Prolog

Drama Series 10845

"ANUGERAH Tokoh Usahawan Kuala Lumpur bagi tahun 2021 ini, jatuh kepada ..."

Emsi majlis menjeda seketika bicaranya. Itu cukup membuatkan pengumuman bagi perangkul anugerah kali ini semakin mencanak rasa debarannya. Anugerah inilah yang amat ditunggu-tunggu kerana ia merupakan anugerah yang paling berprestij bagi usahawan-usahawan di Malaysia ini.

"Puan Sri Zarina Binti Jamaluddin Tahir!" sambung emsi itu dengan keterujaan yang penuh maksimal.

Bahana tepukan di dalam Pusat Konvensyen Double Square menghangatkan lagi kemeriahan suasana. Mata masing-masing hadirin majlis tersebut kemudian tertumpu kepada seorang wanita berambut paras bahu yang kelihatan elegan sedang berjalan naik ke pentas.

Dialah Puan Sri Zarina. Perangkul Anugerah Tokoh Usahawan Kuala Lumpur tahun ini. Anugerah untuknya buat kali yang ketiganya, selama tiga tahun berturut-turut.

Biarpun umurnya menghampiri angka 50-an, wanita itu tetap anggun dengan busana yang agak simple itu. Busana berwarna hijau bertona lembut, dipadankan dengan tas tangan mini berjenama Dolce & Gabbana itu. Memang kenalah dengan pangkatnya itu yakni sebagai seorang pemililk hotel. 

Hotel Auroria. Hotel yang paling mewah di Malaysia dan menjadi salah satu dari Top 10 hotel bertaraf lima bintang terbaik yang disyorkan oleh kritikus-kritikus profesional di dunia. Satu-satunya hotel di Malaysia yang menempa nama dalam senarai itu.

Jadi, tak terkejut dan tiada bantahanlah jika Puan Sri Zarina dinobatkan sebagai pemegang anugerah itu. Memang dia layak dapat pun. Memiliki kekayaan dan keuntungan berbilion ringgit, siapa lagi yang lebih layak kalau bukan wanita itu?

Berdiri di atas pentas dengan rasa megahnya. Bersaksikan para hadirin yang bukan calang-calang orangnya. Malam ini, dan pada saat ini, Puan Sri Zarina yang punya!

Senyuman tak lekang dilemparkan di bibir. Sungguh, walaupun ini bukan kali pertama Puan Sri Zarina meraih anugerah ini, tetapi rasa bangga dan teruja itu tetap terasa. 

Terima kasih. Ucapan itu sajalah yang terucap apabila dia memulakan ucapan. Jurukamera pula berpusu-pusu mengambil gambar dan merakam segala yang terlakar di atas pentas itu. Walaupun hanya sesaat, takkan mereka bazirkan segala detik keemasan ini. Lagipun, majlis ini sedang ditayangkan secara langsung di kaca televisyen!

"Alhamdulillah ... syukur ke hadrat Ilahi. Kerana Dialah, saya masih lagi berpeluang untuk memenangi lagi anugerah ini untuk keberapa kalinya setelah Hotel Auroria berada di bawah pengelolaan saya." Puan Sri Zarina meneruskan ucapannya.

"Tak lupa juga, saya ingin menzahirkan rasa terima kasih kepada keluarga yang amat saya sayangi. Kepada Fadlan, suami tercinta yang sentiasa menjadi tulang belakang saya. Dan juga puteri-puteri saya, iaitu Adira dan Adini yang menjadi pembakar semangat untuk saya teruskan menceburi bidang ini. Tanpa mereka, tiadalah saya di sini."

"Semoga dengan anugerah ini, Hotel Auroria mampu menstabilkan dan meluaskan lagi namanya di persada antarabangsa. Sememangnya, tanpa sokongan anda semua, saya tak akan berdiri di sini. Saya berjanji, saya akan lebih gigih dan giat berusaha untuk memuaskan hati semua pihak terutama sekali pelanggan-pelanggan saya. Dengan berbekalkan tenaga dan titik peluh saya sendiri ..."

Prang!

Pecah. Berderai. Hancur. 

Habis kaca televisyen itu menjadi mangsa amarah gadis itu. Malah, alat kawalan jauh yang dia pegang sedari tadi pun sudah hilang entah ke mana. Dia memang dah tak tahan lagi mendengar ucapan penuh dengan 1001 kepalsuan wanita berhati syaitan itu! 

Tenaga dan titik peluh sendiri? Huh! Kau memang sial Zarina! Gadis itu luahkan kegeraman.

Itu baru aje apa yang dia dengar. Kalau dia dapat lihat wajah wanita di televisyen tadi tu? Entah apalah yang akan berlaku nanti.

Dia sudah tak tahan dengan agenda mak saudara durjananya tu. Perangai serupa iblis! Setelah melakukan kejahatan, wanita tu masih lagi berpeluang bersenang-lenang di luar sana. Siap dapat anugerah lagi tu.

Mak saudara? Sampai mati pun aku takkan anggap dia mak saudara aku! Hatinya membentak sendiri.

Tongkat di atas sofa dicapai, lalu digenggam dengan penuh erat. Giginya diketap kuat. Biarpun segala pandangannya hitam, tetapi rasa amarah tak mampu disembunyikan di sebalik matanya.

Penuh dendam ...

Kau tunggu, Zarina. Aku akan pastikan kau jatuh tersungkur bawah kaki aku. Kau ingat kau boleh terlepas macam tu je? Memang taklah. Aku ni Raisha, okey. Raisha Irdina!

"Aku akan rampas semula hak aku, dan aku akan pastikan keluarga kau meringkuk dalam penjara. Dan kau pulak, biar kena hukum gantung! Kalau polis tak nak buat kerja diorang, biar aku je yang settlekan kau!" gumam Raisha dengan suara yang penuh tertahan-tahan.

Rasa Yang Kupendam Ini Akan Kutanam Dengan Dendam…

Bersambung...

Enjoy my new story

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience