Bab 2

Drama Series 10845

HOTEL Auroria. Bangunan 27 tingkat itu dipandang lama oleh Puan Linda.

Hari ini, dia sudah membulatkan tekad. Dia harus berdepan dengan kakaknya tu!

Memang, dari dulu dia sudah syak sesuatu dari kakaknya tu. Cuma dia masih lagi kekal dengan sangka baiknya.

Tapi kali ini, sangka baiknya itu kian memudar. Semua yang terjadi kat Raisha tu takkan berlaku dengan sendirinya kecuali sudah dirancang seseorang. Dan seseorang itu ialah Puan Sri Zarina sendiri.

Kalau betul Puan Sri Zarina tu adalah dalang atas timbulnya masalah berkenaan pembedahan mata Raisha tu, takkan sesekali Puan Linda biarkan perempuan tu makin menjadi-jadi perangainya!

Bertemankan perasaan yang menyala-nyala marak, Puan Linda majukan diri masuk ke dalam hotel tu.

Sudah sekian lama dia tak menjejakkan kaki ke hotel ni. Kalau dia datang ke sini pun, sekadar mahu menghadiri sambutan anniversary hotel ni aje.

Tu pun setahun sekali. Dan dalam keadaan paksa rela.

Kalau dah Puan Linda pun jarang jejakkan kaki ke hotel ni, apatah lagi Raisha. Pasal Raisha, memang jangan cakaplah.

Sejak Puan Sri Zarina dituding untuk menjadi pemilik sementara hotel ni menggantikan Raisha, Raisha bagaikan sudah alergik untuk datang ke sini lagi.

Majoriti orang-orang kuat dalam hotel ni, malah mengundi Puan Sri Zarina untuk mengelola hotel ni. Macam manalah Raisha tak marah dan kecewa dengan semua tu.

Hanya disebabkan dia buta, dia dipinggirkan. Padahal, dialah satu-satunya puteri tunggal kepada pemilik asal hotel ni.

Receptionist menunduk hormat kepada Puan Linda. Bahkan staf-staf yang lain turut melakukan perkara yang sama. Secara tak langsung itu menunjukkan mereka kenal siapa itu Puan Linda.

Lif V.I.P yang sedikit tersorok berdekatan kawasan taman yang penuh kehijauan itu ditekan punatnya. Tingkat paling atas, menjadi tujuan.

Tingkat di mana terletaknya pejabat pemilik hotel ni. Tujuan utama, kenapa dia datang ke sini.

Masuk sahaja ke dalam pejabat Puan Sri Zarina, Puan Linda terus melabuhkan punggung di atas sofa yang tersedia dalam bilik tu.

Pejabat yang sangat luas. Kalau nak letak sepuluh biji sofa pun muat. Padahal yang guna pejabat ni, Puan Sri Zarina seorang je.

Awal-awal Puan Linda dan Puan Sri Zarina bersemuka pun, dah terasa bahang yang membakar suasana. Masing-masing duduk menghadap satu sama lain. Hanya meja kopi sahaja yang memisahkan mereka tu.

"Ha, Linda. Apa hal nak jumpa aku ni? Siap call bagai. Nak cakap pasal Raisha la tu." Puan Sri Zarina masih bertingkah cool. Siap bersilang kaki bagai. Kena tunjuklah gaya big boss dia tu walaupun kat depan adik sendiri.

Dalam masa yang sama, seorang tea lady menghidang cawan berisi kopi kepada mereka berdua. Lalu dia beredar pergi usai memberi tunduk hormat.

"Ya," jawab Puan Linda sepatah.

"Hmm ... berkaitan dengan Raisha tu, mesti pasal duit lagi, kan? Benda apa lagi yang dia bagi pecah? Iphone? Pasu bunga? Tingkap?" tanya Puan Sri Zarina dengan penuh angkuh.

Amboi! Benda semua tu pecah sebab kau jugak, Zarina. Kalau tak, tak adanya Raisha nak pecahkan semua benda tu. Silap-silap, lepas ni kepala kau pulak yang pecah.

"Adik datang sini bukan sebab nak duit, kak. Tapi benda lain. Sebelum tu, adik nak cakap sikit. Kalau Raisha nak duit hasil daripada keuntungan bisnes hotel ni, Raisha berhak ambik tanpa kebenaran Kak Rina pun. Dia nak ambik seberapa banyak pun tak apa sebab hotel ni, dia punya," tembak Puan Linda. 

Berdesing aje telinganya mendengar kata-kata Puan Sri Zarina tadi tu. Memanglah Puan Sri Zarina tu tak bolot kesemua keuntungan hotel untuk dirinya sahaja, tetapi cara dia cakap tadi dah macam dia pulak yang melebih. Tak sedar ke yang Raisha tu lebih layak dari dia?

Puan Sri Zarina tegangkan rahang. Geram. Entahlah, selagi Raisha tu hidup, rasa macam jawatannya sebagai pemilik Hotel Auroria ni sentiasa terancam. Iyalah, Raisha tu bila-bila masa saja boleh rampas semula jawatan tu.

Tapi selagi Raisha tu buta, aku tak perlu risau. Kalau Raisha tu buta sampai dia mati, sampai aku mati jugaklah jawatan tu takkan dirampas dari tangan aku. Puan Sri Zarina menghembus nafas lega. Sekadar menghalau rasa sangsi dan risau.

"Habis tu kau nak apa datang sini?"

"Adik nak cakap pasal pembedahan kornea mata Raisha tu." 

Baru sahaja Puan Sri Zarina mahu mencicip air kopi di dalam cawan itu, pergerakannya terhenti. Bibirnya mencium lama bibir cawan. Tapi air di dalamnya tidak pula dia hirup.

Tak mahu kerisauan di wajahnya nampak jelas, dia berpura-pura tenang. Diteguklah air kopi itu dengan wajah selamba. Padahal dalam hati, tengah terketar bukan main.

"Pem ... pembedahan kornea? Bukan selama ni kau ke yang uruskan segala benda pasal kornea tu, dah kenapa kau tanya aku pulak?" Puan Sri Zarina menyembunyikan kegugupan. 

"Masuk kali ni, dah kali ketujuh tau pembedahan kornea untuk Raisha tu tak jadi. Kalau sekali dua, adik boleh terima lagi. Kalau dah banyak kali macam tu, adik pun pelik. Tak ke rasa macam benda ni ... dirancang?" Mata Puan Linda tertancap tepat ke arah kakaknya. Tajam.

Puan Sri Zarina pun, gelabah tak tentu halalah dia. Alamak! Selama ni Linda tak pernah sangsi dengan aku pun. Tapi apa hal hari ni dia syak aku? Bisik hatinya.

Ketawa janggal dihamburkan sekadar menghalau rasa gugup. Err ... dikira macam nak berlakonlah yang dia tu tak tahu apa-apa.

"Apa kena dengan kau ni, Linda? Dirancang? Jadi sekarang kau nak tuduh aku yang rancang semua tu?" Sisa tawa dilepaskan.

Okey, sekarang bakatnya yang ada harus dtonjolkan. Menipu dengan lakonan. Maklumlah, kat universiti dulu, Puan Sri Zarina ni pernah masuk kelab teater. Jadi apa baranglah kalau nak berlakon pun. 

"Adik tak kata pun yang adik tuduh Kak Rina." Puan Linda serkap jarang.

Ha! Ambik kau, Zarina. Kan rahsia kau dah hampir terbongkar. Semua sebab diri kau sendiri.

"Tapi kalau Kak Rina cakap tadi betul, jadi selama ni adik salahlah, kan? Sebab selama ni adik masih lagi tak nak berfikiran negatif kepada Kak Rina. Tapi kalau betul Kak Rina yang rancang semua ni, adik takkan berdiam diri," ugut Puan Linda. 

Wajah Puan Sri Zarina merona merah. Tak guna! Dulu Linda ni tak pernah tuduh aku bukan-bukan, tapi kali ni lain pulak jadinya. Ni mesti kerja Raisha yang menghasut tu! Jerit Puan Sri Zarina dalam hati.

"Kau ni dah kenapa tuduh aku macam tu? Kau ada bukti?"

"Memang adik tak ada bukti, tapi adik ada alibi. Alibi dia ...  jawatan General Manager yang Kak Rina pegang sekarang ni. Selagi Raisha buta, selagi tu Kak Rina takkan hilang jawatan tu, kan?" 

Makin berombak dada Puan Sri Zarina. Dalam hatinya sudah dialunkan dengan berangkap-rangkap sumpah seranah.

Puan Linda terus bangun. Beg tangan di sisinya dicapai lalu dia sambung berbicara, "Adik suruh Raisha diam selama ni, bukannya adik biarkan dia kalah. Adik akan support Raisha untuk dia bangkit semula. Pasal terbatalnya pembedahan kornea tu ... adik akan report kat polis."

Puan Sri Zarina mencerlungkan matanya. Rasa macam kena panah petir dengan ugutan adiknya tadi. Polis? Tak mungkin!

"Kau jangan buat pasal, Linda! Dah kenapa nak libatkan pihak polis? Benda kecik janganlah pandai-pandai nak perbesarkan. Takkanlah aku sanggup buat semua tu. Raisha tu anak saudara aku jugak. Aku tak sekejam tu." 

Puan Linda biarkan kata-kata Puan Sri Zarina tu berlalu ditiup angin. Nak sangkal atau nak mengaku, dia tak peduli. Yang penting, niatnya tadi harus dibuat. Polis sahaja yang mampu rungkaikan masalah ni.

"Baguslah kalau Kak Rina rasa Kak Rina tak kejam." Puan Linda terus buka langkahnya. Pintu pejabat menjadi sasaran. 

Tombol pintu digenggam sebelum dia kembali menyambung, "Adik harap apa yang adik fikir akhir-akhir ni tak betul. Adik harap sangat fikiran adik tu salah belaka. Fikiran bahawa kematian Kak Marisa dan Abang Adnan mati disebabkan Kak Rina ..." Tombol pintu dipulas sebelum Puan Linda membolos dari ruang pejabat itu.

Pejabat yang disuguhi dengan penyaman udara, tetapi bahang kepanasan tetap mendominasi.

Puan Sri Zarina terus memanah pandangan tajam. Dibiarkan adiknya itu beredar tanpa sebarang kata. Hatinya sekarang tengah geram!

Tak guna punya Linda! Kenapa kau tiba-tiba berubah? Menyusahkan betul!

Jeritan kecil dilampiaskan. Mujurlah pejabat itu kedap bunyi. Kalau tidak, boleh bergegar satu bangunan hotel dengan suara bingit Si Zarina tu.

*****

Malang. Itu saja perkataan yang sesuai untuk dirinya. Hidup tak pernah bernasib baik langsung.

Dahlah nak dapat kerja kat Kuala Lumpur ni susah. Lepas tu, dapat kerja pun, sekadar jadi penghantar piza aje. Itu pun bertahan tak sampai dua minggu.

Dan tadi ... dia dipaksa berhenti kerja pulak sebab katanya bekas majikannya tu dah dapat rider yang baru. Yang kehidupannya bersih dari sebarang rekod kalau nak dibandingkan dengan Si Darren tu.

Memang tak adil!

Mentang-mentanglah aku ni tak sekaya mana, mentang-mentanglah status aku ni dah tak sebersih dulu, suka hati kau je nak berhentikan aku. Pampasan kau bagi pun, dahlah sikit. Dasar taik hidung masin punya orang tua! Bertubi-tubi Darren mengecam bekas majikannya tu.

Kalau ikutkan dirinya yang dulu, mahu aje dibelasah sampai lunyai bekas majikannya tu. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba je kena berhenti kerja. Hanya disebabkan 'status' Darren yang dulu.

Tapi Darren dah bertekad tak mahu timbulkan masalah. Biarlah dirinya yang dahulu tertanam dengan iringan waktu. Dia sudah dapat hukuman dah pun. Lagipun janjinya pada diri sendiri untuk berubah harus ditunaikan. 

Sampai bila nak hidup bertuhankan keganasan, kan?

Keluhan berat dilepaskan. Hidup kat dunia memang mencabar. Kau good-looking atau tak, mesti tak lari dari orang-orang yang judgemental. Lagi-lagi melibatkan kisah silam.

Nak tak nak, kerja baru patut dicari. Ya. Itu saja yang patut Darren buat kalau nak teruskan hidup. Takkanlah nak hidup goyang kaki mengharapkan duit pampasan RM700 tu je? 

Tapi sebelum dia mengucapkan selamat tinggal kat syarikat Happy Pizza, dia patut jalankan tanggungjawab terakhirnya. 

Pesanan pelanggan yang terakhir harus diselesaikan. Hantar piza ke pelanggan tu, dapat duit dan blah dari syarikat piza tu. Eii, Darren pun tak inginlah kerja lama-lama dengan majikan berperangai tak semenggah tu.

Dikira Darren baiklah tu sebab dia sudi hantar pesanan pelanggan walaupun selepas diberitakan yang dia akan diberhentikan. Kalau orang lain, mahu dicampak aje piza tu kat muka bos tu. 

Kertas menu yang terpapar hidangan yang dipesan dan alamat pelanggan dibaca sepintas lalu. Kening Darren hampir bertemu.

Rumah Agam Lux? Kat mana tu? First time dia dengar rumah dengan nama sebegitu sepanjang dia hidup. Tapi dengar dari nama, mesti rumah milik golongan kayangan tu. 

Dah nama pun rumah agam, mestilah orang kaya yang punya.

Nasib baiklah ada GPS yang sentiasa menjadi penunjuk arah buat Darren untuk tiba ke destinasi tujuan. Apa-apa benda yang dipesan pelanggan, telefon tu yang digunakan sebagai GPS dan macam-macam hal lain sepanjang dia jadi rider kat Happy Pizza tu.

Harap lepas je order ni selesai, aku tak nak ada kaitan lagi dengan syarikat piza cikai tu! Darren tak henti menghamun dalam hati. Dalam bawak motosikal tu pun, sempat mengutuk.

Tak sedar yang sekarang dia tengah guna motosikal milik syarikat yang dia kutuk tadi tu. Mahu terhumban dalam longkang nanti, baru tahu!

Orang kaya memang macam ni, eh? Buat rumah kat tempat terpencil, lepas tu atas bukit pulak! Memang tak ada tempat lain ke nak beli rumah pun? Lagi sekali Darren berang.

Sudahlah stres kena buang kerja tak surut lagi. Lepas tu masalah nak sampai ke rumah pelanggan pun, bukan main mencabar. 20 minit jugalah dia bergelut dengan GPS dia tu. Tu belum masuk dengan cabaran melibatkan jalan yang berliku tu lagi. 

Nak tercabut tayar motor oi!

Dalam tengah membebel tu, akhirnya nampak jugak rumah tiga tingkat berdekatan kawasan tu. Nama jalan pun tak ada, jadi Darren tak tahu ni tempat apa. Memang terpencil sungguh kawasan ni.

Rumah pun bukan main besar. Dari jauh dah nampak mewah. Dengan warna putih, terlalu sesuai dengan tona melambangkan kemurnian dan moden. 

Tapi apa hal rumah ni didirikan terlalu tersorok sangat? Macam rumah hantu je. 

Tapi tak kut ... takkanlah rumah hantu ada taman yang indah kat halaman rumah macam tu. Dengan pelbagai spesis bunga yang menjadi santapan mata. Indah sungguh rumah ni. 

Betul tekaan kau tadi, Darren. Rumah ni memang milik orang kaya!

Darren turun dari motosikalnya. Loceng rumah dibunyikan sekali. Tak cukup dengan itu, telefon di dalam poket diseluk sebelum dibuat panggilan ke atas pelanggan yang membuat pesanan tu. Pesanan dua kotak piza. Satu piza Papperoni dan satu lagi Mexican.

Alhamdulillah ... seorang wanita menjawab panggilan. Ayu aje suaranya. Siap suruh tunggu kat bawah pokok berdekatan pagar kecil lagi. Katanya tak nak abang rider berpanas.

Darren pun, berteduhlah di bawah pokok berdekatan pagar tu. Biarpun cahaya matahari tetap samar-samar menghinggap kulitnya, tapi dikira lebih baiklah tu dari dia bersidai kat tempat tadi. Dahlah kulitnya cerah. Nanti tak pasal-pasal terbakar pulak kulitnya tu.

Tak mengambil masa yang lama, dengarlah bunyi pagar dibuka seseorang. Okey, itu mesti pelanggan yang angkat call tadi.

Dalam hati memang dia nak cepat settlekan semua benda ni. Maklumlah, dia pun dah rasa geli dengan Happy Pizza ni. Nak pegang kotak piza tu pun, macam nak tak nak aje. Tu pun nasib baiklah dia tengah pakai sarung tangan hitam.

Seorang gadis bertudung biru mendekati. Tengok dari pakaiannya, macam maid kat rumah ni. Uniform putih, siap ada logo angsa putih lagi.

Ah! Tak kisahlah pekerja rumah ni ke tak, yang penting Darren nak cepat.

"Awak rider piza ..." Bicara gadis itu terhenti. Mata bulatnya bagaikan semakin besar saiznya apabila dia melihat wajah Darren.

Tak sempat Darren nak menjawab, Darren garu kepala. Dah kenapa perempuan ni? Baru first time tengok lelaki ke?

Tahulah Darren tu handsome, tapi cara perempuan tu tengok Darren, dah macam nak terkam gamaknya.

Mata wanita itu dikecilkan. Mindanya sudah terfikirkan sesuatu. Dia tidak salah orang, kan?

"Cik? Ni piza cik order tu." Darren putuskan jua untuk menghulur kotak piza tu. Yang perempuan depan dia tu pun, masih membeku.

"Aw ... awak Darren Aiden, kan?" tanya wanita itu.

Berkerut dahi Darren mendengar soalan dari perempuan tu. Eh? Macam mana dia boleh kenal nama aku? Soalan itu berlegar-legar dalam fikiran Darren.

"Maaf ... tapi cik ni siapa, ya? Kita pernah berjumpa ke?"

Perempuan itu mengangguk laju. "Awak tak kenal saya?"

Darren menggeleng. Rasanya dah sehabis dalam dia cuba flashback pemikirannya waktu tu, tapi tetap tak dikenal pasti siapakah gerangan wanita di depannya tu.

Jangan dia buat-buat kenal aku sudah. Cantik memang cantik. Tapi kalau perangai dah terhegeh-hegeh, buat acah-acah kenal macam ni, memang auto reject!

Wanita tu ukir senyum. Nampak keterujaan di wajahnya.

"Ni saya. Tasnim."

Makin bertambah kerutan pada dahi Aiden. Rasanya kepalanya dah macam nak meletup cuba mengingati gadis tu.

"Farhatul Tasnim. Dulu kita dibesarkan sama-sama kat Rumah Anak Yatim Cahaya. Awak tak ingat?" Tasnim menyambung.

Dengar sahaja nama pusat jagaan itu, mata redup Aiden bertukar bulat. Mana mungkin dia dapat lupakan semua tu.

Dan gadis di depannya ini ialah ... Tasnim? Sungguhlah? Berlainnya muka. Sebab tu la Darren susah nak cam.

"Awak Tasnim?" tanya Darren yang masih terkejut.

Tasnim angguk. Senyuman manis masih meniti di bibir.

Darren pun terus berubah 180 darjah air mukanya. Senyuman dibalas. Padahal tadi wajahnya bukan main dingin lagi.

Tak sangka, mereka dapat bertemu lagi. Setelah hampir 10 tahun terpisah ...

Bersambung...

Thank you sudi baca n comment. Apa² kekurangan, insya-allah saya akan perbaiki ^^

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience