Bab 1

Drama Series 10845

TERGELENG-GELENG kepala Puan Linda apabila dia masuk sahaja ke dalam kamar itu. Automatik tangannya dibawa menyentuh dahi. Mahu pitam rasanya melihat keadaan dalam bilik Raisha tu.

Meja kaca pecah lagi!

Habis bertaburan kepingan-kepingan kaca di atas lantai. Padahal meja kaca tu baru aje dibeli tak sampai sebulan pun.

Haih! Kesian kau kan, meja. Dapat tuan yang panas baran macam Raisha tu, tak pasal-pasal kau yang kena tanggung akibat.

"Astaghfirullahalazim ... Raisha! What's wrong?"

Raisha yang sedang duduk memeluk lutut di atas katil dipandangnya. Dada Puan Linda terasa makin sesak melihat Raisha yang memilih untuk membisu.

Wajah Raisha hanya terpapar kosong. Tanpa sebarang reaksi langsung.

Tanpa reaksi pun, tapi Puan Linda dapat mengagak yang gadis itu sedang marah. Tengok genggaman tangan Raisha yang dikepal-kepal itu pun dia dah tahu.

Lalu matanya tertancap semula ke kawasan deraian kaca berdekatan tingkap itu. Ada sebuah telefon yang masih menyala skrinnya terbaring berdekatan kawasan tu.

Tu ... telefon aku! Sejak bila telefon aku tu ada kat tangan Raisha? Lagi sekali Puan Linda mahu pitam melihat barang kepunyaannya menjadi mangsa kekerasan Raisha.

Seriuslah, Raisha tu, kalau dia celik nanti, mesti dia boleh jadi pemain bola baling negara. Tengoklah meja kaca tu. Pecah habis.

Tepat dan kuat sungguh dia baling telefon milik Puan Linda mengenai meja tu. Sampai bercalarlah skrin dia.

Tapi, dah kenapa Raisha baling telefon aku tu?

Puan Linda membiarkan soalan itu tertanam dalam hati. Dia ambil telefonnya yang dikelilingi kaca itu dengan penuh berhati-hati.

Skrin menyala menandakan telefon masih berfungsi. Syukurlah telefon tak rosak.

Notifikasi di dalam telefon ditatap Puan Linda. Ada seseorang baru sahaja membuat panggilan masuk lima minit yang lalu.

Dan ... seseorang itu ialah Doktor Hadi!

Tengok sahaja nama tu terpapar pada skrin, Puan Linda menghela nafas. Sekarang dia dah tahu alasannya.

Patutlah Raisha marah semacam. Rupanya lelaki dalam talian tadi tu mesti buat hal lagi.

Puan Linda terus pandang Raisha dengan tatapan penuh simpatinya. Punggungnya dihenyak di birai katil, rapat dengan Raisha. Dia cuba meraih jari-jemari Raisha itu tetapi Raisha pantas menepis.

Lagi sekali, nafas dihela. Dia tak terkesan pun dengan kelakuan Raisha tu kerana dia sudah terbiasa dah pun dengan perangai Raisha. Sejak Raisha menjadi buta, Puan Lindalah yang sentiasa berada di sisi gadis itu.

"Aunty mintak maaf. Bukan niat aunty nak rahsiakan semua ni tapi ..."

Tak membiarkan Puan Linda menghabiskan ayatnya, Raisha menempik, "Tapi apa? Kenapa semua benda kat dunia ni tak adil untuk Raisha? Enam tahun, aunty. Enam tahun Raisha tunggu untuk dapatkan balik penglihatan Raisha, tapi apa yang Raisha dapat? Dapat penat je!"

Getaran suara Raisha yang penuh dengan gelombang amarah membuatkan Puan Linda hampir menitiskan air matanya. Sungguh, dia dah tak kuat menyaksikan Raisha menanggung derita. Terlalu berat ujian yang dilalui oleh gadis muda di sebelahnya tu.

"Banyak kali pembedahan kornea tu tak jadi. Mula-mula dulu, tak ada penderma. Lepas tu waktu ada penderma, kornea mata tu pulak ada jangkitan. Dan tadi, doktor tak guna tu tiba-tiba cakap yang waris penderma yang baru dapat tu tarik balik persetujuan pemindahan organ tu. Aunty rasa Raisha sanggup tunggu lagi ke? Memang tak!" sambung Raisha melampiaskan berang yang semakin meluap-luap.

Air jernih yang bertakung di tubir mata mengalir jua membasahi pipi Puan Linda. Puan Linda memang lemah melihat Raisha sekarang ni.

Lain pula dengan Raisha. Tengoklah, tiada setitis pun mutiara jernih yang keluar dari kolam matanya. Cuma anak matanya sahaja yang menzahirkan suatu kuasa yang diselubungi kegeraman.

Raisha memang seorang gadis yang kuat.

Puan Linda akui, mereka berdua memang berbeza. Tak terbayang kalau dia yang berada dalam tempat Raisha.

"Raisha ... tolong jangan macam ni. Takkan Raisha dah nak putus asa?"

"Raisha dah tak nak ambik tahu semua berkaitan mata, dan pasal pembedahan apa semua tu! Raisha terima kalau Raisha hidup macam ni selamanya. Tapi dendam Raisha kat Zarina tu takkan terhenti setakat ni. Raisha tahu ni semua berlaku sebab dia!"

"Raisha ..."

"Apa, aunty?" tembak Raisha lagi. "Aunty nak bagitahu yang Raisha bercakap tanpa bukti lagi? Tak perlu bukti pun kita dah tahu yang perempuan tu buat semua ni. Dia yang buat Raisha buta dan dia jugak jadikan Raisha kekal macam ni. Semuanya disebabkan hotel tu semata-mata!"

"Raisha tak boleh macam ni. Walaupun aunty tahu yang Raisha bencikan Aunty Zarina tu, tapi Raisha tak boleh menuduh macam ni. Tuduh dia yang rancang kematian mama dan papa Raisha, lepas tu tuduh dia jadikan Raisha buta. Dah banyak kali aunty pesan, kita tak boleh tuduh selagi tak ada bukti." Penuh lembut Puan Linda cuba meleburkan hati Raisha biarpun dia tahu, kata-katanya bakal disangkal.

Raisha tutup telinganya dan kepalanya digaru kasar. Menyampahlah! Asyik-asyik keluar ayat yang sama aje dari dulu. Bosan sungguh. Kecam Raisha dalam hati.

"Aunty tak rasa apa yang Raisha rasa, jadi aunty tak payah berlagak tahu. Raisha tahu, dan Raisha sedar yang Si Zarina tu kakak aunty, sebab tu la aunty beria-ia backup dia, kan?" balas Raisha geram.

"Tak, Raisha. Aunty tak backup dia pun. Sampai bila-bila pun, aunty sentiasa kat belakang Raisha. Raisha pun anak saudara aunty."

Kata-kata yang terpacul dari mulut Puan Linda membuatkan tersungging senyuman di bibir Raisha. Penuh sinis.

"Anak saudara?" Tawa kecil dihamburkan seakan-akan mahu memprovokasi kata-kata mak saudaranya tadi tu. "Ya, Raisha mengaku yang aunty jaga Raisha dan banyak tolong Raisha sejak tragedi hitam tu. Tapi, Raisha tetap dengan pendirian Raisha. Raisha benci semua orang kat dunia ni!" Raisha tekan bait-bait bicaranya.

Puan Linda diam seribu bahasa. Tiada lagi kata-kata yang dapat diatur untuk menenangkan anak saudaranya tu.

Raisha sekarang tengah bad mood, jadi tak guna kalau bercakap elok-elok dengannya pun. Biarlah amarahnya reda dengan sendiri.

Keadaan yang bertemankan sepi seketika itu membuatkan Raisha turun dari katilnya. Selipar kain dipakai.

"Rudy!" laungnya.

Kurang sesaat, bunyi 'bip' sebanyak dua kali kedengaran. Tangan Raisha tergapai-gapai mencari keberadaan punca bunyi tadi.

Tongkat berteknologi tinggi di sebelah kiri katil berjaya digenggam. Tanpa menghiraukan Puan Linda yang masih setia di sisi, Raisha bangun dengan bantuan Rudy.

"Raisha nak pergi mana tu?" tanya Puan Linda kehairanan.

"Tak payah menyibuk. Aunty tak payah terfikir nak ikut Raisha. Raisha nak keluar sorang-sorang."

Tanpa memikirkan perasaan mak saudaranya langsung, Raisha menjawab macam tu. Aduhlah, dendam kat orang lain, tapi tak pasal-pasal semua orang kena tempias.

Tongkat itu mengetuk-ngetuk lantai. Tanpa sebarang rasa bersalah, Raisha tinggalkan ruang kamar itu.

Sempat juga dia berhenti sejenak di depan pintu bilik. Terasa ada beberapa orang sedang berdiri di situ. Tak mempedulikan orang-orang itu, Raisha teruskan langkahnya dengan wajah yang sudah sedia dingin.

"Eh? Cik Raisha nak pergi mana tu?"

Soalan dari seseorang itu hanya dibalas sepi. Nampak jelas kerisauan dalam riak wajah wanita berumur 30-an itu.

"Biarlah dia, Betty. Dia tengah marah tu. Dia nak tenangkan fikiran. Nanti lama-lama, redalah marah dia." Puan Linda segera menghalang Kak Betty dari mengejar Raisha yang sudah pun beredar pergi.

Kak Betty angguk, manakala dua gadis yang tersarung dengan uniform putih di sebelahnya hanya menunduk hormat kepada Puan Linda.

"Kejap lagi korang bertiga tolong kemaskan bilik Raisha ni. Bersepah kaca kat dalam tu. Bersihkan sekali apa yang patut," arah Puan Linda.

"Tapi Linda, takkan nak biarkan je Cik Raisha tu keluar rumah sorang-sorang. Tak bahaya ke?" Kak Betty bertanya lagi. Dari tadi dia asyik memikirkan keselamatan gadis tu.

Pantang larang dan peraturan dalam rumah ni, jangan sesekali biarkan Raisha keluar berseorangan. Selalunya, Puan Linda sebagai assistant akan menemani. Tak pun kalau dia ada hal, Kak Betty sebagai ketua pembantu rumah sedia mengganti.

Sesiapa ajelah boleh ditugaskan untuk menjadi pengawal Raisha tu, asalkan Raisha tak keluar seorang diri.

Bukannya mereka meragui kekurangan Raisha tu, tapi mereka sudah tahu, Raisha sentiasa dalam bahaya. Tak kiralah, walaupun gadis itu sedang celik sekali pun.

Puan Linda terus alihkan pandangan kepada seorang pembantu rumah bertudung hitam tu. Nampak gayanya, dia menyetujui jua kata Kak Betty tu.

"Tasnim, tolong tengok-tengokkan Raisha. Ikut je dia dari jauh. Apa-apa hal yang berlaku, macam biasa, report je kat saya."

"Baik, puan."

*****

Raisha duduk di atas bangku kayu, menghadap tasik yang jelas sekali tak wujud dalam pandangan matanya.

Selalunya, jika dia stres, taman inilah yang menjadi hala tujunya.

Mujurlah sekarang ni waktu petang. Jadi tak terik sangatlah pancaran sinaran mentari yang menyentuh kulit.

Batu kerikil di atas tanah dikutip satu. Lalu dilempar batu itu ke dalam tasik.  Bunyi air berkocak melatari suasana.

Perbuatan itu dibuat berkali-kali. Sekadar untuk mengisi masa dan melupakan segunung beban yang menimpa.

"Rudy, pukul berapa sekarang?" tanya Raisha tiba-tiba.

"6:15 petang." Rudy, si tongkat 'sakti' menjawab.

Raisha bangun dari duduknya. Ada dalam setengah jam jugalah dia meratapi nasib kat taman ni. Dikira lama jugalah tu.

Sekarang dia mahu balik. Rasa amarah masih tersisa tapi tidaklah setebal tadi.

Raisha berjalan menuju pulang, dan tanpa diduga, langkahnya semakin maju dan laju.

Tak semena-mena, dia melanggar seseorang. Habis terjelopok orang yang dilanggar Raisha tu.

Gadis itu mengaduh kesakitan. Gadis. Ya, gadis. Dengar suara dia yang lemah gemalai tu pun Raisha dah kenal siapa gerangan tu.

Raisha tertawa sinis. "Aku dah agak. Mesti ada orang yang ikut aku dari tadi."

Tasnim terkial-kial bangun dari rebahnya tadi. Kurang ajar sungguh Raisha ni. Buta-buta dia tu, boleh lagi nak langgar orang.

Dengan sengaja pulak tu.

Tasnim menepuk-nepuk bahagian punggung yang menjadi mangsa ciuman tanah tu. Tak sangka pula yang Raisha tu tahu yang dirinya tu ada kat sini.

Tapi tak peliklah, gadis di depannya ini ialah Raisha Irdina. Biarpun nikmat penglihatannya ditarik, tapi deria yang lain masih elok. Malah macam makin sensitif pula deria yang lain tu.

Kalau Raisha rasa ada sesuatu yang pelik sikit di sekitarnya, memang tak ada maknanya mahu bersembunyi. Raisha tu dah macam ada kuasa magik pulak dah.

"Apa hal kau ikut aku sampai sini? Aku dah bagitahu kat Aunty Linda, yang aku nak tenangkan diri sorang-sorang. Kalau ye pun dia suruh kau ikut aku, jaga aku, kau tak payah buat pun. Aku yang gajikan kau, bukannya Aunty Linda tu."

Kan dah kena sembur. Haihlah, Raisha. Hari-hari memang kau macam ni ke? Kerja nak marah orang je.

Nak kata tengah period, takkanlah period hari-hari.

"Disebabkan Cik Raisha majikan sayalah, saya tunggu kat sini dari tadi. Saya tak nak apa-apa berlaku kat Cik Raisha," jawab Tasnim setenang mungkin.

"Huh! Kau nak jadi bodyguard akulah ni?" sindir Raisha dengan wajah ketatnya. "Aku tak perlu kau pun untuk jaga aku kat sini. Aku boleh jaga diri sendiri. Kau tu lembik, jadi tak ada function pun kalau kau yang jaga keselamatan aku. Setakat perompak ke, penculik ke, perogol ke, aku boleh lawan sendiri."

"Time aku jatuh tangga tahun lepas, kau menjerit mintak tolong pun dah macam perempuan Melayu terakhir je aku dengar. Ada hati nak jaga aku." Berdas-das Raisha mengutuk pembantu rumahnya tu.

Eii ... kalau orang lain, dah lama dicili-cilikan aje mulut Raisha tu. Mulut tu tak ada tapis-tapis langsung. Main sembur aje dia.

Tapi Tasnim ni, memilih untuk diam dan telan saja 'kata-kata azimat' dari majikannya tu.

Dah hanpir enam tahun dia bekerja di bawah Raisha, memang dia sudah masak dengan sikap majikannya tu. Rasanya bukan Tasnim aje, malah pembantu-pembantu rumah yang lain pun berkongsi rasa yang sama.

"Tapi kalau apa-apa terjadi kat Cik Raisha, saya boleh telefon Puan Linda."

Tak terkesan dengan jawapan Tasnim tu, Raisha buat muka toya.

"Kau beria-ia tunggu aku kat sini, mesti kau seronok, kan?"

"Seronok?" Kening Tasnim hampir bertemu.

"Ye la. Seronoklah sebab aku banyak menderita. Lepas ni, aku dah tak payah fikir pasal pembedahan kornea tu. Dan makin tipislah niat aku nak rampas balik Hotel Auroria. Aku kan jahat kat semua orang, jadi ni balasan untuk akulah, kan?" tuduh Raisha.

Tasnim terpinga-pinga. Tak pasal-pasal dia dituduh macam tu. Sekejam-kejam Raisha, tiada sekelumit pun rasa benci kepada majikannya tu.

Tasnim sedar, buat apa mahu membenci orang yang banyak membantunya. Disebabkan keluarga Raishalah, dia mampu hidup sampai sekarang.

"Ya Allah ... Cik Raisha, kenapa cakap macam tu? Saya tak pernah pun fikir macam tu. Lagipun, ni bukan balasan, tapi ujian. Allah uji Cik Raisha sebab Dia tahu, Cik Raisha kuat." Tasnim menyangkal tuduhan Raisha tadi.

"Hipokrit," gumam Raisha tapi Tasnim dengar tu. Sajalah tu Raisha nak kasi Tasnim dengar.

"Aku setiap hari maki kau, marah kau, kau tak benci aku? Orang gila je kut yang tak bencikan perangai aku ni," tambah Raisha lagi.

"Tak semua orang bencikan Cik Raisha. Saya, Puan Linda, Kak Betty dan staf yang lain, semua sayangkan Cik Raisha. Kami faham kenapa Cik Raisha bertingkah macam ni. Cik Raisha cuma tertindas aje. Sebab tu, kami sentiasa ada dengan Cik Raisha. Kami tak henti berdoa semoga kemenangan berpihak kepada Cik Raisha." Tasnim menghamburkan kata-kata yang terbuku dalam hati.

Nak ceramah aku pulak dia ni ... Raisha terang-terang tayang muka meluat.

"Kau diam ajelah, si lembik. Tak payah nak mengarut lebih-lebih." Raisha terus tinggalkan Tasnim sendirian.

Biarpun kekal dengan kelakuan dinginnya, tapi tercalit juga rasa terharu dengan kata-kata Tasnim tadi.  Kalau betul, dia sangat beruntung dapat pekerja macam Tasnim tu.

Ah! Semua tu palsu belaka. Perempuan berlagak baik macam Tasnim tu, macamlah tak boleh berlakon. Apa dia ingat aku ni bodoh? Raisha tak henti bermonolog sendiri.

Tasnim pula hanya menggeleng-geleng kepalanya. Tak apalah, Cik Raisha. Ikut sukalah kalau nak percaya atau tak. Yang penting, Cik Raisha kena kekal kuat dan tabah.

Lambat-lambat, dia membuntuti langkah Raisha dari jauh.

Bersambung...

TQ support ^^

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience