Jilid Dua, Bab Tiga

Science Fiction Series 1265

Kilat sambar-menyambar. Guruh berdentum-dentam. Angin kuat bertiup mengerbangkan langsir tingkap bilik. Wajahnya berkerut-kerut menahan perit yang amat. Sudah sembilan bulan berlalu. Mujurlah malam ini malam hujung minggu, kalau tak jenuh juga dia nak menjawab jika hal ini diketahui keluarga dan rakan-rakannya.
Ya, hal ini. Sembilan bulan yang lalu, keputusan ujian kit mengandung menunjukkan jawapan positif. Segala sangsi Rin telahpun dijawab dengan jelas. Anehnya, perutnya tidak kembang macam perempuan mengandung yang lain dan alahannya sembuh seperti sedia kala. Oleh sebab itu, dia dapat hadir ke dalam kelas seperti biasa dan dia bebas daripada disyaki oleh keluarga dan kawan-kawan. Tapi bila bayi nak lahir, dekat mana lagi dia nak sembunyi?
Rin menggagahkan diri untuk menelefon Maria. Tak sampai beberapa saat, panggilan diangkat.
"Hello."
"Beb, aku nak beranak ini. Tolong aku."
Nada suaranya seperti merintih.
"Hah? Hah, baik. Aku datang segera."
Peluh mula memercik di dahinya. Rin mula jatuh terduduk. Tangannya menggagau lantai dan dia merangkak untuk mendekati dinding. Tubuh dibawa bersandar pada dinding tersebut.
"Sakit... Mak... Tolong..."
Dia mula merintih. Sayangnya, suaranya tenggelam di balik bunyi guruh.
Jangan risau. Perlahan-lahan, teran... Esok bantuan sampai pada awak. Bertenang. Jangan putus asa.
Entah dari mana datangnya suara-suara bisikan memberi kata-kata semangat kepadanya. Rin memejamkan mata. Hatinya mempercayai kata-kata itu. Perlahan-lahan, rasa sakit mula hilang, digantikan dengan bunyi tangisan bayi. Tangisan itu tenggelam di balik bunyi ngauman guruh.
Rin menghembus nafas lelah. Langsung dia tak hiraukan tompokan darah dan air ketuban yang mengotori lantai. Tubuhnya rebah. Sesungguhnya, dua ingin tidur.
Dia tersentak. Kepalanya ditoleh, memandang sekujur tubuh kecil yang masih merah dengan tali pusat yang masih belum dipotong. Rin bingkas bangun lalu dia mengambil sepit baju lantas mengikat tali pusat bayi itu. Kepalanya puas memikir, kemudian tangan menyelak langsir. Kilat sambar-menyambar di luar dan bunyi guruh berdentum-dentam. Langit yang gelap menyukarkannya untuk melihat wajah bayi tersebut.
Rin meraba dinding. Tangan membuka lampu.  Pakaiannya diselak dan tubuhnya memangku bayi tersebut. Wajahnya berkerut-kerut apabila gigi bayi tersebut mula menggigit tubuhnya. Tubuhnya terasa penat akibat kalori yang keluar dari tubuhnya. Rin memejamkan mata sambil menghela nafas berat.
Tubuhnya dibawa duduk, tanpa langsung dia peduli akan keadaan tubuhnya yang sudah sembuh daripada luka melahirkan anak.
Selesai menyusukan bayi tersebut, Rin menanggalkan baju yang kotor dan menukar baju. Baju yang kotor perlahan-lahan diseludup keluar. Dia membuka pintu bilik perlahan-lahan. Matanya sengaja dikecilkan sambil dia memandang jam di dinding. Sudah tengah malam. Langkah di atur berjengket-jengket menuju ke tandas agar tiada siapa terjaga.
Selesai hal baju kotor. Lega! Sekarang hal lantai kotor pula. Dia mengeluh lagi. Dalam hati dia menyumpah seranah Penguasa Minda kerana meninggalkannya keseorangan dalam situasi begini. Mujurlah sekarang sudah pukul dua pagi! Mujur juga perutnya tidak membulat masa mengandung. Dalam hati Rin menghembus nafas lega.
Tiba-tiba bekalan elektrik dirumahnya terputus. Ah, sudah! Rin mula bingung. Sedangkan dia Nyawa Guruh! Ini mesti kilat membidas pencawang elektrik berdekatan dengan rumahnya. Dalam hati dia berfikir, bolehkan dia mengawal guruh di langit?
Rin mula tersedar akan sesuatu. Alamak! Nanti mak akan terjaga. Pantas dia melangkah keluar mencari pencawang elektrik terdekat. Setelah menjumpainya, Rin melompat naik dengan bantuan daya magnet. Seluruh tubuhnya dicas agar elektron valens berpindah tempat. Tubuhnya menahan sakit yang amat. Ingin dia menjerit tetapi tiada suara yang keluar. Seluruh tubuhnya terbakar dan dia kelelahan yang amat.
Jari telunjuknya diangkat ke langit, dan serentak itu, kilat mula menyambarnya. Rin menyambut baik ion negatif itu. Tubuhnya menjadi bertenaga semula dan dia terbaring lemah di atas wayar elektrik.
Teringatkan sesuatu, Rin melompat turun. Di dalam bilik, dia membersihkan semua tompokan darah di lantai.
Rin membalut tubuh bayi itu dengan selimut miliknya. Tubuh itu dibaringkan di atas katil, dan dia berbaring di sebelah bayinya itu.
Matahari naik di luar di luar sedar. Dia tersentak. Nafasnya turun naik. Baru dia teringatkan sesuatu. Bayi itu! Rin menoleh. Tak ada! Pantas dia bergegar keluar tanpa menukar pakaian. Langsung tidak dihiraukan oleh Rin, Penguasa Minda yang sedang menggendong bayi itu di luar sambil bermain dengannya.
Emosi Rin mula turun naik. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia membunuh lelaki di depan matanya itu. Namun, memikirkan nasib keluarganya kelak, Rin mendekati lelaki itu dengan mata yang mencerlung.
"Apa yang awak buat di sini?"
Pertanyaannya langsung tak dihiraukan.
"Apa yang awak buat di rumah saya ini?!"
Nada suara Rin naik tiga oktaf.
Perasan akan arus elektrik yang mengalir dari tubuh gadis itu, Penguasa Minda menjawab.
"Bayi ini Nyawa, awak tahu? Awak ingat saya nak biarkan bayi ini di bawah jagaan awak seorang?"
Perlahan-lahan Rin cuba untuk mencerna ayatnya. Lelaki ini! Mujurlah Lin datang.
"Fazrul, kenapa tak beritahu nak datang?"
Fazrul? Rin menoleh memandang lelaki itu.
"Mak tak bangun lagi," sambung Lin.
Fazrul tersengih.
"Tak apa, Lin. Kejap lagi saya nak ambil Rin balik."
Huh? Rin memandang mereka berdua silih berganti. Rasa seperti sesuatu yang tidak kena sedang berlaku.
Fazrul mengukir senyum nipis. Tangannya masih menggendong bayi itu. Dia membiarkan Lin mencium bayi tersebut.
"Jangan pergi lama sangat. Jangan lupa bawa balik anak saudara Lin sama."
Rin memandang wajah Lin.
"Kejap. Nak tukar baju dulu."
Rin memandang dirinya di cermin. Baju leher kura-kura berbenang kait berwarna biru gelap dengan jaket memancing berwarna hitam. Dipadankan dengan seluar khakis berwarna hijau pucuk. Rambutnya yang sebelum ini hitam dan ikal mayang bertukar menjadi kuning dan lurus macam spaghetti. Tak perlu dah sikat rambut. Tangannya mencapai gunting. Rambut depan digunting hingga ke paras mata. Sekali lagi dia memandang wajahnya di cermin. Masak!
Rin melangkah keluar, menuju ke Fazrul yang sedang menunggunya. Kelibat Lin sudah hilang. Yang ada hanyalah Fazrul atau Penguasa Minda dengan bayi serta sebiji kereta berwarna hijau itik. Model Audi. Rin melangkah perlahan. Hatinya berombak.
"Fazrul itu nama sebenar saya. Nama penuh saya ialah Fazrul Kheynaizi."
"Jadi?"
Malas Rin menjawab. Pasti dia tahu. Tak mustahil dia telah membaca fikiran Rin yang sangat dahagakan penjelasannya. Rin memandang ke dalam mata lelaki itu, memintanya supaya menghentikan perbualan. Tak guna mereka berperang mulut di sini. Tambahan pula, bayi itu di tangan Fazrul dan sekarang mereka sedang berada di rumahnya. Keselamatan keluarganya jauh lebih penting.
"Jadi, sekarang ini, awak dan bayi ini akan ikut saya balik ke rumah kita."
Huh? Rumah kita? Rin semakin bingung.
"Ada benda yang saya nak cakap dekat awak."
Rin mula faham. Takkan lelaki itu saja-saja nak ajak dia ikut balik ke rumah.
Rin mengambil bayi itu dari tangannya. Mereka bertiga menaiki Audi. Punat tingkap ditekan dan tingkap kereta mula turun ke bawah. Rin mendongakkan kepalanya ke luar tingkap. Cantik. Udara segar dari kawasan perumahan Tenggara dan ladang gandum di luar menampar wajahnya. Kepalanya kosong. Sengaja Fazrul membuka tingkap kereta. Membiarkan udara segar dan dingin menampar wajah mereka berdua. Dia memandu mereka bertiga dari Tenggara ke Barat Daya.
Bau asap kilang mula menyentuh hidung. Fazrul menutup tingkap dan bau penyegar udara menusuk ke dalam hidung.
Kereta yang dipandu tiba di depan sebuah rumah. Kelihatan seperti rumah agam, tetapi terbiar. Daun-daun kering penuh berguguran di atas lantai halaman. Lambat-lambat Rin melangkah turun dari kereta. Macam tak percaya. Besar sungguh rumah lelaki itu.
Mangga pagar dibuka oleh Fazrul. Dia menolak pintu pagar, diikuti Rin dan bayi mereka. Rumah itu sedikit terselindung dan jauh daripada kilang, jadi tiada asap kilang berjaya sampai ke rumah itu.
"Masuklah."
Rin akur. Membulat matanya apabila melihat keadaan dalam rumah itu. Cantik! Meja kasut elok diletakkan di tepi pintu, di bawah tempat letak kunci. Dinding ruang tamu elok dicat dengan warna merah hati, dihiasi lengkap dengan sofa berwarna emas. Memang padan. Terdapat beberapa koleksi lukisan yang mahal dipamerkan di dinding. Tak sangka lelaki ini pandai mendekor rumahnya.
Rin meminta izin untuk meletakkan bayi di tangannya ke dalam bilik tidur utama. Fazrul pantas mempelawanya masuk ke dalam bilik tidur tersebut. Ada katil bayi. Tanpa banyak bunyi, Rin meletakkan bayi di tangan ke dalam katil bayi tersebut.
"Beri saya telefon bimbit awak."
Rin menoleh. Kenapa?
"Saya nak masukkan info kad saya ke dalam akaun Kelchi awak."
Oh! Rin membuka aplikasi Kelchi di telefonnya. Telefon bertukar tangan. Seusai memasukkan info kad bank, telefon dipulangkan oleh Fazrul.
"Itu kad kredit saya. Awak nak beli apa pun boleh dengan kad kredit itu."
Tangan Fazrul menyeluk saku. Dompet dikeluarkan. Sekeping kad dihulurkan kepada Rin.
"Nah. Ini kad kredit saya yang satu lagi. Guna untuk beli keperluan awak dengan bayi itu."
Terkejut Rin dibuatnya. Belum pernah seumur hidup dia melihat kad kredit platinum, apatah lagi menemui orang yang mempunyai lebih daripada satu kad kredit. Tak sangka makhluk sekaya itu boleh wujud. Lelaki itu ketawa kecil melihat riak wajahnya. Rin kemudian tersedar akan sesuatu.
"Awak berhutang penjelasan dengan saya. Apa yang awak nak dekat saya?"
Matanya mencerlung memandang lelaki itu. Suaranya dingin macam ais batu. Tangannya sudah bersedia dengan kemungkinan sama ada pukulan kilas akan diberikan kepada lelaki itu ataupun tidak.
"Saya mahukan anak itu."
Serentak itu tangannya pantas mencekak leher lelaki itu. Tekanan diberikan kepada lehernya. Lelaki itu masih tidak berganjak. Fazrul melepaskan keluhan berat. Tangannya memegang lengan Rin.
"Lepaskan saya. Bertenang. Kita sarapan dulu. Awak nak masak atau awak nak saya beli? Dalam dapur itu sepatutnya ada makanan, sebab saya suruh setiausaha saya belikan."
Masih sangsi. Tangannya dilepaskan tetapi matanya masih merenung ke dalam anak mata lelaki itu. Rin merengus kasar.
"Okay. Saya masak."
Tanpa membuang masa, Rin melangkah ke dapur. Peti sejuk dibuka. Ada beberapa bahan. Telur, sayur, air mineral dan botol sos. Rin membuka kabinet dapur, ada tong beras, perencah nasi goreng, perencah sup, perencap kari dan keju. Mak ai, banyaknya perencah! Cakap je apa, semua ada. Rin mengeluarkan perencah nasi goreng. Kaki dibawa ke kaunter formika lalu dia membuka periuk nasi. Bagus! Ada nasi dingin. Tangan mencapai kuali.
"Awak nak masak apa?"
Suara garau itu betul-betul sedang berada di sebelahnya. Rin refleks menoleh. Luruh jantung! Tanpa menghiraukan lelaki itu, Rin membuka api. Bawang cincang dimasukkan ke dalam kuali sebaik saja minyak mulai panas. Berdesir bunyinya. Sekali-sekala Rin mengelak apabila minyak memercik ke muka. Tangan ligat mengacau supaya bawang tidak hangit.
"Saya beritahu keluarga awak bahawa kita dah kahwin."
Terlompat Rin dibuatnya.
"Apa?!"
Rin memandang Fazrul dengan muka cengil.
"Apa yang saya telah buat? Tak ada pun. Sedikit penukaran memori dan hipnosis. Sekarang ini mereka ingat awak isteri saya dan saya suami awak. Kita ada anak lelaki seorang."
Terasa yang lelaki itu sedang mengukir senyum sinis.
Bila masa pula?!
"Masak apa itu?"
"Nasi goreng."
"Nyawa boleh hidup tanpa makanan, awak tahu?"
Rin memandang Fazrul dengan muka tak percaya.
"Kita hanya makan untuk mengawal hormon gremlin supaya kita tak rasa lapar. Badan kita akan hidup walau tanpa makanan."
Biar betul. Membulat mata Rin. Baru dia perasan yang walaupun sakit semalam itu betul-betul menyeksakan, tetapi selepas beberapa minit, tubuhnya sembuh semula seperti sedia kala. Apa yang dia dapat rasakan semalam cuma penat.
Nasi dingin dimasukkan ke dalam kuali. Tangan mengacau nasi dengan penuh berhati-hati supaya nasi tak berterabur. Cukup masa, Rin menutup api.
Terkejut juga Rin apabila dia melihat Fazrul mencedok nasi untuk dua pinggan.
"Makanlah, nanti lapar."
Faham akan buah fikiran Rin, Fazrul membuka mulut.
Mereka berdua duduk betul-betul berhadapan dengan diri masing-masing. Jom makan. Suara di dalam kepala memberitahu. Mungkin sekarang masa yang sesuai mereka berbincang. Fazrul menghidangkan nasi goreng itu untuk Rin. Terima kasih. Kata-kata itu hanya terbit di hujung lidah.
Teragak-agak Rin menyuap nasi goreng ke dalam mulut. Suasana begitu kekok. Sarapan bersama pula itu! Lagi-lagi dengan lelaki ini. Teragak-agak Rin memandang Fazrul di hadapan. Dia kelihatan selamba saja menyuap nasi goreng ke dalam mulutnya. Sekali-sekala dia meminum air mineral di sebelahnya.
"Kita sarapan sampai habis dulu. Lepas itu baru kita cakap."
Rin mengangguk tanda faham. Sesudu nasi goreng disuap lagi ke dalam mulut. Sampai ke suapan terakhir, barulah Fazrul membuka mulut.
"Bayi itu merupakan Nyawa yang mempunyai dua kuasa. Dia merupakan darah campuran. Hybrid."
Eh? Rin memandangnya dengan kening yang terangkat sebelah. Hybrid? Apa tu?
"Hybrid itu maksudnya dia lahir dari dua kuasa. Kalau ikutkan hipotesis, genetik kita berdua sepatutnya menghasilkan Nyawa Teknologi."
Tak payah banyak soal pun, dia dah menjawab.
Jadi, apa yang awak nak?
"Kita patut besarkan dia sebagai Nyawa. Saya nak bawa dia jumpa kawan saya, seorang doktor yang genius untuk periksa anak kita. Saya yang akan latih dia."
Keras sekejap badan Rin apabila mendengar ayat Fazrul itu.
"Anak kita?"
Angguk. Pantas Rin menggeleng.
"Saya akan letakkan bayi itu ke Program Anak Angkat." Tegas Rin bersuara.
"Tak boleh. Dia tak sama macam orang lain. Dia bukan manusia normal."
Nada suara Fazrul meninggi.
"Awak rampas segalanya daripada saya, awak tinggalkan saya keseorangan selama sembilan bulan, abaikan saya semalam dan sekarang awak berani tunjukkan muka depan saya?!"
Nada suara Rin meninggi. Dia berdiri. Terasa urat-uratnya bertukar menjadi biru.
Ktrr...! Ktrrr...!
Mata dan rambutnya mula bercahaya. Rambutnya turut mengerbang. Marah.
Whoa, bertenang, Rin. Suara di dalam kepala menyela. Fazrul turut berdiri. Tangannya menggenggam tangan Rin erat. Kepalanya menyentuh kepala Rin. Tubuh gadis itu dipeluk. Rin tahu lelaki itu sedang mengawal fikirannya. Dapat dia rasakan itu.
"Saya tak ambil apa-apa daripada awak, Rin. Saya boleh buktikan awak. Bila kita jumpa Dr. Rohan nanti, saya akan tunjukkan yang saya tak sentuh awak pun. Saya tahu apa yang awak lalui semalam. Suara yang awak dengar semalam pun ialah suara saya."
Pelukan semakin erat. Tubuh Rin bertambah lemah. Rin tahu, ini kesan emosinya. Macam yang Fazrul kata, dia boleh mati kerana bertindak mengikut emosi. Peluh memercik di dahi. Pandangan mata menjadi kabur, sebelum dia rebah dalam pelukan Fazrul.
Perlahan-lahan dia membuka mata. Rin memandang sekeliling. Katil bayi itu! Sekarang dia berada di bilik tidur... Utama? Perlahan Rin memegang kepala yang terasa berat. Vitamin B kompleks di sebelah menarik perhatiannya.
Saya dah sediakan sarapan awak. Makan vitamin itu lepas awak habis makan. Hari ini saya masuk pejabat. Bayi itu saya akan serahkan ke Dr Rohan terlebih dahulu untuk diperiksa keadaannya. Ada suara di dalam kepala memberitahu. Mesti itu suara Fazrul. Rin menggagahkan diri juga untuk turun dari katil. Sempat dia memeriksa katil bayi di sebelah. Kosong. Betul apa yang lelaki itu cakap.
Langkah diatur menuju ke dapur. Sarapan. Rin membuka tudung saji, ada lima keping roti bakar. Kira okaylah itu kalau nak buat lapik perut pun. Dua keping roti dimasukkan ke dalam mulut. Rin meneguk air teh dingin dengan rakus. Gila kebulur tahap tak ingat. Kalah pelarian negeri pasir berdengung. Rin memicit-micit lengan yang lenguh akibat semalam. Vitamin B kompleks dan C dimasukkan ke dalam mulut dan dikemam. Masam.

Awak hanyalah seorang perempuan yang naif. Saya minta maaf atas apa yang saya akan buat pada awak. Jangan risau, saya tidak akan berkasar dengan tubuh awak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience