Jilid Dua, Bab Lima

Science Fiction Series 1265

Kereta diberhentikan betul-betul di depan pintu pagar. Rin mendukung Fairuz di pangkuannya.
"Jangan lupa kunci pintu rumah."
"Awak balik macam biasa ke hari ini?"
Lelaki itu mengukir senyum nipis.
"Malam ini saya ada makan malam dengan pengarah hospital Metropolis. Jadi tak perlu masak untuk saya."
Rin memandang Fazrul sebelum melangkah keluar dari perut kereta. Tidak ada sebab untuk dia campur tangan dalam urusan peribadi lelaki itu. Rin melangkah keluar dengan Fairuz di lengannya.
Rin memandang ke arah jam di dinding. Malam ini, rumah terasa jauh lebih sunyi daripada biasa. Dah pukul sebelas malam. Takkan lelaki itu tak balik kut? Gelas berisi air dikosongkannya sebelum Rin berlalu pergi dari meja makan, menuju ke sinki.
Jauh di sudut hatinya, Rin tahu hubungan dia dengan lelaki itu tiada apa-apa makna. Tetapi hatinya seperti gundah gulana. Dadanya berombak, seperti tak sedap hati. Hasrat hati ingin menelefon lelaki itu, tetapi dia mana ada nombor telefon lelaki itu! Sebelum inipun, mereka hanya berkomunikasi melalui telepati.
Rin termenung seketika. Sudah berapa lama agaknya dia tinggal bersama lelaki itu? Tiga bulan? Tiga hingga empat bulan? Dia sudah terbiasa dengan kehadiran lelaki itu yang dia sudah tidak berasa meluat dengan kehadirannya. Lelaki itu juga telah menerangkan hal sebenar yang telah berlaku kepada mereka, membuatkan Rin lebih percaya dan lebih selesa untuk tinggal dengan lelaki itu.
Rin mengeluh tanpa sedar. Tubuh dibawa ke bilik tidur utama. Bunyi tangisan Fairuz membawanya ke alam nyata. Pantas Rin bergerak mendapatkan Fairuz yang sedang menangis. Bau busuk menusuk ke dalam hidung. Seperti bau hancing. Tubuh bayi itu didukungnya dan dibawa ke bilik mandi.
Tali leher dirungkaikan dan dicampak ke atas katil. Butang kemeja ditanggalkan. Fazrul merengus kasar. Penat! Dia memandang jam di pergelangan tangan. Dah lewat. Nak pergi ke Rin pun rasa macam tak berbaloi. Perjalanan dari Metropolis Pusat ke Barat Daya mengambil masa dua jam, apatah lagi dia begitu penat sekali. Dahlah waktu tengah malam pula itu. Dalam keadaan jadualnya yang penuh, Fazrul hanya ingin rehat di kondominiumnya. Lagipun, dia yakin yang Rin boleh menjaga rumah itu dan Fairuz dengan baik.
Kondominium itu semak dan bersepah. Penuh dengan baju kotor bergelimpangan di lantai bilik tidur, sofa bilik, sofa ruang tamu dan lantai ruang tamu. Bekas makanan mi segera bertimbun dibiarkan tidak berbasuh. Cadar katilnya juga longgar tidak dibetulkan dan selimut dibiarkan tidak dilipat. Fazrul terbaring lelah di atas katil. Penat gila! Dia memejamkan mata sejenak. Kondominium macam tongkang pecah. Agak-agak kalau gadis itu melihat keadaan rumahnya, adakah dia akan tolong kemaskan? Rin selalu memandangnya dengan mata mencerlung apabila dia mencampakkan barangnya sesuka hati di rumah, tetapi gadis itu akan tolong kemaskan juga. Giginya menyeringai. Senyumannya mati apabila wajah kasihan gadis itu muncul di belakang kepala. Fazrul mengeluh kasar. Mata dipaksa agar dipejamkan. Tubuh dibawa lena.
Rossia merapatkan kedua-dua telapak tangannya kemudian dia menundukkan kepalanya sedikit. Rossia memandang sekeliling seketika. Rumah itu kosong dan gelap. Hanya lampu bilik atar sahaja yang menyala. Di depannya ada gambar seorang lelaki di dalam bingkai. Dia menggantikan lilin yang sudah mencair di sebelah gambar itu. Dia mengambil sejambak bunga yang sudah busuk itu lalu dicampakkannya ke dalam tong sampah. Sejambak bunga kekwa, ros kuning dan berbagai lagi diletakkan di depan almari berisi bingkai gambar itu. Tertera nama di bawahnya, AdiNerado Wasim. Lilin berwarna merah diletakkan di sebelah bingkai itu lalu dinyalakan. Sekali lagi Rossia merapatkan kedua-dua belah tangannya sebelum menunduk sedikit. "Selamat Ulangtahun Pemergianmu, Adi."
Sepucuk surat elok terletak di atas meja. Langsung tidak terusik, malah warnanya masih belum pudar. Rossia meletakkan kunci kereta di atas meja kopi. Sepucuk surat itu dipandangnya sekilas. Dia menghela nafas perlahan. Telefon berbunyi lagi. Dia memandang nama pemanggil, Mama. Bibir melepaskan dengusan malas. Butang hijau ditekan. Telefon itu dibiarkan di atas meja. Automatik mod pembesar suara aktif. Suara wanita yang sudah tidak asing lagi dalam hidupnya berbunyi dari dalam corong telefon.
"Rossia, hello?"
"Ya, mama." Suaranya jelas tegang dan malas.
"Rossia, kamu marah lagi ke dengan kami?"
Dia menjulingkan mata ke langit. "Tak ada siapa kisah pun. Mama nak apa, Rossia sibuk ini, kejap lagi nak jumpa kawan."
Wanita itu mengeluh di hujung talian.
"Rossia, mama sibuk bulan itu. Papa kamu terpaksa bekerja di pulau. Mama terpaksa ikut. Maaflah sebab tinggalkan kamu sorang-sorang masa Hari Ulang Tahun Kematian Adi…"
"Kalau mama cakap lagi pasal Adi, Rossia matikan telefon." Suaranya bergetar dalam kemarahan. Tubuhnya menggigil dan tangannya dikepal membentuk penumbuk.
"Okay, okay. Maaf. Mama telefon untuk tanya pasal surat itu. Encik Intel beritahu mereka sudah hantar, tapi sampai ke hari ini Rossia masih belum balas. Lagi lima hari lagi sebelum majlis, mereka perlu tahu Rossia akan hadir atau tidak."
Rossia mengeluh malas. Mamanya seperti sudah faham akan maksud di sebalik keluhan itu
"Pergilah, Rossia… Bukan senang nak dapat anugerah itu… Penat-penat Mama dan Papa hantar kamu belajar mahal-mahal. Apa salahnya pergi demi Mama dan Papa…" pujuk wanita itu.
"Malas. Tak berminat. Tak ada apa yang menarik dekat majlis itu." Dia menjawab penuh mendatar.
"Kamu tak nak status quo ke? Setahu mama… Rico nak kahwin dengan perempuan yang ada status quo dalam Metropolis." Wanita separuh usia itu menggunakan taktik lain pula untuk memujuk Rossia.
"Mengarutlah mama ini. Sudah! Jangan masuk campur lagi dalam urusan hubungan Rossia. Beritahu Encik Intel dengan Cik Dianne yang Rossia akan hadir majlis itu."
Puan Ciencia tersenyum di hujung talian. "Nanti bawa sama Rico. Buat peneman kalau bosan. Duit Mama dah masukkan dalam bank kamu. Berseronoklah ya!"
Talian diputuskan. Wanita itu menghempaskan telefon bimbit ke atas sofa kasar. Dia meraup wajah dan menarik rambut ke belakang. Rengusan keluar dari mulut dan hidungnya. Kakinya dihentak-hentak berkali-kali. Suara rengusan itu perlahan-lahan mula kedengaran lebih kuat daripada biasa.
"Anugerah Hadiah Mulia, Penerima Pingat Darjah Kebesaran, dengan Sumbangan Terbesarnya dalam bidang Bioteknologi, menghidupkan spesies tumbuhan dan haiwan yang sudah pupus, serta mencadangkan inisiatif penggunaan tumbuh-tumbuhan hiasan plastik mesra alam di kawasan selain Utara, Timur, Timur Laut dan Tenggara, saintis termuda di Metropolis, Dr. Rossia Ciencia."
Tepukan gemuruh memenuhi segenap dewan. Tiga pasang mata mula tertumpu ke anak tangga yang dihiasi karpet baldu berwarna merah itu, dan Rossia yang mengenakan gaun berlabuci krim dan kasut tumit tinggi berwarna kristal mula menaiki anak tangga. Bahagian bawahnya jarang dan terbelah sehingga ke bahagian peha. Rambutnya yang berwarna merah jambu itu sengaja diwarnakan dengan warna merah hempedu, biar serasi dengan gaun yang dipakainya. Gaun itu betul-betul mengikut potongan badannya, dan Rossia terpaksa menyelak sedikit bahagian bawah yang jarang agar mudah untuk dia melangkah naik anak tangga. Beberapa pasang mata di bawah juga galak memerhati. Tak sampai beberapa minit saja, Rossia sudah berada di hadapan Cik Cindy, presiden Metropolis yang paling muda, dengan plak cenderahati di tangan. Plak itu bersalut emas yang berkilau, dan tertera logo Anugerah Hadiah Mulia di atasnya. Anugerah yang paling berprestij di Metropolis.
"Dr. Rossia, dipersilakan untuk memberi ucapan."
Rossia terkulat-kulat. Dia mengukir sengih serba salah sambil memandang pengacara majlis itu. Tubuhnya ditundukkan sedikit sebelum dia melangkah keluar pentas mengikut pintu belakang.
"Untuk pengetahuan hadirin sekalian, Dr. Rossia telah ditawarkan oleh Pejabat Presiden sendiri untuk berkhidmat di Cara, sebagai Pengarah Bahagian Sains dan Teknologi. Dr. Rossia akan mengetuai pasukan saintis dan jurutera di Cara untuk melaksanakan kajian bagi menghasilkan manusia super dalam kalangan penduduk Metropolis."
Suara-suara bisikan di dalam kalangan pengunjung mula bergema, seperti bunyi lebah.
"Kita semua mengharapkan dengan adanya bakat terbaru di Metropolis ini, lebih banyak penduduk boleh mendapat manfaat. Serasi dengan dasar kerajaan."
Serentak itu, tepukan mula bergema, disusuli dengan sorakan riuh daripada pengunjung yang lain. Masing-masing tumpang gembira dan berharap agar Metropolis akan lebih membangun lagi.
Kedua-duanya rebah di dalam pelukan masing-masing. Pelukan diketatkan dan lelaki itu mencium bibir Rossia. Selimut putih yang menutupi tubuh mereka berdua, kini sudah tidak mereka hiraukan. Kedua-duanya tenggelam dalam limpahan cahaya Metropolis.
Lampu meja dihidupkan. Rico duduk manakala Rossia di belakangnya berbaring dan mereka berpandangan sesama sendiri sebelum lelaki itu berdiri menuju ke bilik air hotel.
"Badan awak makin jatuh. Awak tidur dengan lelaki lain selain saya kan sebelum ini?"
Rossia yang sudah memejamkan mata serta-merta membuka matanya seluas alam. Wajahnya herot menahan geram.
"Tak!!! Kenapa kondom awak makin berkurang? Awak guna kondom itu dengan perempuan lain kan?!"
"Samalah juga dengan awak. Pil perancang awak pun dah makin banyak saya tengok. Hari itu saya pergi apartment awak, ada pakaian dalam baru dengan tulisan untuk awak. Lelaki mana yang belikan pakaian dalam itu untuk awak?"
Rossia mendengus sebelum menarik selimut menutup muka.
"Tak menjawab itu maksudnya betullah kan?"
Rossia tak membalas. Matanya sengaja dipejamkan. Lelaki itu mengenakan pakaian lengkap sebelum mengambil dompetnya dan menuju ke muka pintu.
"Nak keluar ke? Hati-hati, dalam dompet awak tiada kondom…" Suara wanita itu jelas mengejek, walaupun dia bersuara dari dalam selimut.
Rico menoleh seketika sebelum menghempas pintu setelah keluar.
Rossia termenung seketika. Dia memandang suasana Metropolis Pusat di luar, penuh dengan limpahan cahaya neon berwarna kuning dan putih, menandakan malam masih hidup. Dari tingkap biliknya dia boleh melihat Suga, dan di sebelah kiri Suga, hampir-hampir dekat dengan Tenggara, ada Costco. Bangunan Suga itu jelas lebih besar daripada Costco dan kedua-duanya nampak masih meriah.
Dia menalakan pandangan ke arah kanan pula. Ada ibu pejabat syarikat separa kerajaan, seperti syarikat telekomunikasi, syarikat air dan syarikat pos. Dia yakin ibu pejabat Cara juga terletak di sekitar kawasan Metropolis Pusat memandangkan Cara juga merupakan organisasi di bawah naungan kerajaan.
Rossia menarik selimut menutupi dada dan berdiri turun dari katil. Selipar hotel dikenakan dan dia melangkah ke tingkap. Telapak tangannya ditekapkan ke arah cermin tingkap yang sejuk itu. Cahaya lampu Metropolis Pusat yang meriah seolah-olah memanggil-manggilnya. Datanglah… Nikmatilah malam ini bersama kami… Matanya kian galak. Ingatannya serta-merta menerjah ke arah peristiwa anugerah tadi. Tangkas dia mencari sebuah nama di sebuah telefon. Ada! Number itu didail.
"Hello…"
"Hello… Cindy! Ini saya, Rossia."
"Ah. Doktor Rossia. Ada apa telefon saya malam-malam begini?"
"Berkaitan tawaran awak tadi itu… Bolehkah kita buat temu janji untuk bincangkan tawaran tersebut?"
"Boleh… Nanti saya akan rujuk awak ke pengurus saya, Luke. Dia akan uruskan temu janji, gaji awak, elaun dan seterusnya bidang kuasa awak. Okay?"
"Baik. Selamat malam!"
"Selamat malam."
Talian diputuskan.
Rossia memandang semula tingkap hotel yang sejuk itu. Kali ini dengan senyuman ceria, sambil bibirnya digigit manja.
Dia terkocoh-kocoh memakai kasut. Rambutnya yang menutupi pandangan digerakkan sedikit dengan telengan kepala. Di belakangnya ada dua susuk tubuh pasangan yang sudah lanjut usia. Kedua-duanya sudah berkedut di lengan, tangan dan wajah. Serta tubuh masing-masing sudah mula mengecut dan membongkok. Chris berdiri dan menoleh, memandang kedua-dua orang tuanya.
"Pergi kerja elok-elok. Jangan buat masalah pula."
Dia menyalami tangan yang berkedut itu. Sebelum melambai seraya berjalan pergi.
Kedua-dua orang tua itu memandangnya dengan pandangan hangat. Masing-masing mengukir senyum, walaupun terlindung di sebalik kedutan, melihat bayang-bayang tubuh anak tunggal mereka yang ditatang bagai minyak yang penuh oleh ibunya dan dididik dengan penuh tegas dan berdisiplin, oleh ayahnya.
Lobi Cara itu hidup. Berpusu-pusu manusia lalu-lalang di hadapan kaunter daftar masuk. Chris berjalan agak kelam-kabut sedikit masuk ke dalam. Di hadapannya ada dua orang pekerja kaunter, tertera perkataan khidmat pelanggan di atas meja kaunter tersebut.
Dia mendekati mesin kehadiran. Telefon pintarnya dikeluarkan dari poket. Dia membuka aplikasi kamera dan menghalakan telefon itu ke kod bar di dinding. Serta-merta notifikasi masuk ke dalam telefonnya, menandakan yang Presiden sudah sedia maklum dia sudah melapor diri ke Cara. Secara automatik, sebuah petak terbuka. Di dalamnya ada tanda nama serta kad identifikasi. Chris mencapai kedua-duanya lalu memakai tanda nama itu di baju, dan menyarungkan kad identifikasi ke leher, sebelum menyimpan kad itu ke dalam kocek kemeja. Suasana tingkat bawah Cara yang hidup langsung dia tak pedulikan.
Sempat dia bertukar pandangan dengan dua pekerja kaunter itu. Salah seorangnya terdiri daripada wanita. Chris mengukir senyum nipis memandangnya. Wanita itu turut membalas dengan senyuman sambil menunduk sendikit, tanda hormat. Dia melangkah masuk ke sebuah pintu yang tertera logo Amaran. Pintu dibuka.
Kehadirannya disambut oleh pasukan yang sudah lengkap berbaris. Chris cuba melangkah sedikit cergas. Tubuhnya yang sudah gempal akibat usia itu menyukarkannya untuk bergerak laju seperti dahulu. Dia berdiri di hadapan pasukannya.
"Selamat pagi, tuan!"
"Selamat pagi." Wajahnya tak berubah walau matanya tajam. Setiap wajah dan uniform itu diperhatinya satu persatu.
"Nombor 13304!"
"Ya, tuan!"
"Buat tekan tubi 100 kali dalam masa lima minit, kalau gagal, buat 200 kali dalam masa tiga minit."
Lelaki yang dimaksudkan itu pantas meniarap dan melakukan tekan tubi seperti yang disuruh. Yang lain menumpukan perhatian ke arahnya.
"Perhatian!"
Mereka automatik memandang Chris dengan muka tanpa riak, walaupun jantung mereka sudah berdebar kencang.
"Ini anggota paling kurang 5 tahun pengalaman kan? Takkan tak pernah tengok orang kena hukuman!!!" jerkahnya.
Masing-masing hanya mampu mendiamkan diri.
"Ingat, hanya anggota terpilih saja yang dibenarkan untuk masuk ke Cara, dan saintis yang lain bukan main lagi hantar surat permohonan untuk masuk ke organisasi ini. Jangan jatuhkan maruah Pasukan Ketenteraan Metropolis." Suaranya tegas ketika memberikan pesanan terakhir. Dia melangkah keluar.
Dari luar dapat didengarnya bunyi riuh-rendah pegawainya penuh kelegaan. Chris tak ambil pusing. Langkahnya laju menuju ke lif.
Lif terbuka. Dia mengatur langkah penuh tenang. Sesampainya di sebuah pintu tertutup, dia mengeluarkan kad dari dalam kocek kemeja, lalu meletakkan kad itu pada hologram pintu. Hologram yang berwarna merah itu bertukar hijau, dan pintu dibuka. Chris melangkah masuk.
Bahagian Sains juga tak kurang hidupnya. Para Saintis sibuk berkejaran ke sana-sini atas arahan Dr. Rossia. Di bahagian tengah-tengah terpampang sebuah papan kenyataan sebesar alam, dan ada beberapa helaian kertas dilekatkan di situ. Chris menghampiri papan kenyataan itu.
Terdapat beberapa laporan kajian. Elemen Api, elemen Air, elemen Angin, elemen Guruh, elemen Cahaya dan lain-lain lagi. Dapatan kajian: Manusia dengan elemen Api merupakan konduktor haba, dan mampu menghidupkan api menggunakan bahan bakar tubuh. Dia membaca laporan itu penuh berminat tanpa suara.
Pantas dia berpusing lipat maut apabila terbau haruman minyak wangi yang cukup tidak asing lagi itu.
Wanita itu mengenakan kot putih labuh, di dalamnya ada baju tak bertali tanpa lengan, dan sebuah skirt mini separas peha. Kasut tumit tinggi separas peha digabungkan dengan skirt mini itu. Tertera di tanda namanya, Rossia Ciencia.
"Apa yang awak nak beritahu saya hari ini?"
Wanita itu mengukir senyum provokasi sebelum menarik lelaki itu masuk ke dalam biliknya.
"Saya dah tahu cara nak analisis kuasa mereka."
Tubuh Chris ditarik sehingga Rossia terduduk. Wajah itu begitu dekat dengan wajahnya. Namun lelaki itu seperti tidak berminat. Rossia melepaskan semula genggaman tangannya pada baju lelaki berusia lingkungan 40an itu.
"Bagaimana?"
"Awak kena bawa dia ke saya. Hari itu awak beritahu Pasukan Cerdas awak berjaya mengesan identiti Penguasa Minda kan?"
"Ya… Dia CEO Syarikat Medrules itu. Syarikat pengeluar ubat terbesar Metropolis."
"Bagus. Jadi, saya perlukan dia untuk jadi bahan ujikaji saya. Sekiranya awak perlukan data mereka lebih terperinci, awak boleh tengok senarai dapatan kajian saya dalam almari besi itu."
Rossia memusingkan kerusinya menghadap cermin di meja. Dia mengeluarkan gincu berwarna beri dan mencalit gincu itu ke bibir, mengabaikan Chris yang terpinga-pinga selepas mendapat arahan daripada Rossia.
"Tak faham lagi ke?! Data ada dalam peti besi itu!"
Chris merengus sebelum melangkah ke segerombolan almari. Sebuah peti besi dibuka, dan dia melihat, susunan data begitu kemas. Dari abjad A hingga Z. Jarinya terhenti di abjad M. Minda.
Fail lutsinar itu dibuka. Ada beberapa kandungan di dalamnya. "Komposisi tubuh… Maklumat kuasa… Maklumat kuasa terperinci… Maklumat peribadi." Dia melihat bahagian maklumat kuasa.
"Mempunyai kelebihan untuk sembuh sendiri. Kadar kesembuhan, tidak diketahui. Menurut Kultus Nyawa, sel Penguasa Minda ialah sel yang abadi…"
Dia menyelak pula, melihat maklumat kuasa terperinci.
"Mengawal akal dan fikiran. Memanipulasi fikiran manusia. Kadar terhad tidak diketahui… Heh… Tak lah kuat mana Mastermind ini. Senang saja. Tak perlu bawa aset."
Dia menyimpan semula fail itu ke dalam tempatnya yang asal.
"Kita ada misi terbaru. Saya mahu sekurang-kurangnya lima anggota untuk sertai saya dalam misi ini."
Tiada siapa yang keluar daripada barisan. Masing-masing hanya berdiri terkaku macam pesalah jenayah.
"Tak ada siapa ke yang nak keluar mempertahankan negara?!" Soalan itu bertukar menjadi satu jerkahan.
Tiada jawapan. Chris menumbuk dinding di belakangnya.
"Tak jantan langsung! Kata dah lima tahun pengalaman bertugas! Lima tahun apa macam ini!"
Masing-masing hanya diam membisu. Chris meraup wajah penuh kegeraman. Rambutnya yang berwarna merah membuatkan wajahnya yang memerah tak kelihatan elok apabila tengah marah.
"Persetankan! Saya sendiri akan jalankan operasi ini. Tak boleh diharap!"
Dia melangkah keluar penuh kegeraman.
Dari luar lagi boleh terdengar suara-suara itu berbicara.
"Dia cakap kita tak jantan. Dia itu yang tak sedar diri. Bukan ke dia ada ED ke?"
Kedengaran ketawa terhingguk-hingguk dalam kalangan mereka. "Jangan cakap kuat-kuat sangat, nanti dia dengar."
Langkah yang tadinya terhenti disambung semula. Chris melangkah tenang walaupun wajahnya sugul.

maaf, admin akan spam terbitkan bab dalam cerita ini. sebab ini hanya suntingan shj. cuma dia mmg berbeza. jln cerita masih sama, tp isinya sgt berbeza. klu dh baca, harap bacalah lg sekali.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience