BAB 7

Romance Completed 5404

Pulang dari bertemu dengan Hanim, aku terus memandu keretaku tanpa arah tuju. Sama seperti jiwaku yang tak tentu arah ketika ini. Lagu ‘Surgamu’ nyanyian Kumpulan Ungu berkumandang di radio.

Liriknya yang lebih kepada memuji kebesaran Ilahi, benar-benar mendamaikan jiwaku yang gundah. Kuhayati bait-bait lagu itu dengan perasaan sayu. Kenangan bersama Hanim menggamit lagi. Hanim cukup gemarkan lagu-lagu yang memiliki unsur-unsur zikir dan munajat kepada Allah.

Katanya, lagu-lagu yang banyak memuji kebesaran Yang Maha Esa seperti ini jauh lebih menenangkan kalau hendak dibandingkan dengan muzik-muzik yang lain.

Spontan aku memandu menuju ke Taman Tasik Titiwangsa, di mana tempat kami sering bersama di hujung minggu untuk beriadah. Kalau dulu, setiap kali di hujung minggu, tempatku hanyalah di kelab-kelab malam, menghabiskan masaku bersama rakan-rakan liburku.

Turut serta gadis-gadis kelab yang cantik dan seksi. Namun semenjak mengenali Hanim, aku tidak lagi ke tempat-tempat seperti itu. Sebaliknya, aku lebih gemar menghabiskan masaku bersama Hanim dengan beriadah di taman ini.

Mataku tak lepas dari terus merenung permukaan tasik yang tenang. Tapi sayang, jiwaku tak setenang air tasik yang terbentang luas di hadapanku ini. Tak dapat aku gambarkan bagaimana kehidupanku selepas ini setelah ketiadaan Hanim.

Pastinya kosong tak bermakna. Ah, Hanim. Beginilah keadaan diriku apabila Hanim tiada di sisi. Jiwa tak keruan. Hidup bagaikan hilang arah. Aku tak mampu lagi untuk mendekati Hanim seterusnya menghalang gadis itu dari terus berlalu.

Gadis itu ibarat pelangi senja, yang indah untuk dilihat namun mustahil untuk didekati. Makin dikejar, makin ia menjauh dan seterusnya hilang dari pandangan mata.

Tanpa kusedari, aku mencapai sebiji anak batu di hujung kasutku lalu kubaling sekuat hati ke permukaan tasik. Air tasik yang tadinya begitu tenang kini bekocak kecil dengan balingan itu, seterusnya membentuk sebuah bulatan yang kian membesar di permukaannya.

Setelah keadaanku menjadi sedikit tenang, aku melangkah perlahan ke kereta. Namun ketenangan itu hanya hadir untuk seketika. Bayangan Hanim kembali menghantui fikiranku. Agak lama aku membatu di dalam kereta melayani jiwaku yang berkecamuk. Pantas aku mencapai telefon bimbitku dan seterusnya mendail nombor gadis itu.

Biarlah kami berbicara tanpa bertentangan mata. Mungkin itu adalah lebih baik. Namun sekali lagi aku hampa. Gadis itu tidak menjawab panggilanku. Aku tetap takkan berputus asa. Lantas kuhantar khidmat pesanan ringkas kepadanya.

'Hanim, I’m so sorry. Tolonglah, beri saya peluang sekali lagi. Please… Saya benar-benar cintakan awak. Tolonglah… Saya janji yang saya takkan sia-siakan awak…’

Dan seperti biasa, khidmat pesanan ringkasku itu hanya dibiarkan sepi…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience