BAB 5

Romance Completed 16602

Hari ini berlangsungnya majlis perkahwinan di antara Farisha dan Hazry di Hotel Herritage. Perkahwinan yang cukup meriah sekali dengan kehadiran ramai tetamu. Farisha dan Hazry mengenakan baju pengantin berwarna ungu lembut. Kedua-duanya sama cantik dan sama padan. Bagaikan pinang dibelah dua. Sepanjang majlis tersebut, Farisha dan Hazry sentiasa mengukir senyuman. Senyuman yang dibuat-buat.

Setelah berlangsungnya majlis perkahwinan tersebut Farisha dan Hazry dibawa pulang ke rumah Encik Hamid di Damansara. Cuma ada beberapa orang saudara terdekat dan juga ahli keluarga Hazry sahaja di sini. Setelah sampai di rumah Farisha terus berlalu menuju ke biliknya. Badannya terasa melekit-lekit akibat peluh. Keadaan yang tidak selesa itu menyebabkan dia ingin cepat-cepat membersihkan dirinya. Hazry ditinggalkan bersama saudara-mara yang lain di ruang tamu.

“Pergilah berehat-rehat di bilik dulu Ry. Salin pakaian tu dulu. Mesti penatkan,” usul Encik Hamid apabila melihat Hazry duduk di sofa di sebelahnya.

Di ruang tamu sekarang ini cuma ada Encik Hamid, Encik Hisyam serta emak dan ayah Hazry sahaja.

“Sekejap lagilah pa. Lagipun Ry nak tunggu mak dan ayah Ry balik ke kampung dulu,” terang Hazry.

Mak dan ayahnya serta adik-beradiknya yang lain akan pulang ke kampung hari ini juga. Mereka tidak bermalam di rumah Encik Hamid kerana sudah 2 hari mereka berada di situ.

“Oh ye ke. Kenapa tak tidur sahaja di sini malam ni,” usul Encik Hisyam.

“Tak apalah Encik Hisyam, nak kena balik hari ini. Ayam itik dekat kampung tu tak ada siapa nak tengok. Lagipun dah beberapa hari kami di sini,” terang Pak Jalil, ayah Hazry.

“Kalau macam tu tak apalah. Tak boleh nak kata apa dah tu,” sampuk Encik Hamid.

Lebih kurang sepuluh minit kemudian ayah dan emak Hazry meminta izin untuk pulang. Setelah menghantar mereka di luar rumah Hazry terus berjalan perlahan menuju ke bilik Farisha. Badannya terasa panas dan rimas dengan baju pengantin yang dipakainya. Memang tidak tahan sangat-sangat.

Sebaik memasuki bilik Farisha suasana begitu sunyi sekali. Tidak kelihatan pula kelibat Farisha di dalam bilik. Hazry terus menuju ke arah beg pakaiannya. T-shirt putih dan jeans biru dikeluarkan. Tanpa membuang masa dia terus membuka baju pengantin yang dipakainya.

Hazry terpana seketika apabila terpandangkan Farisha yang tiba-tiba keluar dari bilik air. Hanya memakai tuala sahaja dengan keadaan yang sedang berkemban. Rambutnya yang panjang dan basah itu membuatkan dirinya kelihatan cukup seksi di mata Hazry. Tambahan pula dengan bentuk tubuhnya yang menarik, memang betul-betul menggugat keimanan Hazry.

Farisha yang terkejut dengan kehadiran Hazry terus laju menutupi dadanya dengan kedua-dua tangannya. Malu pula dengan keadaan dirinya yang sedemikian menjadi tontonan Hazry. Walaupun mereka telah bergelar suami isteri.

“Apa awak buat dekat sini!!!” jerit Farisha marah.

“Kita kan baru kahwin sayang. Sudah pastilah bilik sayang ni menjadi bilik abang juga,” terang Hazry. T-shirt putih di tangan terus disarungkan ke badan.

Farisha sedikit tergoda melihat tubuh Hazry yang berotot. Memang dia mengimpikan susuk tubuh seperti itu yang akan membelainya setiap hari. Wajah Hazry direnung tajam. Penggunaan kata nama yang digunakan Hazry tadi tiba-tiba menaikkan kemarahannya.

“Tak payah nak berabang-abang dan tak payah nak bersayang-sayang dengan saya. Saya tak suka ok. Lagipun awak ingat sikit apa tujuan kita mengikat tali perkahwinan. Bukannya serius sampai nak menjalin hubungan cinta pula,” getus Farisha dan terus laju menuju ke arah almari pakaiannya.

Blaus dan skirt labuh diambil. Dia pantas menuju ke bilik air semula. Tidak selesa menyarung pakaian di hadapan Hazry.

Hazry buat tidak kisah dengan celoteh Farisha. Sengaja dia menggunakan kata nama tersebut. Ingin melihat reaksi Farisha. Ternyata Farisha tidak suka. Hazry lantas menyalin seluar dan berjalan keluar menuju ke ruang tamu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience