Jilid Dua, Bab Empat

Science Fiction Series 1265

"Macam mana dengan nilai saham syarikat kita hari ini?"
"Masih stabil, tuan."
"Bagus."
Kaki kiri diangkat dan diletakkan di atas kaki kanan.
"Isabel, beritahu saya jadual saya untuk hari ini."
Wanita itu menyusun kertas di atas papan keratan di tangannya.
"Encik ada temu janji hari ini dengan Pengarah Kesihatan Metropolis lepas makan tengah hari. Pukul sepuluh pagi nanti pihak daripada Kementerian Kesihatan Metropolis akan adakan lawatan berkala ke kilang kita. Pukul dua petang nanti encik ada temu ramah dengan pelajar La Academia de Rose untuk kerja kursus mereka."
Fazrul terdiam seketika, memikirkan sesuatu.
"Batalkan semua temu janji saya hari ini, dan cuba dapatkan temu janji itu untuk hari lain. Yang lawatan itu, minta Penolong Pengarah syarikat kita uruskan."
"Baik, tuan."
Fazrul mengerling ke arah Isabel yang sedang berdiri di sebelahnya. Isabel kelihatan sedang sibuk menulis sesuatu di atas diari.
"Beritahu penolong pengarah hari ini saya ambil separuh hari. Isteri saya baru bersalin semalam."
Riak wajah Isabel berubah sedikit. Dia menunduk penuh segan.
"Tahniah, tuan."
Fazrul meneliti senarai calon staf baru untuk ditapis. Tangannya sibuk menanda sesuatu dengan pen.
Selesaikan meluluskan beberapa calon, Fazrul mengalihkan perhatiannya ke arah beberapa kertas kerja. Tangan sibuk membetulkan tatabahasa kertas kerja tersebut. Sekali-sekala tangannya menghirup kopi yang dibancuh Isabel.
Bilik pejabatnya kemas. Ada sehelai karpet merah hati dan sofa kuning cair. Ada beberapa bingkai lukisan di dinding. Semua lukisan itu dibelinya ketika Pameran Seni besar-besaran Metropolis dua tahun yang lalu. Di depan sofa terdapat sebuah meja kopi. Ada beberapa naskhah majalah tersusun rapi di atas meja.
Tubuh dibawa berdiri. Fazrul melangkah ke tingkap. Bangunan utama syarikat farmaseutikal Medrules Sdn. Bhd. dibina betul-betul berhadapan dengan syarikat tekstil. Fazrul tersentak. Rin! Dia nak balik? Hah, sudah...
Rin! Duduk rumah elok-elok!
Saya nak balik, apa hak awak nak halang saya?
Anak itu perlukan awak.
Buat apa lagi? Semalam awak beritahu saya awak nak bayi itu.
Saya nak kita besarkan bayi itu sama-sama.
Tak nak.
Awak nak melawan cakap saya?
Ya.
Rin, selama ini saya berlembut dengan awak. Saya melayan awak dengan baik. Sabar saya pun ada hadnya juga, awak tahu?
Dapat dia rasakan yang gadis itu sedang menahan rasa sakit kepala yang amat.
Fazrul menghela nafas lega apabila dia tahu yang gadis itu mendengar katanya.
Langkah diatur menuju ke makmal bawah tanah itu. Makmal yang merupakan tempat persembunyian operasi mereka. Fazrul menjenguk bayi yang umur tak sampai sebulan itu.
"Kau okay ke?"
Kepala diangkat apabila suara lembut itu kedengaran di telinga. Fazrul mengukir sengih.
"Okay je."
Rohan mendekati bayi yang sedang berada di dalam inkubator itu.
"Kau cakap mak dia menyusu budak itu semalam saja kan?"
Rohan ketawa kecil sebelum menyambung.
"Terkejut juga aku bila kau bawa bayi itu dalam keadaan normal."
"Terbukti hipotesis diterima."
Angguk. Rohan menggeliat malas.
"Komposisi atom dia sama seperti ibunya dan rajah otaknya sama seperti kau. Bila aku sambungkan inkubator itu ke komputer utama, budak itu cepat sahaja ambil alih komputer kita. Memang genius, walaupun baru lahir."
Fazrul hanya mendengar laporan Rohan itu. Dia senyum sumbing.
"Nanti kau kenalah minta maknya menyusukan budak itu."
"Maknya tak percaya aku."
"Kau nak bawa maknya ke sini?"
Fazrul menggeleng malas.
"Tak perlu. Aku dah mengintimidasi dia tadi. Geram sangat sebab dia tak nak dengar cakap aku."
"Mesti dia ingat kau buat benda tak elok dekat dia."
Waktu makan tengah hari tiba. Fazrul melangkah keluar dari lif. Beberapa mata memandangnya sambil berbisik-bisik. Fazrul menunduk sambil tersenyum nipis. Dia tahu apa yang dibisikkan itu. Pasti kerana apa yang diberitahunya kepada Isabel pagi tadi. Dia tak ambil pusing. Lagi mudah untuk dia terangkan kalau dia beritahu Rin itu pasangannya ada bayi itu anak hasil dari hubungan mereka. Apatah lagi usianya yang seolah-olah seperti tiga puluh an. Memang sesuai sangat nak berkeluarga.
Fazrul melambai ke arah beberapa orang staf sebelum menekan kadnya ke mesin jam. Teet!  Kaki diatur langkah keluar. Gadis itu sedang menunggunya di rumah.
"Mana budak itu?" soal gadis itu sebaik sahaja dia membuka pintu rumah.
Fazrul menepuk dahi. "Alamak! Saya tinggalkan dia dekat Rohan."
Rin ketawa kecil. Fazrul mengukir senyum nipis. Dia memandang sekeliling. Boleh tahan. Gadis itu telah membersihkan rumah ini, rumah yang memang jelas telah diabaikan olehnya.
"Masak apa hari ini?"
"Ramen."
Dengar pun dah kecur liur.
Fazrul melonggarkan tali leher. Lengan kemeja dilipat hingga ke siku.
"Nanti Rohan beritahu saya bila budak itu boleh balik. Tapi budak itu normal. Maksudnya dia tak jatuh sakit kebulur."
Rin termalu sendiri. Baru dia tersedar yang bayi itu langsung tak makan apa-apa dari semalam.
"Jangan risau. Budak itu Nyawa. Dia takkan mati kebuluran. Lagipun Rohan ada."
"Siapa Rohan?"
"Kawan baik saya. Saintis genius."
"Lagi genius daripada awak?"
Fazrul diam tak menjawab. Pertanyaan gadis itu tak dihiraukan. Dia melangkah masuk.
"Saya ada tugasan. Profesor saya bagi."
"Pergi ambil sendiri. Bawa ke sini."
Bulat mata Rin. Tangannya menumbuk perut lelaki itu tetapi berjaya dielak. Cis! Rin berpeluk tubuh.
"Kalau awak nak saya jaga budak itu, tolong saya habiskan pelajaran saya."
Fazrul memandang ke dalam anak mata gadis itu.
"Siap sekarang. Lepas makan tengah hari kita urus hal awak."
Beberapa helai pakaian dimasukkan ke dalam beg sukan. Rin mencapai beg galas dan beberapa buah buku teks.
Tak perlu bawa banyak sangat. Hujung minggu saja.
Mata Rin mencerlung.
Jangan risau, saya yakin rakan-rakan awak di akademi takkan tahu pasal hal ini.
Tangan Rin kembali bergerak.
Mereka makan malam seperti biasa. Sunyi sepi mengisi ruang di antara mereka. Rin menyuap wanton ke dalam mulut. Sekejap lagi dia merancang untuk menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah. Fazrul tak menghalang. Kiranya okaylah itu kan?
Fazrul diam. Hatinya berombak. Kepalanya direhatkan. Perasaan negatif itu timbul semenjak kuasanya digunakan. Fazrul memang tidak suka menggunakan kuasanya. Apabila seseorang itu telah menjadi gila, dia tidak boleh mengubah orang itu menjadi normal semula.
Jus oren itu disedutnya dengan menggunakan straw. Fazrul relaks bersandar di atas kerusi malas di balkoni. Dia santai mengenakan baju mandi dan selipar rumah. Kaki kirinya diangkat dan diletakkan di atas kaki kanan secara silang. Pintu gelongsor kedengaran seperti dibuka dan Fazrul menoleh memandang gadis yang sedang berdiri di belakangnya.
"Awak tak nak tidur lagi ke?"
"Kenapa? Tak boleh tidur tanpa saya?"
Riak wajah gadis itu berubah kepada meluat.
"Hello, saya masih tak puas hati dengan apa yang awak buat dekat saya dan keluarga saya..."
Fazrul merengus kasar. Budak ini. Belum pernah dia tertekan sampai ke tahap begini.
"Apa yang saya buat dekat awak?"
"Erm... Itulah... Alah!"
Gadis itu seperti tergagap-gagap sebelum dia menghentakkan kakinya penuh geram.
"Awak buat saya mengandung, tipu keluarga saya tentang hubungan saya, paksa saya duduk sini..."
Fazrul hanya diam tak menjawab. Pandangannya masih ditala ke depan, ke halaman rumah yang aunyi sepi.
"Saya tak buat awak mengandung pun."
"Habis itu, macam mana bayi itu boleh lahir?"
"Itu semua kerja kawan saya, Dr. Rohan. Dia yang satukan benih saya dan benih awak dalam tabung uji, kemudian dia masukkan embrio itu dalam rahim awak."
Mulut gadis itu melopong kerana terkejut.
"Awak ikut saja, tak melawan pun?!"
"Apa yang awak maksudkan? Awak nak jadi batu api?"
Nada garau itu dingin, seperti ais batu.
"Dia menggunakan awak, terang-terangan awak ini pak turut dia."
Kaki yang silang diluruskan. Fazrul pantas berdiri. Uratnya tegang. Matanya mencerlung memandang ke dalam anak mata gadis itu.
"Jangan nak memburuk-burukkan kawan baik saya."
Rin tak melarikan pandangannya. Entah kenapa hatinya langsung tak merasa takut dengan ancaman itu, malah dia berasa seperti sedih dan kasihan akan lelaki di hadapannya ini.
"Aku dah monitor keadaan bayi itu. Buat masa sekarang ini kau boleh bawa balik dia dan beri pada maknya."
Tiada jawapan.
"Woi! Kau okay ke?"
Fazrul tersedar dari lamunan. Dia tersengih serba salah memandang kawan baiknya.
"Ya, aku okay."
"Kalau kau ada masalah kau boleh cerita dekat aku."
Keluhan dilepaskan oleh Fazrul.
"Tak ada apalah. Aku stress je."
"Stress? Penguasa Minda boleh stress?"
Ada bunyi seperti ketawa kecil di hujung ayat, seperti nada mengusik.
"Stress dengan mak budak itu."
Rohan terlepas ketawa.
"Itulah. Aku dah tanya, kau nak bawa tak mak dia jumpa aku dekat makmal kita, kau tak nak."
"Kan aku dah beritahu, tak perlu? Lagipun situasi dalam keadaan terkawal. Cuma..."
"Cuma?"
"Tak ada apalah. Dah, pergi masuk kerja. Ada ke pula bos kerja lagi kuat daripada orang bawahan."
Rohan ketawa mengusik melihatkan reaksi temannya itu.
"Fairuz?"
Bayi itu mengekek ketawa. Rin tersenyum lebar. Tubuh kecil itu digendong dan dirapatkan ke pipi.
"Dah buat keputusan nak beri nama apa?"
Suara garau itu kedengaran dari belakang. Rin menoleh. Bayi itu diletakkan di dalam katil bayi semula.
"Fairuz?"
Angguk. Bayi itu mengekek ketawa lagi.
"Mama... Dada..."
Rin memandang bayi itu dengan mata membulat penuh tak percaya. Dia berpandangandengan Fazrul. Tak sampai setahun Fairuz dah kenal siapa mak dan ayahnya. Tubuh kecil itu disusukannya dan dia mencium ubun-ubun Fairuz.
Seminggu telah berlalu. Kedua-duanya telah bersetuju dengan sebuah perjanjian. Mereka bertiga akan tinggal bersama, setiap hari Fazrul akan menghantar Rin ke akademi. Pada waktu pagi, semasa Rin di akademi, Fairuz akan berada di dalam jagaan Rohan di pejabat. Selepas waktu belajar, Fazrul akan menghantar Rin dan Fazrul pulang ke rumah. Rin akan menjaga Fairuz di rumah secara berdua-duaan.
Kebelakangan ini, Rin kerap membacakan buku teksnya ke Fairuz. Semenjak peristiwa keajaiban tempoh hari, Rin mula mempercayai kata-kata lelaki itu sedikit. Mungkinlah bayi ini memang manusia super, dan merupakan Nyawa, kerana hasil daripada benih Guruh dan Peguasa Minda.
Rin membawa buku teks Fizik ke atas katil. Fairuz diriba dan dia membuka buku.
"Untuk menghasilkan tenaga elektrik, set penjana turbin menukar tenaga mekanikal kepada tenaga elektrik. Dalam kes gas asli, arang batu, pembelahan nuklear, biojisim, petroleum, geoterma, dan terma suria, haba yang dihasilkan digunakan untuk mencipta wap yang menggerakkan bilah turbin."
Bayi itu seperti tersengguk-sengguk. Sikit lagi sebelum nak rebah. Rin tak ambil pusing. Buku teks itu dibeleknya.
"Metropolis menggunakan tenaga kinetik yang dihasilkan ombak untuk menggerakkan turbin. Untuk maklumat lebih lanjut kamu boleh melawat Pusat Janakuasa Tenaga Metropolis, yang terletak di Selatan Metropolis."
Rin terbaring di atas katil bersaiz permaisuri itu. Fairuz yang diribanya dibiarkan terbaring nyenyak di sisinya, betul-betul di bawah celah ketiak. Buku teks Fizik diletakkan di sisi, dan dia meraup wajah. Tenaga haba boleh menghasilkan elektrik? Tak faham. Matanya memandang tapak tangan, macam mana kuasa ini dihasilkan?
Bunyi pintu terkuak dari arah luar menarik perhatian Rin. Pantas dia bergerak laju mendapatkan punca asal bunyi tersebut. Masing-masing terkejut apabila terserempak dengan kedua-duanya di depan pintu. Kedua-dua mereka hilang kata seketika.
"Masak apa malam ini?"
"Ayam goreng masala."
Fazrul meletakkan kasut di rak dan menggantung kunci. Kotnya diberikan kepada Rin dan gadis itu menggantung kot tersebut di penyidai tepi pintu tanpa banyak bunyi. Tali leher dilonggarkan. Lengan kemeja dilipat hingga ke siku. Kedua-dua mereka melangkah serentak ke dapur. Beg kerja dilemparkan ke atas sofa ruang tamu. Rin mencerlung memandang Fazrul. Pemalas betul!
"Saya penat. Buatkan jus epal untuk saya, Rin."
Meminta pula. Ingat aku ini orang gaji dia ke?
Walaupun hatinya bising mengomel, Rin mencapai sebiji gelas juga dan menuangkan jus epal ke dalam gelas tersebut.
Rin mencapai pinggan kosong, lalu mengisi pinggan tersebut dengan nasi. Nasi putih yang telah dipanaskan dihidangkan di atas meja makan. Fazrul membuka saji. Wow! Kecur liur dibuatnya. Bau rempah menusuk ke dalam hidung. Tangan kanan dicelup ke dalam air basuh tangan dan dia duduk memulakan suapan. Rin mengambil tempat berhadapan dengan Fazrul. Lelaki itu mengangkat kepala sekilas. Suapan terhenti seketika.
"Awak ada masalah ke?"
Rin tersentak. Mata mereka berpandangan sesaat. Pandangan lelaki itu redup, macam di bawah pohon yang rendang. Mulut Rin terbuka sedikit, tetapi lidahnya kelu. Fazrul mengukir senyum nipis.
"Tak apa, saya faham masalah awak."
Rin nyata terkejut.
"Apa yang awak faham?"
"Bagaimana kilat boleh terhasil, bagaimana elektrik boleh terhasil, betul tak?"
Rin tersentak. Lelaki ini!
"Awak susah nak belajar ke? Tapi sayang, saya sibuk. Sekarang kilang saya sedang melakukan proses tapisan staf baharu, jadi saya tak boleh ambil cuti. Tapi nanti saya akan cuba tolong awak juga."
Rin mengukir senyum nipis. Tak sangka, hubungan palsu mereka sekarang ini boleh mendatangkan manfaat kepadanya.

Maaf sbb lambat post. Alhamdulillah, bab ini sudah berjaya diterbitkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience