Jilid Dua, Bab Satu

Science Fiction Series 1265

Rin memandang ke arah jam di atas meja tepi katil. Sudah pukul sepuluh setengah. Cuti hujung minggu. Waktu cuti ini memang, dia akan bertapa dulu di dalam bilik sampai sejam dua untuk melayari internet. Apabila kelajuan wifi perlahan, baru dia akan keluar. Tingkap sengaja dibiarkan terbuka, angin sepoi-sepoi bahasa menerpa masuk. Langsir diikat agar tidak mengerbang.
Perut yang berbunyi mendahului langkahnya ke dapur. Pantas Rin membuka saji. Kosong. Dia mengeluh hampa. Kemudian dia mengetap gigi. Perutnya sudah berkeroncong habis. Nak tak nak, dia membuka peti sejuk. Mencari daging, telur dan sayur. Otak di kepala mula memberi idea. Disebabkan pagi yang indah permai ini mak kerja, maka ayuh kita menunjukkan bakat memasak.
Rin mencapai kuali bertangkai lalu meletakkannya di atas api dapur. Dua biji telur dipecahkan lalu tangannya lincah memukul telur dengan garfu. Secubit garam, sedikit lada hitam dan putih telah selamat ditabur ke dalam telur. Setengah sudu mentega yang telah dinyahbekukan diletakkan ke dalam kuali yang telah panas. Hiss, berdesir bunyi mentega yang bertambah cair di dalam kuali. Agak-agak bila mentega sudah cair sepenuhnya, dia terus menuang telur ke dalam kuali. Sudip dicapai dan telur dikacau. Sambil mengacau Rin memperbetulkan api. Takut telur hangus. Tangan kemudian mencapai botol sos cili dan sos tomato. Kedua-dua botol isinya ditunggang masuk ke dalam kuali. Tangan masih lagi ligat mengacau. Api dimatikan.
Hah! Siap pun!
Rin mencapai roti sekeping. Telur di dalam kuali diceduk guna sudu dan disapukan ke atas roti. Sehiris timun, tomato dan daun salad turut ditambah.
Cukup semua, kampitkan roti dan tah dah! Siap pun sanwic. Okay, mungkinlah tak hebat mana pun tapi kira okaylah itu daripada tak makan apa. Tangan kemudian mencapai sosej panggang yang sememangnya telah siap lalu roti telur itu digulungkan dengan sosej. Ala-ala hotdog.
Seusai makan, Rin meletakkan kuali dan pinggan yang telah digunakan ke dalam sinki. Hatinya bimbang sekiranya Liana ternampak perkakas dapur yang bersepah ini. Dia membuka pili air. Tangan lincah membilas kuali dengan berus. Setelah selesai semua, Rin membuat keputusan untuk menghabiskan masa di dalam bilik saja.
King of Torts karya John Grisham dibuka pada muka surat yang telah bertanda. Elegy of the Moonlight, lagu tema Akatsuki no Yona dibiarkan berbunyi menerusi telefon. Gesekan erhu menambahkan lgi rasa melankolik tatkala membaca. Rin memang suka dengan bunyi erhu ini. Gambus pun boleh tahan. Ala-ala dirinya dibawa ke dalam filem Jet Li di dalam Once Upon a Time in China. Historik semacam aje.
Pintu bilik terkuak mengalihkan pandangannya dari John Grisham. Wajah Liana tersembul di muka pintu.
"Apahal?"
"Siap cepat. Kita keluar beli barang."
Huh? Rin masih lagi dengan muka kelam tak faham.
"Barang apa pula?"
Liana tepuk dahi.
"Lah! Barang kaulah. Nanti merungut pula, tak ada itu, tak ada ini. Sudahlah kau itu jarang keluar. Asyik nak bertapa aje."
Pintu ditutup oleh Liana.
Riana menutup buku lalu merenggangkan badan. Terasa berkeriuk tulang-temulang sendi. Wajahnya berubah apabila bunyi 'pop' kedengaran. Gila. Takkanlah umur sembilan belas dah ada masalah tulang.
Dengan penuh malas Rin mencapai tuala lalu menapak menuju ke dapur. Peti sejuk dibuka. Dia mendongak memandang jam di dinding ruang makan.
Haih, sempat lagi ni.
Rin mengeluarkan sebotol ais krim soda lalu menuangnya ke dalam cawan yang telah berisi air masak separuh. Cawan yang digunakan untuk minum itu dibasuh dan digantungnya ke tempat asal. Langkah terus diatur menuju ke bilik mandi.
Costco sesak. Biasalah, cuti hujung minggu. Berbaju kemeja hijau, seluar khakis hitam dan berkasut sukan, Rin berjalan seiringan dengan Liana ke tingkat tiga. Liana pula santai mengenakan skirt maxi berwarna pink dan blouse lengan pendek berwarna kuning. Rambutnya disemat rapi dengan pin berbentuk buah pic. Memang tema tropikal.
Tadi mereka ke Watson, membeli alat solek untuk Liana. Rin juga turut sempat menyambar serum untuk bulu mata. Saja nak bagi bulu mata panjang sikit.
Daripada Watson, mereka ke Popular, membeli buku. Liana masih lagi terkial-kial mencari buku bacaan Inggeris untuknya. Rin mencadangkan The Wishing Spell untuk Liana. Fantasi, tanpa unsur percintaan.
Dan sekarang mereka masih lagi berkira-kira sama ada hendak pergi makan atau masuk ke Costco untuk membeli barang dapur.
"Aku nak beli barang." Itu pendirian Rin.
"Macam itu pula. Tak apalah, jom kita beli ais krim dulu, kemudian kita masuk ke Costco." Akhirnya Liana memberi kata putus.
Liana memesan praline and cream manakala Rin memesan chocolate chip and mint. Mereka berdua makan tanpa bersuara.
Tetapi ada sesuatu benda yang menarik perhatian Rin daripada ais krim di tangan. Seperti... Kuasa ajaib? Ah... Sudah. Malapetaka apa pula ni?
Rin memandang ke arah sekeliling sebaik sahaja dia membuang cawan ais krim ke dalam tong sampah.
Terasa seperti ada satu entiti yang sedang mencarinya dan cuba memerhatikannya. Ada suara yang sedang memanggilnya dari jauh.
Tanpa sedar, Rin mengatur langkah mencari suara itu. Sampailah satu masa, suara itu berkata, "jumpa pun awak!" Huh? Meremang bulu roma dibuatnya. Rin memerhati sekeliling. Siapa dia?
Di depan matanya, beratus manusia sedang lalu-lalang. Kompleks membeli-belah ini begitu besar. Ada beberapa orang bapa sedang duduk lepak bersama pengusung bayi masing-masing dengan beg plastik di kaki. Ada taman rekreasi di dalam pun ada. Hingar bunyinya dengan suara kanak-kanak. Di sebelah kiri ada restoran dan kompleks gerai makan. Masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Tak ada seorang pun yang mengenalinya. Jadi, siapa pula yang sedang memanggilnya ini? Rasanya seperti Nyawa. Oh ya, memang Nyawa pun.
Rin nekad untuk tidak kalah. Makhluk itu tidak boleh menjumpainya, sebaliknya dia yang harus pergi mencari makhluk tersebut. Rin mencari sumber elektrik. Hah, jumpa. Soket eskalator. Semenjak peristiwa di akademi dahulu, Rin sudah terbiasa dengan perbuatan ini. Dengan sekelip mata, dia melalui litar eskalator, dari tingkat tiga menuju ke tingkat bawah. Pintu keluar Costco menantinya di depan mata. Cis! Segala pergerakannya telah dikawal. Apa yang makhluk ini nak?
Nak tak nak Rin mengikut saja rentaknya. Sempat juga Rin menghantar mesej kepada Liana memberitahu bahawa dia akan pulang sendiri dengan teksi. Hatinya bimbang sekiranya Liana risau akan keadaannya. Tetapi dia memujuk diri sendiri yang gundah. Apa guna mendapat kuasa ajaib kalau dia tidak mampu mempertahankan diri sendiri?
Kaki mengatur langkah ke tempat meletak kereta Costco. Terasa seperti ada sepasang mata sedang menghukumnya dari atas. Rin mendongak ke langit. Bayang seorang lelaki di atas bumbung membuka biji matanya menjadi lebih luas. Hatinya meronta-ronta ingin mendapatkan lelaki itu. Tetapi dia tidak tahu bagaimana caranya untuk terbang ke bumbung.
"Hoi, gunakan kuasa awak."
Rin mengingat-ingat semula prinsip tenaga elektrik yang dipelajarinya di dalam subjek Fizik. Sudahlah Fizik subjek yang paling dia tak suka! Terasa seperti lelaki ini benar-benar sedang menghukumnya kerana dia kelihatan seperti orang bodoh.
Langsung dia tak perasan bahawa lelaki itu bersuara di dalam fikirannya. Lelaki itu turut membantunya mengingati pelajaran bab tenaga elektrik. Barangkali dia tidak tahan akan kebodohan Rin. Selepas beberapa kali percubaan, akhirnya berjaya juga Rin melompat naik ke atas.
Kini, dia berada di ata puncak bumbung Costco, berhadapan dengan lelaki itu.
Lelaki itu berwajah biasa saja, dengan rambut hitam, berkumis nipis dan berkemeja coklat. Angin kencang meniup tali leher dan kotnya tetapi lelaki itu kekal berwajah tenang.
"Awak ini masih perlukan latihan asas."
Rin memandang ke hadapan, dan mata mereka bertentang seketika. Baru tersedar akan kewujudan lelaki itu.
"Jadi, awak ini Nyawa yang baru kan? Selamat berkenalan."
Rin memandang wajahnya. Boleh tahan, tapi macam pernah jumpa. Dekat mana ya?
"Awak tengah mengingati semula kenangan kita berdua ya? Sekarang awak kenal saya?"
Huh? Rin memandang lelaki itu dengan wajah bingung. Seingatnya, dia tak pernah lagi ada kenangan dengan lelaki ini. Silap orang kut.
"Saya tak pernah silap dalam memori. Bodoh sangat ke awak ini? Saya dulu pernah bersama kakak awak, orang yang awak berazam nak padam darinya."
Otak masih cuba mencerna. Kakak awak? Oh! Lelaki itu!
Macam manalah dia boleh terlupa. Rin menepuk dahi. Wah, lama gila kut. Dia mengerling lelaki di hadapannya ini. Memanglah dia tak suka lelaki itu dengan Liana, tetapi dia sudah lupa akan ancaman yang dibawa oleh lelaki itu memandangkan hubungan Liana dengan Fazumi pun dah okay.
"Jadi, awak ini apa?"
Eh? Rin memandang lelaki ini dengan wajah kelam tak faham.
"Kuasa awak. Beritahu saya."
Rin mencebik.
"Tak perlu beritahu pun. Awak dah tahu," balasnya.
Lelaki itu mengukir senyum.
"Saya cuma nak dengar suara awak. Bunyinya lebih sedap daripada buah fikiran awak."
Lelaki stereotaip. Asal perempuan saja mesti nak mengayat.
"Hmm... Awak boleh panggil saya Penguasa Minda. Saya boleh mengawal fikiran semua makhluk hidup, termasuk awak. Mempunyai IQ jauh lebih tinggi dan daya ingatan yang kuat. Saya juga boleh mengawal pergerakan awak, hanya terbatas kepada seorang saja."
Ada gaya macam berlagak. Mentang-mentanglah lelaki itu lebih senior. Menyampah pula Rin dibuatnya.
"Awak benci saya? Atau awak suka saya..."
Huh? Rin mengangkat muka. Lelaki itu berada betul-betul di hadapan wajahnya. Refleks Rin mengelak tetapi tidak berjaya.
"Tak boleh."
Rin menentang mata dengan lelaki itu.
"Saya tak akan lepaskan awak."
Entah kenapa bisikan garau itu menghadirkan rasa seram sejuk di seluruh tubuh dan hatinya.
"Awak seperti memuji saya. Kemudian awak mengutuk saya. Berterus-teranglah."
Rin memandang lelaki itu dengan muka senget. Bila masa pula?
"Dengar sini baik-baik, saya tak memuji awak dan saya tak tahu kenapa awak memanggil saya ke sini. Saya tidak mahu ada apa-apa dengan awak dan jangan dekati keluarga saya lagi. Saya nak balik."
Rin bersuara tegas. Belum sempat dia berjaya melangkah pergi, tubuhnya kaku. Bahunya direntap kuat. Rin memejamkan mata kerana takut. Apa yang dia nak buat ini?
Terasa seperti jari-jemari itu menyentuh tubuhnya.
"Semenjak peristiwa awak mendapat kuasa hari itu, awak perasan tak akan perubahan pada tubuh awak?"
Rin tak menjawab. Terasa seperti lelaki itu sedang memeriksanya tetapi tubuh Rin seperti telah digam dengan gam gajah. Langsung tidak boleh berganjak.
"Hmm... Kami perlu pastikan awak sudah matang sepenuhnya..."
Rin cuba melawan. Di dalam kepalanya penuh formula dan istilah untuk mengukur tenaga elektrik.
Ktrrr!!!
Penguasa Minda seperti tersedar akan sesuatu. Ah... Tangannya terhenti apabila kilat dari langit mula menyambar secara rambang. Warna langit yang cerah jelas menunjukkan dari mana asalnya kilat itu.
"Sudahlah itu. Berhentilah."
Wajahnya jelas tak terkata apabila melihat muka sebak di hadapannya. Rasa serba salah mula menguasai, tetapi hatinya nekad demi misi.
Gadis itu memandangnya dengan wajah sedih, dengan pipi kemerah-merahan.
"Alamak, saya buat awak nangis pula. Macam ini, apa kata awak ikut saya? Walau awak melawan macam mana sekalipun, saya tetap akan mencari awak. Saya tetap akan ambil awak untuk ikut saya. Saya ingatkan awak boleh guna kuasa yang awak dapat itu dengan baik. Kalau awak ikut saya, saya boleh ajar awak gunakan kuasa awak."
Dengan air mata yang bercucuran, Rin melangkah pergi. Sempat lengannya ditarik.
'Saya nak awak. Ikut saya.'
'Tak boleh.'
Itu balasannya sebelum dia melangkah pergi.
Rin memeluk tubuh sebelum bersandar lemah pada dinding. Dia tersedar seketika. Dekat mana ini? Ah, persetan! Kesihatan mentalnya jauh lagi penting. Perlahan-lahan kedua-dua belah tangan meramas kepala dengan kasar. Tangan kiri mengeluarkan sebotol ubat tidur dari dalam poket seluar. Dua biji melatonin ditelan dengan lahap. Dalam keadaan begini, sungguh dia ingin merehatkan fikiran.
Hari makin gelap. Lampu neon mula bernyala di sekitar bandar Metropolis. Dari jauh lagi bergemerlapan papan tanda sebesar alam, terpampang wajah Cindy, presiden bandar Metropolis, wanita pertama dengan ucapan tahniah atas perlantikannya.
Tadi, sempat dia pulang ke rumah dan memberitahu Liana bahawa dia akan tidur di luar malam ini. Terpinga-pinga Liana dibuatnya. Mana pernah selama ini Rin bermalam di luar! Mesti dia ingat adiknya itu dah buang tabiat.
Sengaja Rin melarikan diri dari rumah. Dia bimbang akan keselamatan ahli keluarganya. Lagipun, dia sendiri tahu lelaki itu akan datang mencarinya lagi. Rin menengadah ke langit. Hitam pekat sambil dihiasi cahaya bintang yang malap. Papan tanda besar itu dipandangnya. Kawasan perindustrian Metropolis menghiasi kawasan pembinaan terbengkalai singgahannya. Mujurlah tiada amaran dilarang menceroboh, kalau tak mahu rasa bersalah dibuatnya. Belum habis belajar lagi dah jadi penjenayah.
Hatinya kini nekad. Malam ini, dia akan selesaikan semua dengan lelaki itu. Dengan rekodnya sebagai pelajar cemerlang, Rin yakin akan kebijaksanaannya melawan Penguasa Minda.
"Tunggu saya ke?"
Lelaki itu dah sampai.
Kepala yang dari tadi asyik berdengung dibiarkan oleh Rin. Rin memejamkan mata sejenak sebelum menggenggam tangan erat.
"Diri saya yang sebenar tidak akan membiarkan membenarkan orang lain mengganggu urusan saya."
Rin memaksa dirinya untuk berdiri. Lelaki itu baru sampai tak sampai sesaat dan pergerakannya sudah mula dikawal.
"Nampaknya awak ini masih lagi belum biasa dengan kuasa awak sendiri. Awak ini mesti tak pernah berjumpa dengan komuniti kita."
"Sebab itulah kita akan selesaikan semuanya. Malam ini."
Serentak itu satu tumbukan petir yang padu keluar. Sayangnya, tumbukan dan petir yang menyambar itu berjaya dielak oleh Penguasa Minda. Cis! Sikit lagi!
Riak muka yakin lelaki itu berubah kepada terkejut. Akhirnya! Umpan mengena!
"Apa masalahnya, Penguasa Minda? Tengah cuba untuk mengawal perbuatan saya?"
Ubat tidur yang dimakan oleh Rin tadi mula memberikan kesan. Disebabkan otaknya mula lemah, Rin tidak dapat berfikir dengan baik. Badannya bergerak mengikut emosi dan bukannya rasional. Setiap serangannya lebih kepada serangan gerila berbanding dengan serangan strategi ala-ala permainan catur.
Sangkaannya walaupun lelaki itu boleh mengagak arah serangan dengan formula kelajuan cahaya, tetapi kalau serangan datang secara bertubi-tubi, mampukah Penguasa Minda elak?
"Arghh...!"
Rin dah agak. Akhirnya serangannya mengena, walaupun lelaki itu hanya cedera ringan. Tetapi sekurang-kurangnya Rin sudah tahu apa kekuatannya menentang lelaki itu.
Tatkala tangan Rin sudah mula hampir mencapai tengkuk lelaki itu, kedengaran suara  sinis.
"Awak ini memang bodoh. Awak ingat dengan cara begini awak dapat menewaskan saya? Memang betul sekarang saya tak boleh mengawal fikiran awak, tetapi itu tak bermakna saya tak boleh menguasai akal awak."
Rin memegang rambut Penguasa Minda dengan kasar.
"Habis itu, macam mana dengan perasaan saya, hah?! Perbuatan awak pagi tak boleh dimaafkan. Awak mungkin boleh menguasai akal saya, tapi jangan mimpilah awak boleh menguasai hati saya."
Tubuh lelaki itu ditolak ke tepi oleh Rin. Bercahaya sekejap tubuhnya, bahana dibakar petir oleh tangan Rin.
Perasaan marah mula menguasai gadis itu. Mungkin kerana teringatkan peristiwa pagi tadi. Seluruh tubuh Rin bercahaya. Rambutnya turut berubah warna kerana terbakar. Daripada hitam arang kepada warna kuning muda seperti mentega. Matanya yang hitam menjadi biru muda dan penuh bercahaya. Langsung dia tak memikirkan akibat menurut emosi amarahnya itu. Di dalam fikirannya hanya satu, lelaki itu harus mati.
Sebiji batu-bata diangkat dan dilempar ke arah lelaki itu. Tak cukup dengan itu, batu-bata yang besar itu dihancurkannya sebelum dibaling oleh Rin dengan kelajuan cahaya. Ada batu yang mengena dan ada yang tidak. Disebabkan kerana tidak puas hati, Rin mendekati lelaki itu dan menyambarnya dari jarak dekat. Menjerit lelaki itu dibuatnya akibat terlalu sakit.
Tiba-tiba hatinya mula merasa teruja. Seolah-olah seperti kanak-kanak yang sedang memusnahkan istana pasir di pantai, begitu memuaskan. Dengan wajah menyeringai, Rin memegang tengkuk lelaki itu. Bulat mata Penguasa Minda memandangnya. Penguasa Minda cuba meronta-ronta untuk melepaskan diri tetapi gagal. Mustahil untuk dia terlepas. Genggaman tangan Rin sangat kuat. Arus itu akan mengalir ke tubuhnya jua akhirnya. Tubuhnya terkena renjatan elektrik dan tengkuknya akan terputus.
Entah kenapa tenaga di badan Rin mula semakin berkurangan. Cahaya di tubuhnya kian malap. Apa yang berlaku ini. Rin termengah-mengah sambil dia terduduk. Tubuhnya terasa penat yang amat. Degupan jantungnya mula terhenti seketika. Tangannya lembik dan terjatuh ke lantai. Matanya bertambah penat. Pandangan di sekeliling mula bertukar gelap. Rin mula rebah di hadapan sekujur tubuh lelaki itu yang terputus dua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience