Bab 5

Drama Series 10845

TAK sempat Darren mahu membuka mulutnya, pintu bilik yang sudah sedia terbuka sedari tadi diketuk seseorang.

"Darren? Tasnim? Aunty kacau korang bersembang ke? Kalau tak, boleh aunty masuk?"

Munculnya Puan Linda membuatkan Darren dan Tasnim sama-sama terdiam seketika. Mereka terus menggelengkan kepala.

"Tak adalah, puan. Masuklah," ucap Tasnim bermanis wajah. Pantas dia berdiri usai adanya Puan Linda di bilik tu.

Darren segera melepaskan nafas lega. Fuh! Hampir saja dia mahu membocorkan perihal dirinya kepada Tasnim.

Bukan dia tak mahu jujur, tapi dia tak sedia! Mungkin, satu masa nanti, Tasnim akan tahu juga. Yang penting, bukan sekarang.

Puan Linda terus majukan langkahnya. Tengok keadaan Darren yang tak teruk sangat tu, bolehlah dia rasa tenang sikit.

"Are you okay, Darren? Kalau ada apa-apa, inform aunty." Puan Linda bertanya.

"It's okay. I'm feeling better. Terima kasih puan atas semua ni."

Puan Linda pancarkan senyum. "Kamu ni Darren ... memang macam Tasnim sungguh. Berpuan-puan macam tu la. Lain kali panggil aunty je. Aunty tak kisah pun."

Darren hanya senyum. Seganlah nak beraunty-aunty bagai. Darren sedar dia bukannya sesiapa pun. Setakat bekas penghuni Rumah Anak Yatim Cahaya aje.

Mata Darren lalu terhala kepada Tasnim yang berdiri di sebelah Puan Linda pula. Mereka saling berpandangan. Tapi cepat-cepat Tasnim pandang ke arah lain.

Rasa awkward la tu ...

"Maaflah aunty masuk bilik ni tiba-tiba. Aunty just nak cakap satu benda. Sebenarnya aunty nak mintak maaf atas apa yang terjadi kat kamu tadi, Darren. Harap kamu dapat maafkan Raisha." Puan Linda kemukakan hasratnya. Semua demi anak saudaranya tu.

Alahai ... pasal Si Raisha tu lagi. Darren pun rasa macam dah jemu dengar nama perempuan tu.

Rasanya, hari ni je dah berpuluh-puluh kali Puan Linda tu sampaikan permohonan maaf dari pihak Raisha. Tapi Raisha tu mana? Dari tadi muka dia aku tak nampak. Masih tak nak mengalah? Panas relung hati Darren bila mengingatkan tentang Raisha.

Tapi demi Puan Linda, Darren hanya tetap tersenyum. Puan Linda ni terlalu baik. Anak saudara perangai tak semenggah macam tu pun, Puan Linda sanggup pertahankan dan menjaganya.

"Tak apa, puan. Kan saya dah kata tadi, saya okey. Saya tahu, Raisha tak sengaja. Lagipun, dia pukul saya sebab salah faham je," ulas Darren.

Puan Linda mengangguk. Tapi raut wajahnya masih terconteng dengan riak perasaan yang risau.

Ya, tentang reputasi Raisha yang dia fikirkan tadi. Bukan dia tak percayakan Darren tapi dia harus mencatur langkah berjaga-jaga.

Memang Darren ungkapkan, yang dia tu okey sahaja. Tapi dalam hati? Siapa yang tahu, kan?

Kalau betul Darren tak ambil hati dengan kelakuan ganas Raisha tu, alhamdulillah ajelah.

Tapi kalau tak? Buat pasal nanti, Darren bongkarkan sikap Raisha tu kat orang ramai, viralkan sana sini kat media. Waktu tu, mahu berpinar mata Puan Linda nanti.

"Darren sure yang kamu nak balik esok?"

Darren mengiyakan.

Puan Linda berhenti sejenak. Nampak berat untuk dia mengemukakan hasratnya tadi, tapi dia patut lakukan tu.

"Maaf kalau buat Darren tak selesa, tapi boleh aunty mintak satu permintaan?" tambahnya.

Darren perlahankan kunyahannya. Nada bicara Puan Linda yang kedengaran serius membuatkan matanya fokus terarah kepada wanita itu.

"Apa dia, puan?"

Nafas dihela sebelum Puan Linda bersuara, "Raisha tu dah cederakan Darren tapi aunty harap, Darren betul-betul tak simpan dendam kat dia. Aunty harap sangat, Darren tak sebarkan apa yang Raisha dah buat kepada kamu tu kat orang lain. Aunty tahu permintaan aunty ni tak masuk akal, tapi aunty harap Darren faham."

Mulut Darren melopong. Kejap ... sejak bila diri dia tu terfikir nak expose perangai Raisha tu? Sejak dia menginap kat rumah ni, tiada sekelumit pun rasa dendam kat Raisha.

Takkan Puan Linda pun nak tuduh aku bukan-bukan? Darren makan hati jugaklah dengan permintaan Puan Linda tu. 

Takkan Puan Linda pun dah tak percayakan aku? Tapi Darren sabar dulu. Dia masih biarkan Puan Linda habiskan kata-katanya.

"Aunty mintak maaf. Aunty tak tuduh Darren, tapi ni untuk reputasi Raisha. Aunty tak nak nama dia buruk di mata semua orang kat Malaysia ni. Perangai dia memang kasar, sebab tu aunty tak benarkan dia bercampur dengan orang luar sejak beberapa tahun lepas. Semua pasal satu tragedi ni. Nak cerita pasal Raisha, memang panjang kisahnya."

Siapa Raisha? Apa yang dah jadi kat Raisha dan apa yang membuatkan dia jadi macam tu?

Tiba-tiba, hati Darren bagaikan mahu tahu lebih tentang Raisha. Kenapa Puan Linda ni sanggup pertahankan nama Raisha tu bermati-matian? Bertalu-talu soalan datang memukul diri tetapi ia hanya tersurat dalam hati Darren saja.

Ah! Kepala Darren rasa berpusing-pusing pulak memikirkan tu.

"Dan lagi satu ... untuk bayar harga permintaan aunty tu, aunty sanggup bayar Darren. Tapi aunty akan bayar beransur-ansur. Dalam RM20,000? Asalkan Darren simpan segala rahsia tentang rumah ni, dan sikap Raisha." Panjang lebar Puan Linda memberikan penerangan.

Fikiran Darren yang penuh dengan soalan-soalan tentang Raisha terus berkecai bila Puan Linda menawarkan duit sebanyak tu. 

RM20,000? Hanya untuk simpan rahsia? Apa dia tak salah dengar?

Memang Puan Linda dan Raisha ni kerja apa sampaikan boleh dapat duit sebanyak tu? Mereka berdua tu ada bisnes apa?

Kaya sangat sampaikan duit berjumlah besar tu pun nampak kecil di mata mereka. Senang-senang nak kasi macam tu aje.

"RM20,000?" Darren mahu kepastian.

Dia alihkan pandangnya ke arah Tasnim, tapi riak wajah Tasnim hanya kosong.

Mungkin Tasnim dah biasa dengan semua ni. Rasanya sebab tu la semua maid kat sini dapat gaji sebanyak RM7,000 tu.

Jumlah semua tu pasti sebuah harga demi menyimpan sesuatu 'rahsia'.

Puan Linda angguk. "Aunty janji, kalau kamu terima tawaran ni, aunty akan bayar tapi secara beransur-ansur. Anggap aje semua tu sebagai pampasan. Kalau jumlah tu tak cukup, Darren bagitahu je aunty. Aunty cuba usahakan yang selebihnya."

Darren terus beku. Otaknya dah rasa tepu.

Memikirkan pasal Raisha, lepas tu pasal tawaran Puan Linda lagi. Serabut!

Tak boleh! Cakap pasal duit sebanyak tu, tipulah kalau Darren tak membulat matanya.

Tapi ... dia mesti lawan. Bukan duit yang dia nak sekarang ni.

Ya. Daripada dia senang-senang terima duit tu, baik dia nyatakan hasratnya sendiri pulak. Hasrat yang sudah dia tanam dalam hati sejak dia menapak masuk ke rumah agam ni.

"Puan ... saya tak perlukan duit tu. Puan bagilah satu juta sekali pun semata-mata nak saya tutup mulut, saya tetap tak boleh terima. Tapi saya janji, saya tetap akan simpan semua rahsia ni." Darren menolak.

"Tapi Darren ..."

Darren terus memangkas Puan Linda. "Cuma Darren pun nak mintak satu je."

Puan Linda yang dihurung rasa bersalah telan liurnya.

"Apa dia, Darren?"

Darren kumpulkan keberanian. Inilah masanya, untuk dia nyatakan permintaannya.

"Darren nak kerja kat rumah ni," umumnya tanpa berselindung. Rasa takut dan nervous tadi dibuang jauh-jauh.

Puan Linda dan Tasnim serempak membalas tatapan. Masing-masing terus bisu dengan kata-kata.

Darren tolak tawaran tu hanya sebab nak bekerja kat sini? Apa dia tak sedar ke yang kawal segala benda kat rumah ni ialah Raisha? Kalau dia nak kerja sini, mestilah Raisha yang jadi majikan dia.

Hajat Darren tu berani mati betul. Dah macam dia tu rela masuk ke dalam mulut naga pulak.

Ketika itu juga, bunyi suatu benda yang menghentak membuatkan mereka bertiga di dalam bilik itu menoleh ke arah pintu. Dan ... ada susuk seseorang sedang berdiri di situ.

Itu, Raisha ...

Giginya diketap-ketap. Tangannya pula menggigil-gigil menggenggam tongkat yang tegak dipacak ke lantai.

Kebencian hatinya kepada lelaki itu semakin memuncak!

Bersambung...

Terima kasih kpd yg masih setia baca story ni (^-^)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience