena langkah kakinya turut tersasar dan menyebabkan dia jatuh tergolek. Nasib baiklah Encik Hamid ada di rumah. Encik Hamidlah yang membawanya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Manalah tahu. Dulu kan sayang pernah cakap nak gugurkan baby ni,” tergambar kerutan di dahi Hazry.

“Awak ingat saya dah hilang akal ke? Memang saya pernah cakap macam tu, tapi saya tak tergamak nak melakukannya. Kalau awak tak percaya sudahlah,” bebel Farisha lagi. Malas dia hendak melayan kerenah Hazry. Lebih baik dia berehat, kesihatannya perlu didahulukan.

“Kalau macam tu okeylah. Lega sikit abang mendengarnya. Sayang macam mana? Sakit sangat ke?”

“Sakit sikit je,” Farisha menjawab dengan ringkas.

“Macam mana ye?”

“Macam mana apanya?” soal Farisha hairan.

“Abang kena pergi seminar dekat Cameron Highland. Sayang pula dah macam ni. Siapa pula yang nak jaga sayang nanti ni. Biar abang bawa mak dari kampung ye. Boleh tengok-tengokkan sayang,” usul Hazry. Untuk dia membatalkan seminar tersebut adalah mustahil.

“Tak payahlah. Buat apa nak susahkan mak awak tu. Lagipun saya boleh jaga diri saya sendiri. Bibik Midah pun ada. Saya bukannya sakit sangat,” Farisha menolak. Dia masih boleh berdikari walaupun dengan keadaannya sekarang. Tambahan pula dia tidak mahu termakan budi dengan keluarga Hazry.

“Cuba jangan degil boleh tak. Orang yang keguguran ni sama juga macam orang yang baru lepas bersalin tau tak? Kena jaga elok-elok. Abang tak nak sepanjang abang di Cameron nanti abang asyik risaukan sayang saja,” Hazry mendesak.

“Kalau macam tu yelah,” kali ini Farisha tidak menolak. Lagipun inilah peluang dia untuk berjauhan dengan Hazry. Mungkin bila Hazry tiada dia dapat menenangkan fikirannya dan dapat merasa bebas untuk sementara waktu.

BAB 13

Farisha berbaring-baring di atas katil. Entah kenapa begitu sukar untuknya melelapkan mata. Sudah hampir seminggu Hazry berada di Cameron Highland, namun sekalipun dia tidak menelefon Farisha. Sepatutnya Hazry sudah pulang kerana seminar tersebut hanya berlangsung selama tiga hari. Tetapi sampai sekarang batang hidung Hazry masih belum kelihatan. Timbul juga perasaan bimbang dalam diri Farisha. Namun untuk Farisha menghubungi Hazry adalah mustahil.

Farisha meraup mukanya perlahan. Kemudian dia bangun dan menuju ke tepi tingkap. Bintang-bintang yang bertaburan di langit malam dilihatnya dengan begitu khusyuk sekali. Tiba-tiba dirinya menjadi teramat-amat rindukan Hazry. Rindu dengan ungkapan sayang yang tidak jemu-jemu diungkapkan. Ternyata Farisha memang turut menyimpan perasaan yang sama, namun egonya yang menggunung memaksa dia menidakkan perasaan tersebut. Apabila Hazry berada jauh dari pandangan matanya barulah dia tahu yang dia memang sayangkan Hazry. Saat ini dia benar-benar rindukan Hazry. Rindukan seorang lelaki yang bergelar suaminya.

Kakinya dibawa perlahan menuju ke katil. Telefon bimbitnya yang terletak di atas meja kecil di tepi katil itu dipandang kosong.

“Kenapa dia tak telefon?” soal Farisha sendiri.

“Entah-entah dia dah tak sayangkan aku. Mungkin dia dah tak tahan dengan perangai dan layanan aku padanya. Ataupun dia dah berkenan dengan perempuan Cameron. Patutlah sampai sekarang tak balik-balik. Telefon aku pun tidak… Eee geramnya,” timbul perasaan cemburu dalam dirinya. Andainya Hazry ada perempuan lain mungkin sukar untuknya menerima kenyataan.

Ketukan kuat di pintu mematikan lamunan Farisha. Dia lantas bergegas menuju ke arah pintu dan membukanya. Kelihatan Encik Hamid yang agak bimbang dengan nafas yang termengah-mengah.

“Kenapa ni pa?”

“Hazry… Hazry…”

“Kenapa dengan dia?” soal Farisha cemas.

“Hazry kemalangan. Sekarang dia ada dekat Hospital Kuala Lumpur,” terang Encik Hamid. Dia turut berasa terkejut dengan berita yang didengarinya tadi. Apa yang lebih mengejutkannya ialah sudah empat hari Hazry kemalangan dan baru hari ini keluarganya diberitahu tentang berita tersebut. Sengaja Hazry berbuat sedemikian supaya mereka tidak bimbang.

“Kalau macam tu jom kita pergi sekarang pa. Harap-harap abang tak apa-apa,” Farisha bergegas turun ke tangga.

Kalau boleh dia ingin cepat sampai ke hospital dan berada bersama-sama dengan Hazry sekarang juga. Terlalu banyak dosanya kepada lelaki tersebut. Dia perlu segera menemuinya. Tidak ada perkara lain di fikirannya saat ini melainkan Hazry sahaja. Encik Hamid turut bergegas mengekori Farisha.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience