Bab 4

Drama Series 10845

DISEBABKAN Raisha punya pasal, habis bertampal wajah Darren dengan plaster. Kat bahagian rahang kiri, lepas tu hujung bibir pun ada luka jugak. Semuanya sebab Raisha si singa betina tu la.

Nasib baiklah bahagian badan yang lain tak ada yang terkoyak mahupun patah. Kalau sampai ke tahap tu, memang kena berjahitlah Darren tu. Tapi setakat berjahit, rasanya dah biasa bagi Darren.

Huh! Kalau Darren berjahit satu badan pun, ingat Raisha tu peduli? Ingat Raisha tu akan rasa bersalah? 

Lagi dia suka adalah. Entah kalau Darren tu mati kena pukul pun, Raisha tu buat tak tahu je. 

Tengoklah sekarang, Darren tengah sakit terbaring atas katil kat bilik tetamu, Raisha malah siap sumbat telinga dengan Airpodnya tu kat biliknya sendiri. Macam dia tu tak buat apa-apa kesalahan langsung padahal Raisha sendiri baru dimaklumkan yang Darren tu bukan 'anjing peliharaan' Puan Sri Zarina.

Darren tu tak ada kaitan langsung dengan Zarina! Hanya lelaki penghantar piza aje.

Sejak Darren dirawat oleh doktor peribadi Raisha di rumah agam ni dari siang tadi, Raisha nak jenguk Darren satu kali pun tak pernah. 

Nak ucap kata maaf? Memang taklah. Lepas dia pukul Darren tu, dia blah macam tu aje dan terus memerap dalam bilik.

Nasib baiklah ada Puan Linda dan pembantu rumah lain. Gawat kalau mereka semua tu tak ada. Merekalah yang sedia merawat Darren tu.

Siap sediakan bilik dan suruh Darren tinggal semalam kat rumah ni lagi. Untung kau kan, Darren. Sakit-sakit pun, dapat bermalam kat rumah besar.

Rasa meluat pulak dengan lelaki yang tiba-tiba dilayan macam tetamu istimewa tu. Memanglah, Raisha tahu Darren tu merupakan bekas penghuni Rumah Anak Yatim Cahaya. Dia pun baru tahu tentang info tu dari mulut Puan Linda sendiri tadi.

Eii ... disebabkan dia pernah dibesarkan kat Rumah Anak Yatim Cahaya tu, Aunty Linda layan dia macam tu sekali. Dia tu mesti ada udang di sebalik batu! Raisha tak henti berburuk sangka dengan Darren.

Mulutnya tak henti mengomel. Fikirannya kusut. Dan bertambah kusut apabila suara Puan Linda tak henti membingit dari tadi.

"Ala ... bisinglah aunty ni pun! Orang nak dengar lagu pun tak senang. Kalau masuk bilik Raisha setakat nak bagi nasihat, baik aunty keluar je." Raisha nampak tertekan. Terus dia baring di atas katil, nak tidur. Dia pun malas nak dengar mak saudaranya tu menceceh lebih-lebih.

Puan Linda masih setia berdiri di sisi katil Raisha. Kepalanya digeleng-geleng. Haih ... memang degil betul kamu ni, Raisha.

"Raisha nak marah aunty, marahlah sepuas-puas hati Raisha. Tapi aunty mintak satu je, tolong mintak maaf kat Darren tu. Dia tu tak buat salah apa-apa, tapi kamu pukul dia. Sampai lebam, berdarah tahu tak?" tegur Puan Linda. 

Raisha garu kepalanya kasar. Habis rambut ikalnya berantakan. 

Ish! Dari tadi suruh mintak maaf aje. Macam tak ada benda lain suruh aku buat! Kecam Raisha dalam hati.

"Raisha benarkan dia tinggal kat sini satu malam pun dikira okeylah tu. Tak payahlah aunty nak suruh Raisha mintak maaf kat laki yang entah datang dari ceruk mana tu. Memang special sangat ke laki tu, sampaikan dari siang tadi aunty tak henti-henti suruh Raisha mintak maaf kat dia?" bidas Raisha sekali sembur. 

Panas pulak hati bila memikirkan lelaki bernama Darren tu. Ceh! Nama bukan main unik, tapi adab tak ada. Aku dah tanya elok-elok tadi, siapa dia. Tapi dia bisu, tak nak jawab. Memang makanlah kena belasah dengan aku.

Semuanya salah laki tu. Masuk rumah ni tanpa kebenaran aku. Yang si lembik tu pulak memandai-mandai bawak masuk orang luar dalam rumah aku. Dia ingat dia tu siapa? Raisha masih lagi meletakkan kesalahan kepada orang lain. Berkerut-kerut muka dia menghamun semua orang.

Raisha tak pernah salah. Orang lain yang salah!

"Jangan macam tu, Raisha. Macam tu ke perangai ciri-ciri bakal pengelola Hotel Auroria? Panas baran, lepas tu ego. Tolonglah berubah, Raisha. Buang sikit perangai tu. Semua untuk kebaikan kamu jugak tau."

Raisha terus tegangkan rahangnya. Tahap keberangannya makin memuncak-muncak. Tapi dia biarkan mak saudaranya tu teruskan bercakap seorang diri. 

Airpod yang disumbat di telinga ditanggalkan. Langsung Raisha memalingkan tubuhnya membelakangi Puan Linda.

Tadi dunia Raisha hanya berduaan dengan muzik dan suara Puan Linda. Tapi sekarang, dia mahu buang semua tu. Dia nak tidur. Malas nak tadah telinga dengan omongan mak saudaranya tu. 

Puan Linda terus melepaskan keluhan berat melihat Raisha yang sudah membalutkan tubuhnya dengan selimut. Bertingkah macam nak tidur.

Tapi nak tidur apanya, baru pukul 9:15 malam. Kau pukul 11:00 malam baru masuk tidur, Raisha.

Putus asa ajelah jawabnya. Puan Linda mengalah untuk memberi nasihat buat kesekian kalinya. Nak suruh minta maaf kat Darren pun payah. Nasihatlah sampai berbuih mulut pun, memang tak makan saman.

Raisha ni la, memang keras kepala sungguh!

Puan Linda beria memohon Raisha agar meminta maaf bukan sebab apa, cuma dia mahu menjaga reputasi Raisha sendiri.

Dia takut, kalaulah. Kalau Darren tu bongkarkan segala apa yang telah Raisha lakukan petang tadi, memang buruklah pandangan publik terhadap Raisha nanti.

Pewaris tunggal Hotel Auroria tu pernah pukul orang?

Cik Raisha tu panas baran?

Tak naklah Puan Linda biarkan pertanyaan dan persepsi itu menyerap dalam pemikiran masyarakat kat Malaysia ni. Mintak simpanglah semua tu. Dia tak nak nama Raisha tercemar dengan segala desas-desus yang dikhuatiri menimpa tu.

Lambat-lambat, Puan Linda mengorak langkah beratnya keluar dari bilik tidur Raisha. 

Pintu terkatup. Tak sampai sepuluh saat Puan Linda beredar, Raisha buka matanya. Biarpun segalanya hitam, tapi dia tahu mak saudaranya tu dah tiada kat situ. 

Fikirannya kini sedang berkecamuk dengan lelaki bernama Darren tu! Dasar lelaki troublemaker! Pasal kau macam-macam masalah timbul tau tak! Marah Raisha dalam hati.

Ish! Aku nak tidur pun susah. Semua sebab laki tu la! Lagi sekali Raisha lampiaskan amarahnya.

Entah kenapa, kekusutan yang menerpanya kali ini membuatkan dirinya tak senang duduk.

Semua sebab Darren punya puncalah ni.

*****

Dilayan dah macam tetamu terhormat pulak. Waktu petang tadi, dia dirawat oleh Doktor Aireen selaku doktor peribadi Raisha. 

Dah nama pun doktor peribadi, perkhidmatan yang diberikan pun memang memuaskan hatilah.

Tu baru cakap pasal rawatan, belum lagi pasal makanan. Uish ... rasanya kalau Darren tu sakit, setiap hari dia tu nak datang ke rumah ni. Ye la, apa yang dijamu, semuanya special dan sedap belaka. Tak padan dengan makanan untuk orang sakit.

Tempat tidur kat bilik ni pun, bukan main selesa. Katil empuk, air cond sejuk, rasanya memang tak nak keluar dari biliklah. Kalau ada peluang, memang Darren tak nak keluar dari rumah ni. Sempat lagi Darren berniat macam tu.

Amboi, Darren. Melebih pulak kau ni. Sedar diri sikit yang ni rumah orang. Rumah anak saudara Puan Linda. Kau jangan jadi lelaki tak tahu malu pulak eh nak menumpang sana sini. Darren segera menghalau fikiran mengarutnya.

Tok! Tok!

Dalam tengah bergelut membentak fikirannya sendiri, pintu diketuk. 

"Boleh saya masuk? Puan Linda suruh saya hantar makanan."

"Tasnim ... masuklah." Darren membenarkan. Darren pantas menyandarkan tubuhnya di kepala katil.

Dengar suara wanita itu di sebalik pintu pun Darren dah tahu suara itu milik Tasnim. Memang ada ciri khas sungguh suaranya. Lembut dan gemalai aje.

Lalu terpampanglah Tasnim yang sedang menatang dulang berisi makanan itu. Dia berjalan perlahan-lahan, diletak dulang itu di atas meja kecil di sisi katil Darren. 

"Baju yang awak pakai tu, padan tak? Kecik sangat ke?" tanya Tasnim sambil melirik pakaian yang tersarung pada badan Darren.

Itu baju T-shirt berlengan panjang berwarna kelabu plain miliknya. Dah nama pun Darren bermalam kat sini, jadi mestilah kena tukar baju, kan?

Nasib baiklah Tasnim tu ada baju yang oversize. Tersalah beli saiz punya pasal, Tasnim simpanlah baju tu dalam drawer tanpa diusik langsung.

Tak sangka pulak, baju tu ada gunanya jugak untuk hari ni.

"Eh, padan ni. Terima kasih tau pinjamkan," ucap Darren melorekkan segaris senyum.

Baju Tasnim tu muatlah kiranya dengan badan Darren walaupun nampaklah sedikit melekat tu. Tapi bagi Darren, selesalah jugak sebab material dia tak panas.

Tasnim membalas senyum. Tanpa melengahkan masa, dia terus menghidangkan makanan di atas meja itu.

"Saya nak mintak maaf bagi pihak Cik Raisha. Saya harap awak dapat maafkan dia. Dia tak sengaja pukul awak tadi," ucap Tasnim pinta kemaafan bagi pihak majikannya. Padahal majikannya tu bukannya reti nak minta maaf pun.

Dari petang tadi Tasnim nak ucapkan hal ni, tapi dia tunggu masa yang sesuai yakni pada waktu ini. 

"It's okay. Lagipun tak adalah teruk sangat luka ni." Darren tak nak simpan dendam. Memang betul, perempuan yang digelar 'Cik Raisha' tu memang annoying, tapi Darren tak naklah membenci orang yang dia sama sekali tak kenal dan tak nak kenal. 

"Baguslah ..." Tasnim senyum. "Jemput makan, Darren," pelawa Tasnim selesai menghidang.

Wow! Apabila Darren pandang sahaja isi di atas dulang tu, mahu kecur air liurnya.

Ada roti bawang bersama semangkuk sup cendawan. Dihidangkan juga segelas air coklat suam.

Kan dah kata ... makanan yang disediakan kat rumah agam ni, banyak yang special. Tatkala orang sakit yang lain dijamu dengan bubur, Darren malah dijamu dengan sup cendawan.

Rasanya baru sejam yang lepas, Darren sudah makan. Tepat setelah solat Maghrib tadi. Makanan yang berat pulak tu. Tapi entah kenapa, rasa laparnya makin menjadi-jadi melihat hidangan atas meja tu.

Seleranya tak mampu dikawal. Maklumlah, orang dah jamu makan, takkan nak tolak pulak, kan? Darren pun, tak naklah lepaskan rezeki bergolek.

"Awak tak nak makan sekali, Tasnim?" Kali ini, Darren pula mempelawa. Nak makan, tapi macam tak sopan pulak makan seorang diri depan orang.

"Takpe. Awak makanlah. Saya baru aje makan kat dapur tadi." Tasnim menolak.

Seganlah nak makan sekali. Lagipun memang betul pun, dia baru saja mengisi perut kat dapur tadi.

Nak tak nak, Darren jamah ajelah makanan tu. Tapi sebelum dia makan, dia kembali bersuara, "Duduklah kat kerusi tu dulu sementara tunggu saya habis makan."

Darren pun tak naklah tengok Tasnim tu tercegat depannya lama-lama. Macam kejam pulak kalau dia biarkan Tasnim begitu. 

Tasnim pun turuti kata Darren. Dia labuhkan jua punggungnya di atas kerusi tak jauh dari katil. 

Memang dah tugas maid kat sini, kena tunggu tetamu sehingga habis makan. Darren pun rasa tak selesa dengan tu, tapi nak buat macam mana. Dah itu peraturan yang termaktub kepada pembantu-pembantu rumah kat sini.

Dicecah roti itu ke dalam mangkuk sup cendawan yang tak henti menghembus wap. Mendaratlah roti tu masuk ke dalam mulut.

Makan panas-panas macam ni, memang best!

Tasnim masih setia menyaksikan Darren menjamah makanan. Bila dia mengimbas segala inci wajah Darren, automatik bibirnya tersungging senyuman nipis.

Muka kau memang tak berubah, Darren. Sama je macam dulu. Tapi memang nampak la makin handsome tu. Sempat lagi Tasnim puji dalam hati.

Mata hazel. Itu dah macam tanda seorang yang bernama Darren Aiden pulak. Dulu kalau kat Rumah Anak Yatim Cahaya, sebut aje 'Si Mata Coklat', automatik semua orang akan tertuju kepada Darren.

Mata berwarna coklat? Tak peliklah sebab Darren tu ada kacukan Cina-Inggeris. Dengar nama pun dah tahu yang Darren tu tiada keturunan Melayu.

"Awak tengok muka saya macam tu kenapa, Tasnim? Pelik ke saya pakai baju ni?" 

Suara Darren yang tiba-tiba menghentam sunyi segera meleburkan lamunan Tasnim. Astaghfirullahalazim ... boleh pulak kau tenung muka Darren macam tu ye, Tasnim? Nasib baiklah Darren tu tak fikir lebih-lebih.

"Eh, tak ada apa pun. Okey je awak pakai baju tu. Nampak sesuai." Tasnim menafikan cuba membuang rasa gugup.

"Ouh, okey," balas Darren ringkas. Dah Tasnim kata macam tu, Darren teruskan melantak. Mungkin Tasnim tu fikirkan pasal benda lain

Nafas lega dilepaskan. Tasnim segera raup wajahnya. 

Kau ni la, Tasnim. Lain kali, jaga pandangan tu sikit. Pesan hati Tasnim.

"Tadi petang saya tengok macam ramai je maid kat rumah ni. Mana diorang? Tadi saya rasa ada kut dalam empat ke lima orang yang jaga saya ni." Darren bertanya.

Betul juga. Tadi petang, dia dah macam raja pulak. Maid keliling pinggang mahu menjaga keadaan Darren tu. Sekejap dia tu, sekejap dia ni. Darren nak bezakan pun susah sebab ramai. Lagi satu, sebab masing-masing pakai uniform putih berlogo angsa tu. 

Dia orang sediakan makananlah, sediakan tempat mandilah. Dikira lengkaplah layanan kat sini. Hotel lima bintang pun tak ada layanan macam tu tau.

Cuma petang tadi Tasnim tak ditugaskan untuk jaga Darren. Mungkin sebab tu tugas itu diberi kepadanya pada waktu malam.

Apa yang pasti, semua ini mesti arahan dari Puan Linda. 

"Ooo ... pembantu-pembantu rumah tadi tu, semua dah balik kat rumah diorang. Diorang tak tinggal kat rumah ni. Lagipun, mereka tu dah berkeluarga," jawab Tasnim.

"Jadi awak sorang je la satu-satunya maid yang tinggal sini?"

Tasnim mengiyakan. Darren pun angguk. 

Cakap pasal pembantu rumah, hati Darren tiba-tiba terdetik dengan rasa ingin tahu. Pembantu rumah ramai. Jadi mesti anak saudara Puan Linda tu kaya gila, kan? Ye la, nak bayar gaji lagi.

"Umm ... Tasnim? Awak kerja sini, gaji macam mana? Banyak ke?" 

Aduh, Darren. Boleh pulak kau tanya pasal gaji kat Tasnim ni. Nampak busybody betul kau ni.

Ah! Biarlah. Nak buang rasa malu punya pasal, Darren teguk air coklat suamnya sambil-sambil menunggu jawapan Tasnim.

"Pasal gaji, bolehlah.  Pembantu rumah yang kerja sini semua dapat dalam RM7000 seorang."

Mahu tersembur air yang diteguk Darren. RM7000? Pembantu rumah? Untuk sebulan? Itu tak masuk akal! Siapa je yang sanggup bayar dengan amaun sebegitu? Lagipun, pembantu kat rumah ni bukannya seorang!

Tersedak-sedak Darren. Nasib baiklah tak menyembur. 

"Awak okey tak, Darren?" Tasnim segera bangun melihat Darren yang terbatuk-batuk tetapi Darren segera menghalang.

"Tak apa. Tersedak sikit je." Darren melayangkan tangan kirinya ke udara. Tangan kanannya pula menekup mulut menahan batuk. 

Tasnim statik. Tapi matanya tertumpu kepada tangan Darren tu. Ya, tangan kirinya.

Dia nampak ada sesuatu. Sesuatu yang menarik perhatiannya.

Patutlah sewaktu makan tadi, Tasnim perasan yang Darren banyak menggenggam tangan kirinya tu. Dan sewaktu Darren melayangkan tangannya, memang ada sesuatu di telapak tangannya. 

Macam ada ... garisan panjang?

"Darren, apa yang kat tangan kiri awak tu? Parut ke?" soal Tasnim.

Sepantas kilat Darren sembunyikan tangan kirinya. Digenggam semula tangannya itu dengan kejap dan erat. 

Gawat! Macam mana Tasnim boleh nampak? Mana pergi sarung tangan aku?

Oh, ya! Sewaktu dia mandi tadi, dia ada basuh sarung tangan hitamnya tu dan jemur kat bilik mandi. Kes terlupa nak ambik baliklah tu. 

Aku nak jawab apa kat, Tasnim? Takkan nak cakap benda betul? Darren menjadi tak keruan.

Kalau dia bercakap benda betul, habislah. Darren tahu, tak semua orang mampu menerima kisah silam dirinya. Terlalu kelam!

Aku bukan Darren yang dulu ...

Bersambung...

Thank you sudi baca ^^

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience