Jilid Dua, Bab Dua

Science Fiction Series 1265

Bunyi pengusung ditolak diiringi dengan bunyi derapak kaki yang kuat. Seolah-olah seperti ada orang yang sedang berlari memasuki makmal bawah tanah itu.
Seorang lelaki yang sedang meneliti sampel darah mengalihkan pandangannya ke arah sumber bunyi itu. Lelaki itu mengenakan kot putih yang sangat comot, kemeja merah jambu dan tali leher kuning. Rambutnya perang berbentuk sedikit afro. Di lehernya tertera sekeping tanda nama yang bertulis Rohan, ahli kimia.
Makmal itu bersaiz sederhana. Dihidupkan dengan tiga buah komputer utama. Satu untuk menyimpan data, satu untuk menunjukkan keputusan pemerhatian dan satu untuk mencari data. Dari jauh lagi terdapat pelbagai alat membantu perubatan dan katil seperti katil hospital. Bau hamis besi troli dapat dirasakan dan makmal itu dihubungkan dengan tingkat satu melalui lif atau pintu masuk bawah tanah sekiranya berlaku kecemasan.
Dr. Rohan yang perasan akan kehadiran manusia itu cekap mengenakan sarung tangan getah tanpa disuruh. Pandangannya ditalakan ke arah sekujur tubuh gadis yang sedang terbaring di atas katil pengusung dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Pandangannya seterusnya dihadapkan ke arah seorang lelaki yang tiba bersama gadis tersebut. Lelaki itu hanya berseluar hitam dan bertali pinggang tanpa berbaju. Dia berjalan perlahan masuk ke dalam makmal.
"Amboi, Fazrul! Dah jadi apa dekat engkau?!"
Fazrul mencebik tanpa menghiraukan pertanyaan Rohan. Dia sebaliknya mendekati mesin fisioterapi.
"Aku hampir mati tadi tahu tak? Terputus kepala aku. Mujur tak lumpuh aku dibuatnya. Kalau tak, macam manalah aku nak datang ke sini."
Rohan tak menjawab. Dia mendekati tubuh Rin. Bibir gadis itu pucat dan merekah. Tangannya memeriksa degupan jantung gadis itu. Tiada bunyi.
"Macam mana boleh jadi sampai macam ini?" soalnya lebih kepada diri sendiri.
Dia cekap bertindak. Tangan mencapai mesin defibrilator dan dia menekapkan mesin itu ke dada Rin. Satu. Tiada respon. Dua. Tiada respon. Tiga. Mulutnya terbuka sedikit apabila bibir gadis itu bergerak-gerak. Rohan tidak membuang masa. Tangannya mencapai sapu yang telah dicelup ke dalam ubat tidur dan dia menidurkan Rin. Rin dicucuk dengan air dan matanya memerhati keadaan gadis itu melalui alat bantuan pernafasan.
Tumpuannya dialih semula ke arah Fazrul yang sedang memejamkan mata di mesin akupuntur.
"Bro, kau okay?"
"Kejap! Aku nak kau periksa aku. Bimbang sistem saraf tunjang aku rosak."
"Tadi kepala kau putus ke? Banyak darah kau hilang?"
Tangannya mencapai botol pil dari dalam kocek seluar.
"Nah, makan ni. Magnesium."
Fazrul menelan dua biji kapsul merah tersebut. Rohan membantu menuang air mineral ke dalam mulut Fazrul. Tangannya memeriksa tengkuk Fazrul. Pulih seperti sediakala. Rakannya itu, kalau dipotong tubuhnya macam mana pun akan pulih seperti biasa.
"Aku perlu buat CT scan dekat tubuh engkau. Untuk tengok macam mana kecederaan kau tadi."
"Beres. Duit, kau bagitahu je aku berapa kau nak. Aku minta Isabel selesaikan."
Dia memandang ke arah sekujur tubuh Rin yang sedang dalam keadaan tidak sedar.
"Boleh ke tu?"
Rohan turut memandang ke arah yang sama.
"Boleh saja. Aku akan selesaikan projek ini dalam masa dua tiga hari. Yang lain itu terpulang pada budak itu sendiri. Nanti kau berilah ubat dengan vitamin sepatutnya dekat budak itu."
Fazrul melepas keluhan berat. Mujur setiausahanya itu memang setia orangnya. Sebaik sahaja dia tersedar, nombor wanita itu pantas didail.
"Kau guna cerita apa tadi dekat Isabel?"
Fazrul tersedar dari lamunan.
"Cerita aku kemalangan. Aku terlanggar budak ini." Pendek dia menjawab.
Perlahan-lahan Rin membuka mata. Dekat mana ni? Dia memandang ke arah sekeliling. Gelap. Malam. Meja komputer di tepi dinding menjawab persoalannya. Pandangannya tertumpu kepada tingkap yang terbuka. Perlahan-lahan Rin cuba untuk bangun. Aduh! Rin memegang peha. Lenguh. Kedua-dua bahu pun sama. Otak masih cuba mencerna apa yang telah berlaku. Yang dia ingat, tadi dia berlawan dengan seorang lelaki. Lepas itu sekarang dia ada dekat sini. Sini ini mana? Bagaimana dia boleh berada di sini? Ouch! Kejang di tangan masih terasa. Nak tak nak, Rin paksakan untuk berbaring saja.
Haih, pertama kali berlawan sampai ke tahap itu. Melepasi kemampuan manusia. Patutlah otot dan sendinya sakit nak mampus. Dalam keadaan begini, Rin berasa begitu lemah sekali. Nak pejam mata memang tak boleh, pasal tadi dia dah pejam mata lama gila kut. Jadi bila dah bangun ni, memang segar-bugar lah dibuatnya.
Bayang di tingkap menarik perhatian Rin. Perlahan-lahan dia cuba untuk menggerakkan kepala memandang siapa tuan punya badan. Gelap, macam mana dia nak nampak.
Bayang itu mula hilang, digantikan dengan lampu kalimantang yang mula bernyala. Penguasa Minda!
"Yo!"
Rin mula panik.
Plastik diletakkan di atas meja. Punggung dilabuhkan di atas birai katil.
"Boleh bangun tak?"
Rin menggagahkan diri untuk cuba bangun. Dia langsung tidak membuka mulut menjawab persoalan lelaki itu. Penguasa Minda mengeluarkan beberapa botol yang gaya macam vitamin dan ubat.
"Makan ni."
Beberapa biji pil yang berwarna coklat, merah, oren dan putih dikeluarkan dan disua ke mulut Rin. Rin hanya memandang tanpa reaksi.
"Sekarang."
Nak tak nak, Rin membiarkan saja tangan besar itu menyuap pil ke dalam mulutnya. Tangan itu jugalah yang menghulurkan sebotol susu rendah lemak kepada Rin.
"Awak penat. Malam itu awak guna kuasa sampai ke tahap luar biasa... Awak hampir mati malam itu awak tahu."
Lelaki itu bangun dari birai katil.
"Habis itu, awak macam mana?"
Rin tak mahu kalah.
"Saya ini Nyawa. Luka saya dah sembuh sepenuhnya. Saya jauh lebih senior daripada awak."
Kali ini Rin terdiam. Baru dia perasan banyak benda lagi yang dia tak tahu pasal Nyawa. Tak terkecuali juga tentang kuasanya. Banyak benda yang dia kena tahu nampaknya.
"Jangan risau. Nanti awak boleh balik. Sekarang awak rehatlah."
Penguasa Minda hilang di sebalik pintu. Tak sempat Rin hendak menahan. Banyak benda lagi yang dia nak tanya pada lelaki itu. Dia dekat mana sekarang ini? Sudah berapa hari berlalu? Kenapa bawa dia ke sini? Apa yang lelaki itu telah lakukan padanya? Sungguh, Rin masih lagi sangsi akan kebaikan lelaki itu.
Cuti hujung minggu tamat. Masa untuk belajar semula dan berdepan dengan realiti. Penat. Rin meletakkan tangan di atas balkoni tingkat tiga. Gunung Jerai berada di depan mata. Di kiri, tandas lelaki. Berduyun-duyun pelajar lelaki berkerumun di situ. Memang sengaja Rin memilih untuk lepak di sini pada waktu rehat. Malas nak turun bawah.
Lagipun sejak kebelakangan ini Rin akui dia bertambah sunyi. Pembawakan budak kut. Cis, lelaki tak guna itu. Riak wajah bertukar menjadi keruh. Memang, kalau dia jumpa lelaki itu lepas ini, siaplah lelaki itu dia kerjakan.
Rin memandang ke arah skrin laptop yang bercahaya itu. Betul kata Penguasa Minda, masih banyak lagi yang dia masih lagi tak biasa dengan Nyawa ini. Dekat media sosial pun, benda yang dia tahu pasal Nyawa ialah makhluk yang hidup dalam cara hidup manusia tapi sebenarnya raksasa. Kononlah yang Nyawa ini jahat dan dah banyak mengancam manusia. Senget juga mukanya bila terdengar tentang berita tersebut. Mujurlah dia boleh tahan sabar, kalau tidak mahu saja dia mengomen.
Rin menaip kata kunci Nyawa di laman web carian Gogal. Adalah keluar beberapa artikel-artikel lama berkenaan Metropolis. Tetapi artikel yang menarik perhatian Rin ialah, 'Nyawa=Raksasa'. Tanpa membuang masa, Rin terus menggerakkan tetikus dan menekan tulisan blog itu. Blog Encik Ningen.
Makhluk ini mempunyai kelebihan luar biasa. Makhluk ini hidup dalam kalangan manusia. Makhluk ini bernama Nyawa. Mungkin ramai yang masih tidak biasa dengan gelaran itu. Nyawa ialah sejenis makhluk yang mempunyai kekuatan luar biasa dalam satu-satu perkara. Nyawa terdiri daripada pelbagai jenis bermulalah  dari Tanah, Api, Air, Udara, Guruh, Bunga, Besi, Bayang, Cahaya dan lain-lain lagi. Nyawa dipercayai telah hidup sejak beribu tahun dahulu dan manusia terlalu bergantung kepada mereka untuk hidup. Namun begitu, dengan hadirnya kemajuan sains dan teknologi, ada yang mengatakan Nyawa itu wujud melalui eksperimen haram yang dilakukan ke atas golongan gelandangan dan miskin tegar. Kementerian dalam Wilayah Metropolis telah mengeluarkan waran tangkap ke atas mereka kerana bimbang akan ancaman yang akan berlaku sekiranya perkara ini dibiarkan berlanjutan.
Rin terkebil-kebil memandang ke arah skrin laptop. Sungguh, siapa sangka artikel yang gaya macam dongeng ini sebenarnya betul. Tapi yang bahagian ancaman itu bunyinya macam propaganda aje. Tapi kira betullah ada puak yang taksub dengan golongan Nyawa ini. Rin meneguk air teh dari atas meja berdekatan. Tetikus digerakkan menekan artikel seterusnya. Bunyi macam menarik.
"Kebakaran Hutan Terbesar di Metropolis."
"Masihkah anda ingat? 100 tahun yang lalu, kebakaran terbesar dalam sejarah Metropolis telah berlaku. Kebakaran itu telah mengorbankan 200 ekar hutan hujan tropika semulajadi Metropolis di bahagian Utara. Kata Presiden Metropolis, Cindy Dianne, "Adalah penting untuk penduduk Metropolis mengambil tahu peristiwa ini untuk menghargai khazanah hutan kita, apatah lagi kerana pembangunan pesat di negara kita."
Michael Luke, presiden kedua Metropolis, telah mengisytiharkan Utara dan Timur sebagai kawasan hutan simpan dan Pusat Pemeliharaan dan Pemuliharaan flora dan fauna di Metropolis sempena peristiwa kebakaran itu."
Jadi rasanya artikel itu memang betullah. Nyawa memang membahayakan. Dan Rin tahu mereka pun kata macam itu. Kalau tak, takkanlah Pengawal Masa tak beri amaran awal-awal. Cuma dia tak sangkalah yang kuasa Nyawa itu boleh sampai ke tahap macam ini. Hisy, tiba-tiba dia rasa takut dengan diri sendiri pula. Rin menyelak rambut tepi ke belakang. Gelas kaca kosong dibawa ke dapur.
Bunyi telefon di dalam bilik menarik perhatian Rin. Dengan penuh malas, dia mengatur langkah ke dalam bilik. Maria. Riak wajahnya berubah terkejut. Cepat betul budak itu bertindak.
Minggu lepas dia telah meminta tolong Maria untuk pergi ke klinik untuk membeli kit ujian mengandung. Sejak peristiwa hari itu, Rin rasa macam tak sedap badan je. Kaki dan pinggangnya kerap sakit-sakit. Tak ada benda lain yang Rin boleh fikirkan telah berlaku melainkan benda itu. Pendek kata, Maria memang pro dalam bab tipu identiti diri ini. Jadi, untuk mendapatkan kit ujian mengandung bukan perkara yang susah baginya. Jari-jemari Rin pantas menekan papan kekunci, menyuruhnya supaya meletakkan sahaja alat tersebut di peti surat rumah dan sebentar lagi Rin akan pergi mengambilnya.
Rin mencapai penutup kepala di penyidai lalu menyarungnya di kepala. Memandangkan rambutnya yang biasa itu berubah kepada luar biasa, ada baiknya dia menutup rambut itu tak kira di mana jua.
Rin mengukir sengih sebaik sahaja melihat wajah Maria yang melambai dari pintu pagar. Pantas mangga pintu dirungkaikan. Tak sempat nak menyarung selipar, kakinya pantas mendapatkan Maria. Dia tersengih memandang Rin.
"Lama tak nampak. Kau sihat?" soal Rin sambil membuka kunci pintu pagar.
"Macam inilah."
Pintu pagar dibuka. Memberi ruang kepada Maria.
"Masuklah."
Dia hanya menurut.
Mereka berdua memilih untuk berbicara di pondok sahaja. Mungkin sebab angin yang bertiup kut. Sepoi-sepoi bahasa saja. Rin kemudiannya menghilang ke dapur, mengambil air.
Sekembalinya Rin dari dapur, dia mendapati Maria sedang menggendang meja, memikirkan sesuatu. Dia mengukir senyum nipis sebaik sahaja terperasan akan kelibat Rin. Rin meletakkan satu jag air peti dengan dua cawan kosong di atas meja yang memisahkan mereka berdua. Sepi mengisi ruang tatkala Rin menuangkan air tersebut ke dalam cawan.
"Minumlah." Maria akur. Cawan berisi air itu dikosongkannya dengan sekelip mata. Dia mesti dahaga gila.
"Jadi... Rin, beritahu aku, macam mana sampai boleh jadi macam ini?" soalnya memulakan topik perbualan.
Haih, Rin menghela nafas berat sebelum duduk berhadapan dengannya.
"Aku pun tak tahu, Maria."
"Kau jatuh cinta?" Geleng.
"Lelaki itu suka kau?" Geleng.
"Itu pun aku tak tahu."
"Aku tak pasti yang dia sebenarnya serius atau tidak bila dia kata yang dia nak aku tu."
"Jadi, kau pun relakan?"
Geleng. Tak semudah itu. "Dia ambil kesempatan," tekan Rin lagi. Pilihan apa lagi yang dia ada?
"Lepas itu, dia tinggal kau terkulat-kulat dekat sini."
Maria akhirnya melepaskan keluhan.
"Kau dah buat laporan polis?"
Geleng. Tak perlu. "Tak ada bukti."
Lagi sekali Maria melepaskan keluhan.
"Habis itu, kau nak buat macam mana ini?" soal Maria.
"Tengoklah dulu." Rin angkat bahu.
"Mula-mula aku nak cuba bertahan, lepas itu kita tengok aku mampu ke tidak." Malas Rin menjawab.
Takkan dia nak beritahu dekat Maria yang lelaki itu sebenarnya Nyawa dan sekarang Rin pun tergolong dalam spesis itu.
"Yelah. Kalau ada apa-apa, jangan segan nak minta tolong aku pula." Itu pesannya sebelum Maria meninggalkan Rin.
Rin mengukir senyum tawar. Dia tak rasa yang Maria boleh menolongnya dalam bab-bab macam ini.

ini bab terakhir utk jilid satu. lps ni admin akan sunting semula jilid dua. inshalah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience