Completed
7015
"Mati itu pasti. Setiap yang hidup pasti akan kembali pada sang Pencipta. "
>>>>>>>
6 tahun lalu
"Mama. "
Dan Puan Sharina toleh. Matanya yang kabur dengan air mata jatuh pada wajah Shahin yang berpeluh. Makin Puan Sharina rasa sebak.
"Macam mana dengan keadaan Syafa mama? Dia akan selamatkan? "Shahin bertanya laju. Dada Shahin tak henti-henti berdebar. Dia risau.
Macam mana dia tak risau bila tiba-tiba sahaja dia dapat berita yang Syafa jatuh tangga sewaktu berada di hospital. Berkejaran Shahin di dalan hospital mencari adiknya di bahagian kecemasan.
"Mama! " Shahin cengkam kuat kedua lengan ibunya, memaksa Puan Sharina membalas soalannya namun Puan Sharina tepis laju tangannya.
Puan Sharina jatuh terduduk sebelum wajahnya ditekup. Dan dapat Shahin dengar tangisan kecil yang keluar daripada ibunya. Shahin ketap kuat bibirnya.
Tak mungkin.
Tak mungkin!
Syafa kena selamat!
Krek.
Dan pintu kecemasan terbuka sebelum seorang doktor lelaki yang sebaya Puan Sharina melangkah keluar. Di tangannya ada sehelai kertas. Mata doktor lelaki meliar sebelum jatuh pada Puan Sharina yang berusaha untuk berdiri di atas kakinya sendiri.
"Puan ibu Syafa? " teragak-agak doktor lelaki yang memakai kot putih itu bertanya. Puan Sharina mengangguk laju.
Dan terbit senyum pahit di bibir doktor lelaki tersebut. "Kami perlukan tandatangan Puan sebelum jalankan pembedahan pada anak perempuan puan. Dia berada dalan keadaan kritikal sekarang. "
Tubuh Puan Sharina dan Shahin menggeletar. Puan Sharina pekup mulut, cuba menahan tangisan.
Shahin laju sambar kertas tersebut daripada tangan doktor lelaki tersebut. Mata hitam Shahin menikam tajam wajah doktor di hadapannya.
"Berapa peratus untuk dia hidup doktor? "
Si doktor mengeluh lemah.
"30 peratus untuk dia hidup namun kita kena ingat. Hidup mati bukan di tangan kami sebagai doktor sebaliknya di tangan Allah. " dan segera doktor lelaki tadi kembali masuk ke dalam bilik kecemasan.
"Mama. " Shahin toleh, memandang wajah ibunya yang seakan sudah hilang separuh nyawa. Ibunya kembali terduduk di atas lantai. Shahin melutut di hadapan ibunya sebelum meletakkan kertas putih tadi di atas tangan kanan ibunya.
"Mama kena tandatangan. " suara Shahin tekad.
Tubuh Puan Sharina sedikit kaku. Kepalanya mendongak sebelum, Zap! Kolar baju hospital milik Shahin dia cengkam kuat.
"Shahin tak dengar ke apa yang doktor tu bagitahu?! Peluang adik kamu untuk hidup hanya sedikit! " suara Puan Sharina berdentum di lorong hospital, menyebabkan mereka menjadi tumpuan namun Shahin buat tak endah.
Shahin hela nafas berat sebelum dia cengkam kuat kedua bahu ibunya, memaksa ibunya agar merenung tepat anak matanya.
"Habis, mama nak putus asa macam ni? Mama nak ke menyesal sepanjang hidup mama kerana tak cuba untuk selamatkan Syafa?! " suara Shahin melengking. Dan air mata Shahin jatuh di pipi ibunya.
"Bagitahu Shahin, mama nak ke Syafa merana sebab keputusan yang mama buat. Kalau mama setuju untuk buat pembedahan ni, sekurang-kurangnya dia tahu yang mama cuba untuk selamatkan dia. "Suara Shahin pecah. Matanya kabur dengan air mata.
"Please.. Mama. "
Dan Shahin terhinjut menangis.
Puan Sharina mati kata. Dan dia seakan tersedar sesuatu. Dia tak nak sia-siakan Syafa! Dia nak Syafa tahu yang dia cuba selamatkan anak dia.
Tubuh Shahin dia peluk erat.
"Mama akan tandatangan. "
>>>>>>>>
"Doktor, macam mana dengan anak-anak saya?"
"Anak perempuan Puan dah selamat. Syukur Puan buat keputusan yang betul dengan lakukan pembedahan ni dengan secepatnya. Tapi.. saya ada satu berita buruk. Anak lelaki puan, Shahin makin kritikal. Dia dah lepasi tempoh jangkaan untuk dia hidup. Jadi, kadang-kadang Shahin akan berhenti bernafas secara tiba-tiba. Jadi... saya harap Puan bersedia dengan kehilangan Shahin."
Shahin hela nafas berat. Perbualan ibunya dan Doktor Kamarul seminggu lepas kerap bermain di fikiran dia sehinggalah hari ni. Hari sudah malam.
Namun, Shahin tak mampu untuk lelapkan mata. Setiap kali dia cuba untuk tidur, dia akan terbayang.
Macam mana kalau dia pergi?
Macam mana kalau dia pergi dalam tidur?
Sudahlah dia tak mampu tidur. Sakit di dada semenjak seminggu lepas menyebabkan pernafasan dia kerap tersangkut sehinggalah sekarang.
Dan tiba-tiba Shahin terdetik sesuatu. Dia nak jumpa Syafa. Dia nak ucap dia sayangkan Syafa untuk kali terakhir.
Perlahan Shahin turun dari katil sebelum melangkah keluar. Langkah Shahin amatlah perlahan dan dia tetap memaksa tubuhnya agar terus bergerak. Sebaik sahaja pintu wad milik Syafa dibuka, Shahin tersenyum kecil.
Perlahan katil Syafa dia dekati sebelum duduk dilabuh di atas kerusi di sebelah katil Syafa. Wajah pucat Syafa dia teliti. Wajah yang hampir sebulan tidak sedarkan diri.
Tangan kanan Shahin naik sebelum membelai rambut hitam pekat milik Syafa. Mungkin selepas ni, dia dah tak mampu buat macam ni pada Syafa.
Dan Shahin tarik rambut panjang milik Syafa sebelum hujung rambut dikucup perlahan. Lama. Dan mata Shahin terasa panas.
Rambut Syafa dilepas perlahan sebelum Shahin pekup dadanya yang terasa sendat. Dia terasa seakan oksigen sudah tinggal sedikit di dadanya. Tak henti bibir Shahin mengucap dua kalimah syahadah. Sebaik sahaja dadanya terasa sedikit nyaman, Shahin kembali membelai wajah Syafa.
Dan bibir Shahin jatuh pada dahi Syafa. Lama. Setelas selesai, dia berbisik perlahan.
"Kalau ini kali terakhir kita bertemu, abang nak Syafa tahu yang abang sentiasa sayangkan Syafa. Sentiasa... "
Dan Shahin lekapkan dahinya pada Syafa. "Abang minta maaf. "
Setitis.
Air mata Shahin jatuh membasahi pipi Syafa. Namun langsung Shahin tak hiraukan air mata yang mula membasahi wajahnya dan juga Syafa.
Dan itu kali terakhir mereka bertemu sebelum Shahin disahkan pergi untuk selamanya pada pagi esoknya.
>>>>>>>
Kembali
Syafa cium lama buku Yasin di tangannya. Setelah itu, dia buka kelopak mata sebelum merenung lama kubur arwah Shahin di hadapannya.
Abang.. Mesti abang tenang dekat sana kan?
Sebab sekarang abang dah tak perlu tahan sakit.
Abang dah tak perlu dengar bebelan Syafa yang selalu sakitkan hati abang.
Syafa harap abang mampu berada dengan Syafa tapi Syafa yakin Allah Maha Perancang. Dia lebih tahu.
Dan kepala Syafa tunduk. Mata dia yang tiba-tiba terasa panas buatkan Syafa cuba untuk kawal emosi. Dia tak nak tunpahkan air mata di hadapan Shahin lagi.
Dia nak Shahin tahu bahawa dia kini.. bahagia. Walau tanpa Shahin di sisi.
"Nah. "
Dan Syafa sedikit tersentak dengam tindakan Emir yang tiba-tiba menghulurkan sehelai sapu tangan pada dia. Kepala Syafa ditoleh ke kiri sebelum pandangannya bertembung dengan Emir.
Wajah lelaki itu tenang. Dan bibir merah itu tidak pernah lekang dengan senyuman.
Kenapa lelaki ni selalu sahaja bersikap baik dengan dia? Kenapa dia selalu di sisi Syafa? Syafa sering tertanya mengenai perkara tersebut.
"Syafa? " dan kening lebat Emir sedikit naik, sedikit pelik dengan Syafa yang langsung tidak memberi reaksi.
Dia ada salah cakap ke tadi?
Kenapa mata Syafa renung dia macam nak tembus?
Atau dia makin kacak?
Ngeh. Perasan lebih je kau ni Emir.
"Maaf. Aku mengelamun. " Syafa sedikit kalut sebelum laju tangan kanan menyambar sapu tangan yang dihulur oleh Emir. Sapu tangan tersebut dia gunakan untuk kesat air mata yang sedikit tumpah di hujung mata.
Dan Syafa perasan akan sesuatu.
Sapu tangan yang digunakan dia buka sebaik sahaja di sedar akan corak sapu tangan tadi. Dan mata Syafa jatuh pada sulaman tangan bertulis 'Andra'. Mata bundarnya buntang. Segera wajah Emir dicari.
"Apa ni? " jelas wajah terkejut di wajah Syafa. Dia betulkan silanya di atas tikar, sedikit tidak sabar. Emir yang melihat beriak selamba.
"Dia tulis Andra. Kenapa? "
Dan Syafa jeling tajam Emir di hadapannya, buatkan Emir hampir letuskan ketawa. Tak sabar langsung. Baru je dia nak usik.
Tangan kiri Emir naik sebelum mencapai sapu tangan yang dipegang oleh Syafa. Sapu tangan tersebut dibawa ke bibir sebelum dicium, buatkan wajah Syafa sedikit berubah.
Apa kena dengan mamat ni?
Emir angkat wajah sebelum mata hitamnya menikam tajam mata Syafa. Dan mata Emir jelas kelihatan tekad, buatkan Syafa sedikit gentar.
"Mungkin kau dah lupa tapi kaulah penyelamat aku dulu. Aku bersumpah sebaik sahaja kau selamatkan aku dari dilanggar, aku akan sentiasa berada di sisi kau dan lindungi kau. "
Garau. Serius.
Dan bibir merahnya senyum tajam.
Syafa hilang kata. Jantungnya tiba-tiba sahaja hilang kawalan dan mula berdegup laju.
Maknanya, Emirlah lelaki dia yang selamatkan dulu!
Baru sahaja Syafa nak buka mulut, Emir sudah berdiri tegak sebelum menyarung selipar yang tersadai di sebelah tikar. Wajahnya berubah selamba, hilang wajah serius. Senyum senget dihulur pada Syafa.
"Aku rasa better kita keluar dulu dari kawasan perkuburan. Tak sesuai untuk aku luahkan perasaan dekat sini. "
Dan si lelaki laju berlalu setelah selesai berkata.
Wajah Syafa bungkam.
Luahkan perasaan?
Dan Syafa rasa pipinya panas. Terlalu panas. Homeostasis mula aktif di pipinya. Perut terasa sebu. Jantung makin laju mengepam.
Tak mungkin aku ada hati dekat dia!
Syafa mendengus perlahan sebelum berusaha untuk aturkan pernafasan dia. Setelas selesai, dia mengemas tikar sebelum kaki dibawa keluar daripada kawasan perkuburan. Sebaik sahaja kaki Syafa hampir pada kereta milik Emir, sekali lagi Syafa hilang kata.
Langkah kakinya mati. Dan mata Syafa tak lepas merenung si lelakinya yang menyandar di sisi kereta sambil memegang sejambak bunga Lily. Dari mana jambangan bunga tu datang?
Kenapa Syafa tak perasan waktu dia naik kereta dengan Emir tadi? Urgh! Dia rasa menyesal terima pelawaan Emir hari ni untuk keluar.
Syafa gagahkan kaki untuk melangkah ke arah Emir menyandar sambil berpeluk tubuh. Bibir merah si lelaki mengukir senyum senget sebaik sahaja kelibat Syafa tegak di hadapan dia.
"Apa maksud kau dengan luahkan perasaan? " laju Syafa bertanya. Langsung tak bertapis.
Wajah Emir langsung tak berubah sebaliknya dia hulurkan jambangan bunga Lily tadi pada Syafa sebelum wajahnya ditunduk sedikit.
"I don't want to rush things between us. Jadi, aku akan usaha untuk pikat kau. "
Suara garau Emir buatkan Syafa kaku. Lidah Syafa kelu dan matanya tak henti berkedip memandang wajah Emir yang rapat di hadapannya.
"Aku mungkin tak sehebat arwah Shahin, tak sebaik dia, tak sekacak dia tapi aku yakin aku mampu jaga kau sama seperti dia jaga kau. Aku yakin yang aku memang sukakan kau. "
Serius.
Dan wajah tekad Emir memang buatkan rama-rama mengepak laju di dalam perut Syafa.
Syafa cuba untuk ukir senyum. Namun apa yang terhasil hanyalah esakan kecil.
Dia gembira?
Tak.
Dia terharu?
Mungkin.
Syafa yakin yang kali ini dia tidaklah berseorangan. Dia masih ada Anna dan juga Emir.
Syafa angkat wajah sebelum bibir ditarik mengukir senyum kecil, biarpun air mata masih laju menuruni.
"Terima kasih. "
Dan wajah Emir berubah.
Merah.
=Tamat=
Cerita ni adalah cerita yang ditulis oleh saya waktu dulu. Saya tak berapa setuju mana dengan cerita ni tapi takpelah. Dah buat. Terima kasih pada mereka yang sudi baca cerita saya yang tak seberapa ni. Terima kasih pada mereka yang vote. Ingat. Hargai orang di sekeliling sebelum terlambat kerana ajal tiada siapa yang tahu.
Share this novel