BAB 5

Drama Completed 11457

SELESAI menghantar Sofea ke rumah, Razif kembali semula ke pejabat.

Tepat jam lima petang, dia segera keluar dari pejabat. Hari itu dia

perlu tahu segala-galanya. Dia segera menjalani agendanya yang telah

dirancang dengan penuh teliti. Semoga apa yang terbuku di hati dan

persoalan yang membuak-buak di mindanya terjawab hari ini.

Kereta Azman yang dipinjam tadi dibawa laju menuju ke pejabat Azreen.

Razif sengaja membawa kereta Azman supaya tidak dikesan oleh Azreen

nanti. Penyamarannya perlu dilakukan dengan teliti. Lama dia menunggu di

dalam kereta. Kereta diletak agak jauh dari bahagian depan pejabat

Azreen yang terletak di bangunan sepuluh tingkat. Sesekali Razif jeling

kamera video yang sudah bersedia untuk merakam. Dia sudah nekad. Kereta

Azreen pula masih tersadai di bahagian letak kereta betul-betul

berhadapan dengan pintu utama.

Razif lihat jam di kereta. Sudah hampir lima setengah petang. Matanya

memandang pula ke arah pintu utama bangunan di depannya. Dari jauh dia

sudah nampak Azreen keluar dari pintu utama dengan senyuman manis. Namun

Azreen tidak menuju ke arah kereta Honda Civic kepunyaannya sebaliknya

dia menuju ke sebuah kereta mewah berwarna hitam. Pintu kereta dibuka

sambil tersenyum. Segala gerak geri Azreen dirakam dengan penuh teliti.

Kereta Razif mula bergerak bila melihat kereta hitam di depannya sudah

mula bergerak. Dia ikut ke mana saja kereta hitam itu pergi dalam jarak

yang selamat. Baru beberapa minit bergerak, Razif pandang telefon

bimbitnya yang berbunyi nyaring. Dia jeling nama yang tertera di skrin.

Azreen! Hatinya mula gelisah, bimbang Azreen dapat menghidu tindakannya

mengekori begitu. Perlahan dia menjawab.

“Hello bang! Az lambat sikit hari ni. Az masih kat pejabat ni. Hari ni

kena buat overtime, mungkin sampai malam sebab nak siapkan bahan-bahan

untuk meeting esok.”

“Ok..”

Razif hanya senyum hambar. Pilu dan luluh hatinya memikirkan betapa

Azreen berbohong kepadanya namun dikuatkan juga hati demi mencari

kebenaran apa yang terjadi sebenarnya. Matanya tidak lepas dari

memandang kereta hitam. Nyata Azreen tega menipu di depan matanya

sendiri sedangkan dia tahu saat ini Azreen berada di dalam kereta hitam

itu yang sedang meluncur laju. Hatinya sebak. Tidak sangka Azreen

sanggup menipunya begitu. Perlahan keretanya mengekori kereta hitam itu

yang menuju ke sebuah restoran mewah. Dari situ Razif sekali lagi

merakam segala gerak geri Azreen setelah dia meletak keretanya agak jauh

dari kereta hitam itu. Hatinya berdetik kuat. Nyata Azreen keluar dengan

seorang lelaki yang jauh lebih muda darinya sebaik sahaja lelaki itu

keluar dari perut kereta. Dia terus merakam segala perlakuan Azreen dan

lelaki muda itu. Pada hemahnya, lelaki itu memang orang berada. Azreen

dengan mesra memaut lengan lelaki itu sambil melentukkan kepalanya di

bahu lelaki itu.

Dari dalam kereta, Razif masih merakam perlakuan mereka. Kali ini lelaki

itu pula memeluk bahu dan membetulkan tudung Azreen sambil sebuah

kucupan mesra singgah di pipi gebu Azreen. Sekali sekala mereka ketawa

kecil. Razif mengurut dada. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia

menghadiahkan sebiji buku lima ke muka lelaki itu. Azreen pula mahu

rasanya dia lempang sehingga terduduk. Namun itu semua hanya ilusi

dirinya. Biarlah begitu. Rakaman itu nanti menjadi bukti kukuh untuknya

berhujah dengan Azreen nanti.

“Az..sanggup kau curang dengan aku..” Tanpa sedar, air mata lelakinya

tumpah jua melihat kecurangan Azreen di depan matanya sendiri.

Terasa lenguh seluruh badan setelah tiga jam berada di dalam kereta

memerhati gerak geri Azreen dan lelaki itu. Waktu Asar dan maghrib

terlupus begitu sahaja. Razif beristighfar bila mengenangkan dia telah

berdosa meninggalkan kewajipan kepada Allah semata-mata ingin mencari

kebenaran.

Azreen dan teman lelakinya mula keluar dari restoran itu. Razif

cepat-cepat tunduk dan mula menghidupkan enjin. Perlahan dia mengekori

kereta hitam itu sebaik saja kereta itu mula bergerak. Perasaannya

semakin membuak ingin tahu ke mana pasangan dilanda mabuk cinta itu

menghala. Razif mengekori berhati-hati agar kehadirannya tidak dihidu

oleh mereka. Dari jalan yang dilalui, nyata kereta hitam itu kembali

semula ke pejabat Azreen.

“Mungkin lelaki itu ingin menghantar Azreen di situ kerana kereta Azreen

masih di tempat letak kereta..” Razif berkata sendiri. Kamera video

masih merakam aksi mereka.

Tekaan Razif nyata salah. Kereta hitam itu bergerak perlahan ke belakang

bangunan yang gelap dan sempit. Jam di dashboard sudah hampir lapan

malam. Dalam keadaan gelap begitu, Razif beranikan diri keluar dari

kereta sambil membawa bersama kamera video. Dia nekad untuk merakam

segala perbuatan Azreen walaupun dalam keadaan gelap begitu. Dia menapak

perlahan ke arah kereta hitam yang mula berhenti di lorong belakang

bangunan dengan deruman enjin masih kedengaran. Pemandangan gelap

begitu, dia terpaksa menggunakan fungsi rakaman dalam gelap untuk

rakaman yang lebih baik. Dia mula mencari tempat yang sedikit tersorok

agar tidak disedari oleh Azreen.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience